“Wahhhh! Terujanya rasa di hati bakal bergelar ibu dan bapa tidak lama lagi! Tidak sabar rasanya menunggu kelahiran bayi sulung saya ini!”
Setiap bakal ibu dan bapa pasti akan teruja kerana bakal bergelar ibu dan bapa kepada bayi sulung yang bakal lahir. Antara aktiviti paling awal yang terlintas untuk dilakukan ialah membeli barang kelengkapan bayi. Persediaan awal menyambut kelahiran bayi pertama amat penting bagi suami isteri yang bakal menggalas gelaran ibu bapa. Orang kata semakin awal kita membuat persediaan untuk masa depan, semakin mudah hari tersebut bakal kita lalui. Begitulah juga halnya dengan persediaan awal menyambut kelahiran di kecil.
Menyediakan Barangan Bayi, Antara Keperluan & Kehendak
Untuk memastikan barangan bayi disediakan selengkapnya sebelum hari kelahiran, anda perlu bersedia dengan senarai barangan lengkap yang perlu dibeli. Ini sangat penting bagi membolehkan anda membuat perancangan kewangan yang secukupnya untuk membeli kesemua kelengkapan bayi yang diperlukan.
Perasaan hati yang terlalu teruja menyambut kelahiran bayi pertama adakalanya menyebabkan pasangan suami isteri hilang pertimbangan semasa membeli barangan bayi. Apa sahaja kelengkapan yang dilihat comel dan berwarna-warna menjadi begitu indah sehingga mereka gagal membezakan antara keperluan dan kehendak. Akhirnya berlakulah pembaziran wang malah barangan yang dibeli juga jarang atau tidak digunakan.
Apakah Barangan Bayi Yang Perlu Dibeli Sebelum Mereka Lahir?
Untuk mengelakkan pembaziran, seeloknya anda membahagikan barangan kepada tiga bahagian senarai iaitu :
- Wajib beli
- Tambahan
- Pilihan
Elakkan daripada membeli barangan tanpa menyenaraikan terlebih dahulu segala yang diperlukan. Proses membeli barangan bayi akan menjadi lebih mudah dan menjimatkan masa sekiranya anda menyenaraikan segala kelengkapan lebih awal dalam satu senarai semak. Senarai semak juga memudahkan anda untuk membezakan barangan apakah yang perlu diutamakan untuk dibeli dan barangan apakah yang boleh ditangguhkan pembeliannya.
Untuk lebih teliti, anda boleh membahagikan senarai mengikut keperluan bagi setiap aktiviti. Sebagai contoh membahagikan kepada barangan pakaian, barangan susu & makanan, barangan mandian dan kebersihan, barangan permainan dan sebagainya.
Barangan Wajib Beli
Kuantiti bagi setiap barangan terutamanya melibatkan bilangan helai pakaian bayi bergantung kepada peruntukan kewangan dan keperluan anda sebagai ibu bapa. Kebiasaannya ibu bapa akan menyediakan kuantiti setiap barangan berdasarkan keperluan dan kewangan masing-masing.
- Lampin untuk bayi baru lahir. Sediakan sekurang-kurangnya dua bungkusan lampin baru untuk jenis lampin pakai buang. Kuantiti bagi lampin kain adalah kurang sedikit berbanding lampin pakai buang iaitu antara enam ke lapan helai.
- Tisu basah sekurang-kurangnya 6 paket tisu basah untuk permulaan sudah memadai.
- Tilam atau pad menukar lampin mudah bawa jenis kalis air.
- Tuala mandi bayi sekurang-kurangnya dua helai. Sediakan gabungan tuala biasa dan tuala dengan hud kepala.
- Tub mandian bayi untuk mandian dalam bilik air dan luar bilik air.
- Cecair mandian
- Syampu rambut
- Set sikat rambut bayi
- Set peralatan kuku termasuk pemotong dan pengasah kuku bayi
- Pengorek telinga bayi bersaiz halus
- Baju sejuk bayi
- T-shirt, seluar atau gaun mengikut keperluan dan jantina bayi. Pastikan terdapat seluar panjang, baju lengan panjang dan baju lengan pendek untuk keselesaan apabila hari panas dan hari sejuk atau hujan
- Stoking kaki sekurang-kurangnya tiga helai
- Sarung tangan bayi untuk mengelakkan bayi daripada menghisap jari dan semasa hari sejuk
- Kain barut perut bayi beberapa helai
- Kain bedung beberapa helai
- Topi atau tuala kepala untuk kegunaan apabila keluar rumah pada hari panas.
- Botol susu antara empat ke enam botol yang mudah dicuci.
- Set pembersihan botol susu seperti set berus yang lengkap dan cecair pembersih
- Susu formula bayi mengikut kesesuaian umur dan bayi anda.
- Kain sendawa beberapa helai untuk mengelakkan atau membersihkan muntah bayi jika terkena pada baju anda semasa mendukung bayi.
- Termos untuk penyimpanan air panas sama ada untuk kegunaan dalam atau luar rumah
- Bantal bayi untuk menyusu
- Bra menyusu untuk si ibu
- Tilam tempat tidur bayi beserta bantal sisi, bantal kepala dan beberapa helai selimut kecil
- Beg lampin khas bersaiz kecil untuk simpanan barangan lampin, peralatan membuat susu dan pakaian tambahan semasa keluar dari rumah.
- Cecair cucian khas untuk membersihkan lampin kain dan kelengkapan pakaian bayi.
Barangan Tambahan
Bagi barangan tambahan anda hanya perlu menyediakan apabila diperlukan sahaja. Sebagai contoh tidak semua ibu memerlukan peralatan breastpump untuk mengepam dan membuat simpanan susu. Kebiasaannya kelengkapan ini diperlukan bagi ibu-ibu yang bekerja.
- Krim lampin jika timbul gatal atau ruam akibat pemakaian lampin. Beli apabila diperlukan sahaja.
- Krim kulit bayi jika bayi anda menghadapi masalah kulit kering
- Minyak angin bayi untuk sapuan selepas mandi dan jika kembung perut
- Krim puting atau nipple cream bagi si ibu yang menyusukan bayi. Krim ini sebagai persediaan jika ibu mengalami rasa tidak selesa pada puting selepas menyusukan bayi.
- Pad payudara atau breast pad bagi ibu yang menyusukan bayi yang mengelakkan tumpahan akibat bocoran selepas menyusukan bayi.
- Bedak talkum bayi. Tujuan bedak adalah mengeringkan kulit bayi lebih cepat semasa memakai lampin.
- Termometer mandian untuk menyukat suhu air sebelum mandi.
- Kasut bayi apabila usia meningkat dan bayi mula belajar berjalan
- Set peralatan mengepam susu atau breastpump
- Alat perlindungan cermin kereta untuk mengelakkan kepanasan cahaya matahari semasa dalam kereta
Barangan Pilihan
Barangan pilihan termasuk dalam kategori kehendak. Penyediaan barangan ini biasanya melibatkan tambahan kos terutama melibatkan pembelian car seat dan stroller. Ia juga boleh dianggap sebagai aksesori tambahan bagi keperluan khas bayi anda.
- Rak kain lampin bagi anda yang inginkan kekemasan
- Tempat duduk mandi bayi atau baby bathseat
- Set mainan mandian
- Rak botol susu bayi untuk simpanan botol selepas setiap kali botol dicuci untuk tujuan pengeringan
- Alat steril botol susu bayi untuk memastikan peralatan botol susu bebas dari kuman.
- Napkin bayi untuk mengelakkan susu atau makanan tumpah ke atas pakaian bayi.
- Set peralatan penyimpanan susu ibu termasuk bekas dan plastik simpanan susu dalam peti sejuk.
- Katil bayi atau basinet untuk kemudahan tempat tidur bayi pada waktu malam. Ini membolehkan tempat tidur bayi dan ibu bapa dapat diasingkan untuk keselesaan dan keselamatan bayi anda.
- Car seat atau tempat duduk khas bayi untuk keselematan semasa dalam kenderaan
- Stroller atau kereta sorong yang sangat membantu semasa keluar berjalan-jalan
- Baby carrier atau sling untuk sokongan mendukung bayi semasa menyusu dan semasa berjalan-jalan di luar jika tidak membawa stroller atau car seat.
- Termometer untuk memeriksa suhu badan bayi anda
Semua keperluan barangan bayi akan berubah dari semasa ke semasa mengikut perkembangan dan keperluan semasa bayi anda. Untuk keutamaan membeli, anda boleh menyediakan terlebih dahulu semua senarai peralatan yang WAJIB disediakan lebih awal beberapa bulan sebelum bayi dilahirkan.
Pilihan Editor :
Bubbles Double ZipLock Breastmilk Storage Bag *7oz* (5 packs)