Banyak pengetahuan am yang ibu bapa perlu ambil tahu apabil menerima cahaya mata baru. Pengetahuan ini termasuklah cara untuk menguruskan bayi dari segi mandi, penyusuan, dan cara untuk menidurkannya. Selain itu, ada satu lagi perkara yang ibu bapa perlu ambil tahu, iaitu cara untuk sendawakan bayi.

Bayi perlu disendawakan selepas sesi penyusuan. Hal ini berikutan apabila bayi menyusu, mereka juga turut menelan udara. Ini menyebabkan bayi mengalami kembung perut atau juga memuntahkan kembali susu dan membuatkan mereka berasa tidak selesa. Disebabkan itu lah, ianya amat penting untuk ibu bapa sendawakan bayi setiap kali selepas penyusuan. Bukan itu sahaja, proses sendawakan bayi mampu untuk mengelakkan bayi daripada tersedak susu.

Proses ini mungkin nampak seakan tidak sukar dan remeh tetapi ianya memerlukan teknik dan cara yang betul bersesuaian buat bayi. Penting buat ibu bapa mengetahui kaedah terbaik untuk menangani gas berlebihan dalam perut.

Bagaimana bayi boleh kembung perut?

Angin sering terperangkap dalam sistem penghadaman dan perlu dibebaskan untuk melancarkan fungsi penghadaman bayi. Sendawa dapat melegakan perut bayi agar berasa lebih selesa selepas sesi penyusuan. Bayi akan tertelan sedikit angin sewaktu menyusu samada melalui penyusuan badan mahupun menggunakan botol. Angin yang banyak dalam badan membuatkan mereka menyusu dalam kuantiti yang sedikit sahaja dan kemudian akan mula berasa tidak selesa.

Penyusuan menggunakan botol susu lebih menjurus kepada perkara ini berlaku. Ini kerana, aliran susu lebih cepat dan bayi mudah tertelan angin. Amat digalakkan untuk anda agar tidak menggoncangkan botol susu terlalu kuat kerana tanpa disedari, ia akan menambahkan gelembung udara dalam susu. Penyusuan susu badan juga boleh menyebabkan kembung perut. Digalakkan agar ibu pamkan dahulu aliran susu sehingga alirannya tidak terlalu laju. Bayi yang kelaparan dan minum susu dengan cepat juga mengakibatkan angin dalam perut.

Perhatikan pemakanan ibu

Diet ibu amat berkait rapat dengan menyumbang kepada angin dalam perut bayi melalui susu badan. Susu badan terhasil melalui makanan yang diambil oleh ibu, maka apa yang ibu makan akan diambil oleh bayi juga. Kekacang dan sayuran tinggi karbohidrat seperti kubis dan kacang tanah serta minuman berkarbonat perlu dielak sama sekali. Makan yang boleh menyebabkan alahan pada bayi seperti produk tesusu – keju, susu dan aiskrim juga perlu dielak sama sekali. Alah terhadap makanan akan menyebabkan perut bayi menghasilakn gas dengan lebih banyak dalam perut. Oleh itu, sesuaikan diet harian dengan perut bayi. Mari pelajari cara-cara sendawakan bayi:

1. Waktu terbaik sendawakan bayi

Bayi akan mula menangis apabila perut mereka terasa kembung. Untuk mengelakkan situasi ini daripada berlaku, sendawakan bayi sejurus selepas menyusukan bayi. Sendawakan bayi sebelum beralih ke bahagian payudara yang lain agar dapat memberi ruang kepada perut bayi untuk minum lebih susu dan justeru membantu mereka agar berasa kenyang. Untuk bayi yang menyusu menggunakan botol, ianya digalakkan untuk sendawakan mereka selepas menyusukan 60-90ml susu.

2. Persediaan

Sebelum anda sendawakan bayi, sediakan dahulu kain lap yang bersih. Hal ini kerana bayi akan memuntahkan sedikit susu ketika proses sendawa dilakukan. Apabila bayi sudah mula menangis semasa sesi penyusuan atau makan, ini menandakan bahawa bayi sudah mula tidak rasa selesa pada perutnya. Berhenti menyusukan bayi dan cuba sendawakannya. Menangis yang berterusan lagi membuatkan bayi tertelan lebih angin dan mereka akan meragam dan mudah termuntah.

3. Posisi untuk sendawakan bayi

Ada beberapa posisi dan cara untuk sendawakan bayi yang anda boleh pelajari. Cara pertama yang sering kali digunapakai oleh para ibu bapa ialah dengan menyandarkan bayi pada bahu. Caranya ialah dengan melentokkan bayi pada bahu dan menepuk bahagian belakang badannya dengan perlahan dan lembut. Tepuk badannya sehingga bayi sendawa.

Cara seterusnya ialah dengan meribakan bayi dan tepuk badannya secara lembut dan perlahan. Bayi perlu diletakkan dalam posisi muka menghadap ke bawah di mana sebelah tangan mengampu dadanya. Sebelah tangan lagi digunakan untuk menepuk belakang badan. Lentokkan badan bayi sedikit ke hadapan untuk memudahkan proses sendawa.

Bayi yang baru lahir amat lembut dan rapuh. Pastikan leher dan kepala mereka disokong sepenuhnya. Menukar bayi kepada beberapa posisi dapat membantu mengeluarkan angin dengan lebih lancar. Fokuskan menepuk belakang bayi pada bahagian kiri kerana ianya merupakan lokasi yang berdekatan dengan perut.

Ibu bapa boleh juga cuba untuk melakukan teknik urutan lembut pada bahagian perut jika bayi meragam dan tidak dapat disendawakan. Boleh rujuk artikel Teknik Terbaik Untuk Mengurut Bayi Baru Lahir. Anda boleh gunakan kaedah pergerakan ‘mengayuh basikal’ dalam keadaan bayi berbaring. Melatih bayi untuk meniarap juga dapat membantu mengurnagkan gas dalam perut.

4. Berapa lama proses ini?

Kebiasaannya, proses ini mengambil masa antara 1-5 minit bergantung pada bayi. Jangan khuatir jika bayi anda yang sudah sedikit besar tidak sendawa selepas beberapa minit. Hal ini kerana mungkin mereka sudah bijak untuk tidak menelan udara yang berlebihan ketika menyusu. Anda disarankan untuk sendawakan bayi sekurang-kurangnya untuk tempoh 6-9 bulan yang pertama. Ianya lebih baik jika tempoh tersebut dipanjangkan sehingga bayi berumur setahun atau lebih. Bayi yang boleh bergerak dan berdiri sendiri kebiasaannya sudah mula pandai sendawa sendiri tanpa bantuan daripada ibu bapa.

Sila ke laman web 100Comments untuk mengetahui lebih banyak tips-tips keibubapaan. Selamat membaca!