Membeli set lengkap peralatan sistem teater boleh menelan kos sehingga berpuluh ribu. Tidak semua orang memiliki wang sebanyak ini untuk mendapatkan set lengkap sistem teater rumah. Namun tahukah anda bahawa kos ini sebenarnya mampu dijimatkan melalui pembinaan sistem teater rumah secara do-it-yourself atau DIY ?
Disebabkan kos membeli kelengkapan sistem teater rumah yang terlalu tinggi, ramai yang mengambil inisiatf membina sendiri secara DIY. Sistem teater rumah yang dibina sendiri secara DIY mampu menjimatkan wang beberapa ribu. Lebih mudah lagi, anda boleh membinanya secara berperingkat tertakluk pada bajet yang ada.
Membina sistem teater rumah secara DIY juga boleh membawa kepada kesilapan dari segi pengurusan kos. Harga keseluruhan yang sepatutnya lebih rendah boleh meningkat secara mendadak apabila anda tidak tahu membezakan barangan yang perlu dan tidak perlu ada dalam sistem teater rumah yang lengkap.
Dalam artikel ini, kami ingin berkongsi panduan membina sistem teater rumah dengan kos rendah bermula dari asas sehinggalah dari segi pemilihan peralatan yang perlu untuk mewujudkan sistem teater rumah yang anda inginkan.
DIY Sistem Teater Rumah # 1 : Beli Peralatan Secara Berperingkat
Sebelum memulakan langkah pertama membina sendiri sistem teater rumah secara DIY, ini perkara penting pertama anda perlu tahu. Elakkan daripada membeli kesemua senarai peralatan secara serentak. Tambahan lagi, kebanyakan peralatan elektrik masa kini berteraskan perkembangan semasa. Setiap hari ada sahaja syarikat teknologi elektrik yang menawarkan produk baru kelengkapan sistem teater rumah seperti televisyen dan pembesar suara. Seboleh-bolehnya anda pasti tidak mahu melakukan sebarang penambahbaikan atau upgrade peralatan dibeli dalam jangka masa terlalu pendek.
Dahulukan barangan yang tidak melibatkan komponen utama. Antaranya pemilihan tempat duduk untuk anda menonton, sistem pencahayaan dalam bilik dan pemasangan sistem kalis bunyi untuk dinding bilik tontonan.
Untuk peralatan utama, senaraikan maklumat penting dari segi harga dan tempoh jaminan bagi peralatan yang akan dibeli. Pembelian secara berperingkat membantu anda mendapatkan barangan yang lebih up-to-date atau terkini mengikut teknologi semasa.
DIY Sistem Teater Rumah # 2 : Pemilihan Bilik Teater
Anda memerlukan sebuah bilik tayangan khas untuk dijadikan sebuah bilik tontonan peribadi untuk keluarga anda. Saiz bilik bergantung kepada jenis rumah yang anda miliki. Rumah besar seperti banglo pastinya mempunyai banyak bilik bersaiz besar. Namun jika rumah anda bersaiz sederhana dengan bilangan bilik yang terhad, ia bukan satu masalah yang besar. Di sinilah terletaknya kebijaksanaan anda untuk mereka bentuk bilik teater yang diinginkan. Anda juga perlu menentukan jarak bilik teater dengan bilik lainnya untuk mengelakkan gangguan kepada individu lain yang tinggal di dalam bilik masing-masing.
DIY Sistem Teater Rumah # 3 : Bilik Penebat & Penyerap Bunyi
Untuk pengalaman lebih hebat, langkah seterusnya ialah mengubah bilik tersebut menjadi bilik kalis dan penyerap bunyi. Bilik anda perlu ditukarkan seperti bilik wayang yang pernah anda masuki di mana ia kalis bunyi dari gangguan luar dan bunyi sistem pembesar suara dari dalam bilik tayangan juga tidak menyebabkan gangguan kepada persekitaran rumah dan jiran-jiran anda. Bilik tayangan teater juga seharusnya tidak menghasilkan gema kerana ia akan mengganggu suara dari video yang ditayangkan.
Untuk menghasilkan sendiri bilik kalis bunyi agak sukar bagi mereka yang tidak mempunyai kemahiran dalam bidang ini. Bilik perlu dipasangkan rangka-rangka untuk menempatkan drywall untuk mengurangkan pengalihan atau penyerapan suara ke dinding bilik yang boleh menghasilkan bunyi bising di sekeliling rumah.
Untuk langkah ini, anda mungkin boleh mengupah individu yang berkemahiran mengubahsuai bilik kalis bunyi. Terdapat juga banyak tutorial di internet peralatan dan langkah-langkah untuk menghasilkan bilik kalis bunyi. Salah satu rujukannya boleh dibaca di sini.
DIY Sistem Teater Rumah # 4 : Pembesar Suara (Speaker)
Pemilihan pembesar suara tidak boleh dipilih berdasarkan prinsip ‘lebih besar, lebih bagus bunyi terhasil’. Pengalaman bunyi video yang menarik dalam bilik teater anda bergantung kepada pemilihan pembesar suara, susun atur dan pemasangan pembesar suara di sekitar bilik. Sebelum membeli sebarang jenis pembesar suara, kenal pasti kedudukan dan jumlah pembesar suara diperlukan serta aspek pendawaian yang akan dijalankan.
Pemilihan pembesar suara perlu sesuai mengikut keluasan bilik anda. Kebanyakan sistem teater di rumah menggunakan sistem saluran pembesar suara 7.1 dan satu sistem subwoofer. Kedudukan speaker boleh jadi berada di bahagian tengah, sisi kiri dan kanan bilik serta bahagian belakang dari kerusi tempat duduk anda.
Bagi yang mempunyai bajet speaker di bawah RM2,000 anda boleh mempertimbangkan JBL Cinema 510 5.1 Satellite Speaker System.
DIY Sistem Teater Rumah # 5 : TV atau Projektor ?
Anda sendiri menentukan sama ada berminat dengan televisyen atau tayangan menerusi skrin projektor. Sudah pasti kedua-duanya mempunyai perbezaan terutama dari segi harga, kualiti gambar, kualiti bunyi dan perkara berkaitan pemasangan.
Dari segi saiz skrin, skrin projektor menawarkan kelebihan kerana anda boleh mendapatkan saiz sebesar mana yang anda inginkan. Begitu juga dengan televisyen mutakhir ini yang menawarkan saiz sebesar 146 inci. Pemilihan ini tetap tertakluk kepada bajet. Bagi anda yang mempunyai bajet tinggi, kualiti TV 4K HDR adalah pilihan terbaik untuk anda bersaiz antara 55 sehingga 65 inci. Jika bajet terhad, anda boleh beralih ke TV LCD atau LED yang terdiri daripada pelbagai saiz. Untuk membuat perbandingan antara TV LCD dan LED, anda boleh membacanya di artikel mengenai perbandingan TV LCD vs LED.
Untuk skrin projektor, anda perlu memperuntukkan bajet untuk projektor, layar projektor berwarna putih dan langsir gelap. Terdapat projektor di pasaran yang menawarkan kualiti 4K pada harga setanding dengan sebuah televisyen 4K. Tayangan menerusi projektor selalunya melibatkan isu brightness atau kecerahan di mana ia akan menurunkan kualiti warna gambar atau video. Projektor dengan kualiti biasa adalah dalam kos yang mampu dimiliki sekitar RM200 sehingga RM1000 bergantung kepada kualiti dan jenama.
Pemasangan televisyen adalah lebih mudah dilakukan berbanding dengan projektor dan skrin. Kecuali jika anda menetapkan kedudukan televisyen ke dinding. Pemasangan akan melibatkan sedikit kerja teknikal dan pertukangan.
Pemasangan projektor dan skrin lebih merumitkan. Pertamanya berkaitan dengan skrin. Adakah anda menginginkan skrin yang ditempatkan ke dinding atau disokong oleh tiang penyokong yang dipastikan kukuh dan tidak tumbang. Semakin besar skrin anda, semakin banyak ruang diperlukan. Kedudukan projektor juga perlus di sesuaikan supaya paparan video tidak lari dan mengikut saiz sebenar skrin.
Saiz TV dan skrin projektor juga akan menjadi penentu kedudukan jarak tempat duduk untuk anda menonton. Semakin besar saiz layar atau tv, semakin jauh jarak kedudukan anda di perlukan, semakin panjang saiz ruangan diperlukan.
Bagi ruang bilik yang memiliki cahaya yang agak terang, pertimbangkan TV jenis LED atau LCD. Manakala jika ruangan anda gelap dan kurang cahaya, TV OLED pilihan terbaik untuk anda.
DIY Sistem Teater Rumah # 6 : Receiver
Receiver adalah penting dalam pembinaan sistem teater rumah. Peralatan ini juga disebut sebagai AV Receiver (Audio/Video Receiver). Tujuannya adalah untuk menerima isyarat audio dan video daripada beberapa sumber, dan memprosesnya untuk janaan bunyi sistem pembesar suara dan paparan di televisyen, monitor atau projektor video.
Kebanyakan sistem peranti rumah seperti televisyen dan komputer menggunakan penghubung sistem HDMI yang boleh disambungkan ke sistem input HDMI sebuah peralatan AV receiver. Kebanyakan AV receiver pada masa kini menggunakan input HDMI yang boleh dihubungkan dengan kebanyakan peranti moden. Lebih canggih lagi, terdapat peralatan AV receiver yang menggunakan sistem bluetooth dan wireless yang boleh dihubungkan terus ke peranti anda.
DIY Sistem Teater Rumah # 7 : Alat Sumber Video
Sumber umum video yang paling umum digunakan ialah DVD dan pemain blue-ray. Akan tetapi kedua-dua jenis sumber video ini sudah semakin ketinggalan zaman. Walaubagaimanpun, ia masih boleh dipertimbangkan jika anda masih menonton filem menerusi cakera DVD.
Seiring dengan teknologi paparan video dan rancangan televisyen yang semakin canggih hari ini, anda kini boleh beralih ke sistem penstriman video dan rancangan tv satelit yang ditawarkan oleh kebanyakan syarikat. Antara yang terkenal ialah Astro, HyppTV, Netflix dan Iflix. Menerusi penstriman video, anda boleh memainkan sebarang jenis video menerusi sambungan internet. Untuk itu, anda perlu melengkapkan sistem teater rumah dengan sambungan ke internet.
Pilihan Editor :
Harga TV Full HD bawah bajet RM2,000