Setelah menunggu sembilan bulan mengandungkan bayi dalam kandungan, akhirnya tibalah masa yang dinantikan untuk menyambut kehadiran cahaya mata ke dunia ini. Tentulah seorang ibu akan paling gembira kerana bakal menyambut kelahiran bayi tercinta. Namun dalam masa yang sama, ketakutan menghadapi saat bersalin terasa seolah-olah hendak terkeluar jantung dari rongga dada. Seorang ibu yang bersalin untuk melahirkan seorang anak ke dunia ibarat mempertaruhkan nyawanya di hujung tanduk. Nyawa mereka berada di sempadan hidup dan mati. Seorang lelaki yang kuat dari segi fizikal pun belum tentu mampu menanggung kesakitan seperti apa yang dilalui oleh seorang ibu ketika hendak bersalin.

Sakitnya Kontraksi Bersalin

Namun, ketakutan menghadapi kesakitan hendak bersalin tidak pernah mematahkan semangat seorang wanita bergelar ibu dan isteri. Kontraksi kesakitan bersalin mungkin berbeza bagi wanita. Ada yang terpaksa menanggung kesakitan kontraksi selama dua ke tiga hari sebelum hari bersalin. Ada yang bersalin dengan mudah dan hanya menanggung kesakitan kontraksi selama beberapa jam sahaja. Tempoh masa untuk bersalin di bilik bedah turut bergantung kepada beberapa faktor. Antaranya :

  • Berapa kali wanita itu pernah melahirkan
  • Adakah wanita itu melahirkan anak untuk kali pertama
  • Kekuatan kontraksi
  • Posisi bersalin sama ada menegak atau baring
  • Saiz bukaan serviks
  • Suntikan penahan sakit atau suntikan epidura
  • Kedudukan bayi semasa hampir keluar sama ada anterior, posterior, songsang dan melintang

Ibu yang bersalin buat kali pertama atau kedua selalunya akan merasai ketakutan yang lebih berbanding ibu yang pernah beberapa kali bersalin. Bagi seorang wanita Muslim, anda sebenarnya boleh mengatasi ketakutan bersalin mengikut cara Islam. Tips-tips yang diberikan di bawah ini insyaallah akan dapat membantu para ibu mengatasi ketakutan bersalin.

Bagi si bapa pula, anda juga tidak seharusnya mengabaikan tips berguna ini sebagai langkah mengurangkan keresahan anda di saat isteri berjuang di bilik bersalin. Jangan nanti suami pula yang pengsan melihat isteri menjerit ketika hendak bersalin sehingga terpaksa dimasukkan ke wad.

Tips Mengatasi Ketakutan Bersalin Mengikut Cara Islam

Tempoh mengandung dan bersalin merangkumi tempoh masa dalam perjalanan yang sama. Oleh itu, sejauh mana ketakutan dan kesakitan saat bersalin bergantung juga kepada amalan-amalan rohani yang diamalkan beberapa bulan sebelum bersalin.

1. Tidak Meninggalkan Solat

Sentiasa memastikan solat dilaksanakan sempurna lima waktu sehari. Dengan solat, seseorang itu akan mendapat keberkatan dan ketenangan hidup. Melaksanakan solat juga sebagai satu cara mendekatkan diri anda dengan pencipta iaitu Allah s.w.t. Seseorang yang tidak menjaga solat akan hilang keberkatan dan sukar untuk mencapai ketenangan dalam jiwanya.

2. Perbanyakkan Taubat & Istighfar

Pastikan bibir anda tidak lekang daripada ucapan istighfar. Lafaz istighfar dapat membersihkan diri daripada segala dosa dan seterusnya menjadikan anda sentiasa tenang kerana sentiasa bertaubat memohon keampunan. Istighfar jua adalah salah satu cara bagi memudahkan segala urusan hidup. Ini termasuklah ketika hendak bersalin. Dengan memperbanyakkan istighfar, insyaallah anda akan dapat lalui saat-saat bersalin dengan lebih mudah dan lancar.

3. Perbanyakkan Membaca & Mendengar Ayat Al-Quran

Ketika sedang mengandung, ada baiknya anda menggantikan alunan muzik dengan mendengar ayat suci Al-Quran dengan lebih kerap. Lebih afdhal lagi jika anda membacanya sendiri setiap hari sekurang-kurangnya satu muka surat. Tidak terdapat surah tertentu yang ditetapkan bagi amalan ibu hamil. Anda boleh membaca dan mendengar mana-mana surah dalam Al-Quran sebagai terapi untuk ketenangan diri menghadapi saat-saat bersalin.

Seperti yang termaktub dalam terjemahan, Al-Quran itu memberikan ketenangan dan penawar bagi hati.

“Dan Kami turunkan dari Al-Quran suatu yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman dan Al-Quran itu tidaklah menambah kepada orang-orang yang zalim selain kerugian.” (Surah Al-Isra, ayat 82)

Orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan berzikir (mengingat) Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingat Allah hati menjadi tenteram” (QS ar-Ra’du:28).

Antara surah yang disarankan bagi amalan ibu hamil adalah :

  • Surah Al-Fatihah
  • Surah Maryam
  • Surah Luqman
  • Surah Yusuf
  • Surah Al-Kahfi (Setiap hari Jumaat)
  • Surah Yassin
  • Surah At-Taubah
  • Surah An-Nahl

4. Menjaga Perhubungan Dengan Suami

Penting bagi seorang isteri apatah lagi yang sedang hamil untuk mendapatkan keredhaan seorang suami. Sentiasa menjaga adab dan percakapan dengan suami untuk mengelakkan daripada menderhakai suami. Isteri yang derhaka terhadap suami tanpa alasan yang dibenarkan dalam Islam akan sukar mendapat keberkatan dan keredhaan daripada Allah s.w.t. Apabila seorang ibu hamil diredhai oleh Allah s.w.t, segala urusannya akan dipermudahkan termasuk ketika menghadapi saat-saat hamil dan bersalin.

5. Makanan & Minuman Pastikan Yang Halal

Setiap apa yang dimakan dan minum akan menjadi darah daging anda dan bayi dalam kandungan. Dalam Islam, kita telah diajar bagi memastikan makanan dan minuman dipastikan halal dan suci. Secara pasti seperti yang termaktub dalam Al-Quran, bangkai, darah, daging babi dan binatang yang tidak disembelih dengan menyebut nama Allah tidak halal dimakan.

Begitu juga dengan minuman seperti arak. Sebagai ibu Muslim, anda perlu memastikan sumber makanan yang dimakan dipastikan halal dan suci sekadar yang mampu. Antaranya tidak makan dari hasil curian dan proses sembelihan yang tidak melalui langkah yang dianjurkan dalam Islam.

6. Jauhi Maksiat & Larangan

Jauhi daripada melakukan maksiat secara terang-terangan atau bersembunyi. Maksiat yang dilakukan secara berterusan tanpa bertaubat akan melahirkan titik hitam di dalam hati yang akhirnya menutup hati kita melihat kebenaran. Melanggar larangan dan melibatkan diri dengan maksiat ketika sedang hamil sedikit sebanyak akan memberi kesan sepanjang kehamilan dan ketika hampir saat untuk bersalin. Cara terbaik adalah sentiasa bertaubat dan istighfar dari melakukan maksiat dan dosa.

7. Sentiasa Jaga Perhubungan Sesama Manusia

Jangan menyakiti hati ahli keluarga, saudara mara, rakan-rakan, orang miskin, anak-anak yatim dan sesiapa sahaja. Apabila anda mengelakkan diri daripada menyakiti seseorang ketika sedang hamil, secara tidak langsung anda akan mendapat ketenangan dari jiwa yang busuk. Ketenangan jiwa di saat-saat hamil dan bersalin amat penting bagi memastikan tempoh masa tersebut berjalan dengan lancar tanpa sebararang masalah yang tidak dapat diselesaikan.

8. Jaga Tutur Kata, Jangan Menyakiti Orang Lain

Jaga pertuturan iaitu lidah ketika mengucapkan kata-kata kepada seseorang. Menyakiti hati seorang Muslim melalui bahasa dan percakapan yang biadap serta mengguris hati akan memberi kesan terhadap hidup seseorang. Apatah lagi bagi seorang wanita hamil. Seharusnya ketika hamil anda perlu lebih banyak mendiamkan diri dengan memperbanyakkan istighfar dan sentiasa mengucapkan kata-kata yang baik.9. Sentiasa Menjaga Aurat

Sebaik-baiknya sebagai seorang Muslimah, aurat anda tidak ditayangkan kepada khalayak umum secara berlebihan selain daripada menampakkan aurat kepada suami. Walaupun mungkin aurat ini tidak mempengaruhi kesannya ketika anda hendak bersalin, namun sekurang-kurangnya apabila seseorang itu melaksanakan apa yang diperintahkan oleh Allah s.w.t, jiwa mereka akan lebih tenang dan diredhai oleh Allah s.w.t

9. Dapatkan Redha, Keampunan Suami, Ibu & Bapa

Sentiasa memohon redha dan keampunan daripada suami beberapa hari sebelum jangkaan hari bersalin. Mohonlah juga redha serta keampunan jika anda masih mempunyai ibu dan bapa sama ada kandung atau mentua. Restu dan kemaafan mereka amat penting kerana pelbagai kemungkinan boleh berlaku ketika anda berjuang di dewan bersalin.

10. Sentiasa Menjaga Aurat

Sebaik-baiknya sebagai seorang Muslimah, aurat anda tidak ditayangkan kepada khalayak umum secara berlebihan selain daripada menampakkan aurat kepada suami. Walaupun mungkin aurat ini tidak mempengaruhi kesannya ketika anda hendak bersalin, namun sekurang-kurangnya apabila seseorang itu melaksanakan apa yang diperintahkan oleh Allah s.w.t, jiwa mereka akan lebih tenang dan diredhai oleh Allah s.w.t

Tidak Putus Berdoa

Jangan putus berdoa kepada Allah s.w.t. Doa perlulah dilakukan seawal kehamilan sehinggalah saat-saat anda memasuki dewan bersalin. Berdoa dapat mengukuhkan hati dan keyakinan anda untuk perjuangan di bilik bersalin.