Cara Sebenar Membersihkan Tilam Agar Bersih, Bebas Hama

Product Details

Ramai dari kalangan suri rumah yang tidak tahu cara membersihkan tilam bilik tidur yang sebenar menyebabkan kebersihan luaran dan dalaman tilam sering terabai. Mungkin anda rajin menukar cadar dan sarung bantal supaya ia kelihatan sentiasa baru, ceria dan selesa apabila tidur. Namun, adakah anda benar-benar yakin bahawa bahagian dalaman tilam yang digunakan selama bertahun-tahun bebas dari kekotoran dan hama?

Berapa Kerap Anda Perlu Membersihkan Tilam?

Pakar pembersihan rumah mencadangkan supaya tilam dibersihkan sekurang-kurangnya setiap enam bulan. Tidak seperti sarung bantal dan cadar yang mana anda boleh bersihkan sekerap yang anda mahukan. Cara membersihkan tilam juga perlu dilakukan dengan betul agar tilam tidak meninggalkan kesan lembapan yang mungkin menyebabkan keadaan tilam menjadi lebih teruk.

Yang penting ia tidak menjadi sarang pembiakan hama yang berkumpul. Memang agak sukar membersihkan tilam tempat kita tidur. Salah satu sebab adalah kerana saiznya yang besar menjadikan agak sukar ia dibersihkan.

Membersihkan tilam supaya sentiasa bersih dan bebas dari hama tidak sukar sekiranya anda mengetahui cara membersihkan tilam yang cukup mudah.

Cara Sebenar Membersihkan Tilam. Cukup Mudah!

Langkah 1 : Kosongkan tilam

Alihkan kesemua sarung tilam, cadar, bantal, selimut, comforter dan sebagainya. Letak tilam di satu tempat yang memudahkan anda untuk membersihkannya. Anda boleh sahaja membersihkan pada kedudukan di atas katil tanpa perlu mengalihkannya.

Langkah 2 : Vakum tilam

Jika anda mempunyai vakum, itu adalah lebih mudah. Tetapi jika tidak ada, anda boleh gunakan alat penyingkir habuk. Contohnya penyapu, bulu ayam dan sebagainya yang memudahkan proses pembuangan habuk dilakukan.

Bagi vakum, gunakan peralatan penyedut suang sesuai. Terdapat ruang-ruang celah di antara jahitan tilam yang memerangkap pelbagai jenis debu dan pasir yang perlu dikeluarkan. Penyedut yang tirus dan lubang sempit lebih sesuai digunakan pada ruangan celahan jahitan tilam.

Vakum atau sapu kesemua habuk dan pasir sehinggalah anda benar-benar berpuas hati dengan kebersihannya.

Langkah 3 : Bersihkan Kotoran

Untuk kesan kotoran seperti kesan makanan dan minuman yang tertumpah, darah, air kencing, air liur dan sebagainya, sediakan air sabun dan sehelai kain bersih.

Anda boleh guna pelbagai jenis sabun yang ada termasuklah sabun cuci pinggan mangkuk. Campurkan cecair atau serbuk pencuci dengan air suam. Kacau sehingga campuran berbuih. Celupkan kain bersih dalam air sabun, perah sedikit dan lap pada bahagian kotoran. Sental sehingga warna dan bau dapat dihilangkan.

Jika warna kesan tumpahan sukar dihilangkan, anda boleh gunakan cecair peluntur. Menghilangkan warna kesan kotoran lebih mudah dilakukan dengan peluntur. Pastikan peluntur yang anda gunakan bukan dari jenis peluntur warna. Peluntur warna akan menghilangkan warna asal tilam dan sudah tentu anda tidak ingin warna tilam bertukar.

Bersihkan sehingga anda benar-benar berpuas hati. Anda boleh juga menggunakan pemberus kecil termasuk berus gigi yang tidak digunakan.

Langkah 4 : Sembur tilam dengan cuka

Sediakan satu botol penyembur yang mengandungi campuran air dan cuka. Sembur keseluruhan permukaan tilam dengan air campuran cuka ini. Utamakan di bahagian yang terdapat kesan kotoran yang degil.

Elakkan daripada menggunakan kaedah siram cuka kerana siraman yang terlalu bertumpu di sesuatu kotoran akan meninggalkan kesan tompokan cuka yang menjadikan warna tilam tidak sekata. Siraman juga akan menyebabkan permukaan tilam lambat untuk dikeringkan.

Semburan ini akan menyebabkan kebasahan pada tilam. Biarkan seketika supaya tilam dapat dikeringkan dengan sepenuhnya. Cara pengeringan juga boleh dilakukan dengan menghalakan kipas ke arah tilam.

Anda juga boleh menggunakan kertas tisu untuk menyerap kembali kesan cecair cuka yang disembur tadi. Caranya tekap tisu pada permukaan tilam.

Langkah 5 : Serbuk bikarbonat

Seterusnya adalah menabur serbuk bikarbonat di atas seluruh permukaan katil. Biarkan serbuk bikarbonat yang telah ditabur itu untuk tempoh beberapa jam antara 4 sehingga 5 jam. Lebih lama dibiarkan lebih bagus ia dapat menghilangkan kesan bau yang tertinggal. Selepas beberapa jam, anda akan dapati serbuk soda bikarbonat itu menyerap dan larut bersama kesan cuka yang disembur tadi. Bau juga akan dapat dihilangkan dengan sepenuhnya!

Langkah 4 : Vakum sekali lagi

Untuk mengilangkan kesemua kesan serbuk bikarbonat yang masih tertinggal, anda memerlukan sekali lagi penyedut vakum atau penyapu. Pastikan anda menyedut atau sapu kesemua kesan debu soda bikarbonat yang masih tertinggal.

Langkah 5 : Jemur di bawah matahari

Seterusnya, untuk memastikan tilam benar-benar kering, alihkan tilam di bawah kedudukan cahaya matahari. Cara terbaik pengeringan adalah memastikan kedua-dua permukaan dihalakan ke arah cahaya matahari. Jika hanya sebelah permukaan tilam sahaja dijemur, kemungkinan sebelah lagi permukaan akan menjadi lembap akibat sisa-sisa air sabun dan semburan cuka yang menyerap jauh ke dalam permukaan tilam.

Jemuran di luar rumah adalah cara paling cepat kerana lebih banyak kesan cahaya matahari dapat dihalakan ke tilam.

Langkah 6 : Wangikan tilam

Untuk langkah ini, anda boleh tinggalkan jika tidak berminat dengan bauan. Namun bagi yang berminat, angkah seterusnya adalah mengharumkan tilam anda dengan wangian. Sebenarnya, serbuk soda bikarbonat juga boleh menghasilkan bau yang segar pada tilam.

Bagi anda yang memiliki citarasa wangian lain, anda boleh menggunakan pelbagai jenis penyegar yang dijual di pasaran. Kebanyakan jenis penyegar membolehkan anda melakukan semburan ke pelbagai permukaan termasuk tilam dan sofa. Kini terdapat pelbagai jenis penyegar yang dicampur dengan ekstrak bau-bauan yang harum seperti lavender dan bunga ros.

Biarkan selama beberapa jam sehingga ia kembali kering.

Langkah 7 : Cadar Tilam

Setelah segalanya sedia, anda boleh meletakkan kembali tilam dengan pelapik cadar dan cadar hiasan yang telah dibersihkan. Begitu juga dengan comforter dan sarung bantal.

Tips Tambahan : Bagaimana Mengelakkan Alergik Tilam

Sebenarnya tidak cukup dengan hanya menyediakan sarung bantal dan cadar untuk menjamin kebersihan tilam ketika tidur. Kadang-kadang anda tidak sedar bahawa permukaan tilam yang hanya dilapisi oleh sehelai kain cadar boleh menyebabkan pelbagai jenis debu, habuk, kotoran dan kesan tumpahan seperti air liur, urin dan sebagainya menyerap ke dalam liang-liang tilam.

Tambahan lagi, pada keadaan tertentu badan manusia yang berpeluh juga boleh meninggalkan kesan yang tidak bersih pada tilam. Jika dibiarkan tanpa dibersihkan, lama kelamaan bahagian dalam tilam akan dipenuhi dengan hama yang begitu sukar dilihat oleh mata. Hama inilah yang menyebabkan gatal-gatal dan alergi pada kulit kita semasa tidur.

Cadar tilam. Cadar tilam penting sebagai lapisan pertama yang akan menyerap sebarang jenis kekotoran yang tumpah pada permukaan tilam. Sebelum tumpahan terkena pada tilam lapisan cadar inilah yang akan menyerap dahulu kotoran tersebut.

Elakkan daripada membiarkan haiwan peliharaan seperti kucing dan anjing tidur di atas katil anda. Bulu-bulu haiwan yang tertinggall di atas katil akan menyebabkan kegatalan pada kulit yang alergik. Haiwan yang tidak bersih juga berkemungkinan dihidapi kutu yang boleh berpindah dari bulu mereka ke dalam lapisan tilam.

Pilihan Editor :

Ambi Pur Febreze Blossoms and Breeze 800ml

Clorox Lavender Bleach

White Factor Antibacterial Disinfectant Spray

 

Get Reviews Widget

Leave a review

You may also like...