Tentu anda tertanya-tanya mengapa perlu memulakan pembacaan awal kepada bayi. ‘Melentur buluh biarlah dari rebungnya’, peribahasa ini sudah cukup kuat untuk menunjukkan bahawa jika anda ingin menerap sesuatu amalan ataupun mengajar anak anda tentang sesuatu perkara, perlulah dimulakan dari awal.

INFO
Bayi yang diajar dengan teknik yang betul akan menyukai proses pembacaan dan menjadikannya amalan.

 

Apakah teknik untuk mengajar bayi membaca?

Dalam mengajar bayi membaca, anda perlu menggunakan teknik yang betul. Usah terburu-buru dengan misi untuk melihat anak anda boleh membaca di usia setahun lebih, 2 tahun atau sekitarnya. Sebaliknya, pupuk kesabaran dan keseronokan dalam ‘permainan’ tersebut.

Gunakan kad imbasan untuk mengajar si manja. Mulakan dengan perkataan-perkataan yang mudah, dengan menggunakan dua suku kata. Namun, jangan tunjukkan kad imbasan bergambar kerana nanti mata bayi lebih tertumpu kepada gambar berbanding perkataan yang ada dalam kad.

Lakukan proses pembelajaran secara kerap tetapi dalam tempoh yang pendek. Apabila fokus anak meningkat, barulah anda boleh ‘bermain’ membaca bersama anak dengan lebih lama.

Mulakan menunjukkan kuantiti kad yang sedikit, contohnya lima kad sahaja pada satu-satu masa. Jika anda lihat anak sudah dapat fokus, bolehlah tambah bilangan kad.

Usah mengharapkan hasil! Ingatlah tujuan anda mengajar anak adalah untuk keseronokan. Jangan kecewa jika anak masih belum dapat membaca sebaliknya teruskan berusaha mengajar anak tanpa jemu.