Setiap hari kita membuka peti sejuk di dapur untuk pelbagai tujuan terutamanya untuk menyimpan dan mengambil bahan masakan dan makanan. Adakalanya kita sendiri tidak sedar entah berapa kali kita membuka dan menutup pintu peti sejuk dalam sehari. Oleh itu, kita tidak boleh mengecualikan keperluan peralatan elektrik dapur yang paling utama ini. Rumah yang tidak dilengkapi dengan peti sejuk seperti tidak mempunyai bekalan makanan. Kebanyakan barangan yang kita simpan dalam peti sejuk terdiri daripada bahan makanan sama ada dalam bentuk yang siap dimakan atau dalam bentuk bahan mentah seperti daging, ayam, ikan dan sayur-sayuran yang sedia untuk dimasak.

Proses keluar masuk semua bahan-bahan ini akan meninggalkan dua kesan utama. Pertama ialah dari segi bau. Percampuran pelbagai bahan terutama daripada bahan mentah akan menghasilkan gabungan bau yang tidak enak. Kedua ialah dari segi kebersihan yang membuatkan kita sering terlepas pandang. Titisan cecair daripada bahan mentah, bahan sos dan kicap, minuman dalam botol dan sebagainya akan mengotorkan ruang penyimpanan peti sejuk. Jika tidak dicuci segera akan menghasilkan lekitan berwarna yang sukar ditanggalkan.

Sentiasa Pastikan Kebersihan Peti Sejuk Anda

Oleh itu, betapa penting bagi kita untuk memastikan kebersihan peti sejuk di bahagian dalam dan luar secara teliti. Tiada siapa yang mempunyai masa untuk membersihkan peti sejuk setiap hari lebih lagi apabila terlalu banyak barangan tersimpan yang perlu dikeluarkan setiap kali pembersihan dilakukan. Mencuci sekurang-kurangnya dua minggu sekali sudah memadai bagi mereka yang terlalu sibuk. Semakin lama ia dibiarkan tanpa dicuci, semakin degil kesan kotoran perlu dibersihkan, akan semakin sukar kerja anda.

Kami kongsikan kaedah terbaik membersih dan mewangikan peti sejuk disamping beberapa cadangan peralatan yang diperlukan untuk kerja mencuci ini.

Tips 1 : Kosongkan peti sejuk

Pertama sekali anda perlu mengeluarkan kesemua barang-barang dari dalam peti sejuk termasuk di bahagian sejuk beku. Jika perlu anda boleh menyediakan satu bekas air sejuk yang mengandungi ketulan ais untuk meletakkan sementara barangan seperti susu, daging, ikan dan sebagainya. Proses membersihkan peti sejuk mungkin akan mengambil masa yang lama bergantung kepada saiz peti sejuk.

Membiarkan barang-barang ini terlalu lama dalam suhu bilik akan menyebabkan bakteria makanan terkumpul. Oleh itu menyenyediakan satu bekas air yang mengandungi ais secukupnya akan mengekalkan kesegaran bahan mentah dan minuman seperti susu. Tutup suis utama untuk memastikan proses pembersihan tidak menyebabkan risiko renjatan elektrik. Kes sebegini jarang berlaku. Apapun anda boleh mengambilnya sebagai langkah keselamatan.

Tips 2 : Bersihkan rak botol dan laci sayuran

Kebanyakan peti sejuk direka untuk memudahkan pengguna bagi proses pembersihan. Kebiasaannya anda boleh mengeluarkan rak botol dan laci sayuran untuk memudahkan cucian dilakukan di sinki dapur. Bersihkan dengan menggunakan span pembersih pinggan mangkuk dan cecair sabun beraroma sitrus dari campuran cecair pinggan mangkuk dan air.

Selepas selesai mencuci kesemua rak dan laci, keringkan ia dengan menggunakan kain bersih dan susun ia di satu tempat untuk seketika bagi membolehkan anda menyambung kerja mencuci di bahagian dalaman peti sejuk.

Sunlight Lime Diswash Liquid

glo Lemon

Tips 3 : Membersihkan bahagian dalaman peti sejuk

Untuk pembersihan bahagian dalaman peti sejuk, elakkan penggunaan air panas. Air panas akan melambatkan penyejukan semula peti sejuk apabila duis dihidupkan semula. Sebaliknya gunakan air biasa dengan campuran bahan sabun yang tidak mengandungi bahan kimia berbahaya seperti cecair peluntur. Cecair pencuci pinggan mangkuk paling sesuai digunakan.

Gunakan span mencuci pinggan mangkuk atau kain jenis mirofiber untuk membersihkan dinding dan keseluruhan ruangan peti sejuk kecuali di bahagian sejuk beku. Kebiasaanya bahagian sejuk beku akan mengambil masa kerana anda perlu menunggu pembentukan ais cair sepenuhnya. Apapun anda tidak perlu menunggu sebelum ais cair sepenuhnya.

Gunakan kayu pencungkil gigi atau putik kapas telinga untuk menanggalkan daki kering yang melekat pada ruang celahan yang sempit dan lubang titisan air yang terletak di bahagian belakang dalam peti sejuk. Jika perlu anda boleh menggunakan campuran ais dengan serbuk soda. Ia boleh digunakan untuk menanggalkan daki dan kesan makanan yang melekat lama dalam peti sejuk.

Tips 4 : Keringkan

Selepas anda berpuas hati dengan hasil cucian, langkah seterusnya ialah mengeringkan sisa air dan sabun. Peti sejuk yang dibiarkan lembap dari sisa cucian boleh menyebabkan bau. Gunakan kain kering yang baru atau kertas tisu dapur yang boleh menyerap air dengan baik. Proses pengeringan ini akan menjamin keseluruhan ruangan peti sejuk menjadi lebih bersih dan sisa kotoran dikeluarkan dengan mudah selepas pengeringan bahagian dalaman peti sejuk.

Tips 5 : Membersihkan bahagian luar perti sejuk

Jangan terlepas pandang untuk mencuci bahagian luar peti sejuk terutamanya di bahagian pemegang pintu. Pengumpulan kuman mungkin tertumpu di bahagian tersebut kesan daripada tangan-tangan kita dan ahli keluarga yang tidak dicuci dengan bersih sebelum membuka peti sejuk. Peti sejuk berwarna gelap seperti hitam dan kelabu juga mudah meninggalkan kesan kotoran di bahagian luar terutama di bahagian kiri dan kanan.

Jika peti sejuk terlalu rapat ke bahagian dinding, alihkan kedudukannya dengan menolaknya secara berhati-hati untuk memberikan anda ruanh membersihkan bahagian kiri, kanan dan bahagian belakang peti sejuk. Bahagian belakang peti sejuk berhubung terus dengan wayar suis utama. Untuk bahagian ini elakkan penggunaan air atau kain basah untuk mengelakkan lintar pintas atau renjatan elektrik. Gunakan sama ada berus pembersih habuk atau vakum dengan menggunakan muncung celah untuk menarik gumpalan habuk.

Tips 6 : Bahagian sejuk beku

Jika anda mencuci sambil menutup suis utama, ais di bahagian sejuk beku akan mencair dan menyebabkan pengumpulan air. Adakalanya ia boleh melimpah sehingga ke bahagian lantai. Untuk bahagian sejuk beku, anda dinasihatkan untuk menutup suis utama antara 2 sehingga 3 jam terutama jika pembentukan ais terlalu banyak.

Ais yang mencair selalunya lebih mudah dikeluarkan dengan cara mencungkil menggunakan bahan metal berbentuk muncung tirus. Elakkan daripada mengetuk ais kerana ini akan merosakkan peti sejuk anda. Sebaliknya biar ia cair seketika, diikuti dengan mencungkil ais menggunakan bahan metal. Penggunaan pisau tidak digalakkan tetapi anda boleh menggunakannya secara berhati-hati dan tidak menggunakan pisau bermuncung tajam. Sisa air daripada ais boleh dikeringkan menggunakan kain bersih.

Tips 7 : Nyalakan semula suis peti sejuk

Sesetengah peti sejuk dilengkapi dengan sistem penyejukan segera. Selepas selesai membersihkan semua bahagian, pasang semula laci dan rak yang dikeringkan tadi. Biarkan suhu mencapai sekitar 5°C sehingga 6°C sebelum anda menyimpan semula semua botol dan bahan mentah yang telah dikeluarkan tadi.

Bersihkan botol sos dan kicap terutama di bahagian tapak daripada sisa yang meleleh supaya ia tidak mengotorkan rak peti sejuk anda yang baru sahaja siap dibersihkan. Untuk bahan mentah, anda boleh menggunakan bekas berasingan untuk menyimpanan pelbagai jenis daging dan ikan. Bagi sayur anda juga boleh mengasingkan setiap jenis sayur mengikut keadaan dan saiz ruang simpanan sayur.

Sebelum menyimpan kembali barangan, anda boleh membuat semakan kedua sama ada perlu atau tidak untuk membuang barangan yang telah rosak, berkulat atau tamat tempoh. Lebih banyak ruang penyimpanan peti sejuk anda apabila membuang baranagn yang tidak diperlukan.

Bolehkah Mencuci Peti Sejuk Menggunakan Bahan Pencuci Lain ?

Cecair pencuci pinggan mangkuk adalah pilihan terbaik kerana ia tidak mengandungi bahan kimia berbahaya seumpama bahan pencuci lain seperti peluntur. Sesetengah pembersih dapur mengandungi bahan kimia yang sangat kuat kesannya untuk membunuh kuman dan bakteria.

Walaubagaimanapun produk ini tidak digalakkan untuk cucian peti sejuk kerana faktor makanan yang tersimpan di dalamnya. Sisa dan bau daripada bahan pencuci dengan kandungan bahan kimia yang tinggi ini boleh meresap ke dalam makanan anda. Selain pencuci pinggan mangkuk, cecair pencuci yang bersifat mesra alam daripada bahan organik juga disarankan.