Adakalanya tangisan bayi pada waktu malam mungkin menjadi petunjuk bahawa mereka sedang mengalami demam. Tangisan bayi yang mengalami demam panas bunyinya lebih keras dan panjang. Tangisan panjang ini akan terhenti apabila bayi mengambil nafas dalam beberapa saat. Kemudian tangisan diteruskan lagi sehingga anda boleh melihat tanda-tanda kepenatan pada wajah bayi. Situasi sebegini sering membuatkan ibu bapa menjadi panik dan cemas. Dalam menghadapi saat-saat cemas sebegini, bersikap tenang adalah kunci untuk anda mengambil tindakan selanjutnya.

Ikuti Info berkaitan demam di kalangan bayi ini dan bersiap sedia dengan tips berguna ini supaya anda tidak panik apabila berhadapan situasi bayi demam.

Suhu Badan Bayi Apabila Demam

Demam boleh berlaku akibat peningkatan dan penurunan suhu dalam badan.

Bayi yang mengalami suhu badan melebihi 38° Celsius menunjukkan mereka mengalami demam. Sukatan suhu yang kurang daripada 36° Celsius pula menunjukkan bayi sedang mengalami demam sejuk.

Peningkatan suhu badan berlaku kerana sistem pertahanan dalam badan sedang dirangsang untuk melawan jangkitan bakteria jahat punca penyakit.

Selain menunjukkan kenaikan dan penurunan suhu badan, bayi juga akan mengalami keadaan berikut semasa demam :

  • Badan menggigil
  • Batuk dan hingus meleleh. Hingus bertukar warna seperti hijau pekat atau kekuning
  • Kerap menangis
  • Kurang minum susu atau makan
  • Tidur yang tidak nyenyak
  • Badan kelihatan lemah

Tips : Periksa suhu badan bayi menggunakan termometer rektal kerana bacaannya lebih tepat berbanding termometer digital biasa. Ia juga lebih mudah digunakan berbanding termometer telinga. Termometer rektal diperiksa menerusi dubur bayi. Bacaan suhu tidak boleh diambil dalam masa 30 minit selepas mandi.

Kekerapan Bayi Mengalami Demam

Sistem pertahanan dalaman seorang bayi masih lemah dan tidak kebal seperti orang dewasa. Jadi, kekerapan mereka mengalami demam adalah lebih berbanding orang dewasa.

Setiap tahun, bayi dan kanak-kanak akan mengalami kekerapan demam antara 8 sehingga 10 kali.

Punca-Punca Bayi Demam

Demam ini boleh berlaku disebabkan pelbagai punca dalaman dan luaran seperti jangkitan kuman, selesema, sakit tekak dan juga kesan sampingan selepas menerima suntikan vaksin.

Bayi juga boleh mengalami demam apabila terdedah terlalu lama dalam suhu ekstrim seperti keadaan cuaca yang terlalu panas atau terlalu sejuk. Bagi negara-negara yang mengalami musim salji, bayi mungkin mengalami demam yang lebih kerap sepanjang musim tersebut.

Bayi yang sedang mengalami tumbuh gigi juga mungkin berisiko mengalami simptom-simptom demam.

Apa Perlu Dilakukan Jika Bayi Saya Demam ?

  • Bayi di bawah usia 3 bulan : Bayi berusia di bawah tiga bulan yang mengalami  bacaan suhu badan melebihi 38° Celsius perlu segera dirujuk kepada doktor. Pada usia sebegini, jangkitan kuman pada bayi lebih cepat merebak. Bayi perlu dirujuk segera kepada doktor semasa melihat tanda pertama mereka mengalami demam.
  • Bayi berusia 3 sehingga 6 bulan : Bayi dalam lingkungan usia ini juga boleh dirujuk kepada doktor sekiranya demam tidak menunjukkan tanda-tanda sembuh selepas beberapa hari. Jika bayi menunjukkan tanda-tanda lebih teruk seperti muntah, cirit-birit  dan menangis tanpa henti, anda boleh segera membawa mereka mendapatkan rawatan.
  • Bayi berusia 6 bulan ke atas : Bayi mengalami demam mungkin daripada simptom tumbuh gigi.  Perhatikan perubahan suhu badan bayi. Jika bacaan suhu tidak menunjukkan perubahan selepas tiga hari, segera bawa mereka berjumpa doktor. Perhatikan juga jika dalam tempoh tiga hari tersebut jika mereka mengalami simptom yang lebih teruk seperti muntah berterusan, cirit-birit, masalah pernafasan dan hilang selera makan.

Langkah Rawatan Awal Di Rumah

  • Periksa suhu badan bayi secara berkala antara 4 ke 5 kali sehari iaitu pada waktu pagi, tengah hari, petang, waktu malam sebelum tidur dan di waktu terjaga tengah malam.
  • Bayi yang mengalami demam panas akan mengalami dehidrasi atau kehilangan air dalam badan. Lakukan penyusuan lebih kerap sama ada dengan susu ibu atau susu formula.
  • Elakkan memandikan bayi secara terus di bawah air yang mengalir. Seeloknya, sediakan sehelai kain bersih yang dibasahkan dengan air suam. Lapkan ke seluruh badan mereka terutama pada bahagian leher, dahi dan lengan. Jangan mandikan bayi dengan air sejuk daripada paip.
  • Jangan berikan bayi panadol atau aspirin. Ubat ini tidak sesuai untuk umur bayi yang masih kecil.
  • Kurangkan lapisan baju yang dipakai. Baju yang tebal akan menyebabkan bayi rasa panas dan tidak selesa akibat berpeluh.
  • Periksa jika keadaan suhu rumah terlalu sejuk berpunca dari penghawa dingin atau terlalu panas. Sediakan kipas untuk memastikan suhu yang selesa jika cuaca panas.

Demam atau Strok Haba ?

Bayi berisiko mengalami strok haba jika terdedah terlalu lama di bawah suhu matahari yang panas. Bayi juga boleh mengalami strok haba apabila terperangkap dalam suhu kereta yang panas terlalu lama.

Suhu bayi yang mengalami strok haba boleh mencapai melebihi 39° Celsius. Antara tanda-tanda berlaku strok haba pada bayi ialah :

  • Suhu badan meningkat tanpa menunjukkan tanda-tanda perpeluhan.
  • Kulit menjadi merah
  • Muntah
  • Denyutan nadi laju
  • Pernafasan menjadi singkat
  • Bayi kurang memberi reaksi apabila disentuh dan dipanggil
  • Tidak sedarkan diri

Bayi yang disyaki mengalami strok perlu diberikan bantuan kecemasan segera sebelum mendapatkan rawatan di klinik atau hospital. Antara langkah-langkah awal yang boleh diambil apabila mendapati bayi mengalami strok haba ialah :

  • Telefon doktor atau ke klinik/hospital dengan segera
  • Buka pakaian.
  • Bawa bayi ke tempat yang teduh seperti bawah bumbung dan tempat berhawa dingin. Baringkan bayi
  • Sediakan kain bersih yang dibasahkan dengan air. Lap keseluruhan badan bayi supaya suhu badan dapat dikurangkan.
  • Halakan kipas jika anda membawa kipas mudah alih atau kipas tangan. Boleh juga digunakan sebarang alat seperti surat khabar dan buku untuk kipas bayi.
  • Jika bayi dalam keadaan sedar, berikan susu kepada bayi dengan segera.
  • Bercakap supaya bayi tidak hilang kesedaran.

Langkah Mencegah Bayi Daripada Demam

Agak sukar untuk mencegah bayi daripada demam. Ini disebabkan daya tahan mereka terhadap serangan penyakit masih lemah. Sesetengah pendapat mengatakan bahawa demam yang berlaku pada bayi dapat membantu menguatkan sistem pertahanan daya tahan tubuh mereka .

Namun anda boleh mengambil langkah-langkah awal pencegahan terutama dari aspek kebersihan supaya bayi dapat dilindungi daripada bakteria dan kuman berbahaya yang menjadi punca penyakit.

  1. Sentuh bayi dengan tangan yang bersih. Pastikan sesiapa sahaja yang ingin menyentuh bayi anda telah membasuh tangan mereka terlebih dahulu. Anda boleh menyediakan sanitizer dan jadikan ia syarat utama sebelum membenarkan sesiapa jua menyentuh bayi anda.
  2. Jauhi dari hospital atau mendekat orang sakit. Elakkan mengunjungi orang sakit di hospital dengan membawa bersama bayi anda. Tinggalkan bayi anda di rumah untuk dijaga oleh ahli keluarga lain sebelum anda ke hospital mengunjungi orang sakit.
  3. Menyusu bayi dengan susu ibu secara berterusan sehingga usia 2 tahun. Setelah bayi berusia antara 4 sehingga 6 bulan, anda sudah boleh memberikan mereka air minuman.
  4. Jauhi bayi anda dari asap rokok seorang perokok.

Pilihan Editor :

DETTOL Hand Sanitizer Soothe

Antabax Hand Sanitizer Spray