Bagi anda yang masih setia dengan produk pelembap, teruskan mengguna apa saja produk pelembap terkini yang anda gemari. Tetapi jangan abaikan kebaikan serum untuk kulit yang jauh lebih menawan. Ia dimulai dengan langkah mencuci muka dengan pembersih wajah, seterusnya diikuti penggunaan serum dan akhir sekali baharulah disapu pelembap.
Namun tahukah anda bahawa kedua-dua jenis bahan kecantikan ini hanya mampu bertindak dengan menampilkan kesan sapuan pada permukaan kulit semata-mata? Terdapat perbezaan dan kesan yang ketara antara serum dengan produk-produk kecantikan yang lain yang wanita tidak boleh abaikan jika anda benar-benar menitikberatkan kecantikan luaran diri anda.
Perbezaan Serum Dengan Produk Pelembap
Formulasi yang terkandung dalam produk serum adalah berbeza daripada pelembap dan krim. Kebaikan serum juga ternyata mempunyai kesan keberkesanan yang jauh lebih baik berbanding produk pelembap dan krim.
Pertama, serum mempunyai kuasa penembusan liang kulit. Produk serum disifatkan dengan kuasa penembusan yang mampu menyerap jauh menerusi liang-liang lapisan kulit. Ini kerana molekul-molekul yang menghasilkan serum jauh lebih kecil berbanding pelembap.
Kedua, serum diformulasi berasaskan bahan air. Kebanyakan produk serum adalah berasaskan gabungan molekul air dan minyak yang meninggalkan kesan kelembapan kekal pada kulit. Ia tidak menampakkan seperti kesan menyapu minyak pada kulit. Malah sifat serum juga mampu menghapuskan sama sekali kesan minyak pada kulit.
Tidak seperti kebanyakan produk pelembap dan losyen yang bahannya berasaskan petroleum dipanggil petrolatum. Bahan petrolatum ini hanya bertindak memerangkap molekul air daripada tersejat daripada kulit.
Ketiga, serum mengandungi bahan anti penuaan. Bahan anti penuaan yang terkandung dalam serum terdiri daripada bahan-bahan aktif. Vitamin C adalah contoh bahan aktif yang bertindak mencerahkan kulit wajah. Selain itu, ia mengandungi Retinol iaitu sejenis vitamin A yang mampu merawat pelbagai masalah kulit wajah seperti jerawat dan kedutan.
Wanita Paling Sesuai Memakai Serum Ketika..
Memandangkan fungsi utama serum adalah mengurangkan kedutan dan memberikan kesan kelembapan pada kulit, umur permulaan paling sesuai untuk seorang wanita memakai serum ialah ketika usianya menganjak ke 28 sehingga 30 tahun.
Pada sekitar usia tersebut, kulit wanita mula menunjukkan tanda-tanda kekeringan yang mempengaruhi perubahan besar keadaan kulit mereka. Kesan paling ketara ialah kemunculan garis-garis kedutan pada bahagian wajah terutama melibatkan bahagian mata dan dahi.
Penggunaan serum yang mengandungi bahan retinol mampu mengubah struktur kulit supaya kelihatan lebih muda dan segar. Garis-garis kedutan pada wajah dirapikan dan liang-liang pori yang terbuka dikecilkan sekaligus memperbaiki struktur kulit menjadi kelihatan lebih muda berbanding usia.
Jenis Serum Mengikut Kesesuaian Usia
Apabila usia seseorang meningkat dari 30-an ke 40-an dan seterusnya, pertukaran produk serum perlu dilakukan dari semasa ke semasa. Langkah ini memerlukan pengawasan dan nasihat daripada pakar kecantikan dan kesihatan yang mempunyai kepakaran dalam masalah berkaitan kulit dan produk kecantikan.
Terdapat dua jenis serum dengan bahan retinod yang terdapat di pasaran. Iaitu retinod dengan preskripsi dan tanpa preskripsi.
1) Serum Retinod Tanpa Preskripsi
Retinod tanpa preskripsi dipanggil sebagai retinol. Ia boleh diambil tanpa preskripsi pakar dan biasanya ia diletakkan di rak mudah capai di kedai-kedai farmasi. Mereka yang berumur 20-an dan pengguna baharu lebih sesuai mengenakan serum dengan kandungan retinol kerana kesannya tidak sekuat produk serum dengan deskripsi.
Serum jenis ini sesuai digunakan bagi mereka yang mempunyai kesan kedutan yang masih minimum pada wajah.
2) Serum Tretinoin Dengan Preskripsi
Mereka yang memasuki usia 40-an dan ke atas memerlukan kandungan serum yang lebih tinggi dan kuat bagi melawan kedutan. Bahan ini yang biasanya terkandung dalam serum anti penuaan memberikan kesan berganda berbanding serum retinol tanpa preskripsi.
Kesan produk ini lebih kuat kerana dan peraturan penggunaan perlulah mengikut saranan pakar. Antaranya tidak boleh memakai di bawah keadaan cahaya matahari. Ianya hanya sesuai dipakai pada waktu malam.
Serum Apakah Yang Sesuai Untuk Saya ?
Produk serum diformulasikan mengikut masalah kulit. Terdapat beberapa jenis serum terjual di pasaran. Sebelum memilih serum paling sesuai untuk diri, adalah penting untuk anda mengenalpasti jenis masalah kulit yang dihadapi. Dengan ini, baharulah anda dapat menentukan serum paling sesuai mengikut kesan yang diingini.
1. Serum Anti Kedutan
Serum anti kedutan membantu mengatasi tanda-tanda penuaan serta merawat garis-garis kedutan yang muncul pada wajah. Ia berupaya memperbaiki, memperbaharui serta menanggalkan sel kulit mati yang bertompok pada wajah.
Serum anti kedutan biasanya mengandungi unsur retinol yang mana penggunaanya terhad semasa malam hari sahaja. Wanita digalakkan memakai serum anti kedutan sebelum masuk tidur pada waktu malam antara 3 sehingga 4 kali seminggu.
2. Serum Rawatan Jerawat
Serum rawatan jerawat amat disarankan bagi mereka yang mengalami masalah muka breakout atau mengalami masalah jerawat yang serius. Telah banyak perkongsian dari pengguna serum di laman sosial berkaitan keberkesanan serum dalam memperbaiki muka yang rosak akibat jerawat melampau di bahagian wajah. Ia berupaya merawat kesan iritasi dan jangkitan punca merebaknya jerawat.
Untuk rawatan jerawat menerusi penggunaan serum, biasanya pengguna akan menggabungkan bersama beberapa produk farmasi seperti pencuci wajah, pelembap serta krim rawatan parut.
Antara bahan mujarab terkandung dalam serum rawatan jerawat ialah ekstrak botani seperti daun teh hijau dan timun. Selain itu terdapat juga unsur AHA (alpha-hydroxy acid), BHA (beta-hydroxy acid), asid sitrik dan zink.
3. Serum Pemutihan
Untuk mendapatkan kulit cerah berseri dan tona kulit yang sekata, penggunaan serum pemutihan dapat membantu anda mengembalikan kulit wajah yang kusam, gelap dan tidak bermaya.
Serum pemutihan biasanya mengandungi unsur anti-oksida dan vitamin C yang terkenal dengan keberkesanannya memutihkan dan mencantikkan kulit.
4. Serum Pelembap Wajah
Produk pelembap dan losyen selalunya tidak bertahan lama untuk hari yang panjang. Penggunaan serum pelembap wajah di samping produk penjagaan lainnya membantu menyokong fungsi krim pelembap lain yang anda pakai.
Tidak seperti jenis serum penjagaan lain, serum pelembap wajah mengandungi lebih ekstrak semulajadi seperti daun lidah buaya, minyak roseship, rumpai laut dan jojoba. Baca kandungan bahan-bahan ini pada botol semasa anda memilih serum pelembap wajah.
5. Serum Pengelupasan Kulit
Kulit-kulit mati perlu ditanggalkan menerusi kaedah pengelupasan yang selamat. Serum pengelupasan kulit menjadikan wajah kelihatan lebih cerah dan bersih kesan daripada penyingkiran sel-sel kulit mati yang digantikan dengan lapisan sel-sel kulit baharu.
Bahan utama terkandung dalam serum pengelupasan kulit ialah asid alpha hydroxy seperti asid laktik, retinol, asid sitrik dan enzim yang diekstrak daripada buah-buahan dan tumbuh-tumbuhan.
6. Serum Pembaikan & Pembaharuan Kulit
Perubahan-perubahan pada kulit wajah yang disebabkan unsur-unsur luar seperti sinaran UV dan pendedahan kepada pancaran matahari yang melampau menjadi punca kerosakan kulit. Kulit wajah menjadi kasar, dipenuhi tompok-tompok hitam, jerawat halus, pori wajah yang jelas kelihatan serta masalah lain menjadi penyebab kulit menjadi kusam.
Serum pembaikan dan pembaharuan kulit membantu anda mengembalikan semula keadaan kulit sebenar yang anda inginkan.
Pilihan Editor :