Travel ketika hamil bukan perkara mudah yang mampu dilalui dengan tenang oleh seorang bakal ibu. Sama ada ibu hamil merancang travel untuk urusan kerja dan percutian, perut yang sedang membesar apatah lagi dalam keadaan sarat boleh memberi tekanan perasaan. Seharusnya rumah menjadi tempat terbaik bagi ibu hamil merehatkan diri. Duduk untuk jangka masa yang lama di atas kapal terbang yang ruang bergeraknya agak terhad akan memberikan ketegangan pada otot ibu hamil. Itu belum lagi bila mereka perlu ke sana dan ke mari semasa travel dalam keadaan perut yang sedang membesar. Penat dan rasa tidak selesa pada tubuh badan boleh menjadi punca urusan kembara anda menjadi tidak lancar.
Hanya kerana anda sedang hamil tidak bermakna anda perlu melalui proses perjalanan yang penuh stres. Oleh itu bagi ibu hamil yang akan travel, anda memerlukan tips berguna sebagai persediaan awal sebelum memulakan perjalanan. Berikut kami senaraikan tips travel ketika hamil yang perlu anda semak dan lakukan sebelum dan semasa travel.
1.Dapatkan Nasihat Doktor
Terdapat had masa bagi syarikat penerbangan membenarkan ibu hamil menaiki pesawat. Oleh itu anda memerlukan nasihat doktor sebelum melalui perjalanan. Ibu hamil yang sedang hamil antara 7 sehingga 9 bulan tidak sesuai untuk perjalanan jauh menerusi kapal terbang. Ini disebabkan faktor risiko ke atas kehamilan ketika berada di kawasan beraltitud tinggi.
2. Dapatkan Surat Akuan Doktor Lebih Awal
Selain itu anda juga memerlukan surat akuan doktor tentang tempoh dan keadaan kehamilan anda sebelum dibenarkan menaiki sesuatu pesawat. Doktor akan menentukan sama ada keadaan kehamilan anda sesuai atau tidak sesuai untuk melalui penerbangan. Surat akuan doktor juga menjadi salah satu syarat keperluan bagi ibu hamil sebelum menaiki penerbangan. Anda perlu menyediakan surat tersebut sekurang-kurangnya sebulan lebih awal kepada syarikat penerbangan yang anda bakal naiki.
3. Pemilihan Lokasi Pelancongan & Penginapan
Tentukan situasi keadaan kesihatan dan cuaca tempat yang anda bakal lawati. Jika cuaca terlalu panas seperti negara Timur Tengah dan Asia Tenggara, pastikan anda menyediakan payung sepanjang masa untuk mengelakkan pendedahan terhadap cahaya matahari yang berterusan. Penginapan juga perlu dipastikan selesa dan lengkap dengan penghawa dingin.
Begitu juga jika anda melawati negara atau lokasi beraltitud tinggi atau yang sedang mengalami musim sejuk. Pastikan anda membawa persediaan pakaian yang bersesuaian untuk mengelakkan hipotermia. Penggunaan kasut juga perlu dipastikan sesuai untuk mengelakkan kegelinciran semasa di atas permukaan ais yang membeku. Bilik penginapan juga perlu lengkap dengan alat pemanas untuk keselesaan dalam cuaca yang sejuk.
4. Pilih Tempat Duduk Semasa Dalam Penerbangan
Ibu hamil yang akan travel menerusi penerbangan perlu memilih tempat duduk yang lebih selesa dan sesuai mengikut saiz badan anda ketika hamil. Pilih tempat duduk yang memudahkan pergerakan keluar masuk anda untuk ke tandas. Tempat duduk bersebelahan tingkap tidak sesuai bagi ibu hamil. Paling sesuai adalah tempat duduk yang terletak bersebelahan laluan keluar masuk penumpang.
5. Bawa Bekalan Vitamin Secukupnya
Pastikan anda menyimpan dan membawa segala vitamin yang dibekalkan oleh doktor ketika hamil. Kuantiti dan dos vitamin perlu dibekalkan secukupnya mengikut tempoh masa perjalanan anda. Sediakan satu bekas ubat bersaiz kecil untuk menyimpan segala ubat dan vitamin yang diperlukan. Dianggarkan lebih daripada 10 jenis vitamin diperlukan bagi ibu hamil. Antaranya asid folik, vitamin D, kalsium, vitamin C, tiamina, roboflavin, niasin dan lain-lain. Jika perlu, dapatkan nasihat doktor tentang vitamin yang manakah boleh dilangkau pengambilannya dan vitamin penting yang perlu dimakan setiap hari.
6. Manjakan Kaki Anda Semasa Dalam Perjalanan
Duduk untuk tempoh masa yang panjang semasa dalam penerbangan boleh menyebabkan kaki anda kejang dan membengkak. Bagi ibu hamil yang melalui perjalanan dengan kenderaan darat, perkara ini boleh di atasi dengan berhenti di kawasan Rehat & Rawat. Apabila memandu anda disarankan berehat setiap satu jam perjalanan.
Namun bagi ibu hamil yang mengharungi penerbangan, perkara ini agak sukar dilakukan. Tanggalkan kasut anda untuk lebih selesa. Namun pastikan anda memakai sarung kaki yang bersesuaian. Ambil masa yang sesuai untuk berjalan-jalan ke tandas atau berdiri seketika di sisi tempat duduk supaya aliran darah tubuh anda tidak menyebabkan pembekuan yang boleh membahayakan ibu hamil. Cuba berjalan dan berdiri seketika setiap 30 minit. Semasa duduk, gerak-gerakkan jari dan pergelangan kaki untuk mengelakkan rasa kekejangan.
Penerbangan yang panjang sehingga 18 jam bagi ibu hamil boleh menjadi penyebab terjadinya tromboembolisme (VTE). Keadaan ini menyebabkan pembekuan darah pada salur darah yang menghalang aliran oksigen ke peparu. Banyak kes kematian mengejut wanita hamil berlaku semasa dalam penerbangan yang lama.
7. Vaksin
Sekiranya anda terpaksa pergi ke negara-negara yang mengalami ancaman risiko yang tinggi dari segi penularan wabak atau kualiti kesihatan yang tidak memuaskan, pastikan anda mendapatkan nasihat doktor berkenaan suntikan vaksin.
Kebanyakan suntikan vaksin tidak sesuai bagi ibu mengandung kerana dibimbangi komplikasi ke atas kandungan. Ini kerana kebanyakan vaksin dihasilkan daripada virus hidup yang boleh menjangkiti bayi dalam kandungan. Namun ada juga sesetengah vaksin yang selamat diambil oleh ibu hamil untuk pencegahan penyakit tertentu seperti vaksin hepatitis B, tetanus dan difteria.
8. Jaga Makan & Minum
Elakkan dehidrasi dengan minum air secukupnya. Air yang mencukupi dalam badan akan membantu peredaran darah dalam badan anda berjalan dengan lancar. Ia juga membantu mengelakkan risiko tromboembolisme (VTE) iaitu pengumpulan darah beku pada salur darah yang menghalang peredaran oksigen ke paru-paru. Elakkan daripada minuman berkafein. Sebaliknya anda boleh menggantikan dengan jus buah-buahan.
Sediakan pek makanan berkhasiat sentiasa di bawa di dalam beg. Makanan berkhasiat ini boleh terdiri daripada kekacang, buah-buahan kering seperti kismis dan prun, biskut gandum dan sebagainya.
Semasa ketibaan di sesuatu destinasi pula, pilih makanan yang berkhasiat dan bersih. Elakkan daripada membeli makanan yang dijual di tepi jalan iaitu street food. Elakkan memakan daging mentah dan sayur-sayuran yang tidak dimasak. Contohnya sushi makanan laut dan daging yang didapati secara meluas di negara Jepun. Pastikan anda tetap memilih makanan berkhasit seperti buah-buahan, sayur-sayuran dan makanan berprotein tinggi.
Semasa travel ibu hamil mungkin akan cepat lapar daripada biasa. Oleh itu, makan antara lima sehingga enam kali sehari penting untuk bekalan tenaga sepanjang kembara.
9. Pengurusan Masa & Aktiviti
Kebanyakan rancangan melancong akan terisi dengan aktiviti seperti membeli-belah dan mengunjungi lokasi-lokasi menarik. Berjalan untuk tempoh masa yang lama bagi aktiviti membeli-belah akan memenatkan bagi ibu hamil. Oleh itu pastikan pengurusan jadual waktu dikurangkan bagi aktiviti seperti berjalan. Anda boleh penuhi jadual pelancongan seperti menaiki kapal persiaran, berjalan-jalan dengan menaiki bas pelancongan, makan di restoran tumpuan pelancong dan sebagainya. Anda masih boleh membeli belah. Namun elakkan melakukannya untuk tempoh masa yang terlalu lama kerana kepenatan ketika berjalan boleh menyebabkan komplikasi kepada ibu hamil.