Beg lampin atau diaper beg menjadi satu keperluan wajib bagi ibu bapa yang mempunyai anak kecil yang masih bayi. Sebagai ibu bapa, anda pasti akan memerlukan sekurang-kurangnya satu biji diaper beg terutama apabila ingin melakukan aktiviti di luar seperti apabila berjalan-jalan, melancong, melawat saudara mara dan sebagainya. Anda boleh memilih apa jua jenis jenama dan bentuk diaper beg yang digemari mengikut keselesaan masing-masing. Apa yang penting, segala keperluan barangan asas bayi perlu dipersiapkan dalam diaper beg beberapa jam lebih awal sebelum keluar dari rumah.

Selalunya si ibulah yang akan merancang, menyedia dan menyimpan segala keperluan bayi dalam sebuah diaper bag apabila ingin keluar. Bagi memastikan tiada barang bayi yang tertinggal, ibu-ibu perlu tahu mengutamakan senarai barangan yang perlu dan meninggalkan barangan yang tidak perlu dibawa supaya beg tidak menjadi terlalu berat.  Bagi para ibu yang masih belajar tentang penyediaan barangan yang perlu ada dalam sebuah diaper beg, berikut ialah 8 barang yang anda perlu pastikan wajib dibawa sebelum melangkah keluar daripada rumah.

1.LAMPIN

Tiada barangan bayi yang lebih penting selain daripada lampin. Percayalah! Anda akan memerlukan lebih daripada satu keping lampin apabila berada di luar rumah. Ianya bergantung kepada berapa lama tempoh masa anda akan keluar daripada rumah.

Jika keluar dan balik pada hari yang sama, sekurang-kurangnya dua keping lampin perlu dipersiapkan dalam diaper beg bagi memastikan keselesaan bayi semasa berada di luar rumah. Bilangan lampin tambahan yang dicadangkan adalah untuk setiap dua jam pemakaian. Anda tentu tidak mahu mengeluarkan kos secara terpaksa semata-mata untuk membeli lampin baharu gara-gara gagal membawa lampin yang secukupnya saat berada di luar rumah. Biar terlebih bawa jangan terkurang.

2. TISU BASAH (WIPES)

Terdapat pelbagai jenis bentuk dan kotak tisu basah. Belilah saiz kotak yang sesuai mengikut saiz diaper beg yang anda miliki. Tisu basah diperlukan untuk membersihkan bahagian alat sulit mereka selepas membuang air besar atau air kecil. Semak dahulu jika kotak tisu basah masih penuh atau sudah separuh dihabiskan.

Semasa berada di luar rumah, anda memerlukan sekurang-kurangnya satu kotak tisu basah yang masih penuh. Lebih-lebih lagi apabila pergi ke lokasi yang sukar memperolehi bekalan air bersih dan untuk tempoh masa yang lama. Tisu wipes juga boleh digunakan untuk mengelap kotoran selepas bayai atau kanak-kanak selesai makan.

3. PAKAIAN TAMBAHAN

Selalu pastikan baju tambahan bayi dibawa bersama apabila ingin jalan-jalan untuk tempoh masa yang lama. Pakaian tambahan ini termasuklah seluar dan baju. Ia sebagai persediaan jika berlaku sesuatu yang mengotorkan pakaian mereka seperti muntah si kecil, kebocoran lampin dan baju yang basah akibat berpeluh selepas mengunjungi tempat-tempat panas yang menyebabkan badan bayi berpeluh.

Baju yang basah akibat peluh boleh menyebabkan bayi merasa tidak selesa dan meragam. Pakaian tambahan juga menjadi satu keperluan apabila anda mengunjungi tempat-tempat rekreasi seperti air terjun dan sungai.

4. ALAS MENUKAR LAMPIN

Alas menukar lampin perlu dibawa dalam sebuah diaper beg bagi memastikan proses menukar lampin bayi dilakukan atas permukaan yang bersih dan tidak berdebu. Selalunya apabila membeli diaper beg, anda akan dibekalkan bersama sehelai alas kain menukar lampin.

Jika tidak, anda boleh bawa sebarang jenis kain bersih yang ringan dan tidak terlalu tebal untuk dimuatkan dalam diaper beg. Terdapat alas menukar lampin jenis kalis air yang dijual di pasaran. Alas lampin jenis ini lebih mudah kerana lebih mudah dibersihkan.

5. KAIN PENGELAP

Kain pengelap mulut atau kain sendawa. Selepas bayi minum susu, mereka perlu disendawakan. Adakalanya selepas minum susu bayi akan memuntahkan lebihan susu yang diminum. Jadi, tentu sekali anda tidak mahu muntah bayi tumpah ke tempat lain termasuk pakaian yang mereka pakai.

Anda boleh sediakan lebih daripada satu helai kain pengelap bersaiz sederhana. Kain pengelap bukan sahaja berfungsi membersihkan kesan muntah pada mulut bayi. Ia juga boleh digunakan untuk mengelap apa jua jenis kekotoran seperti hingus yang keluar dari hidung bayi.

6. HAND SANITIZER

Gel antibakteria seperti hand sanitizer amat penting untuk menghindari sebarang jangkitan kuman sama ada kepada bayi atau diri anda sendiri terutama selepas membersihkan najis mereka.  Menggunakan tisu basah sebagai pengelap sahaja tidak cukup menjamin kulit bayi anda bebas daripada kuman.

Selepas setiap cucian, pastikan anda melumur gel hand sanitizer supaya kuman tidak merebak. Pastikan hand-sanitizer yang digunakan sesuai untuk kegunaan kulit bayi mengikut peringkat umur.

7. PLASTIK SAMPAH

Kegunaan plastik sampah adalah untuk membuang lampin kotor yang baru ditukar. Kadang-kadang anda mungkin terpaksa menukar lampin semasa berada dalam kereta atau tempat-tempat yang tidak menyediakan kemudahan tong sampah.

Adalah tidak elok jika bekas lampin bayi yang kotor dibuang merata-rata. Bawalah sekurang-kurangnya dua helai plastik sampah bersaiz kecil sebagai persediaan membuang pampers kotor tersebut.

8. MINYAK ANGIN

Kegunaan minyak angin amat penting bagi seorang bayi kerana mereka ini mudah terdedah kepada penyakit kembung perut. Terdapat pelbagai jenis pilihan minyak angin yang sesuai untuk kegunaan bayi. Antaranya minyak telon yang boleh didapati dalam botol bersaiz kecil.

Mana tahu jika anak anda tiba-tiba meragam perut pada waktu malam ketika sedang bermalam di hotel? Minyak angin boleh melegakan kesakitan bayi dengan cepat.

9. MAKANAN SNEK

Semasa dalam perjalanan jauh dengan menaiki kereta atau dalam penerbangan, bayi anda mungkin merengek apabila lapar. Persiapkan dengan snek yang ringkas dalam diaper beg sebagai bekalan dalam perjalanan.

Pastikan makanan snek itu bukan jenis yang mudah basi dan busuk. Buah epal yang telah dipotong dan kismis kering adalah contoh makanan snek yang sesuai untuk bayi dan kanak-kanak.

10. SELIMUT

Kadang-kadang bayi sukar untuk tidur dengan lena tanpa selimut di atas badannya. Selimut dari jenis kapas sesuai digunakan untuk melindungi bayi dari kesejukan pendingin hawa ketika dalam kereta dan penerbangan.

Selimut juga boleh digunakan untuk melindungi bayi dari kepanasan matahari. Jangan ragu-ragu untuk menyimpan sekurang-kurangnya sehelai dalam diaper beg kerana anda pasti akan memerlukannya.

11. TOPI

Topi boleh berfungsi sebagai pelindung kulit kepala bayi dari kepanasan matahari. Anda seboleh-bolehnya tentu ingin mengelakkan bayi daripada terkena strok haba dan demam panas apabila berada di luar. Untuk itu, adalah penting melindungi kepala mereka dari kepanasan terutama di tempat-tempat yang boleh dijangka tahap kepanasannya seperti kawasan pantai.

Mengikut petua orang tua-tua juga, kepala bayi yang terdedah dengan angin malam boleh menyebabkan mereka demam dan selesema. Jadi pastikan anda menyimpan sebiji topi setiap masa dalam diaper beg.

12. SARUNG KAKI

Satu lagi keperluan bayi yang sering diabaikan oleh ibu bapa saat keluar rumah ialah sarung kaki si kecil. Sarung kaki bagi seorang bayi yang baru lahir amat penting untuk mengelakkan badan mereka masuk angin terutama semasa dalam perjalanan di waktu malam.

13. BARANG PERMAINAN

Untuk hilangkan kebosanan si kecil supaya mereka tidak merengek yang mungkin boleh mengganggu ketenangan orang sekeliling semasa dalam perjalanan. Biasanya semsa dalam kenderaan seperti kereta dan penerbangan, bayi akan cepat bosan kerana suasana yang tertutup dan tiada pemandangan yang dapat menarik perhatian mereka yang boleh dilihat dari tingkap. Barang permainan bersaiz kecil masih boleh dimuatkan dalam diaper beg.