Kanak-Kanak & Jangkitan Telinga. Apa Yang Perlu Anda Tahu

Product Details

Ramai ibu bapa yang membawa anak-anak datang ke klinik mengadu tentang masalah jangkitan telinga pada anak mereka. Tahukah anda bahawa kebanyakan kanak-kanak akan mengalami masalah jangkitan telinga sekurang-kurangnya sekali sebelum mereka berusia 3 tahun? Sekurang-kurangnya lima daripada enam kanak-kanak akan menghidapi jangkitan ini. Ia adalah adalah keradangan telinga yang menyerang salah satu sama saluran telinga tengah atau saluran telinga luar. Jangkitan virus, bakteria atau kulat ini di panggil sebagai otitis. Kadar peratusan kanak-kanak diserang jangkitan telinga adalah lebih tinggi berbanding orang dewasa.

Memandangkan kebanyakan jangkitan ini berlaku kepada kebanyakan kanak-kanak, penting bagi ibu bapa untuk mengetahui sedikit sebanyak info tentang jangkitan telinga di kalangan kanak-kanak.

Jenis-Jenis & Simptom Jangkitan Telinga

Ada tiga jenis penyakit otitis yang anda perlu ketahui. Ketiga-tiganya menunjukkan simptom yang berbeza antara satu sama lain.

1. Acute Otitis Media (AOM)  

Paling banyak terjadi di kalangan kanak-kanak. Ia menyerang bahagian telinga tengah, mengakibatkan bengkak dan cecairnya akan terperangkap di bahagian belakang gegendang telinga.

2.Otitis Media with Effusion (OME)

Jangkitan telinga ini biasanya tidak menunjukkan apa-apa simptom. Kadang-kadang ia berlaku selepas berakhirnya jangkitan telinga. Akan tetapi bendalir jangkitan masih terperangkap di bahagian belakang gegendang telinga. Bendalir ini perlu diperiksa oleh doktor menggunakan alat khas.

3.Chronic Otitis Media with Effusion (COME)

Cecair hasil daripada jangkitan yang masih tinggal di bahagian telinga tengah untuk suatu tempoh yang lama. Masalah ini selalunya hilang seketika dan akan berulang kembali secara berterusan walaupun jangkitan telinga telah pun sembuh. Masalah ini menyebabkan kanak-kanak sukar menentang jangkitan seterusnya sehingga memberi kesan terhadap masalah pendengaran.

Bagaimana Mengetahui Jika Jangkitan Telinga Berlaku Pada Anak ?

Kanak-kanak berusia dua tahun ke bawah yang masih belum boleh bercakap agak sukar untuk menyatakan jenis kesakitan yang dialami. Namun anda masih boleh mengenalpasti melalui beberapa tanda ketidakselesaan yang ditunjukkan oleh kanak-kanak.

  1. Menggaru-garu bahagian telinga. Kanak-kanak akan menunjukkan rasa tidak selesa dengan sering menyentuh, memegang dan menggaru-garu bahagian telinga.
  2. Menangis dan merengek. Kanak-kanak akan kerap menangis untuk menunjukkan rasa tidak selesa yang dialami.
  3. Sukar untuk tidur. Jangkitan di bahagian dalam telinga akan menyebabkan kanak-kanak tidak selesa dan bermasalah untuk tidur dengan nyenyak.
  4. Demam. Kanak-kanak mungkin mengalami demam. Namun tidak semua kanak-kanak yang mengalami jangkitan telinga akan demam. Ia biasanya hadir dengan simptom-simptom lain.
  5. Keluar bendalir dari dalam telinga. Warna cecair ini seakan kekuningan pekat dan agak berbau busuk.
  6. Hilang keseimbangan badan. Kanak-kanak mengalami kurang keseimbangan ketika berdiri dan berjalan sehingga adakalanya mereka kerap jatuh.
  7. Hilang selera makan.
  8. Masalah pendengaran. Kanak-kanak kurang respon apabila dipanggil dengan suara perlahan. Mereka tidak boleh mendengar dengan jelas bunyi yang perlahan.

Bagaimana Jangkitan Telinga Berlaku Di Kalangan Kanak-Kanak

Antara telinga tengah dan kerongkong, terdapat satu saluran tiub dipanggil tiub eustachian. Tiub ini memastikan keseimbangan tekanan telinga tengah dengan membenarkan pengaliran udara keluar masuk berlaku. Bagi kanak-kanak terutama yang berusia tiga tahun ke bawah, saiz tiub eustachian amat sempit dan tidak berupaya untuk menyingkirkan kuman yang masuk. Keadaan ini semakin buruk apabila kanak-kanak dijangkiti selesema dan alergi. Ia akan menyebabkan penyumbatan pada tiub eustachian. Kuman yang masuk akan terperangkap dan seterusnya merebak di bahagian telinga tengah sehingga menyebabkan jangkitan yang serius.

Otitis telinga ini tidak mampu berjangkit dari individu ke individu yang lain. Namun apabila kanak-kanak menghidapi selesema, mereka berpotensi untuk terkena jangkitan pada telinga.

Punca-Punca Lain Jangkitan Pada Telinga

Terdapat beberapa punca yang meningkatkan risiko jangkitan telinga pada kanak-kanak. Ada di antara punca ini boleh di atasi dengan mengambil beberapa langkah pencegahan. Antara kanak-kanak yang berisiko menghidap jangkitan telinga ialah :

  • Kanak-kanak berusia 5 tahun ke bawah kerana saiz tiub eustachian yang masih sempit.
  • Kanak-kanak di pusat penjagaan kanak-kanak yang tidak menitikberatkan faktor kebersihan.
  • Kanak-kanak yang sensitif terhadap sesuatu atau alahan yang teruk.
  • Bayi yang tidak disusukan dengan susu badan ibu mereka. Susu badan membekalkan nutrien yang memperkuatkan antibodi kanak-kanak.
  • Kanak-kanak yang menyusu menggunakan botol susu. Menyusu dalam keadaan badan berbaring akan menjadi punca jangkitan ke bahagian telinga. Susu akan masuk ke saluran tiub eustachian dan ini akan meningkatkan risiko jangkitan bahagian telinga tengah.
  • Kanak-kanak yang menghadapi masalah sumbing lebih berisiko menghidapi jangkitan dalam telinga.
  • Kanak-kanak yang terdedah kepada asap rokok. Bahan kimia dalam asap rokok sangat berbahaya untuk kesihatan mereka yang masih mempunyai rintangan antibodi yang lemah.
  • Kanak-kanak dari masyarakat orang asli dari pelbagai bangsa. Tidak diketahui punca namun faktor kebersihan yang kurang dititikberatkan dalam komuniti perkampungan orang asli mungkin menjadi punca perkara ini berlaku.

Bagaimanakah Cara Mencegah Jangkitan Telinga Pada Kanak-Kanak ?

Faktor-faktor dan punca berlakunya jangkitan telinga pada kanak-kanak yang disenaraikan di atas perlu diberi perhatian. Anda perlu mengambil langkah pencegahan yang sepatutnya berdasarkan punca-punca luaran yang berkaitan dengannya.

Selain mengambil langkah pencegahan, ada beberapa kaedah lain yang boleh diambil. Antaranya :

  • Vaksin pencegahan penyakit seperti vaksin influenza dan selesema. Dapatkan nasihat doktor mengenai vaksin terbaik bagi kanak-kanak di bawah usia dua tahun. Vaksin pneumokokus konjugat terbukti dapat mengurangkan risiko jangkitan di kalangan kanak-kanak.
  • Cuci tangan sebersihnya untuk menghapuskan kuman. Gunakan sabun dan sanitizer supaya kuman dapat dimatikan dengan sepenuhnya selepas setiap kali membuang najis dan bermain di luar seperti bermain tanah.
  • Elakkan pendedahan asap rokok di kalangan kanak-kanak. Sistem imunisasi kanak-kanak amat lemah untuk mengatasi bahaya bahan kimia yang terhasil daripada  asap rokok.
  • Sentiasa menyusukan bayi dalam keadaan duduk atau pada posisi badan mereka 180 darjah.
  • Elakkan anak-anak daripada bercampur atau mendekati kanak-kanak lain yang sedang mengalami demam, batuk dan selesema.

Bagaimana Jangkitan Telinga Kanak-Kanak Dapat Dirawat ?

Kanak-kanak yang mengalami demam atau jangkitan selesema dan batuk yang tidak sembuh dalam tempoh dua hari perlu segera di bawa ke doktor untuk rawatan.

Doktor biasanya akan membekalkan kanak-kanak dengan ubat antibiotik jika mendapati mereka mengalami demam panas melebihi 39 darjah celcius dan tidak kebah dalam masa dua hari, kesakitan pada otot badan dan apabila mendapati cecair keluar daripada lubang telinga.

Biasanya kanak-kanak berusia dua tahun dan ke bawah akan mengambil masa kira-kira 10 hari untuk sembuh secara sepenuhnya. Kanak-kanak yang berusia melebihi usia 3 tahun biasanya mengambil masa kurang daripada satu minggu untuk sembuh.

Berikan air masak secukupnya kepada kanak-kanak. Biasanya, jangkitan dan demam yang dialami akan mula berkurangan dalam masa dua hari. Selain ubat antibiotik, kanak-kanak yang mengalami jangkitan telinga juga akan dibekalkan dengan ubat-ubatan lain seperti ubat mencairkan kahak dan ubat titis telinga untuk mengeluarkan nanah dari bahagian dalam telinga.

 

Get Reviews Widget

Leave a review

You may also like...