“Eh eh cantiknya baju anak dia. Nak jugalah beli macam tu. Mana nak dapat ya? I DM lah dia sekejap, kot ke dia boleh reply I.”
***Gambar ehsan Google***
Message begini di Instagram setiap ‘mom influencer’ sentiasa membanjiri inbox mereka oleh kerana mereka memberi inspirasi kepada ramai ibu-ibu moden di luar sana. Namun apakah sebabnya mereka menjadi ‘mom influencer’ sehingga meraih perhatian dan menjadi ikutan sebegini rupa dan siapakah mereka? Jom 100comments mahu kenalkan mereka :
1. Hanis Zalikha
‘I want to be the best mom!’, kata Hanis dalam sedutan temuramah Nona TV3. Hanis Zalikha, seorang ibu kepada dua orang anak yang comel serta usahawan millennial yang dikenali ramai. Dengan pengikut di Instagram seramai 6 juta pada ketika ini, ramai wanita menjadikan Hanis sebagai inspirasi untuk berjaya dalam perniagaan dan juga pengurusan keluarga terutamanya dalam hal-ehwal penjagaan anak-anak. Kedua-dua anak kecilnya, Yusuf Iskandar dan Alisa Aisyah meraih perhatian kerana kecomelan dan kebijaksanaan masing-masing sehingga mempunyai pengikut Instagram yang juga mencapai 2-3 juta orang, mengikut jejak langkah ibu mereka. Hanis, bermula dengan langkahnya sebagai seorang blogger dan pengacara, sebaik saja melangkah ke dunia perkahwinan bersama suaminya, Hairul Azreen, Hanis banyak memuatnaik video dan gambar-gambar yang menunjukkan kegembiraannya sebagai seorang isteri dan setelah menjadi seorang ibu, cara didikannya bersama suami terhadap anak-anak, menjadi ikutan ramai disebabkan oleh pendekatan moden yang lebih berkesan terhadap anak-anak kecil generasi baharu. Disebabkan sejak dari dahulu wujudnya reviu jujur beserta cadangan dan pengesyoran Hanis dari zaman ‘blogging’nya mendapat kepercayaan dan sambutan positif dari para pembaca, peminat dan pengikutnya, maka sehingga ke hari ini ianya masih menjadi ikutan dan memberi pengaruh yang kuat terutamanya dari segi pengesyoran lokasi, produk, dan cara-cara untuk mempraktikkan keibubapaan dan penjagaan anak-anak yang positif. Boleh juga mencari tips-tips dari Hanis di Instagram dengan pencarian hashtag #TipsMommyNis.
2. Vivy Yusof
Merupakan ikon usahawan wanita yang mengemudi FashionValet dan dUck Group, nama Vivy Yusof bukanlah satu nama asing dalam industri fesyen dan kosmetik. Bersatu hati dan bergabung minat bersama suaminya, Fadza Anuar, kedua-duanya meraih gelaran Dato dan Datin pada usia muda oleh kerana reputasi keusahawanan mereka dalam dunia perniagaan. Namun sejajar dengan kejayaan mereka ini, Vivy juga dikagumi oleh pengikutnya oleh kerana caranya yang unik dan tersendiri dalam mendidik anak-anaknya, Daniel, Mariam dan Sarah. Baru sahaja melahirkan anak ketiganya, Sarah, Vivy menjadi contoh dan inspirasi di mana ia menunjukkan bahawa seorang wanita moden yang sibuk dan bekerjaya mampu mempunyai masa untuk membina, menjaga dan menbimbing keluarga. Disebabkan pengaruh dan caranya menjadi ikutan, boleh dilihat di Instagramnya bersama pengikut berjumlah hampir 2 juta, segala apa yang dimuatnaik berkaitan dengan dirinya atau anak-anaknya, akan menjadi satu trend dan ikutan serta mempunyai ‘engagement’ yang tinggi, khususnya daripada golongan wanita bekerjaya dan berkeluarga. Vivy juga sangat aktif di saluran YouTube bersama 240 ribu pengikut yang sentiasa menantikan video terbaru dari Vivy untuk tontonan dan rujukan mereka. Boleh dikatakan segala tulisan, gambar dan video yang dimuatnaik oleh Vivy memberikan impak yang besar samada akan disukai pengikutnya atau akan diberi komen pedas oleh ‘haters’nya. Namun sikapnya yang relaks, cool dan memfokuskan pada bisnes, keluarga dan anak-anak serta nilai positif membuatkan pengikutnya terus meminati Vivy sehingga ke hari ini.
3. Bella Astillah
Bermula dengan perjalanannya sebagai isteri kepada penyanyi terkenal Singapura, Aliff Aziz, Bella Astillah mula dikenali dengan personalitinya yang comel dan lembut, menempuhi pelbagai cabaran sehingga diangkat sebagai ikon ‘strong woman’ dan mula mengumpul ramai pengikut di laman Instagramnya sehingga kini sudah mencapai 2.3 juta pengikut. Tidak menghiraukan kontroversi yang melanda hidupnya, Bella meneruskan kehidupannya sebagai seorang isteri dan ibu kepada anak lelakinya Ayden. Dan setelah dirujuk semula, Bella meneruskan kehidupan rumahtangganya bersama Aliff Aziz dan menimang cahaya mata kedua yang comel bernama Ara. Dilihat kini Bella kelihatan lebih bahagia. Bella kini sudah menempa nama menjadi wanita berpengaruh di Instagram, dengan kebanyakan pengikut yang terdiri daripada wanita-wanita generasi baharu yang juga mencari ilham dan inspirasi dalam menghadapi cabaran hidup terutamanya golongan ibu-ibu muda. Meminati bidang nyanyian dan lakonan, kandungan video dan gambar Bella di Instagram serta kemunculannya di majalah-majalah tempatan bersama kisahnya sahaja tidak pernah henti memberi inspirasi kepada semua wanita. Ditambah pula dengan aktiviti hariannya bersama anak-anak dan suaminya yang menjadi tatapan di media sosialnya, Bella dilihat memberi impak dan pengaruh yang besar dalam hidup wanita muda dan moden hari ini untuk terus berfikiran dan bersikap positif demi mengejar kebahagiaan dan cita-cita, tanpa mengabaikan perhatian, kepentingan dan penjagaan rapi anak-anak.
4. Dr Halina Yunos
Datin Dr Halina Yunos adalah seorang pakar anestesia dan ibu kepada 6 orang anak serta isteri kepada angkasawan terkenal Malaysia, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor yang juga merupakan penulis buku ‘My Way of Parenting’. Bermula dengan reputasinya sebagai isteri Dr Sheikh Muszafar, kini Dr Halina dikenali dengan lebih meluas di Instagram bersama pengikutnya yang mencapai 800 ribu kerana miliki 2 pasang anak kembar dan banyak berkongsi tentang pendekatannya yang tersendiri untuk proses keibubapaan terutamanya cara penjagaan pasangan anak kembar. Setelah dikurniakan sepasang anak kembar lelaki yang sudah berumur 4 tahun dan tahun lepas dikurniakan pasangan anak kembar kedua. Dr Halina juga mempunyai 2 orang anak perempuan berumur 9 dan 7 tahun. Hampir 80% kandungan yang dimuatnaik di media sosial dan setiap topik tulisan media memfokuskan kepada cara Dr Halina dan suaminya mendidik anak-anak mereka. Disebabkan ini, ramai ibubapa muda yang mengkaguminya dan mula terikut-ikut akan caranya. Dengan pendekatan yang unik dan kepercayaan yang tersendiri di atas setiap teknik ‘parenting’ mereka, jawatan Dr Halina dan suaminya sebagai doktor dan pakar membuatkan pengikut mereka ini lebih yakin dengan segala cadangan dan pengesyoran yang dipaparkan di laman media sosial mereka.
5. Scha Al-Yahya
Dikenali sebagai pelakon, model dan pengacara terkenal pada mulanya, Scha Alyahya semakin dikagumi oleh golongan ibu moden yang sukakan gaya ringkas dan minimalis dalam berfesyen dan cara mendidik anak. Tanpa mengabaikan penampilan dan kerjayanya, Scha berjaya menjadi contoh dan panduan ibu-ibu generasi baharu untuk mendidik anak. Bersama-sama suaminya, Awal Ashaari, Scha selesa mendedahkan anak mereka, Lara Alanaa kepada masyarakat sebagai ikon kanak-kanak pintar yang pada ketika ini, sudah mempunyai pengikut Instagram seramai 4.1 juta beserta siri TVnya tersendiri yang diberi tajuk ‘Lara Oh Lara’. Mana tidak tumpah kuahnya kalau tidak ke nasi? Lara cenderung mengikut langkah menjadi bintang seperti ibu dan ayahnya pada usia muda. Terbaru, Scha dan Awal baru sahaja menimang cahaya mata baharu yang comel bernama Lyla Aminaa yang dijangkakan bakal menjadi perhatian seperti Lara juga. Ramai pengikut dan peminat Scha tidak sabar untuk melihat gelagat si comel ini bersama anak sulungnya Lara dan menanti apakah langkah seterusnya untuk Scha mendidik anak-anaknya ini. Personaliti Scha yang sebagai wanita yang lasak tapi masih mengekalkan nilai kewanitaan dan keibuan adalah sesuatu yang menarik perhatian ramai ibu-ibu moden yang juga berpersonaliti seperti Scha. Siapa kata ibu-ibu tidak boleh lasak dan berfesyen sambil mendidik anak dengan betul? Jika Scha boleh, anda juga boleh! Dengan siri tersendiri di Astro Ria menunjukkan gaya ‘parenting’nya bersama suami bertajuk ‘Schawal Baby Boom 2021’, keletah anak-anak bersama Scha dan suami tidak pernah mengecewakan peminat yang sentiasa menantikan kandungan TV yang berkaitan dengan proses keibubapaan selebriti. Sehingga ke hari ini, kisah Scha sekeluarga sentiasa menjadi perhatian media dan pengikut mereka sekeluarga sebagai contoh ‘happy family’ di samping menyaksikan proses pendekatan didikan anak-anak cara moden yang terbaik.
Sebenarnya ramai lagi ‘mom influencer‘ yang kami senaraikan. Pada masa akan datang kami akan kongsi lagi ramai ibu-ibu moden berpengaruh yang memberi inspirasi kepada kita.
Teruskan membaca dan kami harap anda juga mendapat inspirasi daripada mereka untuk membantu anda mendapatkan idea dalam proses mendidik anak-anak anda supaya menjadi anak yang soleh dan cemerlang, hanya di 100comments.com 😉