Isu keracunan bahan BPA dalam botol susu plastik hangat diperkatakan beberapa tahun yang lalu. Pada tahun 2011, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia telah mengharamkan dan menarik balik penjualan botol susu polibikarbonat (PC) yang mengandungi bahan Bispehnol Z (BPA).Tindakan pengharaman ini bukan sahaja dilakukan oleh Malaysia. Bahkan beberapa negara maju lain seperti Jerman, Perancis, Kanada, Australia dan Amerika Syarikat juga turut melakukan perkara yang sama.
BPA didakwa boleh menyebabkan gangguan kepada sistem hormon badan bayi sekaligus menjejaskan sistem tubuh bayi. Kesan penggunaan botol susu yang mengandungi BPA adalah bersifat jangka panjang. Penyakit kanser, gangguan kepada sistem reproduksi atau pembiakan manusia dan gangguan kepada perkembangan otak adalah antara kesan buruk jangka panjang daripada penggunaan botol susu yang tercemar dengan bahan BPA.
Walaupun botol susu plastik lebih ringan dan mudah dibawa ke mana sahaja, namun anda sebagai ibu bapa harus mempertimbangkan faktor lain yang mempengaruhi kesan penggunaan botol susu plastik selain daripada keracunan bahan BPA.
Walaupun isu keracunan bahan BPA ini telah diselesaikan, namun kemungkinan penggunaan sejenis lagi bahan iaitu bisphenol-S (BPS) masih lagi digunakan oleh syarikat pengeluar botol susu yang tidak bertanggungjawab. BPS hampir sama kesannya seperti BPA yang mana kesannya amat berbahaya kepada kesihatan manusia termasuk bayi. Selain itu, faktor kesan penggunaan bahan plastik terhadap alam sekitar cukup besar kerana sifatnya kimianya yang sukar dilupuskan. Oleh itu, salah satu pilihan lain material pembuatan botol susu adalah kaca.
KEBAIKAN MENGGUNAKAN BOTOL SUSU KACA
Bagi anda yang mempertimbangkan penggunaan botol susu kaca untuk bayi anda, berikut kami senaraikan beberapa kelebihannya berbanding botol susu plastik.
1. Bebas Dari Bahan BPA
Botol susu gelas diyakini bebas dari bahan BPA. Ia bebas dari bahan kimia berbahaya. Tidak seperti botol susu plastik, susu yang dimasukkan dalam bekas kaca tidak akan mengalirkan atau memindahkan sifat-sifat kaca atau plastik ke dalam susu yang diminum oleh bayi. Keadaan ini menjadikan botol susu kaca lebih selamat digunakan terutama apabila susu dalam keadaan panas atau suam.
2. Tahan Lebih Lama
Perbezaan antara ketahanan bahan plastik dan kaca sangat ketara iaitu kaca lebih mudah pecah berbanding botol plastik. Namun jika botol susu kaca dijaga dengan baik, dari segi ketahanan ianya mampu bertahan lebih lama daripada botol susu plastik. Sifatnya tidak seperti botol plastik yang mudah calar apabila digores. Apabila anda membersihkan botol susu bayi dengan menggunakan berus, lama kelamaan ia akan meninggalkan kesan calar. Walaupun digunakan selama bertahun-tahun, sifat kaca yang lutsinar tidak seperti botol plastik yang semakin pudar warnanya apabila digunakan untuk tempoh masa yang lama.
3. Lebih Mudah Dicuci
Botol susu kaca amat mudah dibersihkan dengan penggunaan cecair pencuci botol susu. Anda tidak memerlukan penggunaan buih yang banyak sepertimana yang diperlukan semasa membersihkan botol susu plastik. Dengan sedikit penggunaan cecair pencuci, kesan lemak susu yang melekat pada botol kaca boleh ditanggalkan dengan mudah. Ini berbeza dengan cara pembersihan lemak susu pada botol plastik. Kesan daki hitam dan lemak susu yang melekat di celah-celah botol susu begitu susah dihilangkan sehingga adakalanya anda perlu merebusnya dalam air panas. Cara ini akan menyebabkan masa anda terbuang hanya semata-mata untuk mendapatkan cucian yang memuaskan.
4. Menjimatkan Wang
Mungkin dari segi harga botol susu gelas lebih mahal berbanding botol susu plastik. Lebih-lebih lagi untuk pembelian pada kali pertama. Namun disebabkan sifat ketahanan yang tinggi (apabila dikendalikan dengan baik) dan tahan lebih lama, anda tidak perlu menukarnya berulang kali untuk suatu tempoh masa yang lama. pelaburan antara RM40 sehingga RM100 untuk temph penggunaan yang lama antara setahun ke dua tahun adalah lebih berbaloi dibandingkan dengan pelaburan berulang kali sekitar RM20 ke RM30 untuk beberapa botol susu plastik yang perlu ditukar berkali-kali dalam setahun.
5. Selamat Disteril Pada Suhu Tinggi
Botol susu kaca tidak seperti botol susu plastik yang mudah cair apabila berada dalam keadaan susu yang terlalu tinggi serta perubahan yang mendadak. Sifat rintangan haba yang tinggi menjadikan ia mampu bertahan apabila disteril dalam sebarnag suhu dan keadaan seperti steril dalam suhu rebusan air, oven dan ketuhar gelombang mikro.
6. Tidak Menyebabkan perubahan Pada Rasa Susu
Susu formula dan susu ibu yang disimpan selama beberapa jam dalam botol susu plastik mampu mengubah rasanya yang asal. Ini berbeza dengan rasa susu yang disimpan dalam botol gelas. Rasa susu sekali-lagi tidak berubah. Keenakan susu masih kekal walaupun dalam keadaan suhu minuman yang tidak lagi suam untuk diminum. Inilah sebab mengapa kadangkala bayi anda menolak meminum susu yang sama setelah disimpan selama beberapa jam dalam botol susu plastik. Ini kerana keenakan rasanya tidak lagi seenak seperti mula-mula ia dibancuh.
7. Tidak Mudah Berbau
Tentu anda biasa mencium bau botol susu plastik yang telah lama digunakan. Bau ini terhasil apabila bahan kandungan susu disimpan untuk tempoh yang lama di dalam botol. Keadaan ini menjadi salah satu punca susu cepat basi dan bau botol yang kurang menyenangkan itu menyebabkan bayi merasa kurang selesa semasa menyusu. Tidak kira seberapa kuat anda cuba menghilangkan baunya, ia tetap juga tidak hilang sepenuhnya. Berbeza dengan botol gelas kaca yang mudah dibersihkan, ia tidak meninggalkan bau yang tidak menyenangkan bayi.
Kelemahan Botol Susu Kaca
Setiap kelebihan pastinya ada kekurangan. Terutama apabila melibatkan perbandingan antara produk. Botol susu kaca bukanlah seratus peratus terbaik untuk bayi dan kanak-kanak. Ia tetap memiliki kekurangannya.
Salah satu kelemahan botol susu kaca ialah dari segi berat. Jelas sekali bahawa botol susu plastik jauh lebih ringan. Ini menjadikan ia lebih mudah dipegang oleh kanak-kanak tanpa bantuan orang dewasa. Kelebihan ini tidak dimiliki oleh botol susu kaca. Bahan kaca itu sendiri bersifat lebih berat. Bagi bayi yang baharu lahir berusia antara 0 sehingga 3 tahun, penggunaan botol susu kaca tidak menimbulkan isu kerana ibu atau bapa sendiri yang akan memegang dan menyusukan bayi. Bayi sekecil itu tidak digalakkan memegang sendiri botol susu sama ada jenis plastik mahupun kaca.
Namun apabila usia bayi mula meningkat, penggunaan botol susu kaca tidak lagi sesuai. Kanak-kanak usia tiga tahun ke atas sukar mengendalikan barangan kaca. Dibimbangi botol itu akan jatuh, pecah dan menyebabkan kecederaan pada bayi.
Satu lagi perkara anda perlu pastikan tidak terdapat sebarang kesan calar yang menyebabkan serpihan kaca tertinggal dalam botol susu. Tanpa disedari sisa serpihan ini merbahaya kepada keselamatan bayi apabila bercampur dengan susu yang diminum. Sebagai contoh isu tercekik bahan kaca yang mengancam keselamatan nyawa kanak-kanak.
Pilihan Editor :