Hari ini semakin ramai wanita yang berkahwin pada usia lewat sehingga menghampiri usia 40 tahun. Perkara yang sukar dielakkan ini mungkin boleh berlaku di kalangan ahli keluarga kita. Memang sukar untuk meramal soal jodoh lebih-lebih lagi wanita zaman kini lebih ramai yang mementingkan dunia kerjaya menyebabkan ramai di kalangan wanita mula menangguhkan rancangan perkahwinan sehingga ada yang menunggu sehingga mencecah usia melebihi usia 35 tahun. Tidak salahnya untuk berkahwin pada usia lewat. Namun, ramai yang berpendapat bahawa peluang hamil pada usia menghampiri 35 tahun agak tipis disebabkan faktor kesuburan wanita yang semakin menurun seiring dengan peningkatan usia. Jika seseorang wanita berpeluang mengandung pada usia sedemikian sekalipun, ramai yang beranggapan bayi dalam kandungan berisiko mengalamai kecacatan sama ada kecacatan fizikial atau kecacatan otak.
Benarkah tanggapan sesetengah pihak bahawa mengandung selepas umur 35 tahun tidak selamat bagi wanita dan janin? Mari kita lihat beberapa pendapat mengenainya.
Tidak Mustahil Mengandung Selepas Usia 35 Tahun
Pertama sekali anda perlu tahu bahawa tidak mustahil untuk seseorang wanita itu hamil dan melahirkan bayi dengan selamat walaupun setelah berusia 35 tahun. Faktor umur bukanlah satu-satunya penentu kesuksesan seorang wanita dalam kehamilan. Terdapat wanita yang berusia 35 tahun masih memiliki tahap kesihatan yang baik. Begitu juga sebaliknya ramai wanita muda yang menghidapi pelbagai penyakit kronik yang tidak dijangka.
Apa yang penting ialah penjagaan kesihatan yang diamalkan seperti menjaga tabiat pemakanan yang sihat dan bersenam untuk memastikan tahap kecergasan berada pada tahap maksima. Berat badan juga dipastikan sentiasa dalam bacaan normal kerana berat badan seseorang wanita turut mempengaruhi keberhasilan mendapatkan zuriat.
Namun masih terdapat beberapa risiko yang perlu wanita berusia hadapi dalam usaha memiliki anak pada usia sebegini. Faktor utama adalah perkara yang melibatkan aspek biologi wanita itu sendiri.
Ujian Pra Kehamilan
Anda boleh mempertimbangkan ujian pra kehamilan untuk wanita yang berusia melebihi 35 tahun. Doktor anda mungkin menawarkan ujian pra kehamilan yang khusus untuk ibu-ibu yang lebih berusia. Ujian ini membantu menentukan risiko memiliki bayi dengan kecacatan kelahiran. Tanya doktor anda tentang ujian ini supaya anda boleh mempelajari risiko dan faedah dan memutuskan apa yang sesuai mengikut perancangan anda dan pasangan.
Tahap Kesihatan Wanita Semakin Menurun
Dengan meningkatnya usia seseorang, risiko menghidapi penyakit seperti tekanan darah tinggi, kencing manis, penyakit jantung, kegagalan buah pinggang dan sebagainya semakin tinggi. Ini terkecuali bagi wanita yang mengamalkan gaya hidup sihat dengan menjaga pemakanan dan bersenam bagi memastikan tahap kesihatan berada dalam keadaan baik. Wanita berusia 35 tahun ke atas pula lebih mudah mengalami kepenatan berbanding wanita muda. Semua faktor ini membawa kemungkinan terjadinya keguguran semasa kehamilan.
Kesuburan Menurun Dengan Peningkatan Usia
Umum mengetahui bahawa dengan meningkatnya usia seseorang, tahap kesuburan bagi wanita dan lelaki akan semakin menurun. Telur yang dihasilkan tidak lagi subur sepertimana ketika usia masih muda. Hanya separuh sahaja wanita yang berusia 35 tahun ke atas yang berjaya hamil seperti dibuktikan dalam kajian perubatan ini.
Risiko Masalah Genetik
Paling popular yang sering kita dengar ialah risiko janin mengidap sindrom Down selepas dilahirkan ke dunia. Sindrom Down merupakan penyakit genetik di kalangan kanak-kanak yang dilahirkan dan penyakit ini tidak mampu disembuhkan seperti penyakit lain. Nisbah kelahiran kanak-kanak sindrom Down di dapati semakin kecil bagi wanita berusia 35 tahun ke atas di mana setiap 240 kelahiran bayi akan lahir seorang bayi dengan sindrom Down. Ini berbeza dengan nisbah wanita berusia 25 tahun di mana daripada 1 kanak-kanak dilahirkan dengan sindrom Down daripada 1064 kelahiran.
Keguguran
Peratusan wanita yang berusia 42 tahun mengalami keguguran lebih tinggi iaitu 13.5% berbanding dengan peratus keguguran bagi wanita berusia antara 20 tahun sehingga 24 tahun. Mengandung pada usia lewat sebegini memerlukan pemantau pakar lebih kerap bagi memastikan ibu dan kandungan sentiasa dalam keadaan sihat. Selain itu penting bagi ibu hamil menjalani sesi kaunseling untuk menentukan tahap kesihatan emosi dan rohani mereka dalam keadaan stabil supaya tidak memberikan kesan terhadap bayi dalam kandungan.
Komplikasi Bersalin
Wanita berusia agak sukar melahirkan bayi secara normal disebabkan tahap kecergasan mereka yang semakin menurun. Ditambah pula jika menghadapi masalah kesihatan kronik seperti darah tinggi,kencing manis dan sakit jantung. Kemungkinan besar mereka perlu melahirkan secara Caesarean atau pembedahan dan dengan bantuan alat seperti vakum dan forsep.
Umur Pasangan Turut Menjadi Penentu
Bukan hanya faktor biologi wanita penentu keberhasilan kehamilan. Umur pasangan iaitu suami turut memainkan peranan. Ini kerana, tahap kesuburan telur bagi lelaki dan wanita akan semakin berkurang apabila usia semakin meningkat.
Sebagai contoh, jika usia anda dan pasangan adalah sama peratusan untuk wanita hamil lebih tinggi. Berbeza jika pasangan anda berusia beberapa tahun lebih tua daripada anda. Peratus kejayaan kehamilan juga akan semakin menurun.
Lambat Hamil
Bagi wanita yang hamil pada usia 35 tahun ke atas, tempoh masa untuk anda berjaya hamil kemungkinan akan mengambil sedikit masa atau tiada kejayaan langsung. Selepas enam bulan usia sesuatu perkahwinan seharusnya wanita telah mampu hamil. Jika melebihi tempoh enam bulan, anda perlu segera merujuk kepada pakar perbidanan untuk pemeriksaan.
Adalah penting untuk anda dan pasangan melakukan ujian kesuburan jika ternyata masih gagal hamil dalam tempoh enam bulan sehingga dua tahun. Selalunya apabila doktor mendapati kedua-dua pasangan tidak menghadapi masalah kesuburan, pasangan akan disarankan untuk terus mencuba kehamilan secara semulajadi untuk beberapa bulan berikutnya sebelum meneruskan langkah yang melibatkan kos dan perubatan.
Rawatan Kesuburan IVF Selepas Usia 35 Tahun
Banyak kajian telah menunjukkan bahawa keberhasilan kejayaan IVF menurun dengan meningkatnya usia seseorang. IVF melibatkan mengambil sejumlah besar telur dari ovari. Wanita-wanita muda cenderung untuk bertindak balas dengan lebih baik kepada ubat-ubatan yang digunakan untuk mengeluarkan telur, dan telur tersebut lebih cenderung menjadi kromosom yang normal. Ini bermakna wanita muda yang menjalani IVF mungkin mempunyai kadar kejayaan yang lebih tinggi daripada wanita yang lebih tua.
Penjagaan Ketika Hamil
Bagi wanita yang berjaya hamil selepas usia 35 tahun, anda perlu menggandakan penjagaan diri dan bayi dalam kandungan dengan melakukan rutin pemeriksaan yang lebih kerap. Langkah seterusnya adalah lebih penting bagi memastikan risiko kegagalan kelahiran bayi dapat dikurangkan seperti berlaku keguguran, serangan penyakit seperti diabetis dan tekanan darah tinggi. Antara langkah-langkah penjagaan yang boleh diambil ialah :
a) Jalani pemeriksaan doktor secara rutin yang tetap mengikut jadual terutama bagi wanita yang mengalami masalah penyakit kronik seperti diabetis dan darah tinggi.
b) Amalkan diet pemakanan yang seimbang. Pelbagaikan pengambilan makanan bernutrien tinggi dan baik terdiri daripada buah-buahan, sayur-sayuran, bijirin dan gandum. Elakkan pengambilan minuman berkafein dan beralkohol yang sememangnya memudaratkan kesihatan.
c) Senaman ringan dapat membantu menguatkan stamina tubuh badan dan mengurangkan stres ketika hamil. Dapatkan nasihat doktor jenis-jenis senaman sesuai yang boleh dilakukan ketika hamil.