“Kakak bagilah mainan tu biar adik main. Apa salahnya mengalah dengan adik kecil?”

Adakalanya keletah anak-anak yang saling bergaduh kerana merebut permainan, iri hati dan tidak puas hati di antara satu sama lain membuatkan anda pening kepala. Pergaduhan di antara adik beradik yang masih kecil sememangnya comel serta mencuit hati bagi yang melihatnya. Namun tidak bagi ibu bapa yang setiap hari perlu berperang dengan anak ramai yang saling bergaduh.

Memang sukar mengawal tindak tanduk anak-anak untuk memastikan mereka sentiasa berkelakuan baik serta bermain secara aman damai tanpa pergaduhan. Kesukaran membentuk sifat toleransi dalam jiwa mereka menjadikan agak sukar untuk mereka menundukkan kemarahan apabila berlaku perselisihan. Kanak-kanak yang masih kecil juga mempunyai ego serta kedegilan masing-masing. Justeru, bagaimanakah anda boleh mengawal atau paling tidak mengurangkan pergaduhan di antara anak-anak anda?

Ini cara yang anda boleh ambil untuk menangani anak-anak yang saling bergaduh.

1. Adil Melayani Keinginan Setiap Anak

Peringkat umur anak-anak berbeza. Sudah tentu mereka memiliki pemikiran, peraturan dan sempadan yang tersendiri yang perlu dihormati oleh setiap adik beradik. Peranan ibu bapa adalah berusaha memahami setiap sikap dan pendirian anak mereka. Berikan perhatian dan kasih sayang secara saksama untuk mengelakkan wujudnya persaingan di antara mereka untuk mendapatkan perhatian dan kasih sayang anda. Membandingkan di antara anak-anak akan melahirkan kekecewaan dalam jiwa anak-anak. Ini akan mewujudkan perasaan tidak puas hati apabila adik beradik lain lebih dipandang tinggi berbanding dirinya.

Wujudkan rasa hormati menghormati di antara anak yang lebih muda terhadap anak yang lebih tua. Sebagai contoh menghormati hak dan privasi barangan milik adik beradik yang tidak ingin dikongsi. Ibu bapa harus menerangkan kepada setiap anak mereka untuk menghormati serta tidak mengganggu hak dan privasi adik beradik mereka.

2. Tetapkan Peraturan Yang Boleh Difahami Setiap Anak

Undang-undang kecil dalam keluarga bertujuan untuk mewujudkan harmoni dalam keluarga. Ibu bapa berhak untuk membuat undang-undang kecil keluarga terutama melibatkan soal sikap, kerja rumah, hak peribadi, tanggungjawab, keselamatan dan sebagainya. Ia boleh mengawal anak-anak daripada bersikap lepas tangan serta mementingkan diri sendiri. Undang-undang kecil juga dapat mengelakkan yang tua membuli yang muda. Setiap orang memainkan peranan masing-masing seperti yang dikehendaki oleh ibu bapa. Sebagai contoh dalam hal gotong royong membersihkan rumah. Setiap anak-anak perlu dipastikan berganding bahu dan tiada yang terkecuali tanpa alasan yang munasabah.

Tampal peraturan di ruang yang boleh dibaca supaya mudah diingat dan dihafal oleh anak-anak. Anda boleh menetapkan hukuman atau denda tertentu jika undang-undang keluarga dilanggar untuk memastikan mereka berdisiplin.

Undang-undang kecil keluarga akan membuatkan setiap anak-anak merasai layanan yang adil dalam keluarga.

3. Tetapkan Rutin

Rutin adalah kaedah pengurusan untuk memastikan setiap perkara diselesaikan dan dilakukan mengikut ketetapan yang jelas serta boleh diikuti oleh setiap ahli keluarga. Contoh-contoh rutin adalah :

  • Memastikan anak-anak mengemas tempat tidur masing-masing jika berkongsi bilik.
  • Tetapkan giliran waktu mandi jika berkongsi bilik mandi setiap pagi untuk memastikan penggunaan bilik air tidak menjejaskan jadual anak-anak untuk bersiap ke sekolah.
  • Waktu makan yang tetap untuk memastikan setiap ahli keluarga berkumpul bersama keluarga.
  • Bersalam di antara adik beradik dan dengan ibu bapa sebelum ke sekolah.
  • Bangun pagi pada waktu yang sama setiap pagi
  • Waktu tidur, waktu menonton TV, giliran menonton rancangan yang digemari
  • Membasuh sendiri pinggan mangkuk selepas makan

Menetapkan rutin akan mewujudkan rasa tanggungjawab dalam diri anak-anak untuk saling menghormati dan membudayakan sikap tolak ansur sesama mereka.

4. Penghargaan Sama Rata Ke Atas Setiap Anak

Setiap anak-anak akan rasa disayangi apabila ibu bapa tahu menghargai mereka dalam setiap perkara positif yang dilakukan. Penghargaan boleh diberikan dalam pelbagai bentuk. Antaranya pujian, hadiah atau membawa mereka makan di restoran kegemaran mereka.

Sebagai contoh menghargai tugas seorang abang yang menjaga adik-adik ketika ketiadaan ibu bapa di rumah atas sesuatu urusan. Abang yang lebih tua telah memastikan setiap adik-adiknya dijaga dengan baik dengan penuh rasa tanggungjawab. Hargai tugas abang yang lebih tua ini dengan memberi penghargaan yang sewajarnya sebagai ganti terhadap usaha mereka. Hargai anak-anak yang lebih kecil kerana berkelakuan baik sepanjang di bawah penjagaan abang mereka.

Anak-anak apabila dihargai akan terbiasa untuk mengulangi melakukan perkara yang baik itu. Mungkin pada asalnya mereka melakukan kerana inginkan penghargaan. Tetapi lama kelamaan ia mampu mengubah mereka atas dasar tanggungjawab terhadap adik beradik.

5. Tunjukkan Contoh Yang Baik Kepada Anak-Anak

Penglibatan ibu bapa dalam aktiviti anak-anak menjadi salah satu cara bagaimana anda menunjukkan role model atau contoh yang baik kepada anak-anak. Sebagai contoh anda boleh melibatkan diri ketika melihat anak-anak bermain sesama mereka. Tunjukkan minat anda terhadap sesuatu yang mereka sedang lakukan bersama-sama. Penglibatan anda merupakan salah satu cara bagaimana anda boleh mengawal situasi dan kelakuan anak pada masa yang tepat dan menggembirakan, tidak terlalu stres.

Sebagai ibu bapa anda tidak boleh mengarahkan anak bongsu melipat pakaian yang berlonggok sedangkan anak sulung bersenang lenang dengan permainan PS4. Apa yang anda boleh lakukan adalah melipat pakaian terlebih dahulu dan dalam masa yang sama mengajak setiap anak melakukannya bersama-sama tanpa terkecuali.

Memberi arahan membuat sesuatu secara khusus kepada anak tertentu akan melahirkan rasa tidak puas hati dalam diri anak-anak. Mereka akan merasai ibu bapa mereka tidak adil dalam melayani anak-anak.

6. Latih Anak Mengawal Emosi & Situasi

Perhubungan adik beradik melibatkan pelbagai jenis perasaan yang bercampur-baur. Adakalanya akan wujud krisis sesama mereka berpunca daripada perkara yang tidak disangka-sangka yang membuatkan keadaan menjadi tegang. Anak-anak perlu sentiasa diingatkan supaya berusaha untuk mengelakkan pergaduhan sesama mereka. Namun, pergaduhan sesama adik beradik sukar dielakkan dalam mana-mana keluarga sekalipun mereka mereka masih kecil.

Ajarkan beberapa teknik mengawal perasaan dan situasi dalam diri anak-anak jika berlaku pergaduhan. Antaranya mengasingkan diri di dalam bilik ketika bergaduh. Mengasingkan diri seketika adalah salah satu cara untuk mereka mengawal kembali emosi yang sedang kecewa dan marah. Ia juga salah satu cara supaya mereka dapat menyemak semula kesalahan yang mungkin dilakukan tanpa disedari.

Teknik kedua adalah mengambil pernafasan dalam dan menghembusnya secara perlahan-lahan dengan tenang. Mengambil nafas dalam situasi pergaduhan yang sedang tegang akan menyeimbangkan semula pengaliran oksigen ke seluruh badan. Otak dan hati akan kembali tenang dengan cepat apabila pernafasan dapat dikawal semula dengan cepat.

7. Berkongsi Adalah Salah Satu Jalan Kasih Sayang

Anak-anak perlu dididik dari kecil supaya tidak lokek untuk berkongsi sesuatu yang mengembirakan. Berkongsi makanan adalah satu sikap mulia yang dikurniakan ganjaran pahala yang baik bagi sesiapa sahaja yang melakukannya.  Terapkan dalam diri anak-anak untuk menjauhi sikap kedekut dan bakhil kerana ia bukan sahaja dilarang dalam agama. Malah ia merugikan diri sendiri. Jelaskan kepada mereka bahawa sikap kedekut hanya akan membuatkan adik beradik dan rakan-rakan menjauhi diri mereka.

8. Tidak Membezakan Peranan Tugas Anak Lelaki & Anak Perempuan

Kadang-kadang wujud situasi di mana anak perempuan tidak berpuas hati apabila terpaksa membuat kerja-kerja rumah sedangkan anak lelaki bersenang lenang dengan permainan telefon bimbit. Dalam hal ini, ibu bapa memainkan tanggungjawan yang penting untuk mendidik anak mereka tanpa mengira jantina untuk tidak membezakan tugas mengendalikan kerja-kerja rumah. Tugas mengendalikan kerja rumah seperti membasuh pinggan mangkuk selepas makan, membersihakan mangkuk tandas, membasuh dan menyidai pakaian seharusnya menjadi tanggungjawab bersama. Ia tidak boleh dikhususkan kepada anak perempuan sahaja. Apabila kerja rumah sentiasa dilakukan bersama-sama, sikap tidak puas hati sesama adik beradik mampu dikurangkan.