Cara Pantas Yang Perlu Anda Lakukan Jika Anak Tersedak Susu

Product Details

Kes kematian bayi tersedak susu adalah satu kes terpencil. Namun kejadian sebegini semakin kerap kedengaran sejak akhir-akhir ini di Malaysia. Perkara ini adakalanya menimbulkan trauma dan kerisauan bukan sahaja kepada para ibu malah pengasuh kepada bayi. Beberapa kes kematian bayi tersedak susu dilaporkan berlaku ketika dalam jagaan ibu dan semasa di bawah jagaan pengasuh. Ibu mana yang tidak luluh hati apabila bayi yang dikandung selama sembilan bulan dan lahir dengan cukup sifat tiba-tiba meninggal akibat tersedak susu dalam keadaan yang sihat.

Tentu anda tidak mahu perkara ini berulang apa lagi terjadi kepada diri dan bayi yang dikasihi. Kes-kes terpencil bayi mati akibat tersedak susu ini sememangnya membuka mata ramai pihak supaya lebih peka tentang keadaan bayi semasa menyusu. Anda seharusnya tahu perkara-perkara yang menyebabkan bayi tersedak susu. Apakah langkah-langkah awal yang boleh diambil apabila mendapati bayi tercungap-cungap bernafas dan berubah menjadi kebiruan akibat tersedak susu?

Info yang dikongsikan ini diharap dapat membantu ibu bapa dan para pengasuh bayi mengambil langkah awal bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku.

TINDAKAN REFLEKS MAKAN DAN MINUM SEORANG BAYI

Bayi tersedak susu boleh berlaku disebabkan masalah refleks bayi yang tidak berkembang dengan normal ketika menyusu. Perkembangan refleks menyusu yang normal membolehkan bayi menerima dan menelan makanan dengan selamat.

Tindakan refleks menyusu berlaku secara berperingkat mengikut umur bayi. Perkembangan ini berlaku semasa mereka berumur antara 0 sehingga 12 bulan. Pada usia di bawah 6 bulan, sistem refleks ini masih tidak berkembang dengan baik. Bayi yang berusia antara 0 sehingga 5 bulan hanya boleh menelan cecair. Apabila memasuki usia 6 bulan dan ke atas, mereka secara perlahan-lahan dapat menerima makanan pepejal yang dilembutkan.

Antara tindak balas refleks bayi semasa minum dan makan adalah seperti :

  • mengesan kedudukan puting, mulut terbuka dan tertutup semasa menghisap puting
  • tolakan susu menggunakan lidah untuk menelan susu
  • memuntahkan susu apabila tercekik dan tersedak

PUNCA BAYI TERSEDAK SUSU AKIBAT KECUAIAN

Selain masalah tindak balas refleks menyusu yang tidak berkembang dengan sempurna, kecuaian orang dewasa semasa menyusukan bayi juga menjadi salah satu punca bayi tersedak.

Tiada pengawasan dengan membiarkan sendiri bayi menyusu serta postur badan yang tidak betul ketika menyusukan bayi adalah antara punca bayi tercekik susu sehingga menyebabkan mereka lemas dan sukar bernafas.

Cecair atau makanan yang sepatutnya melalui saluran pemakanan telah masuk ke dalam laluan sistem pernafasan. Ini menyebabkan proses pernafasan terganggu. Sepatutnya, apabila perkara ini berlaku tindakan refleks seperti batuk untuk mengeluarkan semula cecair atau pepejal makanan akan berlaku.

Namun bagi bayi di bawah usia 6 bulan, tindakan refleks ini masih lagi belum berkembang menyebabkan cecair atau pepejal makanan tidak dapat dikeluarkan. Ini mengakibatkan mereka lemas sehingga berlaku kematian.

LAIN-LAIN PUNCA BAYI TERSEDAK SUSU

Faktor lain seperti aliran susu ibu terlalu laju, puting botol yang terlalu besar serta teknik memegang susu botol ketika menyusukan bayi juga menjadi salah satu punca bayi boleh tersedak susu.

TANDA-TANDA BAYI TERSEDAK SUSU

Semasa penyusuan bayi, awasi keadaan mereka jika terdapat tanda-tanda bayi tersedak susu seperti berikut :

  • Muka dan badan bayi menjadi pucat
  • Pergerakan dada bayi semasa bernafas tiba-tiba menjadi perlahan
  • Kadar pernafasan menurun
  • Tercungap-cungap bernafas
  • Bernafas dengan susah payah
  • Tiada suara keluar
  • Tidak mengeluarkan suara menangis

LANGKAH-LANGKAH YANG BOLEH DIAMBIL JIKA BAYI TERSEDAK SUSU

Apabila berhadapan dengan situasi bayi tersedak susu, kawal perasaan dan suasana supaya tidak terlalu panik. Ketahui cara untuk membersihkan saluran udara dengan secepat yang mungkin akan mampu menyelamatkan nyawa bayi anda. Jika bayi tidak mampu batuk sendiri untuk mengeluarkan cecair susu, ikuti langkah-langkah di bawah untuk menyelamatkan bayi.

  1. Letak bayi di atas sebelah tangan dengan bahagian muka berada di hujung tapak tangan. Rendahkan bahagian kepala melebihi ketinggian belakang dan punggung bayi. Pastikan kedudukan bayi selamat di lengan anda semasa keadaan ini.
  2. Gunakan sebelah lagi tangan anda untuk menepuk atau mengenakan hentakan yang tidak terlalu kuat sebanyak 5 kali di antara bahagian tengah belakang bayi iaitu di antara tulang belikat. Pukulan belakang yang dilakukan dengan betul dapat mengeluarkan kembali cairan susu yang menyebabkan bayi tersedak.
  3. Jika sedak bayi tidak dapat dihilangkan dan mereka mula tidak dapat atau berhenti bernafas, putarkan bayi supaya muka mereka menghadap ke atas. Boleh juga diletakkan di atas permukaan rata.
  4. Cari tulang dada bayi. Tempatkan dua jari anda di bahagian tengah bawah rusuk. Tekan sekurang-kurangnya setengah inci ke dalam sebanyak 5 kali secara berulang-ulang dengan pantas sehingga cecair susu dapat dikeluarkan.

Jika langkah 1 sehingga 4 tidak menunjukkan apa-apa perubahan pada bayi, anda boleh mengambil tindakan segera dengan membawa bayi ke hospital atau klinik. Semasa dalam perjalanan, anda masih boleh melakukan teknik seterusnya iaitu memberikan bantuan pernafasan CPR.

Teknik CPR bayi :

  1. Berikan 30 kali tekanan di bahagian tengah dada dengan menggunakan 2 jari. Tolak kira-kira 1.5 inci ke arah dalam dada dengan cepat dan pantas dalam masa kira-kira 20 saat.
  2. Hembus 2 kali nafas anda ke dalam mulut bayi. Untuk melakukan ini, angkat dagu bayi ke atas. Tutup mulut dan hidung bayi dengan mulut anda. Dengan perlahan-lahan hembus dua kali ke dalam mulut dan hidung bayi. Lakukan ini dalam tempoh satu saat pada setiap kali hembusan. Lakukan secara berulang kali sehingga bayi kembali bernafas.
  3. Perhatikan jika bayi kembali bernafas secara normal dan mampu bergerak dan mengeluarkan semula suara ketika menangis. Jika tidak, segera bawa bayi ke hospital atau klinik untuk bantuan kecemasan segera.

SUSUKAN BAYI DENGAN KAEDAH YANG BETUL

Penting bagi ibu-ibu mengetahui teknik menyusu bayi yang betul. Ini adalah kaedah yang betul semasa menyusukan bayi :

  • Kedudukan kepala bayi mestilah lebih tinggi daripada dada dan perutnya.
  • Condongkan botol susu sehingga menutupi ruang udara supaya bayi tidak menyedut susu dan udara pada masa yang sama. Kedudukan botol susu yang betul ialah antara 45 sehingga 60 darjah.
  • Pastikan lubang puting susu tidak terlalu besar supaya lairan susu tidak terlalu laju.
  • Jika menyusu badan, pastikan puting dimasukkan sepenuhnya dalam mulut bayi.
  • Jangan menyusu bayi dalam keadaan membaringkan mereka atas lantai atau tilam. Pangku bayi supaya memastikan kedudukan kepala lebih tinggi untuk memudahkan mereka menelan minuman.
  • Kaedah menyusukan bayi sebelah dada pada setiap kali sesi menyusu adalah teknik yang baik. Teknik ini memastikan kantung susu dikosongkan sepenuhnya pada setiap kali selepas sesi susuan. Bayi akan berhenti dengan sendirinya apabila kantung susu telah dikosongkan.
  • Sendawakan bayi setiap kali selepas menyusu.

Ketahui kaedah sebenar cara sendawakan bayi dengan betul setiap kali selepas menyusukan bayi.

Adakah Penting Untuk Sendawakan Bayi Selepas Menyusu?

 

Get Reviews Widget

Leave a review

You may also like...