“Anda adalah apa yang anda makan”
Kita sering mendengar peribahasa seumpama di atas. Mungkin semasa masih kecil kita kurang memahami apa yang apa yang dimaksudkan dengan peribahasa ini. Lama kelamaan bila semakin dewasa baharulah kita faham. Secara asasnya, apa jua makanan yang masuk ke dalam badan kita amat mempengaruhi pembentukan keseluruhan fizikal sama ada secara dalaman dan luaran.
Sebagai contoh, untuk memiliki kulit yang cantik, makanan yang masuk ke dalam badan juga mestilah dari sumber sihat yang kaya dengan nutrien dan vitamin sebagai makanan kulit. Contohnya ikan, sayur-sayuran, buah-buahan dan sebagainya dari sumber yang bersih.
Kulit adalah organ terbesar badan yang paling penting harus dijaga. Kulit amat penting kerana ia menentukan kebersihan seseorang. Kulit yang cantik dan bersih akan menampilkan imej yang bersih, kemas dan menawan tidak kira sama ada seseorang itu berkulit putih, sawo matang, kuning langsat atau berkulit gelap. Perhubungan antara diet seharian dan kesihatan kulit amat rapat. Oleh itu, amat penting untuk anda memilih makanan yang sesuai mengikut jenis kulit.
Apakah Yang Menentukan Jenis Kulit Yang Anda Miliki ?
Pelbagai faktor dalaman dan luaran yang akan mempengaruhi jenis kulit seseorang. Salah satu faktor dalaman ialah keturunan atau genetik seseorang. Selain itu keadaan cuaca, gaya hidup dan diet turut mempengaruhi keadaan kulit yang anda miliki.
Secara asasnya, jenis kulit terbahagi kepada kategori kulit normal, kering, berminyak atau gabungan di antaranya.
Salah satu cara paling mudah untuk mengetahui jenis kulit yang anda miliki ialah dengan melihat keadaan kulit semasa bangun pada waktu pagi. Cuci muka dengan produk pembersih yang dapat mengekalkan keadaan kulit pada bacaan pH normal sebelum tidur. Elakkan pemakaian sebarang jenis produk seperti serum dan krim malam semasa tidur. Setelah bangun keesokan paginya, anda boleh semak keadaan kulit muka sama ada ia berminyak, kering atau normal tanpa sebarang masalah.
Cara lain untuk menentukan jenis kulit adalah melalui pemeriksaan diagnosa oleh pakar kulit. Diagnosa kulit ini sangat membantu bagi mereka yang ingin menentukan jenis makanan yang sesuai mengikut jenis kulit. Diagnosa kulit juga sangat membantu kerana adakalanya keadaan kulit seseorang berubah dan tidak tetap sepanjang hayat.
Sebagai contoh mungkin pada siang hari anda mendapati kulit anda begitu berminyak. Setelah cuci muka dan bangun pagi, keadaan kulit berubah menjadi kering. Ia mungkin dipengaruhi oleh faktor-faktor lain seperti keadaan cuaca dan pemakanan yang menjadikan keputusan pemeriksaan sendiri atau self-diagnose menjadi tidak tetap. Oleh itu, diagnosa melalui pemeriksaan pakar adalah jalan terbaik untuk mengenalpasti jenis kulit anda.
Kesan Diet Terhadap Keadaan Kulit
Diet dan gaya pemakanan seseorang menjadi cermin terhadap keadaan kulit seseorang. Diet yang tidak dijaga dan akan menimbulkan pelbagai masalah kulit seperti jerawat, kedutan sebelum usia, ruam, kekeringan, gatal dan sebagainya.
Seseorang itu mungkin tidak menyedari bahawa dirinya mudah mengalami alahan terhadap makanan tertentu. Apabila dimakan secara salah ia membawa kesan kesakitan yang teruk kepada kulit sehingga terpaksa mendapatkan rawatan perubatan.
Memilih makanan yang bersesuaian mengikut jenis kulit adalah cara terbaik untuk anda menangani masalah yang timbul akibat dari pemakanan yang tidak betul.
Memilih Makanan Mengikut Jenis Kulit
Pelbagai cara telah anda cuba untuk mendapatkan kulit yang cantik tanpa sebarang masalah. Antaranya melalui pemilihan produk. Namun seringkali pelaburan wang dalam mencari produk kulit terbaik di pasaran menemui jalan buntu. Hasil yang didapati tidak semengah wang yang telah dilaburkan.
Jika cara ini tidak berkesan, jalan seterusnya yang lebih mudah ialah melalui pemilihan makanan paling terbaik mengikut jenis kulit. Langkah awal ialah mengenalpasti terlebih dahulu jenis kulit yang anda miliki. Setelah itu, baharulah langkah pemilihan pemakanan boleh diatur secara berstrategi pada setiap hari.
1. Kulit Kering
Kulit kering sehingga menimbulkan kesan retakan pada struktur kulit akan menimbulkan rasa tidak selesa. Kulit kering adalah antara penyebab seseorang itu kelihatan tidak menarik dan kurang bersih. Masalah ini lebih ketara apabila berlaku perubahan musim dari musim panas ke musim sejuk dan seterusnya.
Kulit kering terhasil akibat kurangnya penghasilan sebum berbanding kulit normal. Kekurangan sebum ini akan menyebabkan juga kekurangan lipid kulit yang berfungsi memerangkap kelembapan pada kulit dan membina perlindungan luar lapisan kulit.
Cuba atasi masalah kulit kering anda dengan mengambil beberapa contoh makanan di bawah ini. Kebanyakan jenis makanan yang dicadangkan untuk kulit kering adalah dari unsur tumbuhan dan buah-buahan kerana ia mengandungan khasiat dan vitamin yang baik untuk kesihatan kulit.
- Pisang : Ia kaya dengan bahan anti-oksida dan bahan pelembap semulajadi yang mampu meningkatkan kesegaran kulit, menghaluskan kulit yang kasar, mengurangkan kedutan serta mengatasi muka berminyak dan berjerawat.
- Minyak Zaitun & Minyak Bijan : Minyak zaitun mengandungi bahan anti-oksida, vitamin dan mineral yang dapat meningkatkan kesihatan kulit. Minyak zaitun pula adalah sejenis minyak yang seimbang yang kaya dengan pelbagai nutrien dan mempunyai upaya dalam penyembuhan luaran dan dalaman.
- Salmon & Ikan Sardin : Ikan salmon mengandungi omega-3 yang tinggi dan sangat membantu untuk mengekalkan kelembapan kulit. Ia juga merupakan sumber protein, vitamin E dan zink yang tinggi baik untuk kulit dan badan. Ikan sardin antara makanan yang baik untuk melahirkan kulit yang bersinar.
Lain- lain jenis makanan yang baik untuk kulit kering adalah telur, brokoli, avokado, kekacang seperti buah badam, cashew dan biji bunga matahari, lidah buaya dan biji chia.
2. Kulit Berminyak
Kulit berminyak boleh menonjolkan kecacatan pada kulit wajah seperti kemunculan jerawat, liang pori yang terbuka serta kemunculan bintik-bintik hitam dan putih. Kulit berminyak terjadi akibat diet yang tidak sihat, kesalahan memilih produk yang sesuai dan hormon dalam badan yang tidak seimbang.
Untuk mengatasi masalah kulit berminyak sepanjang masa, cuba atasinya dengan mengamalkan diet sehari dengan makanan yang dicadangkan seperti di bawah ini dan mengelakkan makanan tertentu.
- Teh Hijau : Ia bertindak sebagai agen anti-oksida dan anti inflamasi yang baik untuk dalaman badan dan kulit. Ia sangat baik dalam merawat maslah jerawat dan penyumbatan pada liang pori.
- Ubi Keledek : Mengandungi unsur beta karotena iaitu bahan anti-oksida yang baik untuk badan. Ia juga sumber vitamin A yang baik untuk mengatasi masalah kulit berminyak dan kulit kering.
- Beri Biru & Beri Hitam : Kedua-dua buah ini adalah sumber vitamin C yang baik untuk meneutralkan radikal bebas dalam badan.
Lain-lain jenis makanan yang baik untuk kulit berminyak ialah lobak merah, quinoa, tembikai, timun, bawang, kunyit, halia dan santan.
3. Kulit Normal
Kulit normal adalah keadaan di mana kulit tidak terlalu berminyak atau terlalu kering. Seseorang yang memilki kulit normal akan mengalami keadaan kulit berminyak dan kering pada bahagian tertentu. Kulit normal lebih mudah dijaga dan masalah kekeringan dan minyak dapat diatasi dengan mudah melalui penggunaan produk dan penjagaan diet makanan.
Antara makanan yang baik untuk kulit normal ialah brokoli, kubis, bayam, lobak merah, ikan salmon dan sardin, telur ayam, minyak zaitun dan beras perang.
4. Kulit Sensitif
Kulit sensitif dipengaruhi pelbagai faktor yang menyebabkan tindak balas pada kulit yang menimbulkan kesan seperti iritasi dan kemerah-merahan. Penggunaan produk dan pemakanan yang tidak sesuai adalah antara punca timbulnya masalah kulit sensitif.
Bagi yang mengalami masalah kulit sensitif, selain berhati-hati terhadap faktor luaran, anda juga perlu berhati-hati terhadap jenis makanan yang masuk ke dalam badan.
Antara makanan yang sesuai untuk kulit sensitif ialah tomato, asparagus, buah oren, minyak zaitun, teh hijau, avokado, epal dan buah beri.
Makanan Yang Perlu Dielakkan Bagi Semua Jenis Kulit
Bagi semua jenis kulit, pengambilan makanan tertentu boleh dimakan. Namun pastikan ia diambil secara terkawal. Antara makanan yang perlu dielakkan atau dikawal pengambilannya ialah makanan manis, soya, produk tenusu dan makanan yang diproses.