Ramai dari kalangan lelaki yang masih belum mampu memahami sepenuhnya peranan suami dalam proses penyusuan bayi. Secara hakiki, tugas menyusukan bayi sememangnya terletak di bahu seorang isteri. Suami tentulah tidak mampu menggantikan tugas isteri menyusukan bayi. Namun dalam mengharungi bahtera rumahtangga, tanggungjawab menyusukan bayi bukan lagi dinilai sebagai tugas individu. Peranan seorang suami sepanjang proses penyusuan bayi boleh dilakukan dalam pelbagai cara dan kaedah. Isteri anda tentunya akan berterima kasih sekiranya suami sentiasa berusaha melayani kehendak dan pertolongan yang diperlukan isteri sepanjang tempoh penyusuan bayi.

Hadiri Kelas Keibubapaan & Penyusuan

Di Malaysia kini semakin banyak kewujudan kelas-kelas keibubapaan yang disediakan terutama bagi pasangan  yang bakal memiliki anak pertama. Kelas keibu bapaan bukan sahaja mengajar perkara asas dan mendalam tentang bagaimana menjadi seorang ibu dan bapa, malah pasangan juga didedahkan tentang ilmu-ilmu berkaitan penyusuan bayi.

Wujudkan Suasana Positif & Motivasi

Kestabilan emosi ibu sangat mempengaruhi kuantiti dan kualiti susu yang dihasilkan. Ibu yang menyusukan bayi memerlukan suasana persekitaran yang positif untuk kestabilan minda dan emosi diri mereka dan bayi. Positif di sini bermaksud memberikan kata-kata semangat yang dapat memotivasikan isteri terutamanya yang baharu sahaja menjadi ibu.

Senangi hati isteri dengan kerap mengucapkan kata-kata penghargaan seperti ucapan terima kasih di atas pengorbanan melahirkan keturunan dalam keluarga mereka. Perkataan yang diselangi dengan ucapan kasih sayang mampu menghangatkan perasaan isteri walaupun dalam kepenatan. Kata-kata sebegini membuatkan isteri rasa lebih dihargai.

Penyusuan bayi adalah satu proses memenatkan yang menyebabkan si ibu mengalami rasa tidak selesa berpanjangan. Wujudkan suasana aman tanpa pergaduhan antara suami dan isteri.

Disamping memotivasikan isteri dengan kata-kata semangat, suami juga perlu lebih banyak bersabar dalam melayani karenah isteri dan bayi sepanjang proses penyusuan. Elakkan daripada menyinggung perasaan isteri terutama berkaitan tentang penyusuan.

Persekitaran Penyusuan Yang Selesa

Suami juga perlu berusaha menyediakan keadaan persekitaran penyusuan yang selesa untuk isteri dan bayi. Contohnya menyediakan bilik penyusuan khas lengkap dengan penghawa dingin atau paling tidak kipas yang berfungsi dengan baik. Tempat pembaringan ibu dan bayi juga perlu dipastikan selesa dan bersih.

Dari segi peralatan penyusuan juga perlu dipastikan lengkap. Segala peralatan penyusuan seperti alat pengepam susu, botol susu, alat pembersihan susu dan sebagainya perlulah disediakan sebelum kelahiran bayi lagi.

Memahami Keadaan Fizikal Ibu Selepas Melahirkan

Suami pastinya tertanya-tanya bilakah waktu paling sesuai menjalinkan semula perhubungan seks dengan isteri selepas kelahiran bayi.

Selepas kelahiran ibu akan mengalami kesakitan pada bahagian pelvis dan pendarahan selama beberapa minggu. Dalam tempoh ini, adalah lebih baik bagi mengelakkan sebarang hubungan seks dengan isteri. Keadaan fizikal isteri pada ketika ini sangat mempengaruhi hormon dalaman mereka lebih-lebih lagi apabila perlu menyusukan bayi. Komplikasi selepas kelahiran mungkin sahaja berlaku yang boleh membahayakan isteri.

Biasanya tempoh menjalinkan semula perhubungan seks yang selesa bagi seorang isteri selepas melahirkan adalah pada minggu keenam.

Menolong Dalam Kerja Rumah

Isteri yang menyusu tidak memiliki banyak masa untuk memastikan keadaan rumahtangga sentiasa terjaga. Seorang bayi yang baharu lahir biasanya akan menyusu antara 8 sehingga 12 kali sehari dan setiap sesi memakan masa antara 15 ke 20 minit.

Walaupun suami masih sibuk dengan tugas mencari rezeki, namun ada sela-sela masa yang boleh dipenuhi dengan menolong melengkapkan kerja-kerja rumah. Contohnya memasak hidangan makan malam untuk isteri, vakum lantai supaya tidak berdebu atau melipat dan membasuh pakaian. Semua ini adalah kerja asas dalam rumahtangga.

Suami yang memiliki kemampuan dari segi kewangan disarankan untuk mengupah orang gaji untuk menguruskan kerja-kerja rumah. Isteri boleh menumpukan sepenuh masa menyusu dan menjaga bayi mereka. Sementara kerja rumah diuruskan oleh orang gaji.

Biarkan Isteri Makan Dengan Selesa

Disamping menyusukan bayi supaya kenyang, ibu juga perlu makan untuk bekalan tenaga dan susu dalam badan. Suami boleh membantu mendukung bayi di saat isteri ingin makan. Beri masa kepada isteri secukupnya untuk makan dengan selesa tanpa perlu tergesa-gesa.

Berilah Masa Isteri Untuk Tidur Seketika

Sepanjang tempoh penyusuan bayi memang agak sukar bagi seorang isteri mendapatkan tidur yang secukupnya. Suami seharusnya menyedari bahawa hal ini biasa dialami oleh ibu-ibu yang baru melahirkan bayi. Ini terjadi kerana ibu kerap menyusukan bayi di saat mereka terjaga di waktu malam. Ini menyebabkan tidur ibu seringkali terganggu yang memberikan efek kepada kecergasan mereka pada siang harinya.

Bantu isteri mendapatkan tidur secukupnya. Contohnya mengambil alih tugas menjaga dan menidurkan bayi dengan membiarkan isteri masuk tidur malam lebih awal. Cara ini sangat membantu seandainya bayi terjaga di waktu tengah malam untuk minum susu.

Urut Badan Isteri

Isteri tidak dapat lari dari kepenatan menguruskan bayi yang menyusu. Sepanjang menyusu, keadaan postur badan ibu boleh menjadi tidak selesa seperti membongkok dan kebas sebelah badan kerana terpaksa menyusukan sebelah badan untuk tempoh yang lama.

Suami boleh menawarkan khidmat urutan dari tangan mereka sendiri. Urutan tangan seorang suami tentunya mampu melegakan kesakitan otot dan urat yang dialami isteri semasa menyusu.

Menjalinkan Kemesraan Dengan Bayi

Salah satu sebab kenapa suami perlu memainkan peranan sepanjang proses penyusuan bayi adalah untuk membina jalinan kasih sayang antara bapa dan anak sejak kelahiran. Walaupun kebanyakan masa bayi lebih banyak bersama ibu, bapa perlulah bijak menyeimbangkan masa supaya bayi tidak hanya merasai belaian ibu, malah turut menikmati belaian bapanya.

Antara keadah menjalinkan kemesraan bapa dan bayi adalah :

  • Membiarkan bayi tidur di atas dada mereka saat tidak menyusu. Bayi tidak hanya terbiasa dengan dakapan seorang ibu. Malah mereka juga dibiasakan dengan pelukan hangat seorang ayah. Semasa ini, ibu boleh merehatkan diri setelah penat dengan tugasan menyusukan anak.
  • Sekali sekala bapa boleh mengambil alih tugas memandikan bayi. Memandikan bayi selepas menyusu dan sebelum tidur adalah salah satu cara menenangkan bayi anda.
  • Susukan bayi dengan susu botol. Susu ibu yang telah siap dipam boleh disimpan dalam botol untuk memudahkan bapa mengambil alih tugas menyusukan bayi.
  • Tidurkan bayi dengan nyanyian. Bukan hanya suara ibu yang sedap didengar saat menidurkan bayi. Malah suara bapa juga tidak kurang hebatnya.

Jangan Cerewet

Sepanjang proses penyusuan bayi, suami mungkin akan mendapat kurang layanan dari segi nafkah zahir dan batin. Isteri mungkin tidak mampu melayan suami di katil berbanding kekerapan biasa. Masakan isteri juga mungkin ada yang terkurang atau tidak sempurna kesedapannya. Kerja-kerja rumahtangga juga mungkin banyak yang akan tergendala kerana melayan karenah bayi menyusu yang tidak menentu.

Isu masakan sahaja mungkin boleh menyebabkan pergaduhan sedangkan suami sepatutnya memahami keadaan isteri sepanjang proses penyusuan. Seharusnya, suami lebih banyak beralah dan terima seadanya apa yang mampu disediakan isteri sepanjang penyusuan bayi.

Persiapan Penyusuan Ibu Bekerjaya