Bulan Ramadhan sudah tiba! Esok kesemua umat Islam bakal menjalani ibadah berpuasa dan ianya adalah bulan yang ditunggu-tunggu oleh semua orang. Persoalan yang sering melanda ibu hamil apabila tiba bulan puasa adalah “adakah saya perlu berpuasa?” “bagaimana dengan keadaan kandungan saya?” “adakah ia akan terjejas?”.

Dalam Islam, puasa ketika hamil diharuskan untuk berbuka jika anda berada dalam dua keadaan iaitu apabila berpuasa boleh membahayakan kesihatan diri atau membahayakan kesihatan kandungan. Kebiasaannya, jika ibu hamil sudah melepasi trimester pertama, mereka sudah boleh berpuasa tetapi jika berasa lemah, loya dan sebagainya maka perlulah berbuka puasa demi kesihatan bayi. Berikut adalah kondisi-kondisi yang diharuskan anda untuk berbuka puasa.

1. Morning sickness yang berlarutan tanpa henti

Buat ibu mengandung yang berada pada fasa awal kehamilan, morning sickness biasanya terjadi dan ianya bergantung pada individu. Sesetengah ibu mengandung tidak menghadapi morning sickness, ada yang mengalami morning sickness yang normal dan ada sesetengah kes dimana morning sickness terlampau teruk. Jika kondisi ini berlarutan sehingga menyebabkan anda kehilangan tenaga, jangan paksa diri lagi. Anda disarankan untuk berbuka puasa demi kesihatan anda dan juga janin. Muntah yang berlarutan akan mengurangkan tenaga dalam badan dan seterusnya memudaratkan janin.

2. Kandungan gula dalam darah rendah

Berpuasa adalah menahan diri dari kelaparan buat satu jangka masa yang ditetapkan. Buat ibu mengandung, berpuasa memerlukan anda untuk sihat tubuh badan dan cukup tenaga untuk seharian suntuk. Jika anda mempunyai masalah kesihatan seperti demam, jangan paksa diri untuk mencuba berpuasa.

Bukan itu sahaja, perlu diambil kira juga situasi lain seperti ibu hamil mengalami hypoglysemia iaitu kandungan gula dalam darah rendah. Ianya akan menyebabkan anda berpeluh dingin, menggigil, lemas dan pandangan kabur. Oleh itu jangan tunggu-tunggu lagi dan segera berbuka puasa. Ibu hamil juga dinasihatkan untuk berbuka jika badan mengalami dehidrasi atau cirit-birit.

3. Perlu mengambil ubat

Kebiasaannya doktor akan memberikan ubat kepada ibu hamil untuk membekalkan vitamin secukupnya kepada ibu serta bayi. Terdapat juga kes di mana ibu yang mempunyai rekod masalah kesihatan perlu mengambil ubat tertentu. Sekiranya pengambilan ubat perlu dipatuhi untuk mengelakkan kemudaratan, maka pilihan terbaik adalah dengan tidak berpuasa terlebih dahulu dan mementingkan kesihatan bayi. Tetapi jika anda ubat yang diberikan doktor boleh dihentikan buat seketika dan tubuh badan anda sihat, anda boleh cuba untuk berpuasa. Pastikan anda merujuk doktor dan minta pandangan pakar dahulu agar tidak berlaku sebarang komplikasi negatif.

4. Ibu menyusu atau masih berpantang

Ibu yang masih menyusu memerlukan tenaga lebih untuk menghasilkan susu yang secukupnya. Jika anda masih dalam proses berpantang atau baru sahaja lepas berpantang dan merasakan diri anda mampu untuk berpuasa, pastikan anda minta nasihat daripada doktor dahulu untuk memastikan kesihatan tubuh badan anda tidak terjejas.

Badan anda perlu menerima makanan yang secukupnya untuk menghasilkan susu. Jika kandungan susu badan anda berkurang secara mendadak akibat berpuasa, dicadangkan agar anda berbuka puasa demi kebaikkan bayi. Jika bayi anda bergantung pada susu badan sepenuhnya, mungkin berpuasa bukan sau pilihan yang baik.

5. Pergerakan bayi lemah

Perhatikan pergerakan bayi dalam kandungan, adakah ianya seperti normal atau berkurangan? Jika pergerakan janin berkurangan selepas 28 minggu tempoh kehamilan, maka anda disarankan untuk berbuka puasa dan terus ke hospital untuk melakukan CTG dan ultrasound agar tiada sebarang masalah berlaku. Berpuasa boleh melemahkan dan mengganggu tumbesaran janin.

6. Menunggu masa untuk bersalin

Proses melahirkan anak memerlukan banyak tenaga dan anda akan kehilangan banyak tenaga. Ibu mengandung dinasihatkan untuk tidak berpuasa ketika sudah hampir bersalin. Anda perlu persiapkan diri secukupnya dari segi mental dan fizikal sewaktu di bilik bersalin nanti. Menurut pakar, ibu berisiko untuk mengalami hypoglycaemic yang boleh menyebabkan kelahiran pramatang apabila kandungan hampir cukup bulan.

Utamakan kesihatan anda dan bayi dahulu. Jangan lupa untuk dapatkan nasihat dari pakar sebelum membuat sesuatu keputusan. Oleh itu, kami dari 100Comments mengucapkan selamat menjalani ibadah berpuasa!