Membersihkan rumah adalah satu kerja yang memenatkan tanpa mengira sama ada rumah bersaiz kecil mahupun rumah besar seumpama rumah banglo. Untuk mewujudkan rumah sebagai tempat tinggal yang selesa anda perlu sentiasa memantau setiap sudut rumah utama rumah seperti ruang tamu, tempat makan, dapur, bilik tidur, bilik air dan tandas untuk memastikan semuanya sentiasa dalam keadaan bersih. Ruang rumah seharusnya menjadi tempat paling bersih untuk mewujudkan kerehatan pada fizikal dan minda bukan sahaja untuk diri sendiri malah untuk seisi keluarga yang tinggal bersama.
Rumah yang kotor akan menjadi sarang penyebaran penyakit kepada diri sendiri dan lebih utama sekali kepada anak-anak yang masih kecil. Kanak-kanak adalah golongan yang mempunyai sistem pertahanan badan yang masih lemah. Oleh itu mereka mudah terkena serangan penyakit. Penyakit pernafasan seperti selesema dan batuk boleh jadi disebabkan keadaan rumah yang terlalu kotor dan berhabuk. Ia juga mungkin berpunca dari barang mainan mereka yang tidak pernah dibersihkan sehingga menjadi tempat pengumpulan bakteria. Oleh itu penting bagi anda untuk menetapkan rutin pembersihan rumah secara konsisten sekurang-kurangnya seminggu atau dua minggu sekali secara keseluruhan.
Cecair Peluntur Untuk Pembersihan Rumah
Aktiviti membersihkan rumah bukanlah suatu perkara yang membebankan jika anda tahu kaedah pembersihan terbaik. Adakalanya kita terlalu ingin membersihkan rumah dengan peralatan mencuci yang mahal akibat terlalu terpengaruh dengan iklan di televisyen. Tahukah anda bahawa dengan menggunakan cecair peluntur sahaja anda boleh membersihkan keseluruhan sudut rumah sehingga berkilat? Dengan menggunakan cecair peluntur pada harga tidak lebih daripada RM5.00, anda sudah boleh menijimatkan banyak wang.
1) Membersihkan Kulat
Dinding & Lantai
Kulat dinding dan lantai berwarna hitam adalah antara kotoran yang paling sukar dihilangkan. Walaupun anda memberus dengan sepenuh tenaga, ia masih tetap tidak dapat dibersihkan sepenuhnya. Sebelum mencuba cecair pembersihan lain apa kata anda mencuba terlebih dahulu cecair peluntur. Sediakan juga berus dengan bulu kasar untuk memudahkan anda menyental kulat hitam yang melekat di dinding dan lantai terutama di antara celahan jubin.
- Sediakan penyembur botol untuk semburan. Masukkan cecair klorin separuh botol dan tambahkan separuh lagi botol dengan air biasa atau air panas.
- Semburkan pada bahagian dinding atau lantai yang ditumbuhi kulat. Biarkan selama 15 minit. Kemudian sental dengan menggunakan berus bulu kasar sehingga anda berpuas hati dengan hasilnya.
- Akhir sekali bilas dengan air biasa.
Karpet bilik mandi
Sebelum mewangikan karpet bilik mandi anda, ia perlu dibersihkan terlebih dahulu dari kesan kekotoran hitam akibat daripada pertumbuhan kulat kelembapan.
- Caranya adalah dengan mencampurkan 3 liter cecair peluntur dengan air biasa secukupnya dalam baldi yang sesuai. Rendamkan karpet antara 3 sehingga 4 jam.
- Sebelum bilas and boleh memberusnya untuk menghilangkan kesan kulat yang telah dilembutkan menerusi rendaman tadi. Akhir sekali bilas dengan air bersih.
2) Membersihkan Bilik Air & Tandas
Mangkuk tandas
Seeloknya anda mengenakan sarung tangan getah untuk cucian tandas dan bilik air. Pembersihan mangkuk tandas melibatkan proses pembasmian kuman.
- Caranya adalah dengan menyiram kira-kira ½ cawan cecair peluntur ke atas keseluruhan mangkuk tandas. Anda boleh menggunakan lebih daripada ½ jika perlu.
- Biarkan selama 15 minit dan kemudian sental dengan berus tandas yang sesuai. Bilas apabila selesai dengan air biasa.
- Untuk kesan yang lebih baik, siram mangkuk tandas pada waktu malam sebelum tidur dan biarkan semalaman. Berus dan bilas pada keesokan paginya.
Tab mandi
Kosongkan tab mandi dari sebarang peralatan. Ambil span basah dan lap pada keseluruhan tab mandi. Sediakan baldi yang mengandungi setengah air biasa.
- Campurkan 2 cawan cecair peluntur ke dalam baldi yang mengandungi air. Kemudian gunakan span yang dicelup dengan campuran cecair peluntur tadi ke keseluruhan tab mandi.
- Biarkan seketika kira-kira 15 minit. Kemudian bilas dengan air panas sehingga semua cecair peluntur dihilangkan sepenuhnya.
Langsir bilik air
Langsir bilik air boleh menghasilkan bau yang tidak enak apabila dalam keadaan lembap. Anda perlu membersihkan ia menggunakan mesin basuh.
- Campurkan detergen dengan ¼ cawan cacair peluntur ke dalam mesin basuh yang mengandungi air. Biarkan mesin basuh anda menjalankan tugas pembersihan ini dan kemudian keringkan. Setelah itu jemur sehingga ia kering.
- Warna langsir anda akan kembali bersih dan ceria seperti warna asal. Bau tidak enak juga dapat dihilangkan.
Dinding & lantai
Kaedah pembersihan dinding dan lantai yang ditumbuhi kulat dan kesan hitam boleh dilakukan menggunakan kaedah yang sama seperti kaedah membersihkan kulat dinding. Anda memerlukan berus yang kasar untuk menanggalkan kulat hitam yang melekat di antara celahan jubin lantai bilik air rumah anda.
Sinki
Selalunya kulat dan kesan tompokan hitam pada singki boleh dihilangkan dengan mudah hanya menggunakan span. Tuangkan sedikit cecair peluntur ke atas span dan sental sinki sehingga bersih. Bilas dengan air seperti biasa.
3) Membersihkan Ruangan Dapur
Ramai yang ragu-ragu membersihkan dapur dengan menggunakan cecair peluntur kerana bimbang kesan racun! Namun sebenarnya ia boleh digunakan untuk cucian peralatan dan sudut dapur dengan selamat jika anda mengikuti langkah pembersihan yang selamat.
- Anda boleh membersihkan dapur memasak, permukaan kabinet dan peti sejuk di bahagian luar. Pastikan anda mengakhiri proses pembersihan ini dengan membilasnya dengan air bersih.
- Caranya adalah dengan memasukkan kira-kira satu sudu cecair peluntur ke dalam botol penyembur yang mengandungi air biasa. Tutup dan goncangkan botol. Setelah itu semburkan pada permukaan yang anda inginkan.
- Jangan sesekali sembur pada peralatan memasak seperti kuali, sudu dan senduk. Gunakan ia hanya pada permukaan luar yang tidak terlibat dengan peralatan makan dan minum. Biarkan selama 20 minit dan kemudian lap dengan menggunakan span atau kain mikrofiber. Akhir sekali bilas dengan air bersih.
4) Sebagai Sanitizer
Cecair peluntur juga boleh digunakan untuk tujuan menyahkuman pada barangan permainan kanak-kanak. Peralatan mainan kanak-kanak di rumah juga perlu sentiasa dibersihkan untuk memastikan tidak berlaku pembiakan kuman yang tidak disedari. Jika anak anda sering sakit dan megalami masalah pernafasan, salah satu sebab berlakunya masalah ini mungkin berpunca dari peralatan permainan yang tidak dibersihkan.
- Permainan kecil seperti lego dan patung kecil boleh direndamkan ke dalam bekas yang mengandungi campuran cecair peluntur bersama dengan air.
- Caranya ialah dengan mencampurkan setengah cawan cecair peluntur ke dalam bekas mengandungi kira-kira sebaldi air. Rendam kesemua permainan bersaiz kecil ini ke dalam baldi selama kira-kira 20 minit.
- Kemudian buang keseluruhan air di dalam baldi dan gantikan dengan air bersih. Ulangi proses membilas ini sehingga 3 atau 4 kali sehingga anda yakin sisa cecair peluntur dibersihkan sepenuhnya.
- Keringkan alat permainan di tempat yang sesuai.
5) Bunga Hidup Tahan Lama
Siapa sangka bunga hidup yang diletakkan dalam gelas kaca yang mengandungi air akan lebih tahan apabila anda mencampurkan air tersebut bersama satu sudu cecair peluntur. Cara ini juga dapat melambatkan air menjadi keruh hasil daripada batang tumbuhan atau bunga yang semakin melembut dalam rendaman air.
* Amaran : Elakkan daripada mencampurkan cecair peluntur dengan alat pembersihan berasaskan bahan amonia, sabun dan cuka. Campuran cecair peluntur dengan amonia boleh menghasilkan gas beracun yang memberi kesan kepada sistem pernafasan.
Pilihan Editor :
Clorox Lavender Scent Clean-Up All-Purpose Cleaner with Bleach