Awasi enam minggu yang penting

Minggu pertama selepas bayi lahir merupakan waktu penting untuk anda merapatkan lagi jalinan ibu dan anak selain membiasakan diri dengan rutin harian bersama si manja. Seterusnya, anda akan melalui proses pemeriksaan dengan doktor dalam tempoh minggu ke-2 hingga minggu ke-6. Ketika inilah masa terbaik untuk anda berjumpa dengan doktor membicarakan tentang perubahan-perubahan yang anda alami selepas bersalin, termasuklah perihal merancang keluarga.

Ketika minggu-minggu terawal selepas bersalin, anda mungkin akan berasa cepat letih dan cepat penat. Gejala ini mungkin berlaku sehingga minggu keenam untuk anda kembali bertenaga dan menyesuaikan diri dengan ‘kehidupan baru’. Dan, mungkin gejala ini akan berlangsung lebih lama jika anda bersalin secara pembedahan. Selain itu, anda juga mungkin akan mengalami sedikit pendarahan.

Perubahan fizikal selepas bersalin

Semasa enam minggu pertama, anda akan merasai beberapa perubahan dari segi fizikal seperti sengal otot dan pendarahan. Berikut merupakan perubahan fizikal lain yang berlaku selepas melahirkan bayi anda:

1) Kontraksi ataupun dipanggil pengecutan rahim- Ketika tempoh berpantang, rahim anda akan mengecut kembali kepada saiz seperti sebelum hamil. Proses ini mengambil masa antara 6 hingga 8 minggu

2) Sengal otot terutama di bahagian lengan, leher dan rahang biasa berlaku kepada ibu baru. Perkara ini berlaku kerana ibu ‘bekerja keras’ semasa proses kelahiran. Walau bagaimanapun, gejala ini akan pulih dalam masa beberapa hari selepas bersalin

3) Pendarahan pada vagina atau lochia mungkin pulih dalam minggu ke-2 hingga minggu ke-4 atau berpanjangan sehingga dua bulan Sakit pada vagina termasuk ketidakselesaan dan kebas. Gejala ini sering berlaku selepas bersalin dan mungkin lebih teruk bagi ibu yang mengalami episiotomi

4) Jika anda bersalin secara pembedahan, anda mungkin akan rasa sakit pada bahagian bawah perut dan memerlukan ubat tahan sakit. Gejala ini mungkin berlangsung selama satu hingga dua minggu

5) Sakit payudara. Ibu baru akan rasa sengal pada payudara mereka selepas tiga atau empat hari bersalin, iaitu semasa payudara mula menghasilkan susu. Perkara ini akan menyebabkan ketidakselesaan dan bengkak.

PETUA

Tuam payudara anda dengan ketul ais jika mengalami sakit atau bengkak payudara. Selain itu, amalkan juga mandi air panas untuk mengurangkan rasa sakit.

PENJAGAAN FARAJ

Ibu baru memerlukan tempoh sekurang-kurangnya 60 hari atau 100 hari sebelum kembali kepada aktiviti biasanya. Setiap ibu disarankan untuk mematuhi tempoh yang diberikan supaya tubuh anda dapat pulih sepenuhnya selepas bersalin. Gunakan pelapik jika anda mengalami pendarahan. Jangan culas untuk menukar pelapik dan membersihkan faraj anda pada minggu-minggu terawal selepas bersalin. Hal ini supaya faraj ibu bersih dan terhindar daripada dijangkiti kuman dan bakteria.

Jika anda mengalami kesakitan pada bukaan faraj anda, gunakan juga ais dan tuamkan pada bahagian tersebut selama 10 hingga 20 minit. Balut ais dengan menggunakan kain nipis sebelum anda menuam. Selain itu juga, bersihkan bahagian intim anda dengan menggunakan air suam berbanding hanya mengelap menggunakan tisu tandas. Jika anda mengikut amalan berpantang orang Melayu, anda perlu melalui amalan bertangas yang berfungsi membantu mengurangkan keputihan, merawat lendir dan bahu, membuang angin, mengecutkan rahim dan faraj, memperbetul kedudukan saluran peranakan, menyembuhkan luka jahitan dan mengecutkan rahim.

INFO

Ambil berat akan diet harian anda untuk mengelakkan masalah sembelit. Kerap minum air dan mengambil makanan
berserat tinggi.

ELAKKAN

  • Bersama dengan suami selepas bersalin. ‘Berpuasalah’ sekurang-kurangnya selama enam minggu terawal daripada melakukan hubungan intim.
  • Elakkan berjalan jauh atau bercuti bersama bayi anda pada enam minggu terawal selepas bersalin. Jika terpaksa membuat perjalanan yang jauh, anda perlu kerap berhenti untuk berjalan atau meregangkan badan.
  • Jangan bilas bahagian dalaman vagina anda dengan menggunakan semburan air.