Pernahkan anda dengar tentang amalan diet keto? Mungkin ramai yang tidak pernah mendengar tentang diet keto. Tetapi jika disebut diet karbohidrat, pasti ramai yang akan menganggukkan kepala kerana ianya istilah yang digunakan secara meluas pada hari ini. Diet keto dipanggil juga sebagai diet karbohidrat kerana diet ini mengamalkan pengambilan makanan rendah karbohidrat bagi menjadikan tubuh badan sebagai ‘mesin’ pembakaran lemak.

Kedengaran menarik bukan? Sesiapa sahaja tentunya mahu mengekalkan tenaga disamping mengamalkan diet berterusan yang baik untuk kesihatan dan bentuk badan yang seimbang. Diet keto atau diet rendah kalori terbukti berkesan untuk penurunan berat badan dan menjadi lebih sihat.

Pengenalan Diet Keto

Perkataan ‘Keto’ berasal dari perkataan ‘Ketones’ iaitu sejenis molekul yang dihasilkan dalam badan. Katones dihasilkan apabila badan menerima jumlah karbohidrat yang rendah tetapi tinggi dalam pengambilan lemak. Keadaan ini akan menyebabkan lemak ditukarkan menjadi tenaga dalam bentuk gula dalam darah. Fungsi pemecahan ini dijalankan oleh organ hati.

Gula dalam darah ini seterusnya digunakan sebagai sumber tenaga utama dalam badan. Dengan mengurangkan pengambilan karbohidrat makanan, badan akan kekal dalam keadaan yang dipanggil ‘Ketosis’.

Bagaimana Pembakaran Lemak Diet Keto Terjadi

Dalam diet keto, badan akan menukarkan kaedah pemerolehan sumber tenaga kepada kaedah pembakaran lemak secara berterusan. Tahap insulin dalam darah akan menjadi sangat rendah dan seterusnya akan meningkatkan pembakaran lemak secara drastik.[1]

Menghindari Rasa Lapar Dengan Diet Keto

Berpuasa merupakan cara terbaik bagi mencapai matlamat diet keto. Namun tidak semua daripada kita mampu berpuasa sepanjang hari. Bagi yang tidak mampu berpuasa, mengamalkan diet karbohidrat adalah salah satu cara yang paling ringan untuk anda mengurangkan rasa lapar ketika diet.

Matlamat diet keto bukan sahaja untuk menurunkan berat badan. Malah ia sebagai cara untuk mengekalkan metabolisma badan dalam keadaan maksimum. Apa yang anda lakukan bukanlah menahan lapar dengan cara tidak makan. Tetapi mengurangkan jumlah pengambilan karbohidrat seharian untuk mengekalkan badan dalam keadaan ‘Ketosis’

Manfaat Mengamalkan Diet Keto

Diet keto tentu sahaja bermanfaat untuk menurunkan berat badan. Ia boleh diamalkan dengan cara mudah iaitu mengurangkan pengambilan karbohidrat dan meningkatkan pengambilan makanan berlemak.

Berikut adalah manfaat utama yang anda akan perolehi daripada amalan diet keto

1. Kurang lapar dan bertenaga

Peningkatan pembakaran lemak yang meningkat hasil dari amalan diet keto akan meningkatkan tenaga dalam badan. Anda boleh memastikan badan kekal aktif tanpa perlu berlapar.

Sumber tenaga dalam badan dipastikan cukup walaupun dalam keadaan gula dalam darah masih belum bersedia membekalkan tenaga. Ini kerana, dalam keadaan  ‘Ketosis’, badan akan menukarkan lemak menjadi gula dalam darah yang seterusnya membekalkan tenaga kepada tubuh badan.

2. Otak Jadi Lebih Fokus

Bukan mudah untuk mengekalkan otak dan fikiran dalam keadaan sentiasa fokus. Salah satu penyebab seseorang itu kehilangan fokus adalah kerana lapar.

Bekalan tenaga yang diperolehi daripada amalan diet keto bukan sahaja tertumpu ke bahagian badan. Malah otak juga akan menerima bekalan tenaga yang sama. Ini kerana, otak tidak menerima bekalan tenaga secara terus dalam bentuk lemak. Sebaliknya ia menerima tenaga dalam bentuk glukosa atau gula.

3. Mengawal Gula Dalam Darah

Diet keto secara semulajadinya mengurangkan kandungan gula dalam darah. Amalan diet keto dikatakan lebih baik dari amalan diet kalori. Dengan penukaran glukosa dalam bentuk tenaga, gula dalam darah dapat dikawal.

Bagi mereka yang tidak mengalami penyakit kencing manis, keadaan ini tidak menjadi satu isu. Namun bagi pesakit kencing manis, mengamalkan diet keto kemungkinan akan memberikan kesan berlainan yang berisiko terhadap tahap kencing manis mereka.

4. Mengurangkan Berat Badan

Seperti dinyatakan pada awal pengenalan, diet keto akan menukarkan badan anda menjadi seperti mesin pembakar lemak. Dengan mengurangkan pengambilan karbohidrat, secara semulajadinya anda akan meningkatkan pengambilan makanan tinggi lemak, protein dan serat. Kesemua jenis makanan ini dapat membantu anda mengawal pengambilan makanan berkalori tinggi untuk tempoh yang lama. Kalori yang diambil secara berlebihan adalah punca peningkatan berat badan.

5. Rawatan Sawan

Amalan diet keto dikatakan telah dimulakan sejak 100 tahun yang lalu. Pada masa itu, ia diamalkan untuk rawatan epilepsi atau sawan setelah preskripsi ubat-ubatan tidak mampu mengawal gejala epilepsi yang berlaku pada masa itu di kalangan kanak-kanak.

Malah amalan diet keto berkesan untuk rawatan pelbagai jenis penyakit sawan seperti mioklonik, absence, atonik dan tonik.

6. Mengawal Kolestrol & Tekanan Darah

Diet keto sering disalah erti sebagai punca peningkatan kolestrol dalam darah. Ini kerana, diet keto menggalakkan penambilan makanan berlemak dan kurang karbohidrat. Ini merupakan tanggapan yang tidak tepat.

Secara saintifiknya, amalan diet keto akan meningkatkan sejenis lemak yang dibawa dalam aliran darah dipanggil trigliserida. Trigliserida adalah tenaga yang disimpan untuk kegunaan seterusnya. Pemecahan trigliserida kepada tenaga akan menghasilkan sejenis lagi sebatian iaitu gliserol. Gliserol inilah yang akan dipecahkan dalam darah sebagai glukosa atau gula. Penukaran trigliserida inilah sebenarnya salah satu jalan untuk mengurangkan risiko penyakit kardiovaskular seperti sakit jantung dan tekanan darah.

7. Jerawat

Mengurangkan masalah jerawat juga adalah manfaat yang boleh didapati dari amalan diet keto. Diet keto dikatakan mampu merawat masalah jerawat melalui 3 cara iaitu melalui penurunan  tahap insulin dalam badan, mengurangkan keradangan kulit dan pengurangan sejenis hormon dipanggil somadomedin C. Dengan pengurangan karbohidrat, tahap hormon ini dapat dikurangkan. Ini akan membantu mengawal pengeluaran sebum dan mencegah pori-pori daripada tersumbat.

Ingat! Kekalkan Keadaan Ketosis

Untuk mengekalkan badan dalam keadaan ‘Ketosis’ , anda perlu mengurangkan makanan berkarbohidrat tinggi. Saranan nilai pengambilan karbohidrat yang disarankan bagi bagi mereka yang ingin mengamalkan diet keto adalah 50 gram sehari. Semakin kurang nilai karbohidrat yang diambil, semakin baik untuk keberkesanan diet keto.

Untuk mengira jumlah pengambilan karbohidrat setiap hari mungkin agak sukar dilakukan. Berikut ialah antara senarai makanan terbaik bagi amalan diet keto.

  • Daging merah seperti daging lembu. Ambil dalam jumlah yang sedikit sahaja.
  • Ikan dan makanan laut
  • Telur
  • Sumber makanan tenusu seperti susu tanpa gula, mentega dan keju.
  • Buah-buahan seperti strawberi dan beri
  • Air masak, terbaik untuk amalan diet keto
  • Kopi. Cuba amalkan kopi tanpa gula
  • Teh. Sama ada teh hijau, teh hitam atau teh herba tanpa gula

Untuk memastikan amalan diet keto berkesan, beberapa jenis makanan di bawah harus dielakkan. Antaranya :

  • Roti putih
  • Elakkan sayur-sayuran yang tumbuh di bawah tanah seperti kentang dan bawang
  • Buah-buahan seperti pisang
  • Makanan yang diproses seperti sos tomato dan sos cili
  • Elakkan makanan bergoreng yang menggunakan minyak kelapa sawit
  • Makanan kekacang. Boleh diambil dalam jumlah paling sedikit.
  • Minuman manis yang dicampur gula, susu dan krimer yang berlebihan

Rujukan :

[1] Ketones