Masuk sahaja bulan puasa, ramai yang mengadu lemah badan, tidak bertenaga dan mengantuk sepanjang hari berpuasa. Hal ini terjadi kerana amalan pemakanan yang salah semasa bersahur dan berbuka. Cuba semak kembali apa rutin diet anda sepanjang bulan puasa.

Dari sudut sains, amalan berpuasa sebulan di bulan Ramadan dapat membantu organ pencernaan dan sistem saraf berehat selain membantu menurunkan kadar gula dalam darah, kolestrol serta tekanan darah. Selain itu, amalan berpuasa juga dapat meningkatkan kadar metabolisme badan dan membantu pengawalan berat badan.

Bagi menikmati kesan-kesan positif ini, anda perlu mengambil makanan yang berkhasiat dan minum air secukupnya di luar waktu puasa. Ya, anda tidak boleh makan di siang hari. Akan tetapi, anda boleh rancang rutin pemakanan anda semasa bulan puasa. Amalkan makan tiga kali sehari iaitu semasa bersahur, berbuka puasa dan sela waktu antara berbuka dan bersahur (sekitar jam 9 malam dan ke atas).

Di sini, kami kongsikan panduan pemakanan yang boleh anda ikuti semasa bulan Ramadan.

1 Jangan tinggal makan sahur. Makan sahur amat penting untuk membantu anda mengekalkan tenaga sepanjang hari pada bulan Ramadan.

2 Makan makanan yang mengandungi bijirin penuh, bijirin berserat tinggi, susu, buah-buahan dan sayur-sayuran.

 

3 Minum sekurang-kurangnya 3 gelas air pada waktu sahur kerana pengambilan air yang tidak mencukupi akan menyebabkan badan cepat lapar.

 

4 Mulakan buka puasa anda dengan memakan kurma kerana ia mengandungi gula semula jadi yang memberikan tenaga segera.

5 Elakkan makanan yang mengandungi tinggi kandungan lemak, garam dan gula.

BIJI CHIA- MAKANAN SUPER MEMBERI TENAGA

Pernahkah anda dengar tentang chia seed atau biji chia? Biji chia amat terkenal di kalangan penggemar makanan berkhasiat. Biji chia merupakan tanaman purba tamadun Maya dan Aztec (chia adalah perkataan maya yang bermaksud kekuatan). Biji chia boleh dijadikan makanan sebagai sumber tenaga semasa bulan Ramadan kerana ia mengandungi Omega-3 yang baik untuk kesihatan jantung, protein, serat, antioksida dan pelbagai lagi nutrien penting seperti kalsium, magnesium dan vitamin B3. Kami kongsikan tiga resipi yang menggunakan biji chia untuk anda cuba semasa bersahur atau berbuka puasa:

 

Jem Strawberi Biji Chia

Bahan-bahan
500g buah strawberi segar
2 sudu besar biji chia
1/4 cawan sirap maple
Kordial elderflower

Cara penyediaan

  1. Potong buah strawberi dalam bentuk kiub dan masakkan bersama sirap maple and kordial elderflower dengan api yang sederhana. Kacau sehingga empuk.
  2. Kemudian, lenyekkan campuran itu dengan garpu untuk mencapai kelikatan yang anda inginkan.
  3. Masukkan biji chia dan masak selama 1 minit lagi.
  4. Alihkan dari dapur, dan biarkan sehingga campuran jem menjadi pekat.

Puding Biji Chia

Bahan-bahan
200ml santan
2½ sudu besar biji chia
2 sudu kecil madu
2 buah mangga (potong kiub)

*Seikat daun pandan

Cara penyediaan

  1. Gaulkan santan, madu dan biji chia di dalam mangkuk.
  2. Kacau sehingga sebati dan tambahkan daun pandan. Biarkan dalam peti sejuk buat semalaman.
  3. Asingkan daun pandan dari puding.
  4. Hidangkan dingin bersama kiub mangga.

Teh Bunga Kekwa Chia

Bahan-bahan
Beberapa kuntum bunga kekwa kering
1 sudu besar biji chia
Air (dididihkan)
Pemanis pilihan

Cara penyediaan
1. Masukkan bunga kekwa ke dalam secawan air yang telah dididih. Biarkan seketika.
2. Tambahkan biji chia dan pemanis pilihan.
3. Boleh diminum panas atau sejuk.

Resipi Ramadan ini disediakan oleh Rawsome.