Pelbagai perkara berkaitan dengan penyusuan dada yang perlu diketahui oleh para ibu terutama mereka yang bakal bergelar ibu untuk pertama kali. Salah satu perkara penting yang anda perlu tahu ialah kaedah penyimpanan susu ibu. Bayi yang menghisap susu secara langsung dari puting ibu sebenarnya lebih bertuah kerana mereka boleh merasai kehangatan susu ibu. Namun apakan daya kerana tidak semua para ibu yang melahirkan bayi mempunyai masa yang cukup untuk menyusukan bayi mereka secara langsung apabila diperlukan. Terutama di kalangan ibu yang berkerjaya yang sentiasa sibuk menguruskan hal kerja dan rumahtangga.
Maka, mahu atau tidak membuat simpanan susu ibu menjadi perkara wajib terutama bagi kalangan ibu yang memilih membesarkan bayi mereka dengan susu dada. Memberikan bayi anda susu ibu yang disimpan di dalam botol adalah lebih baik berbanding susu formula. Sudah pastinya ia sesuatu yang tidak mampu dinafikan oleh sesiapa jua.
Perkara-Perkara Berkaitan Simpanan Susu Ibu
Timbul pelbagai persoalan mengenai proses berkaitan simpanan susu ibu. Antaranya apakah bekas yang sesuai untuk simpanan, berapa lamakah ia perlu disimpan, di manakah ia akan disimpan, berapa lamakah susu simpanan ibu dapat bertahan di luar dan sebagainya.
Semua perkara ini antara panduan penting yang perlu anda ketahui sebelum membuat simpanan susu ibu. Sudah semestinya anda inginkan bayi anda menikmati kualiti kesegaran susu ibu yang sama dengan susuan secara langsung.
Peralatan Mengepam Susu
Pertama sekali biar kami terangkan kaedah yang biasa digunakan oleh wanita untuk mengeluarkan susu ibu. Terdapat dua cara untuk mengepam susu ibu iaitu dengan menggunakan peralatan pengepam susu atau breast pump atau mengepam dengan menggunakan tangan.
Kaedah pam susu menggunakan tangan
Sesetengah ibu lebih selesa dengan kaedah mengepam susu menggunakan tangan berbanding alat pengepam susu. Ia tidak memerlukan sebarang peralatan malah anda boleh melakukannya pada bila-bila masa dan di mana sahaja anda berada. Berikut ialah langkah untuk perahan susu secara manual menggunakan tangan.
- Cuci tangan sebersihnya dengan air sabun dan bilas dengan air bersih suhu normal.
- Basahkan sehelai kain dengan air suam. Kain itu kemudian diletakkan menutupi bahagian puting dan payudara. Biarkan selama 2 minit.
- Seletah itu urut-urutkan payudara anda dan sekitar bahagian puting susu. Urut secara lembut dan perlahan-lahan sebagai persediaan baginya mengeluarkan susu.
- Duduk dalam keadaan bertenang dan lurus. Condongkan sedikit badan ke bahagian depan. Jangan berdiri atau baring.
- Letakkan kedua jari telunjuk dan ibu jari mengelilingi puting susu membentuk huruf C. Kedudukan jari sekurang-kurangnya 1 inci dari kedudukan puting susu. Selesakan kedudukan jari anda.
- Tekan secara lembut jari yang membentuk huruf C itu ke bahagian dalam menghala ke dada anda. Tekanan ini hanyalah tekanan lembut dan bukan seperti meramas puting anda. Elakkan mengetatkan atau meregangkan bahagian atas areola, kerana ini akan menjadikannya lebih sukar untuk mengeluarkan susu. Tekan ibu jari dan jari telunjuk terus ke dalam tisu payudara, ke dalam dinding dada.
- Tekan payudara anda mengikut urutan secara membulat. Semasa melakukannya anda perlu menekan payudara dalam keadaan releks. Lakukan urutan ini sehingga anda dapati pengeluaran susu.
- Sediakan cawan atau botol susu untuk tadahan susu yang keluar.
- Ulangi langkah yang sama untuk payudara kedua.
Mengepam susu menggunakan alat pengepam
Menggunakan peralatan pengepam susu jauh lebih mudah dan mampu menghasilkan kuantiti susu yang banyak. Sebelum mengepam pastikan semua kelengkapan disterilkan dengan bersih. Begitu juga selepas setiap kali penggunaan. Terdapat pelbagai jenama alat pengepam susu di pasaran.
Membuat Simpanan Susu Ibu
Susu ibu yang telah siap dipam boleh disimpan dalam gelas khas yang telah disteril atau bekas simpanan plastik yang bersih dan baru. Anda juga boleh menyimpannya dalam beg plastik jenis kedap yang mempunyai zip. Pastikan anda tidak menggunakan bekas simpanan yang sama yang pernah digunakan sebelumnya.
- Simpan bekas yang mengandungi susu yang dipam ke dalam peti sejuk pada suhu 5°C atau ke bawah. Simpanan susu dalam suhu ini mestilah tidak melebihi dalam tempoh 72 jam atau 3 hari.
- Bagi simpanan selama dua minggu, simpan di bahagian sejuk beku
- Bagi simpanan 3 bulan, ia mestilah disimpan di bahagian sejuk beku yang berasingan dari lain-lain barangan yang disimpan.
- Bagi simpanan antara enam sehingga 12 bulan, simpanan mestilah dalam peti sejuk beku khas bersuhu 18°C.
Susu yang telah dipam yang tidak digunakan dalam tempoh dua hari mestilah disimpan di bahagian sejuk beku. Pastikan anda menanda tarikh susu dipam pada setiap botol. Gunakan botol yang bertarikh awal semasa setiap kali penggunaan.
Susu yang telah dipam yang tidak digunakan dalam tempoh dua hari mestilah disimpan di bahagian sejuk beku. Pastikan anda menanda tarikh susu dipam pada setiap botol. Gunakan botol yang bertarikh awal semasa setiap kali penggunaan.
Berapa Kuantiti Susu Perlu Disimpan?
Menentukan kuantiti simpanan susu adalah bergantung kepada usia bayi anda. Namun sebaiknya anda tidak menyimpan dalam kuantiti yang terlalu banyak dalam setiap botol. Seboleh-bolehnya elakkan pembaziran susu.
Kuantiti berikut adalah cadangan untuk bayi berusia antara 1 minggu sehingga 6 bulan.
- Bayi berusia 1 sehingga 2 minggu adalah antara 60 – 90 mililiter bagi setiap susuan
- Bayi berusia 1 sehingga 6 bulan adalah antara 90 – 150 mililiter bagi setiap susuan.
Simpanan susu dalam bekas juga tidak perlu terlalu penuh terutama dalam beg plastik kedap kerana ia akan mengembang apabila susu membeku sepenuhnya. Ini mengelakkan daripada plastik terkoyak yang akan merosakkan susu bayi anda.
Nyahbeku Susu Yang Dibekukan
Susu beku yang dikeluarkan dari bahagian sejuk beku boleh dinyahbeku dengan cara meletakkannya di bahagian suhu biasa peti sejuk. Biarkah sehingga ia benar-benar bertukar kepada cecair biasa. Susu yang telah dinyahbeku ini perlu segera disusukan kepada bayi anda. Jika tidak digunakan, ia tidak boleh dibekukan semula sebaliknya perlu dibuang.
Memanaskan Susu
Tiada maslah jika bayi anda selesa meminum susu sejuk yang telah dinyahbeku. Tetapi jika sebaliknya, anda boleh memanaskan semula bekas susu tersebut dalam rendaman air panas. Elakkan menyahbeku dengan cara menggunakan alat mikro gelombang kerana ini akan menghasilkan titik panas pada bahagian tertentu susu yang boleh mengakibatkan lidah mereka melecur.
Tips Tambahan :
- Jika bayi anda di hospital, dapatkan bantuan jururawat bertugas untuk membantu anda menyimpan kesemua susu yang telah dipam. Pastikan anda melabel setiap bekas simpanan susu milik bayi anda dengan tanda nama bayi dan tarikh susu dipam.
- Gunakan susu yang telah dinyahbeku dalam tempoh 24 jam.
- Pastikan anda mencium bau susu sebelum diberikan kepada bayi. Kebiasaannya susu yang disimpan di bahagian peti beku agak sukar untuk rosak. Jika berbau, ia mungkin akibat daripada bau barang-barang lain yang disimpan dalam peti sejuk. Tetapi ia masih selamat untuk diminum.
- Elakkan daripada meletakkan susu di bahagian pintu penutup sejuk beku. Ia akan memberi kesan apabila pintu ini sentiasa dibuka dan ditutup. Tempatkan botol simpanan di bahagian dalam ruang sejuk beku.
Pilihan Editor :