Milk booster atau secara ilmiah lebih dikenali sebagai galactagogue (penggalak susu ibu) merujuk kepada herba, makanan atau ubatan yang dapat membantu untuk memulakan, mengekalkan serta meningkatkan penghasilan susu. Secara umumnya, terdapat banyak herba yang dipercayai boleh dijadikan sebagai milk booster untuk tambah susu ibu, dan kebanyakkan adalah sebenarnya makanan yang biasa kita makan seharian.
Masalah utama dalam pengambilan herba sebagai milk booster ini adalah jumlah dos optimum yang sesuai diambil oleh ibu menyusu adalah tidak diketahui. Jadi, keberkesanan herba adalah lebih bergantung kepada individu. Paling penting dinasihatkan elakkan daripada mengambil herba yang tidak diketahui asalnya atau cara penyediaan yang betul atau cara pengambilan yang betul sebagai milk booster anda. Namun diingatkan, konsep pertama dan terpenting dalam penyusuan adalah demand and supply. Milk Booster hanya membantu memudahkan proses ini dengan membantu menggalakkan lagi penghasilan susu.
Makanan Penggalak Susu atau lebih dikenali dengan Mlikbooster boleh dicari dan digunakan secara semulajadi tanpa perlu mengambil sebarang bentuk produk atau supplemen milkbooster. Artikel ini kami kongsikan bagaimana untuk ibu yang mahukan 5 contoh makanan yang boleh dimakan secara semulajadi tanpa perlu berbelanja wang ringgit. Ini khas hanya di Malaysia!
Kami juga tahu, setiap wanita yang bergelar ibu seperti anda pastinya mempunyai kebolehan secara semulajadi untuk menghasilkan susu ibu. Ia merupakan satu anugerah yang istimewa daripada Tuhan kepada semua ibu.
Susu ibu kan mempunyai pelbagai khasiat dan kelebihan yang tersendiri terutamanya kepada anak yang menyusu termasuklah ibunya. BETUL?
Anak-anak yang diberikan susu ibu akan membesar secara lebih sihat dan mempunyai risiko yang lebih rendah terhadap masalah-masalah kesihatan berbanding anak-anak yang diberikan susu formula.
Ibu-ibu yang menyusukan anak pula turut mendapat kebaikan daripada sudut kesihatan terutamanya dalam proses pengecutan rahim dan pengawalan berat badan selepas bersalin.
Hubungan erat yang terjalin antara ibu dan anak semasa proses penyusuan juga adalah salah satu kelebihan penyusuan susu ibu.
Penyusuan susu ibu secara ekslusif hendaklah diberikan kepada bayi yang baru lahir sehingga umurnya 6 bulan.
Selepas itu, makanan pelengkap harus diperkenalkan dan diberikan kepada bayi. Namun, penyusuan susu ibu hendaklah diteruskan sehingga anak berumur 2 tahun.
Walaupun sedar akan kepentingan susu ibu, sesetengah ibu menghadapi kesukaran untuk menyusukan anak dengan susu ibu kerana masalah kekurangan susu badan.
Masalah kekurangan susu badan ini boleh dipengaruhi oleh beberapa faktor yang tertentu seperti perubahan hormon, tekanan persekitaran, ibu kembali bekerja, pemakanan yang tidak seimbang serta pengambilan pil perancang.
Di Malaysia, makanan-makanan berikut adalah popular di kalangan ibu-ibu yang mahu menambah kuantiti dan meningkatkan kualiti susu ibu yang dihasilkan.
Makanan-makanan ini mempunyai ciri-ciri ‘galactagogue’ iaitu mampu merangsang penghasilan susu ibu secara semulajadi.
Antara makanan yang boleh memberi kesan untuk tambah susu termasuklah;
1. Lobak merah/putih
Lobak dipercayai dapat membantu dalam penghasilan susu badan yang banyak terutamanya lobak putih. Caranya ialah dengan diparut dan diperah airnya lalu diminum. Rasanya tidak akan membuatkan anda tersenyum akan tetapi hasilnya mungkin memberangsangkan. Lobak merah pula boleh dimasak sebagai juadah makan tengahari atau malam. Juga boleh dimakan mentah memandangkan rasanya lebih enak berbanding lobak putih.
2. Bayam
Sesetengah ibu tidak mengambil bayam di dalam pemakanan harian kerana terpengaruh dengan pesan orang tua-tua yang mengatakan bayam adalah makanan ‘sejuk’ yang boleh memudaratkan badan ibu yang baru lepas bersalin dan juga dikhuatiri menyebabkan bayi kembung perut. Walaubagaimanapun, bayam punya khasiat tersendiri sebagai ‘milkbooster’. Cubalah dalam kuantiti yang sedikit terlebih dahulu dan lihat kesannya.
3. Sawi
Sayur sawi terkenal dengan kepahitannya. Namun begitu, jika mengetahui khasiatnya, anda pasti akan melupakan rasa pahit itu. Selain mengandungi vitamin, sawi juga dipercayai boleh memperbanyakkan susu badan. Ibu yang sedang hamil juga digalakkan untuk makan sawi dengan lebih kerap untuk membantu mengatasi masalah sembelit. Cubalah resepi yang pelbagai untuk sayur sawi ini agar ia menjadi kegemaran seisi keluarga.
4. Barli
Banyak kegunaan barli dalam kehidupan seharian kita. Barli dipercayai dapat membantu menyejukkan badan. Oleh yang demikian, kita disarankan untuk minum air barli sekiranya demam. Tambahan pula, barli juga boleh membantu dalam penghasilan susu badan. Rebus barli sehingga kembang dan minum airnya setelah suam. Boleh juga ditambah sedikit gula untuk mengurangkan rasa payau.
5. Durian
Tidak ramai yang mengetahui keajaiban buah durian di dalam penghasilan susu ibu. Benar. Sesetengah ibu dikurniakan susu badan yang melimpah ruah apabila makan buah durian atau makan makanan yang berasaskan buah durian. Walaubagaimanapun, elakkan dari makan terlalu banyak buah durian kerana durian bersifat panas dan akan membuatkan suhu badan anda meningkat.
6. Anggur hitam
Anggur juga jarang diambil sebagai ‘milkbooster’. Namun, sesetengah ibu menyusu mengakui bahawa anggur hitam mampu menambah susu badan mereka. Kepada yang belum mencuba, silakan. Mungkin anggur hitam berjaya membantu penghasilan susu badan anda. Anda juga boleh mencuba kismis hitam kerana ia dikeringkan dari buah anggur hitam juga.
7. Oat
Bijirin ini adalah antara yang popular di kalangan ibu menyusu sebagai penggalak susu badan. Selain menjadi ‘milkbooster’, oat juga turut membantu dalam penjagaan diet para ibu kerana ianya mengenyangkan dan melawas sistem pembuangan. Oat boleh disudukan bersama air milo atau susu. Kini, oat juga boleh didapati dalam bentuk biskut dan dipek supaya mudah dibawa ke mana-mana. Jadi, ibu-ibu yang sibuk tidka perlu bimbang lagi. Beli sahaja di pasar raya dan bawa beberapa paket di dalam tas tangan anda sebagai kudapan harian.
8. Badam
Kekacang seperti badam, walnut, biji gajus dan makadamia juga dipercayai mampu meningkatkan penghasilan susu.
Namun begitu, ambil dalam kuantiti sederhana dan pilihlah yang tidak bergaram. Memadai mengambilnya maksimum tiga kali sehari dengan kuantiti segenggam sekali makan.
9. Keju
Oh sedapnya keju! Pasti penggemar keju akan teruja mengetahui hal ini. Keju adalah salah satu hasil tenusu yang sesuai untuk pelbagai kegunaan. Ambillah keju di dalam sarapan anda bersama sandwich. Anda juga boleh memasak makanan berasaskan keju seperti lasagna, makaroni bakar berkeju, membuat kek keju, dan sebagainya. Kini, banyak pencuci mulut dan pembuka selera turut berasaskan keju. Keju memang menyelerakan tetapi awas! Keju mengandungi kadar lemak yang tinggi.
10. Makanan Sunnah
‘Milkbooster’ yang terakhir ialah makanan sunnah. Setiap rumah disarankan mempunyai makanan sunnah. Ia bukan sahaja sebagai penambah susu badan malah mengandungi khasiat yang pelbagai untuk seisi rumah tida kira usia dan jantina. Ibu hamil dan ibu menyusu sangat digalakkan untuk mengambil makanan sunnah ini.
Tiga makanan sunnah yang biasa kita dengar ialah buah kurma, habbatussauda dan madu. Buah kurma boleh dimakan begitu saja atau dikisar bersama kacang badam dan susu untuk menambah susu badan. Terdapat juga jus kurma di pasaran yang telah diproses daripada buah kurma. Habbatussauda atau jintan hitam juga terkenal dengan khasiatnya. Ia boleh dimasukkan ke dalam minuman atau dimakan begitu saja. Manakala madu boleh diambil satu sudu sehari dan dibancuh ke dalam air suam lalu diminum sebaik-baiknya semasa perut kosong. Amalkanlah memakan makanan sunnah ini sekurang-kurangnya sekali sehari.