Malaysia tidak boleh lari daripada mengalami musim tengkujuh terutama apabila tiba bulan Oktober, November dan Disember setiap tahun. Walaupun kehadiran musim hujan dianggap satu rahmat mengurangkan kepanasan udara namun kita juga perlu berjaga-jaga dengan tahap kesihatan yang menjadi tidak menentu. Demam, selesema, batuk, kesejukan dan lebih teruk lagi jika berlaku penyakit berjangkit seperti malaria akan menjadi satu kebimbangan pada ahli keluarga.
Bagi orang dewasa mungkin perkara ini tidak begitu merisaukan kerana mereka memiliki sistem kekebalan imunisasi yang kuat untuk melawan penyakit. Namun anda perlu berjaga-jaga jikasi kecil anda terdedah kepada hujan.
Kaitan Hujan & Sistem Imunisasi Kanak-Kanak
Sistem imunisasi kanak-kanak tidak seperti orang dewasa di mana ia masih berada dalam peringkat perkembangan. Perkembangan ini masih terdedah terhadap pelbagai kelemahan berpunca dari faktor luaran seperti pemakanan yang tidak sihat dan kurang mengambil makanan yang mengandungi sumber vitamin seperti sayur dan buah-buahan. Disebabkan itu, sistem imunisasi badan mereka menjadi lemah.
Apabila terdedah kepada hujan, suhu badan mereka akan turun. Ini menjadi salah satu punca sistem imunisasi mereka semakin lemah menyebabkan mereka mudah terkena penyakit seperti demam dan selesema.
Kanak-Kanak Mudah Terjangkit Semasa Musim Hujan
Apabila berada di sekolah mungkin ada di antara rakan-rakan mereka yang telah jatuh sakit akibat daripada hujan. Penyakit demam dan selesema yang tersebar semasa musim hujan berkemungkinan besar berpunca daripada kanak-kanak demam yang tidak dikuarantin di rumah oleh ibu bapa menyebabkan virus mudah disebarkan melalui udara. Virus selesema ini mungkin terjangkit kepada anak anda daripada rakan mereka yang bersin dan demam di sekolah menyebabkan mereka turut jatuh sakit.
Tips Elak Anak Jatuh Sakit Semasa Musim Hujan
Adakalanya mungkin sukar untuk mengelakkan anak anda dari terkena hujan. Tambahan lagi kanak-kanak sememangnya gemar bermain air dan bermain hujan adalah satu pengalaman indah yang mesti dilalui setiap kanak-kanak. Ianya seperti pengalaman anda semasa masih berada di alam kanak-kanak.
Apa yang anda perlu ambil berat adalah mengambil langkah-langkah pencegahan awal selain daripada melarang mereka bermain hujan terlalu kerap. Langkah pencegahan awal ini boleh mengembalikan keadaan suhu badan mereka kembali normal serta terlindung dari jangkitan penyakit yang tidak diingini.
1) Keringkan Anak Secepat Mungkin
Sediakan tuala yang bersih sama ada di dalam kereta dan tentunya di rumah. Air hujan yang tidak dikeringkan dengan kadar yang cepat akan menyebabkan mereka dalam kesejukan. Ini akan menurunkan suhu badan dan melemahkan sistem pertahanan badan.
Gejala hipotermia akan muncul seperti menggigil, lelah, lapar, pucat dan sebagainya membawa kepada jatuh sakit. Tambahan lagi pada usia yang masih kecil kemampuan badan mereka masih lemah untuk mengendalikan dan menyeimbangkan semula suhu badan.
Untuk itu, bagi mengelakkan mereka kesejukan sediakan tuala pengering dan baju sejuk ketika di rumah dan dalam kereta supaya badan mereka dapat dikeringkan dengan kadar segera.
2) Sediakan Baju Tambahan Yang Kering
Tukar baju basah yang terkena hujan dengan segera kepada pakaian kering. Anda boleh menyediakan sehelai pakaian kering dalam beg sekolah mereka, dalam kereta anda ketika mengambil mereka dari sekolah atau ketika melakukan aktiviti luar semasa musim tengkujuh. Baju kering boleh mengelakkan badan mereka menggigil selepas terkena hujan.
3) Elakkan Pendingin Udara
Semasa hujan cuaca semulajadi akan menjadi lebih dingin. Anak anda tidak lagi memerlukan pendingin hawa untuk merasa selesa. Elakkan pendingin hawa selepas terkena hujan. Semasa tidur di rumah dalam keadaan cuaca yang sedang hujan pula pastikan anda mematikan pendingin udara bilik tidur anak anda ditutup supaya mereka boleh tidur dengan lebih selesa.
4) Jarakkan Mereka Dari Orang Sakit
Sentiasa tanya anak anda jika ada di antara rakan-rakan mereka yang tidak sihat. Anda juga boleh mengambil langkah dengan melakukan pemerhatian jika terdapat rakan-rakan di sekolah atau jiran yang sedang sakit. Nasihati anak anda supaya sentiasa berwaspada ketika rakan-rakan mereka sedang mengalami demam, batuk dan selesema. Penyakit ini begitu mudah tersebar semasa musim hujan melalui penyebaran virus yang berlaku melalui cecair bersih dan batuk kahak.
5) Sediakan Penutup Hidung Atau Sapu Tangan
Langkah terbaik mencegah penyebaran penyakit demam, batuk dan selesema semasa musim hujan ialah dengan mengamalkan pemakaian penutup hidung. Paling tidak menyediakan sapu tangan yang bersih sebagai persediaan. Jika anda mendapati ada di antara rakan-rakan anak anda yang tidak sihat, nasihatkan anak anda untuk sentiasa memakai penutup hidung ketika berhadapan dengan rakan yang sakit. Jika mereka tidak selesa dengan penutup hidup, sapu tangan juga sudah memadai.
6) Sentiasa Cuci Tangan Dengan Bersih
Semasa musim hujan virus boleh berkembang di mana-mana disebabkan faktor kelembapan yang tinggi. Nasihati anak anda supaya sentiasa mencuci tangan dengan sabun setiap kali sebelum menyentuh makanan. Anda juga boleh membekalkan si kecil dengan sebotol gel hand-sanitizer yang sangat berkesan membunuh sehingga 99.9% kuman punca penyakit.
7) Kuarantin Anak Di Dalam Rumah
Seelok-eloknya elakkan daripada melakukan aktiviti di luar rumah semasa musim hujan. Dalam keadaan waktu hujan yang turun tidak menentu tanpa mengira waktu, pemantauan terhadap aktiviti luar mereka perlu lebih kerap dijalankan. Jangan biarkan mereka bermain dalam hujan terlalu kerap tanpa sebarang pemantauan. Tambahan lagi dalam keadaan hujan dan ribut petir risiko panahan petir boleh berlaku kepada sesiapa sahaja terutama kanak-kanak yang bermain di padang semasa hujan lebat.
8) Mandi Setiap Kali Selepas Terkena Hujan
Segera mandi selepas setiap kali badan mereka basah akibat terkena hujan. Mandi dengan air suam akan membuatkan mereka rasa lebih selesa dan menstabilkan semula suhu badan yang turun akibat terkena hujan. Ia juga dapat mencegah kanak-kanak daripada sakit kepala dan selesema. Selepas mandi biarkan mereka tidur dan berehat dengan selimut yang tebal dan selesa untuk memelihara suhu badan mereka.
9) Sapu Krim Penghalau Serangga
Kadar pembiakan nyamuk pembawa penyakit seperti denggi, malaria dan zika boleh meningkat semasa semasa musim hujan. Nyamuk paling banyak didapati pada waktu senja. Larang anak anda daripada berada di luar pada waktu petang sehingga menjelang senja kerana nyamuk akan berkeliaran paling banyak pada waktu ini.
Rumah kayu juga sering mengundang banyak kehadiran nyamuk ketika ingin tidur pada waktu malam. Gunakan kelambu untuk melindungi tempat tidur anak anda dari gigitan nyamuk. Jika tiada anda juga boleh menyapu krim penghalau serangga yang sangat efektif mencegah kehadiran serangga seperti nyamuk. Sapu setiap kali ingin masuk tidur.
Pastikan tingkap rumah dan bilik ditutup sebelum masuk waktu senja bagi mengelakkan nyamuk masuk ke dalam rumah.
10. Minum Air Secukupnya
Galakkan anak anda untuk minum air putih secukupnya semasa berada di rumah, di sekolah atau di mana-mana sahaja. Minuman herba seperti air lemon suam juga sangat baik untuk diminum semasa dalam keadaan suhu yang sejuk selepas terkena hujan. Air suam campuran lemon ini akan memberikan rasa keselesaan pada tekak mereka akibat kesejukan yang dirasai semasa hari hujan.