Lila seorang gadis yang ceria dan pintar. Lila suka bermain alat muzik, sejak kecil Lila suka menari dan menyanyi. Lila belajar muzik dengan ibunya iaitu Rara.
Rara seorang wanita yang sangat cantik dan mempunyai suara yang merdu. Lila mewarisi bakat daripada ibunya. Tanpa pengetahuan Lila, Rara sebenarnya mempunyai kuasa magis.
Setiap hari Lila akan belajar bermain piano. Lila sangat pandai bermain piano. Pada suatu hari, Rara menghadiahkan sebuah piano kecil berwarna biru kepada Lila. Lila berasa sangat gembira menerima hadiah daripada ibunya. Lila cuba bermain dengan piano itu. Lila terkejut apabila jarinya diletakkan pada piano tersebut, jarinya pantas bergerak melagukan muzik yang indah. “Ibu!” Jerit Lila. Rara tersenyum. “Lila ini ialah piano ajaib. Lila cuma perlu sebutkan lagu apa yang Lila mahu, piano ini pasti akan melagukan lagu-lagu tersebut.” Lila sangat teruja.
“Bulan hadapan, pihak istana akan mengadakan pertandingan untuk mencari bakat yang pandai bermain piano, Lila mahu sertainya ibu,” kata Lila. “Boleh, tapi Lila harus berlatih sendiri, Lila tidak boleh menggunakan piano ini untuk pertandingan itu,” kata Rara. Rara yakin Lila mampu berjaya.
Setelah sebulan berlalu, hari ujibakat pun tiba. Lila pergi ke istana bersama ibunya untuk mencuba nasib. Di sana Lila bertemu seorang sahabatnya, iaitu Tita. Tita juga pandai bermain piano, namun dia sentiasa mencemburui Lila. Tita mendapat tahu bahawa Lila mempunyai piano ajaib ketika mengintai Lila bermain piano di rumahnya. Tita telah merancang mencuri piano ajaib Lila.
Nasib menyebelahi Lila dan Tita. Mereka berdua terpilih untuk ke peringkat akhir pertandingan mencari bakat cilik itu. Tita mencurigai kebolehan Lila, Tita menyangka Lila menggunakan piano ajaibnya untuk menipu ketika ujibakat itu.
Selang beberapa hari, Tita mengupah sahabatnya Mika untuk mencuri piano ajaib Lila. Ketika malam menjelma, Mika telah pergi ke rumah Lila dan memukau Lila dan ibunya supaya tidur lena. Keesokan harinya Lila terkejut kerana mendapati piano ajaibnya telah hilang. Lila berasa sangat sedih. Rara cuba memujuk Lila dan memberi kata-kata semangat kepada Lila.
Pada hari pertandingan, semua peserta akhir hadir dengan pakaian yang cantik dan berwarna-warni. Tiba-tiba Lila terlihat Tita bersama-sama dengan sebuah piano kecil berwarna hitam. Tita telah menukar warna piano yang dicurinya. “Ibu, piano itu seperti piano yang ibu hadiahkan kepada saya,” kata Lila. “Ya, pasti Tita telah mencurinya,” marah Rara. Rara menggunakan kuasa magisnya untuk menukar piano hitam itu menjadi piano biasa tanpa pengetahuan Tita.
Setelah beberapa orang peserta menunjukkan bakat, kini tiba giliran Lila. Lila sangat gementar, namun Lila berjaya memainkan lagu yang sangat merdu. Persembahan Lila mendapat tepukan yang sangat gemuruh daripada para penonton. Seterusnya tiba giliran terakhir iaitu Tita. Tita melangkah ke atas pentas dengan yakin. Tita menekan satu not muzik, tetapi Tita terkejut kerana piano itu tidak mengalunkan muzik dengan sendirinya. Tita terus menekan berulang kali. Semua penonton berbisik sesama sendiri. Tita berasa cemas kerana dia tidak berlatih dan cuma mengharapkan piano ajaib itu.
Tita berasa malu dan akhirnya terus meninggalkan pentas itu. Lila berasa kasihan melihat Tita. Satu jam kemudian, keputusan pun diumumkan. Lila berjaya mendapat tempat pertama dan mendapat hadiah yang sangat lumayan daripada pihak istana. Tita yang melihat dari jauh menangis kerana menyesal akan sikap cemburunya. Oleh sebab sikap cemburunya, Tita tidak berjaya memenangi pertandingan itu.
Pengajaran : Kita haruslah menjauhi sifat cemburu dan sentiasa yakin dengan kebolehan diri masing-masing.