Ibu mengandung amat berisiko menghidapi penyakit diabetes. Ibu hamil yang tidak pernah mempunyai latar belakang penyakit diabetes juga berisiko menghidapi penyakit ini secara tiba-tiba semasa kehamilan. Kebiasaanya ia boleh dikesan selepas minggu ke 24 kehamilan. Diabetes semasa hamil atau biasanya dipanggil sebagai Gestational Diabetes Mellitus (GDM) terjadi disebabkan paras insulin yang terganggu oleh pelbagai hormon yang dihasilkan oleh plasenta. Hormon ini akan meningkatkan rintangan terhadap tindakan insulin menyebabkan organ pankreas bertindak balas melalui penghasilan insulin tambahan. Keadaan inilah yang dipanggil GDM.
Jika anda salah seorang ibu hamil yang menghidapi diabetes, tentunya anda telah mendengar nasihat doktor berkaitan dengan risiko penyakit ini kepada diri dan bayi dalam kandungan. Penyakit ini boleh memburuk jika tidak dikawal. Selain melalui rawatan ubat-ubatan, satu-satunya cara untuk mengawal paras glukosa dalam darah ialah melalui diet yang terancang. Untuk itu anda memerlukan plan diet bagi ibu hamil yang mengidap diabetes.
Merancang Plan Diet Ibu Hamil Yang Menghidap Diabetes
Rancangan plan diet bagi ibu hamil yang menghidap diabetes perlu merangkumi beberapa perkara. Ia merangkumi plan diet makanan, latihan senaman, memastikan kandungan gula dalam darah terkawal dan mendapatkan pengetahuan berkaitan dengan pengurusan diet dari doktor atau pakar pemakanan yang mampu memberikan info yang tepat mengikut setiap keadaan ibu hamil yang menghidapi diabetes.
Semua plan diet yang anda ikuti ini jika diikuti secara berdisiplin dan teratur akan membantu anda mengekalkan tahan gula dalam darah pada paras yang terkawal. Anda perlu bersabar melaluinya kerana risiko diabetes bukan sahaja terkesan kepada ibu hamil. Bayi dalam kandungan berkemungkinan mengalami kecacatan atau mungkin juga berisiko menghidap penyakit serius selepas dilahirkan.
Apa Makanan Yang Perlu Dielakkan ?
Pertama sekali anda perlu mengelakkan daripada mengambil beberapa jenis makanan yang boleh menyumbang kepada peningkatan tahap kolestrol dalam darah. Sudah semestinya anda wajib mengelakkan kebanyakan makanan dan minuman manis yang mengandungi kandungan gula yang tinggi.
Tahap gula dalam darah akan naik dan turun sepanjang hari. Apabila anda makan makanan yang mengandungi gula dan karbohidrat yang tinggi seperti roti, nasi dan kentang, paras gula dalam darah akan naik. Jika bacaan gula dalam darah tinggi secara konsisten, anda perlu lebih kerap mendapatkan pemeriksaan dan nasihat daripada doktor untuk bantuan pengurusan diabetes anda.
Secara keseluruhannya, paras gula dalam darah akan meningkat apabila anda makan contoh-contoh makanan berikut :
- Buah-buahan dan jus buah-buahan seperti pisang, oren dan epal.
- Beras, gandum, bijirin, oat dan pasta
- Roti dan biskut
- Minuman susu dan kopi campuran gula
- Kekacang seperti kacang merah, kacang hitam, kacang kuda, kacang panjang dan lain-lain.
- Makanan segera seperti KFC dan McDonald’s
- Minuman bergas
Plan Diet Makanan Yang Anda Boleh Ikuti
Cara terbaik bagi memastikan pengambilan karbohidrat dan gula yang diambil terkawal adalah dengan mengira jumlah pengambilan kedua perkara ini daripada makanan yang diambil setiap hari. Untuk mengetahui cara pengiraan karbohidrat dan gula dalam makanan, anda boleh mendapatkan nasihat dari pakar diet yang boleh memberi panduan tentang kaedah pengiraan dan jenis makanan yang sesuai diambil oleh ibu hamil yang menghidap diabetes. Berikut adalah cadangan diet yang akan membantu anda mengekalkan paras gula darah yang selamat:
Jangan Makan Terlalu Banyak Buah-Buahan & Jus
Buah adalah makanan yang sihat. Tetapi ia mengandungi gula semulajadi yang tinggi. Antara buah-buahan yang mengandungi gula tertinggi ialah nanas, pear, pisang, tembikai, epal, mangga dan prun. Anda boleh makan buah-buahan yang mengandungi kunatiti gula yang rendah. Antaranya limau, aprikot, kranberi, jambu batu, kiwi dan raspberi. Makan hanya satu biji atau satu potongan pada setiap kali makan itu sudah memadai.
Ibu hamil yang mengalami diabetes juga tidak disarankan minum terlalu banyak jus buah-buahan. Ini disebabkan kandungan gula semulajadi yang sememangnya tinggi. Sama ada diambil begitu sahaja atau dikisar untuk dijadikan jus, kandungan gulanya tetap tidak berubah.
Awasi Jenis Sarapan Pagi Yang Diambil Setiap Hari
Kadar gula dalam darah agak sukar dikawal pada waktu pagi disebabkan proses turun naik hormon yang berlaku dalam badan. Untuk sarapan di waktu pagi, ibu hamil yang mengalami diabetes perlu mengelakkan sarapan pagi dengan buah-buahan dan bijirin dan susu. Sarapan jenis ini akan meningkatkan gula dalam darah. Sarapan pagi yang mengandungi kanji dan protein adalah makanan terbaik untuk ibu hamil yang mengalami diabetes. Sebagai contoh bubur nasi dan sebiji telur rebus.
Elakkan Pencuci Mulut Yang Manis
Kek, kuih muih, biskut, pastri dan gula-gula mengandungi karbohidrat yang berlebihan serta kandungan gula yang sangat tinggi. Ia boleh meningkatkan jumlah gula dalam darah secara mendadak jika dimakan secara tidak terkawal.
Elakkan Tambahan Gula & Krimer Dalam Minuman
Apabila anda mengambil sebarang jenis minuman seperti teh dan kopi, seboleh-bolehnya elakkan daripada tambahan gula atau krimer. Selain lebih sedap dinikmati tanpa tanpa gula, amalan minuman tanpa gula berlebihan lebih selamat bagi ibu mengandung yang mengalami diabetes. Anda boleh mengamalkan minuman teh hijau yang sememangnya enak tanpa campuran gula.
Jika anda meminum susu segar pula, pastikan hanya secawan susu diambil pada setiap kali minum. Susu mengandungi gabungan gula dan karbohidrat yang tinggi. Ia boleh meningkatkan kandungan gula dalam darah dengan cepat.
Snek Yang Dibolehkan
Ibu hamil yang mengalami diabetes masih boleh menikmati beberapa jenis snek ringan yang lazat dan menyelerakan. Antaranya salad sayur-sayuran, greek yogurt 0% gula, telur rebus, oat dengan campuran buah beri, tomato ceri, keju dan lain-lain.
Lebihkan Pengambilan Sayur-Sayuran
Kebanyakan sayur tidak memberi kesan terhadap peningkatan paras gula dalam darah. Malah, ia membekalkan sumber nutrien yang baik untuk anda dan bayi dalam kandungan. Cuba amalkan sekurang-kurangnya tiga hidangan sayur setiap hari.
Walaubagaimanapun, anda harus berhati-hati dengan sayuran yang mengandungi jumlah karbohidrat yang tinggi. Contohnya ubi keledek, lobak merah, kacang hijau, kentang, labu dan jagung.
Langkah-Langkah Lain Selain Daripada Mengawal Diet Makanan
Mengawal diet pemakanan adalah perkara pertama yang perlu dikawal dan diikuti oleh ibu hamil yang mengalami diabetes. Namun ia perlu juga diikuti oleh langkah-langkah lain yang dapat membantu mengawal gula dalam darah secara lebih berkesan. Antaranya :
- Ibu hamil boleh melakukan senaman ringan seperti berjalan-jalan di taman selama kira-kira 10 sehingga 20 minit sekurang-kurangnya 4 kali seminggu.
- Dapatkan pemeriksaan doktor untuk mendapatkan pemeriksaan gula dalam darah secara berkala.
Sesetengah ibu hamil yang mengalami diabetes mungkin tidak berupaya menurunkan paras gula dalam darah walaupun berpantang dalam makanan dan berusaha untuk bersenam. Jika ini terjadi kepada anda, dapatkan rawatan doktor secara konsisten mengikut keperluan. Doktor akan membekalkan ubat-ubatan dan insulin melalui suntikan untuk kawalan gula dalam darah.