Kasut velvet adalah satu di antara jenis kasut yang perlu ada dalam simpanan seorang penggemar dan penyimpan koleksi kasut. Satu kelebihan kasut velvet ialah ia amat sesuai digayakan untuk sebarang majlis rasmi seperti majlis makan malam syarikat, majlis perkahwinan malah perjumpaan bersama golongan ternama VIP & VVIP. Dengan material yang lembut, warna yang menarik dan kelihatan elegan, kasut velvet seakan memberi sentuhan gaya mewah kepada si pemakai. Koleksi kasut di dalam almari seakan tidak lengkap tanpa adanya kasut velvet sebagai pilihan untuk memperagakan fesyen supaya kelihatan lebih bergaya bagi lelaki dan anggun bagi wanita.
Akan tetapi dengan material yang berbeza dari kasut lain seperti kasut kulit, kasut getah dan sebagainya, kasut velvet memerlukan penjagaan yang lebih teliti berbanding kasut lain. Material kasut velvet yang berbulu lembut amat terdedah kepada perubahan cuaca, kesan tumpahan dan sentuhan akan menyebabkan perubahan warna kasut dan haus atau botak. Kemungkinan tinggi juga kasut sukar dibersihkan semula kepada warna asal selepas terkena lumpur semasa hari hujan.
Menjaga Kebersihan Kasut Jenis Velvet
Sesetengah orang mungkin akan mengelakkan diri daripada membeli kasut jenis velvet. Anda sebenarnya tidak perlu risau memilikinya sebagai salah satu koleksi dalam almari kasut anda. Kasut velvet sebenarnya amat mudah dilindungi dari sebarang kerosakan. Dengan mengetahui teknik penjagaan kasut velvet yang betul, ia pasti dapat bertahan lama dalam koleksi simpanan kasut anda.
Cucian Asas
Setiap kali pemakaian kasut velvet, ia perlu dibersihkan dengan segera dari sebarang kesan kotoran dan habuk. Pembersihan asas melibatkan habuk dan debu yang ringan tidak melibatkan langkah pembersihan yang sukar. Anda hanya memerlukan sehelai kain bersih. Yang terbaik adalah kain jenis mikrofiber yang boleh memerangkap habuk dengan mudah.
Tidak hanya selepas setiap kali pemakaian, kasut yang dibiarkan lama di atas rak dan almari kasut juga diliputi habuk jika lama tidak dipakai. Oleh itu pastikan anda mengelap kasut sekurang-kurangnya sekali dalam seminggu.
Menghilangkan Kesan Lumpur & Kotoran
Mengenakan kasut velvet semasa hari hujan akan meninggalkan tompokan lumpur dan kotoran air yang membuatkan ia kelihatan amat kotor seakan sukar dibersihkan.
- Langkah pertama yang perlu anda lakukan ialah menanggalkan kasut terlebih dahulu sebaik sahaja sampai di rumah. Pastikan anda menggunakan plastik atau surat khabar lama untuk mengelakkan kotoran kasut terkena pada lantai rumah.
- Keringkan kasut di ruang rumah yang paling sesuai untuk pengeringan sama ada di bawah kipas atau cahaya matahari. Anda juga boleh menggunakan alat pengering rambut untuk mengeringkan kesan lumpur yang bertompok.
- Pastikan lumpur benar-benar kering sebelum anda membersihkannya. Lumpur akan lebih mudah ditanggalkan dan dibersihkan apabila ia benar-benar kering.
- Apabila lumpur telah kering, gunakan berus gigi atau sebarang jenis berus pencuci yang lembut untuk penyingkiran tompokan lumpur kering tersebut. Pastikan anda memberus mengikut arah bulu kasut untuk memastikan kilauan velvet terpelihara.
- Jika berus sudah terlalu kotor setelah digunakan untuk menyingkirkan lumpur, anda boleh menggunakan berus baharu atau kain jenis mirofiber untuk membuang sisa-sisa debu yang masih melekat sehinggalah ia benar-benar bersih.
Cucian Menggunakan Campuran Air Sabun
Kasut velvet juga boleh dicuci menggunakan air sabun. Namun anda tidak boleh membasahkan ia sepertimana anak-anak anda membersihkan kasut sekolah. Ia tidak boleh dibasahkan dengan jumlah air yang terlalu banyak kerana boleh menyebabkan kasut cepat rosak dan membengkak.
Kecuali lumpur kering dan habuk, kotoran lain seperti kesan tumpahan air manis, tahi burung dan sebagainya boleh dibersihkan menggunakan campuran air biasa dan air sabun.
- Anda boleh sabun cecair sama ada sabun cecair mandian, sabun cecair pinggan mangkuk atau syampu rambut.
- Sediakan semangkuk air bersih bersuhu normal dan titiskan cecair sabun ke dalam mangkuk. Kacau sehingga sedikit berbuih. Jangan campurkan cecair sabun terlalu banyak kerana ini akan menyukarkan proses pembersihan kasut.
- Selain cecair sabun, anda boleh menggunakan alternatif lain seperti perahan jus lemon serbuk penaik dan baking soda. Campuran kedua-dua bahan ini bersama air akan menghasilkan sedikit pembentukan buih.
- Gunakan berus gigi yang bersih dan tidak digunakan. Celupkan hujung berus gigi ke dalam air. Seterusnya berus pada bahagian permukaan yang kotor pada kasut tersebut. Sental sehingga kesan kotoran dihilangkan sepenuhnya.
- Elakkan daripada penggunaan air yang berlebihan sehingga terkena pada bahagian yang tidak terlibat dengan kotoran.
- Ambil sehelai kain mikrofiber bersih dan lap pada bahagian yang telah basah dari cucian tadi. Ini bertujuan untuk mengeringkan dan menghilangkan lebihan air pada kasut anda.
- Gunakan kain bersih biasa jika tiada kain mikrofiber. Pastikan kain tersebut dari jenis yang mudah menyerap air.
- Anda juga boleh menggunakan pengering rambut atau kipas untuk mempercepatkan proses pengeringan kasut.
Perlindungan Menggunakan Alat Penyembur Perlindungan Kasut
Beli alat penyembur perlindungan kasut yang terdapat di pasaran. Sebelum membeli pastikan anda membaca label aturan penggunaan dan jenis-jenis material kasut yang sesuai untuk digunakan. Tidak semua alat penyembur perlindungan kasut sesuai untuk material kasut velvet.
- Pilih produk penyembur kasut yang boleh menghilangkan kesan kotoran, debu dan mempunyai fungsi kalis air. Jika label produk tidak menyatakan secara khusus untuk penggunaan kasut velvet, anda boleh mencuba sebarang jenis penyembur perlindungan kasut.
- Sebelum membuat semburan yang banyak ke seluruh permukaan kasut, lakukan semburan pada permukaan kecil atau setempat dahulu untuk memastikan produk tersebut tidak menyebabkan sebarang kerosakan pada kasut selepas semburan.
- Selepas berpuas hati, baharulah anda boleh menyemburnya ke seluruh permukaan kasut.
- Semburan hendaklah dilakukan pada jarak yang sesuai iaitu kira-kira 10 sentimeter dari kasut anda. Semburan yang terlalu dekat pada permukaan velvet akan menghasilkan kesan tompokan dan menjejaskan kasut anda.
- Keringkan kasut selepas setiap kali semburan dilakukan sebelum anda memakainya semula. Keringkan di kawasan yang tidak terdapat habuk yang banyak dan mudah untuk dikeringkan.
Crep Protect Spray
Alat penyembur untuk melindungi kasut dari kebasahan air dan habuk. Ia dicipta khusus untuk kasut sneakers namun boleh disesuaikan untuk pelbagai material kasut termasul velvet/suede.
Zerowet Nano Waterproof Spray
Merupakan spray perlindungan kasut yang dapat melindungi dari kekotoran cecair berwarna, kebasahan air dan juga kotoran minyak.
Menghilangkan Bau Pada Kasut Velvet
Seperti kasut lain, kasut velvet juga boleh meninggalkan bau kaki yang tidak enak. Malah kasut velvet juga dikatakan lebih mudah menghasilkan bau berbanding lain-lain jenis kasut. Oleh itu amat penting untuk anda mengambil langkah mencegah bau kasut yang tidak enak daripada terhasil.
- Cuka : Gunakan botol penyembur bersaiz kecil yang mengandungi cairan campuran cuka dan air. Goncang botol sebelum disembur pada kasut. Sembur bahagian dalaman tapak kasut dan permukaan luar kasut. Pastikan kasut dikeringkan terlebih dahulu sebelum anda memakainya semula.
- Serbuk penaik (baking soda) : Tabur serbuk penaik ke dalam permukaan dalaman kasut. Tujuannya adalah untuk menyerap bau yang tidak enak tersebut. Taburan ini dibiarkan semalaman. Selepas semalaman, buang cebisan serbuk di dalam kasut sebelum dipakai.
- Anda juga boleh menggunakan sebarang jenis semburan khas pewangi kasut yang terdapat di pasaran atau membuat pewangi kasut sendiri secara DIY.
Pilihan Editor :