Salah Faham Tentang Vaksin Kanak-Kanak. Ini Fakta Sebenar Mengenainya

Product Details

Perdebatan mengenai isu vaksin sering menjadi topik perbincangan hangat terutama di zaman media sosial seperti hari ini. Pelbagai isu negatif kedengaran berlegar di sekitar topik mengenai suntikan vaksin sehingga menimbulkan pelbagai tanda tanya bagi ibu bapa. Bagi umat Islam, isu paling hangat ialah berkenaan status vaksin yang dikatakan dihasilkan daripada bahan tidak halal seperti babi. Walaupun Majlis Fatwa Kebangsaan Malaysia telah mengharuskan penggunaan vaksin, masih ada dari kalangan umat Islam yang masih ragu-ragu untuk memberikan suntikan vaksin kepada anak mereka.

Namun, tahukah anda bahawa isu perbincangan vaksin bukan hanya menjadi topik sensitif berkenaan dengan halal dan haram sahaja di kalangan umat Islam. Di kebanyakan negara barat, mitos berkaitan kesan penggunaan vaksin juga wujud di kalangan mereka. Walaupun kebanyakan negara barat telah pun mencapai tahap kemajuan lebih pantas berbanding negara lain, masih ada di antara rakyat mereka yang masih tidak yakin dan percaya tentang keperluan vaksin.

Nampaknya, kemajuan yang dicapai oleh negara-negara barat masih tidak dapat membunuh ketaksuban terhadap mitos. Jika umat Islam sensitif tentang isu halal dan haram dalam penggunaan vaksin, masyarakat barat pula hangat membincangkan tentang mitos vaksin. Beberapa mitos yang berlegar di kalangan masyarakat telah pun dijawab oleh mereka yang pakar dalam bidang tersebut.

Mitos Vaksin #1 : Tercemar Dengan Bahan Toksin Seperti Merkuri & Aluminium

Antigen merupakan bahan aktif utama dalam vaksin. Bagi mereka yang belum mengetahui apa itu antigen, ia merupakan sebahagian daripada protein virus sama ada dalam bentuk hidup, dilemahkan atau telah dimatikan. Untuk menghasilkan vaksin yang berkesan dan stabil, ia memerlukan bahan tambahan seperti penstabil, pengawet, adjuvant dan beberapa komponen lain. Bahan tambahan inilah yang menjadi kebimbangan di kalangan ibu bapa.

Merkuri yang sememangnya diketahui berbahaya turut digunakan dalam penghasilan vaksin iaitu methyl merkuri. Ia diambil daripada bahan pengawet thiomersal atau thimerosal. Thimerosal ini berfungsi untuk membantutkan perkembangan bakteria di dalam vaksin. Vaksin influenza adalah antara vaksin yang masih menggunakan bahan thimerosal dalam penghasilan vaksin.

Tiada bukti menunjukkan bahan thimerosal ini berbahaya untuk kesihatan kerana dosnya yang amat sedikit. Paling tidak ia memberikan kesan kemerahan dan pembengkakan iaitu efek yang terjadi setiap kali selepas bayi disuntik. Thimerosal yang masuk ke dalam badan manusia tidak akan berkekalan dalam sistem tubuh manusia serta tidak akan meninggalkan kesan yang berbahaya. Thimerosal yang masuk ke dalam badan manusia akan dipecahkan kepada ethyl merkuri dan thiosalicylate yang kemudiannya akan disingkirkan daripada badan manusia.

Walaubagaimanapun, pada tahun 1999, Jawatankuasa Penasihat Sedunia bagi Keselamatan Vaksin di bawah Pertubuhan Kesihatan Sedunia telah bersetuju supaya pengeluar-pengeluar vaksin mengurangkan atau menyingkirkan sepenuhnya penggunaan thimerosal dalam penghasilan vaksin sebagai langkah berjaga-jaga.

Vaksin juga mengandungi garam aluminium. Bahan ini digunakan untuk meningkatkan tindak balas imunisasi badan, merangsang pengeluaran antibodi yang lebih besar dan menjadikan vaksin lebih berkesan. Walaupun aluminium boleh menyebabkan kesan kemerahan atau bengkak selepas suntikan, kuantiti aluminium yang terlalu kecil ini masih dikira terlalu sedikit jika dibandingkan daripada apa yang diminum oleh kanak-kanak melalui susu ibu dan susu formula yang jauh lebih berkhasiat untuk mereka. Garam aluminium telah digunakan dalam penghasilan vaksin sejak tahun 1930-an lagi.

Mitos Vaksin #2 : Vaksin Influenza Tidak Menghalang Penyebaran Flu

Keberkesanan vaksin influenza dalam mencegah penyebaran penyakit flu adalah berada pada peratus antara 40% sehingga 60%. Sejauh mana keberkesanan sesuatu vaksin influenza berkesan dalam mencegah penyakit flu yang pelbagai berbeza-beza dari satu musim ke satu musim. Sebagai contoh, vaksin yang ada pada masa sekarang amat berkesan menentang virus influenza B dan influenza A(H1N1) tetapi mungkin tidak mampu menentang penyebaran virus influenza A (H3N2).

Keberkesanan vaksin juga bergantung kepada pelbagai faktor. Sekurang-kurangnya dua faktor memainkan peranan penting dalam keberkesanannya. Pertama ialah ciri-ciri individu yang diberikan suntikan imunisasi. Kedua ialah persamaan atau keserasian di antara virus sesuatu flu dengan vaksin tertentu yang dihasilkan.

Mitos Vaksin #3 : Syarikat Farmaseutikal & Doktor Menghasilkan Wang Melalui Penyakit & Vaksin

Sudah tentunya syarikat farmaseutikal dan doktor mampu menghasilkan wang melalui bekalan dan suntikan vaksin yang diperlukan oleh pihak hospital dan pesakit. Namun mereka bukan hanya merawat pesakit yang mengidapi penyakit bawaan virus yang memerlukan suntikan vaksin semata-mata.

Pelbagai penyakit di dunia ini yang memerlukan kepakaran pakar-pakar farmaseutikal menghasilkan pelbagai jenis ubat-ubatan. Begitu juga doktor akan merawat pesakit mereka mengikut jenis penyakit yang dihidapinya. Sudah tentu mereka mampu menjana pendapatan melalui ubat-ubatan dan rawatan yang diberikan. Namun ia tidak hanya khusus kepada penghasilan, pembekalan vaksin kepada pihak hospital dan pesakit sahaja.

Mitos Vaksin #4 : Penyakit Autisma Adalah Kesan Daripada Suntikan Vaksin

Ada yang beranggapan bahan thimerosal di dalam vaksin menjadi salah satu punca kanak-kanak mengidap autisma. Vaksin lain yang dikaitkan dengan autisma adalah vaksin MMR. Vaksin MMR adalah kombinasi 3 dalam 1 di mana ketiga-tiga antigen daripada campak (measles), beguk (mumps) serta rubella disertakan bersama dan diberi sebagai satu suntikan.

Dakwaan ini juga tidak mempunyai bukti yang kukuh. Pada masa kini, kadar pengidap autisma di kalangan kanak-kanak di seluruh dunia semakin meningkat. Kadar pengidap autisma di negara ini meningkat 1/100 berbanding 1/500 kira-kira 10 tahun lalu. Sehingga kini punca sebenar penyakit autisma masih tidak diketahui. Tidak hairanlah ada yang mengaitkan suntikan vaksin sebagai salah satu punca terjadinya autisma di kalangan kanak-kanak.

Penyelidik dari seluruh dunia terus mengkaji persoalan ini, tetapi tidak ada bukti bahawa faktor-faktor ini memainkan peranan dalam pembangunan autisma. Kebanyakan penyelidik autisma berpendapat bahawa punca autisma berlaku disebabkan faktor genetik dan persekitaran. Tiada bukti melibatkan vaksin seperti yang didakwa oleh kebanyakan pihak.

Mitos Vaksin #4 : Janin Dibunuh Untuk Menghasilkan Vaksin

Memang benar sel janin digunakan dalam sesetengah jenis vaksin. Antaranya rubella, cacar air, hepatitis A, kayap dan penyakit anjing gila. Sebagai contoh vaksin rubella dikulturkan dalam makmal secara pengkulturan sel manusia dan beberapa saluran sel ini berasal dari tisu janin yang digugurkan secara elektif mengikut undang-undang pengguguran.

Ianya berlaku pada tahun 1960-an di Sweden dan England. Tiada tisu janin baru diperlukan untuk menghasilkan vaksin-vaksin berkenaan sama ada pada masa kini atau pada masa akan datang.

Pengkulturan vaksin dalam sel janin yang berlaku pada tahun 1960-an tersebut masih lagi dikekalkan dalam kultur makmal sehingga ke hari ini.

Mitos Vaksin #5 : Imunisasi Semulajadi Badan Lebih Baik Daripada Vaksin

Apabila bakteria dan virus masuk menceroboh ke dalam badan, sel-sel imun yang dipanggil limfosit bertindak balas dengan menghasilkan antibodi, iaitu molekul protein. Antibodi ini melawan penceroboh yang dikenali sebagai antigen dan melindungi daripada jangkitan selanjutnya. Individu yang sihat boleh menghasilkan berjuta-juta antibodi setiap hari, memerangi jangkitan dengan begitu cekap tanpa individu itu sendiri menyedari bahawa badan mereka telah terdedah kepada antigen.

Walaubagaimanapun, pencerobohan antigen tertentu pada kali pertama akan mengambil masa beberapa hari untuk bertindak balas menghasilkan antibodi yang diperlukan. Bagi antigen yang terlalu merbahaya seperti virus campak dan batuk kokol, menunggu beberapa hari untuk tindak balas antibodi ini terlalu lama diperlukan. Mangsa mungkin akan meninggal sebelum sistem imunisasi badan mampu menghalangnya.

Di sinilah pentingnya suntikan vaksin. Vaksin akan bertindak balas dengan sistem imun badan untuk menghasilkan tindak balas yang lebih cepat.

Artikel Berkaitan :

Menjawab Isu Vaksin dari Kacamata Islam

Get Reviews Widget

Leave a review

You may also like...