Ibu bapa mana yang tidak ingin melihat anaknya dilahirkan ke dunia dengan fizikal yang sempurna dan sihat tubuh badan. Namun ia bukanlah pilihan manusia kerana sesetengah bayi akan dilahirkan dalam keadaan tidak cukup bulan atau dipanggil sebagai bayi pramatang. Biasanya bayi pramatang akan lahir beberapa sekurang-kurangnya tiga minggu lebih awal dari tarikh bersalin yang dijangka. Seringkali bayi yang lahir tidak cukup bulan akan mengalami beberapa masalah kesihatan.
Fizikal bayi pramatang menunjukkan perbezaan yang ketara berbanding dengan bayi yang lahir secara normal. Kebiasaanya, ciri mereka boleh dilihat kurang sempurna dari segi fizikal. Tubuh badan mereka begitu kurus, tidak berisi dan kekurangan berat badan. Ini disebabkan lemak dalam badan mereka tidak mencukupi. Mereka juga berisiko menghidap penyakit yang kebiasaannya dialami oleh bayi pramatang seperti demam kuning, masalah peparu dan pernafasan.
Masalah kesihatan ini adalah perkara biasa yang terjadi kepada bayi yang lahir tidak cukup bulan. Selepas ditahan beberapa minggu di wad penjagaan kanak-kanak, doktor yang berpuas hati dengan tahap kesihatan bayi tersebut akhirnya akan membenarkan ibu bapa membawa pulang bayi untuk penjagaan seterusnya di rumah. Untuk itu, ibu bapa terlibat perlu mengetahui tips penjagaan bayi pramatang di rumah bagi memastikan bayi membesar dengan sihat. Berikut ialah tips yang kami boleh kongsikan bersama anda.
Menyusukan Bayi Di Rumah
Kebiasaanya semasa di dalam wad kelahiran, bayi pra matang akan dibekalkan susu melalui Intravenous Feeding atau IV. Kaedah ini membolehkan bayi menerima nutrien selepas dilahirkan. Susu ibu tetap memainkan peranan paling penting dan proses membekalkan susu ibu ini akan terus berlangsung sehinggalah bayi dibenarkan pulang oleh doktor.
Bayi yang lahir pra-matang biasanya akan mengalami masalah menyesuaikan diri untuk menelan susu dan penyerapan nutrien dalam badan. Koordinasi bayi pra-matang dalam menghisap, menyedut dan menelan susu agak sukar berbanding bayi yang lahir secara normal.
Susukan bayi secara perlahan-lahan sehingga mereka mampu menelan secara normal. Biarkan mereka belajar secara semulajadi kaedah menyedut, menelan dan bernafas ketika disusukan. Ianya merupakan satu proses alami yang dipelajari melalui perhubungan deria rasa bibir bayi menyentuh puting susu. Jika dipaksa menyedut dan menelan terlalu laju, bayi mungkin akan tercekik yang akan mengakibatkan mereka sukar untuk bernafas. Pada peringkat ini mungkin ibu bapa dan bayi itu sendiri akan merasai sedikit kesukaran menyesuaikan diri.
Tiada tempoh khusus yang benar-benar tepat bagi bayi pra-matang belajar menyusu menggunakan botol susu. Sesetengahnya mampu belajar lebih cepat dan mengambil masa yang singkat untuk minum menggunakan botol susu.
Untuk mengetahui lebih lanjut tentang penyusuan bayi pramatang, baca artikel panduan kaedah menyusukan bayi pra matang
Sentiasa Memantau Kesihatan Bayi
Semakin awal kelahiran bayi, semakin tinggi komplikasi dan semakin banyak masalah kesihatan yang dihadapi. Setelah doktor berpuas hati dengan tahap kesihatan bayi pramatang yang ditahan di wad selama beberapa minggu, kini tiba masanya untuk anda pula memastikan bayi pra matang anda sentiasa sihat dalam penjagaan di rumah.
Sebelum doktor membenarkan bayi dibawa pulang ke rumah, ibu bapa perlu memastikan beberapa persediaan rapi dilakukan lebih awal.
- Dapatkan nasihat atau taklimat ringkas dari doktor dan jururawat yang merawat bayi pramatang anda semasa masih di hospital. Anda perlu mengetahui beberapa perkara penting termasuk keadaan kesihatan bayi, ubat-ubatan, vaksin dan nasihat tentang kaedah yang tepat mengenai penyusuan bayi pramatang.
- Belajar mengenai teknik CPR bayi iaitu teknik menyelamat bagi mengembalikan pernafasan seseorang. Ia penting jika bayi tiba-tiba diserang masalah pernafasan disebabkan faktor kesihatan dan tersedak susu semasa di rumah.
- Tanya pada doktor atau jururawat jika bayi anda memerlukan peralatan khusus semasa di rumah. Sebagai contoh alat ventilator untuk membekalkan makanan kepada bayi. Ketahui kaedah penggunaan alat-alat asas yang dibekalkan kepada anda di rumah.
- Dapatkan info mengenai jadual lawatan dan doktor yang merawat bayi anda jika pihak hospital masih memerlukan anda membawa bayi ke hospital untuk sesi pemantauan kesihatan.
- Pastikan dengan pihak hospital jika bayi anda perlu melalui pemeriksaan tertentu seperti ujian darah, ujian pendengaran dan penglihatan.
Hadkan Kunjungan Pelawat
Berita kelahiran orang baru dalam senbuah keluarga tentu mengembirakan ahli keluarga dari sebelah suami dan isteri. Tidak kurang juga jiran-jiran dan rakan-rakan yang mengenali diri anda. Mereka tentunya teruja untuk melihat bayi kecil yang anda baru lahirkan.
Tetapi anda perlu berhati-hati menerima jumlah tetamu yang ramai. Bayi pramatang mempunyai tahap imunisasi yang lemah. Mereka terdedah dengan pelbagai jangkitan penyakit yang berpunca dari sentuhan. Anda tidak dapat mengawal ragam pelawat yang tentunya bukan sekadar ingin melihat bayi anda. Mereka juga ingin menyentuh dan mencium bayi anda. Hal ini akan mendedahkan bayi dengan pelbagai serangan bakteria dan virus pembawa penyakit.
Hati-hati dengan pelawat yang mengalami selesema, demam dan batuk serta penyakit-penyakit lain yang bepotensi menjangkiti bayi pramatang anda. Sebaiknya, hadkan jumlah pelawat yang hadir. Maklumkan kepada mereka tentang keadaan bayi pramatang anda yang masih belum bersedia menerima kunjungan tetamu.
Elakkan Sindrom Kematian Bayi Mengejut (Sudden Infant Death Syndrome – SIDS)
Kematian bayi di bawah usia 12 bulan sering berlaku tanpa sebab dan kebiasaannya ia bukan berpunca daripada penyakit. Bayi pramatang adalah antara mereka yang paling berisiko mengalami SIDS. Ia merupakan kematian mengejut yang sering berlaku kepada bayi yang baru lahir. Pelbagai faktor menyumbang kepada kematian mengejut di kalangan bayi baru lahir.
Antara punca-punca kematian SIDS yang sering dikenalpasti adalah tercekik yang mengakibatkan bayi mengalami sesak nafas. Kes tersedak susu dan lemas ketika tidur seringkali dikaitakan dengan masalah ini. Keadaan cuaca yang terlalu panas juga boleh menyumbang kepada SIDS. Posisi tidur yang salah juga menjadi salah satu punca.
Pastikan keadaan persekitaran rumah anda selamat dari risiko-risiko berkaitan SIDS.
Memandikan Bayi Pramatang
Kebiasaannya jururawat hospital tempat anda bersalin akan memberikan tunjuk ajar tentang cara-cara memandikan bayi pramatang dengan cara yang betul. Ada beberapa peralatan khusus dan teknik yang betul supaya bayi pramatang anda rasa selesa setiap kali selepas mandi.
Secara asasnya anda perlu menyediakan air suam, kapas kecil, tuala, minyak angin dan minyak bayi. Bedung badan bayi terlebih dahulu termasuk kedua-dua belah tangan. Kemudian gunakan kapas yang berlainan untuk menyapu air di bahagian muka. Satu kapas untuk satu sapuan sahaja. Ini untuk mengelakkan daripada jangkitan kuman yang melekat pada kapas. Ikuti dengan lap menggunakan tuala kering.
Anda juga boleh merendam kaki bayi dalam air suam. Sambil itu siram kepala bayi dan seterusnya gunakan cecair sabun dan syampu untuk kepala. Pastikan anda tidak mengambil masa terlalu lama semasa memandikan bayi untuk mengelakkan mereka kesejukan. Akhir sekali lap dengan tuala kering.
Bayi Semasa Dalam Kereta
Bayi pramatang yang mengalami masalah pernafasan perlu mempunyai had masa semasa di dalam kereta. Tempoh masa mereka berada di dalam kereta yang disarankan sebaiknya tidak melebihi dari satu jam. Dapatkan nasihat daripada doktor terlebih dahulu jika anda benar-benar perlu melalui perjalanan lebih daripada tempoh masa satu jam. Keadaan kepala bayi juga perlu dipastikan selesa dalam dukungan anda. Ini kerana kepala dan tulang belakang mereka masih terlalu lembut untuk berada dalam kedudukan posisi duduk yang terlalu lama dalam kenderaan.