“Tolong jangan kacau saya! Saya tengah tak ada mood nak bercakap dengan sesiapa. Leave me alone!”
Tentu anda pernah dengar wanita mengucapkan perkataan ‘Saya tak ada mood’. Bila seorang wanita yang dikenali mengucapkan perkataan ini kepada anda, jangan sesekali anda bantah. Cara terbaik menanganinya adalah dengan mengikut sahaja kemahuannya kalau tak nak jadi mangsa amukan singa betina. Sewaktu tiada mood, wanita memerlukan masa bersendirian untuk menenangkan minda dan emosi dari keserabutan yang sedang dialaminya.
Mood swing, hilang mood, tiada mood atau moody sering dikaitkan dengan wanita. Mood biasanya dikaitkan dengan emosi negatif seperti perasaan marah yang terjadi secara tiba-tiba, kebimbangan yang melampau, kemurungan yang berpanjangan, sedih dan menangis tanpa sebab serta kemarahan sehingga adakalanya menyebabkan orang lain yang menjadi mangsa amarahnya.
Moody Adalah Satu Penyakit Gangguan Jiwa
Tahukah anda bahawa mood swing yang teruk boleh dikategorikan sebagai satu penyakit gangguan jiwa? Wanita dikatakan mengalami gangguan mood dua kali lebih tinggi berbanding lelaki. Perbezaan biologi di antara kedua-dua jantina ini adalah faktor utama mengapa wanita lebih mudah mengalami gangguan mood.
Dari satu sudut, wanita dilihat lebih mudah mengekspresikan perasaan mereka berbanding lelaki. Kesukaran wanita untuk menyimpan dan mengawal perasaan sedih, marah, takut dan risau menyebabkan mereka sering disalah anggap sebagai seorang yang beremosi. Ini berbeza dengan lelaki di mana mereka lebih bijak menyembunyikan mood yang bermasalah sehingga sukar bagi orang di sekelilingnya mengenalpasti jika terdapat sebarang gangguan mood yang sedang dihadapi.
Kaitan ‘Hilang Mood’ Dengan Hormon
Tidak dinafikan bahawa keadaan hormon dalaman wanita amat mempengaruhi perubahan mood mereka. Keadaan biologi dalaman yang sering berubah menyebabkan keseimbangan hormon dalam badan sering terganggu. Ia sesuatu yang sukar dikawal. Oleh kerana itu, wanita agak sukar menentukan bila masa mereka akan marah, gembira, sedih, takut dan sebagainya.
Berikut ialah beberapa perubahan hormon dalam badan yang sering mempengaruhi perubahan mood seseorang wanita.
1.Masalah PMS – Estrogen
“Yang awak tiba-tiba nak marah abang ni kenapa? Tengah period ke…?”
Premenstrual syndrome atau lebih dikenali oleh Melayu sebagai penyakit senggugut. Ia sangat berkait rapat dengan kitaran haid wanita. Oleh sebab itu, tidak hairanlah kenapa lelaki sering mengaitkan dan mengejek wanita tentang masalah haid setiap kali berlaku mood swing dalam diri mereka. Tahukah anda bahawa terdapat lebih daripada 200 sindrom senggugut yang menyebabkan sesetengah wanita yang mengalaminya menderita setiap kali datang bulan? Gangguan senggugut ketika datang bulan berbeza di antara wanita. Keseimbangan hormon yang terganggu juga berbeza bagi setiap wanita.
2. Kitar Haid Tidak Konsisten – Estrogen & Seratonin
Wanita dengan keseimbangan hormon yang normal mempunyai kitar haid yang tetap antara 17 ke 28 hari. Jika kita ini terganggu seperti kelewatan datang bulan atau ia berhenti selama tempoh beberapa bulan, emosi dalaman wanita akan terganggu kerana telah berlaku gangguan hormon dalam sistem biologinya. Paras hormon estrogen yang menurun mungkin akan menyebabkan wanita tidak didatangi haid selama beberapa bulan.
Begitu juga sebaliknya jika hormon estrogen menurun. Ia akan mempengaruhi perembesan hormon serotonin, iaitu sejenis hormon otak yang mempengaruhi perubahan mood seseorang. Jika otak mengalami pengurangan hormon serotonin, seseorang wanita itu cenderung mengalami masalah depresi dan mood swing.
3. Tidak Cukup Tidur – Progesteron, Kortisol, Melatonin & Tiroid
Jadual seharian yang sentiasa penuh membataskan waktu tidur seseorang wanita. Terutama sekali di kalangan ibu yang terpaksa memikul tanggungjawab menguruskan rumahtangga, menjaga anak-anak, bekerja dan sebagainya. Keselesaan tidur seseorang dipengaruhi oleh hormon progesteron.
Otak seseorang akan diletakkan dalam keadaan tenang di saat tidur apabila hormon progesteron mencapai keseimbangannya dalam badan. Otak dan mood anda akan berada dalam keadaan stabil apabila dibantu oleh hormon progesteron yang seimbang.
Hormon kortisol pula berfungsi memberi isyarat kepada otak apabila tibanya waktu seseorang itu rasa mengantuk dan perlu tidur. Ia berfungsi mengikut kitar yang dari pagi sehingga malam. Apabila tiba waktu untuk bangun pagi, hormon melatonin akan menurun sebagai isyarat untuk kita bangun daripada tidur.
Hormon tiroid juga mampu mempengaruhi keadaan tidur seseorang. Jika pada waktu malam anda sering terjaga dan sukar untuk tidur semula, ia mungkin dipengaruhi oleh hormon tiroid. Kekurangan hormon tiroid juga akan mampu membuatkan seseorang itu cenderung untuk tidur pada waktu tengah hari yang mana ini memberi masalah kepada mereka yang bekerja.
Mengantuk di siang hari akan mengganggu konsentrasi seseorang wanita dalam banyak perkara. Ia juga boleh mengakibatkan seseorang itu gagal mengawal emosi menyebabkan mood jadi terganggu.
4. Kepenatan – Estrogen, Kortisol & Testosteron
Wanita berusia antara 35 sehingga 55 tahun biasanya akan berhadapan dengan masalah kepenatan lebih daripada mereka yang berumur kurang daripada 35 tahun. Kepenatan akan menyebabkan seseorang wanita itu sering marah, sakit, pening kepala, sedih dan lain-lain perasaan yang akhirnya mempengaruhi mood dan perlakuannya.
Pada usia ini, wanita semakin menghampiri fasa pra-menopause dan menopause. Fasa ini akan membuatkan wanita mengalami kepenatan walaupun kerja-kerja yang dilakukan tidak memerlukan kekuatan fizikal. Keadaan ini akan memberi kesan terhadap perubahan biologi. Hormon estrogen yang mengawal hormon kortisol otak akan meningkatkan tahap stres sehingga mempengaruhu turun naik tekanan darah sesorang.
Kadangkala kepenatan ini bukan terjadi kerana penurunan paras hormon estrogen. Sebaliknya ia disebabkan pengurangan hormon testosteron dalam badan seseorang wanita. Hormon testosteron merupakan hormon dominan dalam badan lelaki.
5. Kurangnya Aktiviti Fizikal – Kortisol
Sama ada anda sedar atau tidak, mereka yang banyak melakukan aktiviti fizikal seperti senaman dan joging kelihatan lebih ceria dan bersemangat. Jika anda sering mengalami masalah mood swing, ia mungkin berpunca daripada kurangnya aktiviti fizikal yang menyihatkan dan jarang mendedahkan diri kepada cahaya matahari.
Semasa kita bersenam, pelbagai jenis hormon dihasilkan yang akan memperbaiki keseimbangan hormon dalam badan. Antaranya hormon kortisol. Hormon kortisol ini akan memberikan tindak balas apabila seseorang itu mengalami tekanan, penurunan gula dalam darah dan semasa melakukan aktiviti fizikal. Hormon kortisol yang tinggi akan meningkatkan kesan tekanan kepada seseorang. Tetapi ia diperlukan pada ketika seseorang itu melakukan aktiviti fizikal sebagai stimulasi untuk meningkatkan kecerdasan seseorang.
6. Ketagihan
Perubahan mood yang mendadak juga terjadi akibat ketagihan terhadap suatu bahan seperti dadah, alkohol, nikotin dan kafein. Ketagihan boleh melibatkan banyak perkara lain juga seperti ketagihan teknologi, ketagihan seks, ketagihan makanan dan sebagainya.
Seseorang yang mengalami ketagihan tertentu akan mengalami tanda-tanda tekanan yang amat berkait rapat dengan gangguan mood. Ketagihan juga akan mempengaruhi fungsi otak seseorang di mana akan menyebabkan gangguan kepada fungsi otak dalam menghasilkan keseimbangan hormon dalam badan.
Gangguan Mood Boleh Dikawal & Dirawat
Walau apa jua jenis perubahan mood yang anda alami, ia sebenarnya mampu diatasi melalui pelbagai cara. Antaranya menyusun jadual harian secara teratur, mengamalkan diet pemakanan yang seimbang, melakukan senaman fizikal dan sentiasa melibatkan diri dalam pergaulan sosial yang positif.