Apa yang ibu-ibu akan lakukan setiap kali bayi terjaga dan menangis pada waktu tengah malam? Kami yakin kebanyakan ibu akan melakukan perkara yang sama iaitu menyusukan bayi supaya mereka berhenti menangis dan segera kembali tidur. Itulah cara paling mudah bagi si ibu menenangkan bayi mereka dari tangisan di tengah malam. Mungkin juga kerana menyangka bayi mereka sedang lapar Menurut tanggapan para ibu, menyusukan bayi sebelum tidur merupakan langkah paling praktikal untuk mengendalikan emosi bayi yang menangis di waktu malam. Tambahan lagi, di kala tengah malam di mana keadaan mata begitu mengantuk, tentunya si ibu inginkan bayi dan dirinya menikmati tidur yang cukup supaya tidak menjadi zombi keesokan harinya.

Namun pernahkah anda terfikir perkara pro dan kontrak di sebalik langkah menyusukan bayi sebelum tidur? Adakah terdapat langkah terbaik dalam menangani bayi yang sedang menangis sewaktu tengah malam selain daripada menyorongkan mereka dengan botol susu?

Berapa Kali Bayi Perlu Disusukan Dalam Masa 24 Jam ?

Secara lahiriah, bayi akan mengetahui dengan sendirinya bila mereka lapar dan berapa banyak susu yang diperlukan untuk membuatkan mereka rasa kenyang. Jika makanan tidak cukup, mereka akan menangis dan terus menangis.

Bayi yang baru lahir perlu disusukan sekurang-kurangnya 12 kali dalam sehari iaitu antara jarak tempoh masa dua jam ke atas. Kadang-kadang lebih daripada itu terutamanya pada waktu siang hari.

Tabiat Menyusukan Bayi Sebelum Tidur Yang Berulang-Ulang

“ Anak saya terjaga antara 4 sehingga 5 kali dalam satu malam..tak cukup tidur saya dibuatnya!”

Mungkin ramai yang tertanya-tanya mengapa bayi mereka kerap terjaga dan menangis pada waktu tengah malam. Bayi hanya tidur lena sekejap-sekejap antara 30 minit sehingga 1 jam pada setiap pusingan tidur. Perkara ini sebenarnya berkait rapat dengan tabiat atau kebiasaan yang berlaku secara tidak sedar.

Suatu tabiat yang sentiasa dilakukan berulang-ulang dalam suatu tempoh yang panjang lama kelamaan akan bertukar menjadi kebiasaan di bawah sedar. Begitulah juga halnya dengan tabiat menyusukan bayi sebelum tidur. Ianya seperti suis lampu yang telah ditetapkan waktunya untuk menyala secara automatik apabila dalam keadaan gelap.

Menyusukan bayi sebelum tidur menggalakkan satu tabiat bagi bayi iaitu keperluan menghisap puting susu ibu atau botol susu setiap kali ingin tidur.

Lama kelamaan bayi akan cenderung menangis di waktu tengah malam secara automatik untuk minta disusukan oleh ibu mereka sebelum tidur semula.

Kesukaran Ibu Di Saat Menyusukan Bayi Sebelum Tidur

“Saya tak boleh bergerak langsung saat menyusukan bayi. Nak ke tandas juga susah!”

Pantang ibu bergerak atau mengalihkan kedudukan mereka dari dakapan ibu, bayi akan mula menangis. Ibu mengalami masalah mengalihkan kedudukan bayi mereka walau seinci memandangkan bayi begitu selesa tidur sambil menyusu dalam dakapan hangat ibunya.

Secara tidak sedar, bayi akan merasakan mereka tidak boleh tidur dengan nyenyak kecuali apabila si ibu meletakkan puting susunya ke mulut bayi.

Keadaan ini amatlah menyukarkan para ibu memandangkan mereka juga perlu mengendalikan urusan rumahtangga yang lain. Ibu juga perlu ke tandas untuk buang hajat!

Adakah Perlu Menghentikan Langsung Tabiat Menyusukan Bayi Sebelum Tidur ?

Tidak perlu bagi ibu menghentikan tabiat menyusukan bayi sebelum tidur. Apa yang perlu dilakukan si ibu adalah mengurangkan rutin menidurkan bayi dengan kaedah menyusu. Sama ada susu badan mahupun susu botol.

Ibu yang menyusukan sendiri bayi pada usia antara sebulan dan dua bulan merupakan tempoh terbaik untuk menjalinkan ikatan penyusuan yang indah antara ibu dan anak.

Langkah Mengurangkan Tabiat Menyusukan Bayi Sebelum Tidur

Para ibu yang menghadapi masalah sukar memisahkan bayi dari amalan menyusu sebelum tidur masih belum terlewat untuk mengubah tabiat ini demi kepentingan bayi dan diri mereka.

Ingat bahawa langkah yang disarankan ini bukan bermaksud memisahkan langsung bayi anda dari dakapan ibu sebelum tidur. Apa yang penting langkah ini tentunya dapat membantu si ibu dan bayi untuk tidur dengan lebih lena untuk tempoh masa yang lebih panjang terutamanya pada waktu malam.

1. Menyusukan bayi sebelum mereka mengantuk

Tidak semestinya anda perlu menyusukan bayi ketika mereka letih dan mengantuk sahaja. Bayi boleh dahaga dan lapar pada bila-bila masa sahaja seperti juga orang dewasa. Banyakkan menyusu pada siang hari sewaktu mata mereka masih segar dan aktif. Perut yang kenyang memudahkan bayi untuk tidur lena pada malam harinya.

2. Selesakan bayi sebelum mereka tidur

Membuatkan bayi selesa tidak bermakna anda perlu membawa mereka dalam dakapan ibu dengan menyusu. Anda boleh sahaja membaringkan mereka atas tilam empuk dikelilingi bantal kiri dan kanan. Bermain-main seketika untuk membuatkan mereka leka sebelum mengantuk.

Letakkan botol susu bayi sedikit jauh dari pandangan mereka. Jika anda sibuk mengendalikan kerja rumah, biarkan suami atau anak anda yang lebih dewasa bermain dengan mereka di atas tilam.

Jangan lupa untuk mandikan mereka serta menukar lampin bayi untuk keselesaan mereka sebelum tidur. Tidur lena bayi sangat dipengaruhi oleh lampin yang kering.

Wujudkan juga suasana bilik yang bebas dari pancaran matahari. Tutup tingkap dengan langsir untuk wujudkan seperti keadaan waktu malam. Pada waktu malam pula, pastikan cahaya lampu boleh ditetapkan dalam keadaan malap.

3. Sesekali serahkan tugas menyusu kepada bapa

Si bapa tentulah tidak boleh menyusukan bayi seperti ibu. Namun anda boleh membantu menyusukan bayi dengan menggunakan susu botol. Jika bayi anda menyusukan susu badan, ibu-ibu boleh lakukan pam susu lebih awal dan simpan dalam botol.

Tugas bergilir-gilir menyusukan bayi ini penting untuk mengelakkan bayi melalui rutin yang sama iaitu ketidakselesaan untuk tidur apabila si ibu berehat seketika dari menyusukan bayi sebelum tidur.

4. Tukar teknik menidurkan bayi

Teknik menidurkan bayi ada pelbagai cara dan semua kaedah terpulang kepada keselesaan ibu bapa. Namun jika anda tidak mahu amalan menyusukan bayi sebelum tidur diamalkan secara berterusan, ada beberapa teknik yang boleh diamalkan.

Salah satu cara yang kerap dan berkesan untuk diamalkan ialah membiarkan bayi menangis seketika di sisi anda. Sambil itu, tepuk atau usap di bahagian belakang badan mereka. Jangan tergopoh-gopoh menyusukan bayi untuk membuatkan mereka tidur. Membiarkan bayi menangis juga bukanlah dianggap sebagai mendera bayi. Sebaliknya ia merupakan satu kaedah yang sering diamalkan oleh kebanyakan ibu bapa.

Bayi yang menangis sebelum tidur lebih cepat penat menyebabkan mereka lebih mudah tertidur dengan sendiri berbanding dengan bayi yang dijaga, didodoikan dan disusukan sebelum tidur.

Bolehkan Menukar Tabiat Menyusukan Bayi Sebelum Tidur ?

Semakin meningkat usia bayi, semakin sukar menukar rutin yang mereka lalui beberapa bulan sebelumnya. Anda akan mendapati protes mereka terhadap perubahan tabiat yang anda cuba lakukan menjadi lebih sukar. Namun masih belum terlambat untuk mengajar semula terutama bayi berusia 1 tahun ke bawah supaya mampu tidur sendiri tanpa perlu disusukan.

Cara terbaik ialah dengan mendidik secara konsisten dan jangan mengalah. Menurut pakar, suatu tabiat yang sukar dibendung masih boleh dipecahkan selagi perubahan itu dilakukan secara konsisten. Seperti kata pepatah, alah bisa tegar biasa.

Pilihan Editor :

Babylove Soft Sarong Netting with Head N

Tropika Baby Herbal Cream

PetPet Disposable Baby Diaper