Banyak perkara yang ibu bapa perlu awasi demi memastikan kesihatan anak-anak mereka terjaga. Salah satunya ialah dengan memastikan kesihatan usus kanak-kanak secara mengenalpasti bentuk najis anak anda yang baru lahir. Seringkali ibu bapa terlepas pandang tentang perkara ini menyebabkan mereka hanya bertindak membawa ke klinik apabila mendapati bayi mereka tidak henti-henti menangis.
Memperhatikan bentuk najis anak bukan suatu perkara terindah untuk dilakukan oleh ibu dan bapa. Namun tahukah anda bahawa najis manusia memberikan gambaran tentang keadaan dalaman sistem penghadaman dan perkumuhan?
Justeru itu, sebagai ibu bapa anda haruslah sentiasa prihatin dalam mengenalpasti bentuk, warna, bau serta kekerapan bayi membuang najis. Keprihatinan ibu bapa dalam mengenalpasti tanda-tanda awal penyakit usus boleh menjadi langkah awal bagi menyelamatkan si kecil daripada masalah kesihatan perkumuhan dan penghadaman yang lebih serius.
Kekerapan Bayi Membuang Najis
Kekerapan membuang najis antara bayi yang menyusu badan dengan bayi yang menyusu susu formula adalah berbeza. Ini kerana kandungan bahan dalam kedua-kedua jenis susu ini berbeza yang mempengaruhi penyerapannya ke dalam badan bayi.
Bayi Menyusu Ibu Lebih Kerap Membuang Najis
Secara faktanyanya, susu ibu lebih mudah diserap ke seluruh badan bayi berbanding dengan susu formula. Penyerapan susu yang diminum mempengaruhi kekerapan bayi dalam membuang najis.
Bayi menyusu ibu yang berusia antara 6-8 minggu seharusnya mampu membuang najis lebih daripada 4 kali sehari. Tetapi kekerapan ini akan semakin berkurang selepas tempoh minggu tersebut. Susu ibu mempunyai kemampuan penyerapan ke dalam tubuh bayi yang jauh lebih baik berbanding susu formula.
Susu formula adalah lebih padat dan kadar penyerapannya adalah kurang berbanding susu ibu. Disebabkan faktor penyerapan susu formula yang kurang ini, maka kekerapan membuang najis bagi yang menyusu formula agak kurang iaitu sehingga 4 kali sehari.
Warna & Bentuk Najis
Seperti orang dewasa, warna dan bentuk najis anak berbeza-beza mengikut keadaan kesihatan usus dalaman. Formasi warna dan bentuk najis juga bergantung kepada jenis susu yang diminum sama ada langsung dari susu ibu, atau susu formula.
Najis bayi mempunyai lebih kurang sembilan keadaan warna yang berbeza mengikut keadaan dalaman usus mereka. Dengan begitu banyaknya keadaan warna najis, tentunya anda ingin tahu warna najis yang bagaimanakah normal atau tidak normal bagi seorang bayi.
Terdapat 9 warna najis yang dikenalpasti berlaku di kalangan bayi iaitu :
1. Kekuningan mustard
Warna najis ini biasa didapati pada bayi yang menyusu susu ibu. Warna najis ini menggambarkan sistem penghadaman bayi sihat dan normal. Bau najis jenis ini tidak terlalu kuat. Najis bayi akan kekal berwarna sedemikian sehinggalah anda menukar susu mereka kepada susu formula.
2. Hijau gelap
Warna najis hijau gelap menunjukkan kandungan zat besi dalam susu formula atau vitamin tambahan yang dibekalkan kepada bayi anda. Ia boleh dianggap normal dan ibu bapa tidak perlu risau mengenainya. Keadaan najis bertukar kepada hijau gelap hanyalah disebabkan tindakan yang berlaku di antara bakteria dalam usus dengan kandungan zat besi tersebut. Zat besi adalah ramuan normal yang terkandung dalam susu formula bayi.
3. Hijau kecerahan
Warna najis kehijauan cerah seakan hijau daun muda atau limau nipis ini menggambarkan ketidakseimbangan kandungan lemak dalam kandungan susu ibu oleh bayi yang menyusu. Susu ibu dengan kandungan lemak yang tinggi biasanya terdapat pada waktu akhir penyusuan. Waktu awal penyusuan membekalkan kurang kandungan lemak. Untuk memastikan bayi menerima susu yang mengandungi lebihan lemak, tempoh penyusuan perlu dipanjangkan sekurang-kurangnya 20 minit bagi sebelah payudara.
4. Hijau Kecoklatan
Warna najis ini berlaku apabila bayi mula menerima makanan pepejal. Bau najis menjadi lebih kuat dan kepekatannya juga semakin likat. Warna dan keadaan najis seperti ini normal bagi seorang bayi.
5. Coklat Cair
Najis berwarna coklat dan agak cair menunjukkan usus mereka tidak sihat. Kemungkinan besar bayi mengalami cirit-birit atau mungkin berlaku jangkitan dalam usus. Jika bayi berterusan membuang najis yang cair seperti ini, dibimbangi badan mereka mengalami dehidrasi atau kekurangan air. Cara menanganinya adalah dengan menyusu bayi lebih kerap. Jika keadaan berlarutan, segeralah membawa bayi anda berjumpa doktor untuk rawatan.
6. Perang
Najis bayi berwarna perang dan teksturnya agak pekat. Warna najis perang hanya bagi bayi yang menyusus susu formula atau campuran kedua-duanya. Warna najis seperti ini dianggap normal dan menggambarkan keadaan usus dalaman mereka yang sihat.
7. Putih
Warna najis putih dan pucat menunjukkan tanda kesihatan yang tidak baik berlaku pada organ hati dan hempedu bayi. Warna najis bergantung kepada sejenis cecair yang mana fungsi ini dijalankan oleh organ hati. Jika warna najis bertukar ke warna putih, kemungkinan besar organ hati mengalami masalah dalam memproses cecair yang mempengaruhi warna najis bayi anda. Segera bawa bayi anda berjumpa doktor untuk rawatan selanjutnya.
8. Merah
Najis berwarna merah menunjukkan percampuran darah dan najis. Keadaan ini boleh berlaku apabila bayi mengalami sembelit yang teruk menyebabkan kesukaran dalam membuang najis. Boleh jadi berlaku luka pada bahagian penghujung usus besar semasa bayi memaksa diri untuk mengeluarkan najis dari dubur. Biasanya jika bayi melepasi tempoh sukar sembelit, keadaan bayi akan kembali normal. Namun jika pendarahan yang serius tidak berhenti pada bayi, segeralah bawa mereka mendapatkan rawatan segera.
9. Hitam
Najis berwarna hitam merupakan satu keadaan yang tidak normal bagi seorang bayi. Najis seperti ini mempunyai warna hitam yang pekat dan lebih likat. Keadaan ini berlaku disebabkan darah yang memasuki bahagian usus sistem pencernaan. Segera bawa bayi anda berjumpa doktor untuk rawatan segera.
Sembelit Di Kalangan Kanak-Kanak
Jadi, mengapakah amat penting bagi ibu bapa mengawasi warna dan bentuk najis bayi anda? Ini kerana salah satu masalah penghadaman yang sering berlaku di kalangan bayi dan kanak-kanak adalah disebabkan sembelit. Masalah sembelit di kalangan bayi tidak berlaku dalam sehari atau dua hari seperti sembelit orang dewasa. Sembelit di kalangan kanak-kanak adalah paling kritikan untuk dikenalpasti kerana ia adalah masalah yang akan berlarutan walaupun usia mereka semakin meningkat.
Keadaan ini amat merisaukan terutama setelah mereka memasuki alam persekolahan. Kanak-kanak yang mengalami sembelit semasa di dalam kelas kerapkali menghadapi kesukaran menyatakan keinginan mereka untuk ke tandas. Ini disebabkan kanak-kanak tidak mampu menghadapi keadaan sembelit sendirian tanpa pengawasan ibu bapa atau orang dewasa. Ini menyebabkan mereka sering dipermainkan oleh rakan-rakan sekelas kerana sering menangis dan berak di dalam kelas secara tidak sengaja. Keadaan ini boleh melemahkan motivasi mereka untuk ke sekolah.
Jadi sebagai ibu bapa, tidak seharusnya mereka membiarkan anak kecil mereka menderita penyakit sembelit selama bertahun-tahun tanpa rawatan dan nasihat daripada pakar kanak-kanak.
Pilihan Editor :