Kanak-kanak sememangnya cerewet dalam memilih makanan. Akan tetapi sikap cerewet dalam pemilihan makanan ini sering membimbangkan ibu bapa. Ini kerana kanak-kanak sebenarnya terlalu cenderung memilih makanan yang tidak berkhasiat. Justeru itu, ibu bapa memainkan peranan penting untuk memastikan anak-anak mereka dibekalkan dengan sumber makanan berkhasiat sepanjang proses tumbesaran.

Untuk menyedia dan menjaga menu makanan berkhasiat untuk si kecil, kebanyakan ibu bapa pasti akan mengalami masalah untuk melayan ragam kanak-kanak di meja makan. Si ibu pastinya terpaksa berhadapan dengan tugas yang lebih berat kerana merekalah yang berperanan memastikan setiap menu yang dihidangkan memenuhi selera setiap ahli keluarga termasuk selera si kecil.

Namun, ragam anak-anak adalakalanya sukar dikawal semasa di meja makan. Mereka mungkin akan mengamuk, merengek dan menolak makanan yang dihidangkan diikuti dengan mimik muka yang tidak menyenangkan. Ini pastinya menambahkan penat lebih-lebih lagi si ibu apabila terpaksa melayan karenah mereka di meja makan. Untuk itu, kami bantu anda dengan beberapa tips mudah untuk mengurangkan penat melayan karenah si kecil semasa di meja makan. Tips ini juga sebagai salah satu cara mengawal anak-anak supaya mereka lebih patuh dalam amalan pemakanan sihat yang disediakan oleh ibu bapa mereka.

Nyatakan Pilihan Masakan, Elakkan Tawar Menawar

Kanak-kanak pastinya mempunyai menu makanan yang digemarinya seperti ayam, bebola daging, makaroni keju dan sebagainya. Sebagai langkah pertama sebelum memulakan aktiviti memasak di dapur, tidak salah seandainya anda bertanya kepada mereka terlebih dahulu jenis hidangan yang mereka inginkan.

Sebagai contoh, si kecil mungkin teringin untuk menikmati masakan ayam untuk makan tengah hari. Langkah seterusnya terletak kepada kebijaksanaan anda untuk memujuk mereka menyakini menu masakan ayam yang anda bakal hidangkan. Anak anda mungkin lebih berminat menikmati ayam goreng yang diperap dengan kunyit yang dinikmati dengan nasi putih dan kicap.

Anda pula mungkin mempunyai perancangan lebih menarik dan berkhasiat iaitu menu nasi ayam kerana ia disertakan dengan sayur salad dan kuah sup yang kurang berminyak. Di sini anda tidak perlu tawar menawar untuk menyediakan jenis masakan mengikut pilihan mereka. Sebaliknya, yakinkan mereka bahawa menu masakan berasaskan ayam anda itu jauh lebih menyelerakan dan sedap berbanding ayam goreng yang diperap dengan kunyit dan garam.  

Bersederhana Dalam Saiz Hidangan

Kanak-kanak tidak mempunyai selera makan yang besar seperti orang dewasa. Hanya kanak-kanak yang mengalami masalah obesiti yang mempunyai selera makan luar biasa. Jadi, bagaimanakah anda dapat menentukan saiz hidangan untuk si kecil? Jawapannya adalah dengan memerhati melalui saiz badan mereka. Ibu bapa akan mendapati anak mereka akan merengek dan menunjukkan mimik muka yang tidak menyenangkan apabila dipaksa menghabiskan makanan dalam jumlah yang banyak. Lebih-lebih lagi jika ia bukan menu pilihan mereka. Satu senduk nasi putih di atas pinggan makanan mereka adalah permulaan yang baik. Seterusnya, biarlah mereka yang menentukan sama anda ingin menghabiskan atau menambah untuk kali kedua, ketiga dan seterusnya.

Dalam penyediaan lauk pula, anda perlu bijak dalam penyediaan saiz lauk. Sebiji telur mungkin boleh dibelah empat untuk saiz yang lebih kecil dalam penyediaan nasi lemak. Daging goreng kunyit yang diptong nipis lebih mudah dikunyah kanak-kanak berbanding bahagian daging yang dipotong tebal apatah lagi beserta dengan lemaknya sekali. Sejenis atau dua jenis sayur dalam hidangan sup sayur mungkin kurang menyebabkan rasa gerun pada kanak-kanak untuk menikmati hidangan sayur berbanding dengan campuran sayur yang terlalu pelbagai.

Biarkan Si Kecil Makan Sendiri

Bayi yang berusia sembilan bulan ke atas biasanya sudah boleh menggenggam objek seperti makanan. Ibu bapa digalakkan untuk melatih anak mereka untuk makan sendiri secara berdikari sejak kecil. Kebiasaannya bayi yang dilatih untuk makan sendiri akan kurang meragam di meja makan apabila semakin membesar. Malah adakalanya mereka lebih selesa makan tanpa layanan berlebihan oleh ibu bapa. Berikan mereka sudu dan garfu untuk membiasakan mereka menyuap sendiri makanan ke mulut.

Apa yang anda perlu lakukan adalah memastikan bila masa mereka kenyang dan bila masa mereka lapar. Anda tidak boleh terus menerus membiarkan mereka menyuap makanan walaupun mereka telah makan melebihi kuantiti yang sepatutnya. Kanak-kanak tidak harus dibiarkan makan secara berlebihan untuk mengelakkan masalah obesiti.

Fahami Tanda & Tabiat Makan Anak Anda

Antara ragam kanak-kanak di meja makan adalah membuang makanan ke lantai apabila kenyang atau tidak berselera untuk makan. Mereka juga akan menolak apabila anda cuba memasukkan makanan ke dalam mulut mereka. Kesemua tanda ini bukan hanya menunjukkan mereka sudah kenyang atau masih lapar. Ia juga mungkin sebagai petanda kesukaran mereka menyesuaikan diri dengan suatu makanan baru. Adakalanya mereka tidak tahu cara untuk makan suatu jenis makanan. Sebagai contoh kesukaran untuk mengunyah hirisan epal yang tidak dibuang kulit yang akhirnya menyebabkan mereka membuang buah tersebut ke lantai.

Karenah semasa makan juga mungkin berpunca daripada rasa makanan. Buah oren yang terlalu masam sering menjadi salah satu punca kanak-kanak menolak menikmati buah-buahan. Membiarkan kanak-kanak menyuap sendiri sup sayur yang panas akan membuatkan mereka hilang sabar kerana mereka tidak tahu bagaimana meniup makan supaya ia tidak terlalu panas. Apabila kanak-kanak hilang sabar semasa di meja makan, mereka akan bertindak merengek dan menangis disebabkan perut yang belum dipenuhi ketika lapar.

Jadi, ibu bapa perlu terlebih dahulu mengenalpasti tanda dan tabiat makan anak anda untuk memastikan mereka tidak menimbulkan sebarang masalah semasa di meja makan.

Ajar Mereka Supaya Tidak Membuang Makanan

Memang penat apabila terpaksa mengemas sisa kekotoran makanan yang dilemparkan di atas lantai. Untuk itu anda perlu bijak menanganinya iaitu dengan cara mengajar mereka lebih awal mengasingkan makanan yang disukai dan yang tidak disukai. Caranya adalah dengan menyediakan pinggan berasingan dan memberi arahan kepada mereka untuk tidak membuang makanan ke lantai. Sebaliknya galakkan mereka mengasingkan makanan yang tidak disukai dalam pinggan berasingan yang disediakan tanpa pertolongan orang dewasa. Cara ini dapat mengajar mereka beradap dan menghormati nilai makanan yang dihidangkan.

Bersabar Melayan Karenah Anak Di Meja Makan

Bertenang dalam melayan karenah si kecil di meja makan. Tindakan menengking dan tidak mempedulikan reaksi yang ditunjukkan oleh mereka ketika makan hanya menyebabkan mereka lebih agresif. Anda tidak boleh menunjukkan reaksi keras dan menolak perhatian yang cuba ditonjolkan oleh si kecil ketika di meja makan. Ketika anak anda membuang makanan di lantai, anda sendiri perlu mengutip makanan tersebut sambil mengajar mereka “Letakkan makanan yang adik tidak suka dalam pinggan yang ibu sudah sediakan ini”. Elakkan daripada penggunaan ayat yang keras seperti menggertak mereka untuk menghabiskan makanan hanya semata-mata tidak mahu membazir. Sebaliknya nasihatlah mereka dengan ayat berunsur nasihat seperti “ terdapat keberkatan dalam rezeki. Jadi tidak baik untuk kita buang rezeki dengan mencampaknya di atas lantai apabila tidak suka”.