Sehingga bayi berusia tujuh tahun, terdapat hampir 23 suntikan imunisasi kanak-kanak bagi memastikan tubuh mereka berupaya menghasilkan antibodi yang mampu melawan pelbagai jangkitan virus dan bakteria merbahaya.
Walaupun secara faktanya, tubuh kanak-kanak mampu menghasilkan antibodi secara semula jadi, namun suntikan vaksin imunisasi tetap diperlukan untuk merangsang sistem daya tahan penyakit. Ini kerana, sistem imunisasi kanak-kanak masih lagi lemah berbanding orang dewasa. Oleh kerana itu, pemberian vaksin dapat membantu menguatkan sel pertahanan mereka secara lebih kebal.
Menerima suntikan jarum sebanyak hampir 23 kali dalam tempoh tujuh tahun sejak dari bayi lagi tentunya menjadi satu kerisauan dalam hati ibu bapa. Namun, demi jaminan kesihatan si anak di masa depan, ibu bapa terpaksa jua merelakan bayi mereka menerima suntikan imunisasi yang diperlukan.
Hati mana yang tidak luluh melihat si kecil yang masih halus dan lembut kulitnya terpaksa merasai ngilu kesakitan jarum suntikan yang tajam. Lebih-lebih lagi bagi hati seorang ibu. Tentunya tangisan dan rengekan sayu saat bayi disuntik sedikit sebanyak meresahkan hati mereka.
Kami kongsikan beberapa langkah berkesan untuk menenangkan si kecil sebelum mereka menerima suntikan imunisasi kanak-kanak. Semoga dengan mengamalkan tips berguna ini dapat mengurangkan ketakutan dan kerisauan si kecil terhadap jarum suntikan.
1. Dapatkan Nasihat Awal Doktor Mengenai Proses Suntikan
Selain menunjukkan rekod laporan kesihatan dan rekod imunisasi kanak-kanak kepada pihak doktor, ibu bapa juga boleh mendapatkan nasihat awal mengenai suntikan.
Anda boleh mendapatkan keterangan dari doktor mengenai jenis ubat bius atau anestetik yang biasa disapu pada kulit sebelum suntikan. Anestetik ini boleh menyebabkan rasa kebas pada bahagian suntikan bertujuan mengurangkan kesakitan saat jarum menembusi lapisan kulit. Anda mungkin ingin mengetahui tempoh masa ubat anestetik itu dapat bertahan. Tanyakan juga kepada doktor kesan-kesan sampingan yang mungkin dialami oleh si kecil selepas disuntik.
2. Maklumkan Kepada Si Kecil Lebih Awal
Kebanyakan kanak-kanak berusia tiga tahun dan ke atas sudah mampu memahami butir-butir percakapan dan berkomunikasi dengan ibu bapa.
Sehari sebelum membawa mereka berjumpa doktor, jelaskan tujuan mereka dibawa ke hospital atau klinik. Cari masa yang paling sesuai untuk menerangkan kepada si kecil tentang hospital, klinik, doktor, jururawat, penyakit dan jarum suntikan serta penerangan tetang imunisasi kanak-kanak yang mudah mereka fahami.
3. Jangan Memberi Mereka Gambaran Menakutkan
Jangan sesekali menakut-nakutkan mereka dengan gambaran yang menakutkan berkenaan doktor dan jarum suntikan. Penjelasan ibu bapa mestilah dalam bahasa yang ringan, santai serta mudah untuk mereka fahami. Terangkan sejujurnya bahawa tujuan doktor memberi suntikan imunisasi tersebut adalah untuk melindungi mereka dari terkena penyakit apabila dewasa.
4. Jujur Memberi Penerangan Kepada Si Kecil
Jangan sesekali menipu mereka dengan menyatakan bahawa jarum suntikan itu tidak menyakitkan. Kanak-kanak pada usia tiga tahun ke atas mampu memahami berdasarkan pengalaman suntikan yang diterima semasa masih bayi.
Yakinkan kepada mereka bahawa doktor yang merawatnya sangat menyayangi dan bersikap lemah lebut terhadap kanak-kanak. Ibu bapa juga boleh menceritakan pengalaman mereka menghadapi suntikan untuk menyakinkan mereka bahawa kesakitan jarum suntikan imunisasi kanak-kanak hanyalah seperti gigitan semut dan rasa sakit akan hilang dengan segera.
Sudah tentu mereka akan memahami rasa kesakitan setelah disuntik. Jika dari awal anda memberitahu bahawa ia langsung tidak menyakitkan, tentulah si kecil akan tahu bahawa mereka telah ditipu. Ini hanya akan menanamkan perasaan fobia mereka terhadap doktor dan jarum suntikan. Kesannya, si kecil mungkin akan sukar mempercayai ibu bapanya lagi.
5. Elakkan Bercerita Terlalu Banyak Tentang Suntikan
Menerangkan kepada si kecil tentang rancangan menemui doktor tidak salah. Tetapi tidak perlu terlalu terperinci lebih-lebih lagi kerana mereka masih lagi kanak-kanak. Ibu bapa perlulah bijak menjelaskan pemahaman tentang suntikan imunisasi kanak-kanak kepada si kecil mengikut kesesuaian peringkat umur dan kefahaman mereka.
Ibu bapa perlu menjelaskan mengenai tujuan mereka berjumpa doktor. Elakkan bercerita terlalu mendalam mengenai suntikan. Contohnya menggambarkan bentuk jarum yang tajam. Gambaran sebegini akan membuatkan tahap degupan jantung mereka meningkat. Apabila degupan jantung semakin laju, tekanan darah akan meningkat. Kanak-kanak akan rasa gementar dan kemungkinan rancangan menemui doktor akan tergendala.
6. Tawarkan Ganjaran Kepada Si Kecil
Kanak-kanak paling menggemari hadiah dari ibu bapa. Tawarkan apresiasi atau penghargaan kepada anak anda dalam bentuk seperti hadiah, belanja makan atau membawa mereka ke taman tema keriangan.
Apresiasi ini sebagai sanjungan terhadap kemampuan si kecil anda yang begitu berani dan tabah menerima suntikan jarum.
7. Biarkan Si Kecil Selesa Dalam Pelukan Ibu Atau Bapa
Pelukan kasih sayang oleh ibu atau bapa dapat mewujudkan rasa tenang dan selesa dalam diri kanak-kanak. Peluklah mereka dengan penuh erat. Kanak-kanak akan merasakan diri mereka dilindungi sekaligus mengurangkan ketakutan mereka kepada persekitaran klinik, hospital, doktor dan jarum suntikan.
Pelukan ibu atau bapa juga dapat mengurangkan debaran mereka saat menerima suntikan. Apabila mereka dalam keadaan yang tenang, doktor yang memberi suntikan juga dapat melakukan tugasnya dengan mudah dan cepat.
8. Bawa Permainan Kegemaran Si Kecil
Si kecil anda tentunya memiliki permainan kegemaran yang paling diminati. Pada hari anda membawa si kecil berjumpa dengan doktor, bawa bersama mainan tersebut dan biarkan si kecil bermain sehingga mereka menjadi ralit. Contohnya dengan membiarkan mereka bermain bola.
Cara ini dapat mengalihkan perhatian mereka daripada suasana sekeliling terutama semasa berada di klinik atau hospital.
9. Bedung & Susukan Bayi Anda
Anda boleh menenangkan bayi yang masih kecil dengan cara membedung serta memberikan susu ibu atau susu formula. Pastikan anda membawa bersama kain bedung atau selimut yang sesuai.
Tindakan memeluk bayi ke pangkuan ibu sangat penting sebelum menerima suntikan. Bayi akan rasa selesa dan kurang merengek semasa berjumpa doktor.
10. Ibu Bapa Perlu Bertenang & Jangan Panik
Penting bagi ibu bapa mempamerkan ketenangan sebelum, semasa dan selepas proses suntikan berlaku. Jika ibu bapa mendapati anak mereka dalam keadaan takut yang tidak terkawal seperti menangis dan meraung-raung semasa dalam bilik doktor, ibu bapa bolehlah menyerahkan segala urusan kepada para petugas klinik yang lebih berpengalaman mengendalikan situasi. Kaedah ini untuk memastikan proses suntikan berakhir dengan cepat dan selamat.
11. Akhir Sekali…
Biasanya bayi dan kanak-kanak akan mengalami kesan sampingan selepas menerima suntikan seperti demam, penat dan rasa sakit pada otot.
Jika mereka mengalami kesan sampingan sebegini, ibu bapa boleh menyediakan lebih awal peralatan perubatan seperti pad ais untuk mengurangkan demam. Jika anak mengalami sakit kepala serta bengkak pada bahagian suntikan, dapatkan preskripsi ubat daripada doktor untuk kelegaaan si kecil.
Bagi bayi kecil, teknik membedung adalah paling terbaik untuk menenangkan mereka selepas suntikan. Pastikan bayi berada dalam dakapan ibu untuk keselesaan. Ini dapat membuatkan si bayi seolah-olah berada dalam rahim ibu ketika mengandung.