Mengikut definisi Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) seseorang yang sihat adalah mereka yang sihat kedua-duanya, fizikal dan juga mental.

Sebelum pergi terlalu jauh, kita sendiri / untuk kenal orang yang alami kena tahu perbezaan antara rasa bersedih (grief) atau rasa depresi (depression). Kebanyakan kita pernah lalui situasi di mana kita berasa sedih, tiada motivasi, kesunyian, dan jiwa kacau selama seminggu. Itu reaksi biasa dan kita masih boleh berfungsi dengan normal. Itu adalah mood depression, dan bukan penyakit. Clinical depression (major depression) pula akan menyebabkan kefungsian akal terjejas dan secara tidak langsung boleh juga menyebabkan gangguan kesihatan fizikal jika berlangsung lama.
Kemurungan klinikal atau major depression adalah satu istilah perubatan yang menggambarkan perubahan emosi yang keterlaluan. Ia bukan lagi emosi normal tetapi suatu penyakit yang perlu dirawat. Jangan memperlekehkan sakit orang dan untuk yang alami, jangan terlalu ambil mudah. Kena perlu sihat dan kuat untuk diri sendiri.

Foto: whshowl.org

TANDA-TANDA PENYAKIT KEMURUNGAN (DEPRESI)
1. Perasaan murung atau sering marah-marah hampir sepanjang hari dan hampir setiap hari dalam tempoh dua minggu. Perasaan ini dilaporkan oleh pesakit secara subjektif seperti perasaan rendah diri ataupun daripada pengamatan orang luar contohnya selalu menangis.
2. Tidak bersemangat atau tidak berminat melakukan aktiviti sosial yang biasa dilakukan hampir setiap hari. Contohnya tidak berminat untuk bersukan lagi atau berjumpa dengan sanak-saudara.
3. Berat badan merosot (~5%) daripada asal dalam waktu yang singkat atau kurang selera makan.
4. Corak tidur berubah, sama ada kurang tidur (insomnia) atau terlebih tidur (hypersomnia).
5. Perubahan dalam melakukan aktiviti seharian, sama ada terlebih aktif atau kurang aktif.
6. Selalu letih dan kurang tenaga dalam melakukan aktiviti harian.
7. Perasaan bersalah yang tidak setimpal dengan sesuatu kesalahan perbuatan atau merasakan diri tidak berguna.
8. Tidak mampu memberikan konsentrasi atau berfikir secara rasional. Pesakit juga merasakan susah untuk membuat keputusan dalam kehidupan hariannya.
9. Berfikir tentang keinginan untuk mati atau bunuh diri dengan kerap, atau mempunyai pelan masa hadapan untuk membunuh diri.
MURUNG / DEPRESI, BUKAN GILA
Kemurungan bukan bermakna seseorang itu “gila.” Kemurungan boleh dibantu dan dirawat. Marilah, dapatkan bantuan yang anda perlukan.
“Orang yang mempunyai kemurungan, biasanya cawan mereka lebih besar berbanding orang yang tidak mengalami kemurungan. Maka hak mereka untuk didengari dan difahami lebih daripada orang lain. Mereka memerlukan lebih banyak sokongan. Mereka memerlukan telinga yang mendengar dengan penuh sabar. Mereka memerlukan orang yang bersikap empati dan cuba memahami. Mereka memerlukan bahu yang sanggup menahan tangisan mereka hari demi hari. Mereka perlukan orang yang menerima mereka “unconditionally.”

Kesihatan mental mengikut WHO ditakrifkan sebagai keadaan kesejahteraan seseorang itu di mana dia berupaya menyedari potensi dirinya, dapat mengatasi tekanan dalam kehidupan, dapat bekerja secara produktif, dan mampu memberikan sumbangan kepada dirinya dan masyarakat.

 

Foto: The Express Tribune

Terdapat dua faktor penyumbang kepada masalah mental, iaitu persekitaran dan genetik. Faktor persekitaran merujuk kepada pengaruh luaran seperti tekanan hidup yang melampau sama ada dari sudut sosial dan kewangan, melalui peristiwa yang sangat buruk dalam kehidupan serta masalah perhubungan manakala genetik pula merujuk kepada faktor keturunan serta personaliti seseorang.

Namun begitu, individu yang mempunyai masalah mental kebanyakannya pilih untuk tidak berjumpa dengan pakar kerana beranggapan ia hanya untuk orang yang hilang akal atau gila.
Persepsi ini bagaimanapun perlu diperbetulkan segera kerana mereka yang bergelut dengan kesihatan mental perlu mendapatkan bantuan dengan kadar segera daripada pihak klinik atau hospital. 

Jika rawatan dilakukan pada peringkat awal, penyakit mental ini akan sembuh dengan lebih baik di samping dapat mengelak daripada perkara tidak diingini berlaku.

Berikut adalah cara-cara untuk mendapatkan rawatan bagi masalah depression:

1. Ketika dalam kecemasan

Jika anda atau seseorang yang dikenali ingin atau cuba untuk membunuh diri, gegas ke unit Kecemasan di hospital terdekat.

Anda juga boleh menghubungi ambulans di talian 112, atau organisasi terlibat.

Organisasi yang boleh dihubungi sekiranya anda atau seseorang yang anda kenali yang sedang mengalami kemurungan dan mempunyai kecenderungan membunuh diri:

Befrienders Kuala Lumpur – 03-7956 8144

Befrienders Penang – 04-281 5161

Befrienders Melaka – 06-284 2500

Befrienders Ipoh – 05-547 7933

Befrienders Seremban – 06-765 3588

Persatuan Lifeline Malaysia – 03 -9285 0039, 03-9285 0279, 03-9285 0049

Persatuan Kesihatan Mental Malaysia – 03-7782 5499

Foto: hypnose-eft-paris.fr

2. Kaunselor di tempat anda

Profesional pertama yang anda boleh dekati ialah kaunselor di sekolah, universiti atau tempat kerja anda. 

Anda boleh memberitahu mereka tentang masalah yang anda hadapi dan menanyakan langkah-langkah selanjutnya yang perlu diambil, terutamanya jika anda memerlukan rawatan lanjut.

3. Pusat Kesihatan Mental Komuniti (Mentari)

Mentari merupakan sebuah pusat kesihatan mental masyarakat inisiatif daripada Kementerian Kesihatan Malaysia.

Mentari menawarkan perkhidmatan seperti Perkhidmatan Pesakit Luar, Perkhidmatan Psikiatri Komuniti dan Perkhidmatan Rehabilitasi yang turut menyediakan Ujian Saringan awal bagi pesakit yang belum mempunyai diagnosis. 

Program rehabilitasi dan terapi carapulih kerja adalah satu faktor yang penting dalam pemulihan pesakit psikiatri. 

 

Foto: Utusan Online

Perkhidmatan ini disediakan untuk pesakit Psikiatri Am, Geriatrik, Kanak-kanak dan remaja yang mengalami masalah kesihatan mental bertujuan untuk mengurangkan jangkamasa rawatan di wad, membuat intervensi rawatan susulan di rumah selepas konsultasi dengan pakar, membuat penilaian psikososial, memperkasakan sokongan keluarga atau penjaga pesakit melalui pendidikan kesihatan dan mengesan gejala-gejala awal penyakit yang dikhuatiri akan berulang.

Anda boleh mendapatkan pemeriksaan dan pengesanan awal di pusat Mentari terdekat. Untuk maklumat lanjut, sila hubungi talian-talian tersenarai:

4. Klinik Kesihatan Awam

Anda boleh berjumpa dengan doktor am di klinik kesihatan kerajaan bagi mendapat konsultasi dan pemeriksaan, selalunya melalui ujian saringan minda. Anda boleh terus ke klinik dan berdaftar dengan bayaran hanya RM1.

Tempoh menunggu bergantung pada kawasan klinik tersebut dan juga waktu yang anda pergi kerana ianya berbeza bagi setiap klinik.

Jika anda ingin berjumpa dengan doktor psikiatri, sila minta doktor am anda surat rujukan untuk ke hospital terdekat yang mempunyai unit psikiatri dan kesihatan mental. Di sana, anda boleh mendapatkan rawatan selanjutnya seperti terapi dan perubatan.

Pastikan untuk tanya perkhidmatan yang disediakan seperti akses kepada kaunselor dan pakar psikologi klinikal di hospital tersebut, terutamanya jika anda ingin jauhkan diri dari mengambil ubatan. Namun begitu, tidak ada masalah sekiranya anda pilih untuk mengambil ubatan.

Di bawah merupakan link untuk senarai klinik kesihatan kerajaan seluruh negara dan senarai hospital kerajaan dengan unit psikiatri:

1. Senarai Klinik Kesihatan Kerajaan Di Malaysia
2. Senarai Hospital Kerajaan Dengan Unit Psikiatri

5. Perkhidmatan kaunseling dan psikiatri

Persatuan Kesihatan Mental Malaysia atau Malaysian Mental Health Association (MMHA) ada menyediakan senarai-senarai perkhidmatan kerajaan dan swasta yang terdapat di Malaysia.

 

Foto: UKM

Perkhidmatan yang disediakan ini ada yang percuma dan ada yang berbayar dan ianya merangkumi perkhidmatan untuk masalah wanita dan kanak-kanak, keluarga, perkahwinan dan kewangan.

Di samping itu perkhidmatan yang disediakan ini juga berdasarkan komuniti seperti yang menggunakan bahasa Malaysia, Mandarin, Tamil dan Arab dan juga perkhidmatan khusus bagi komuniti beragama Buddha atau Kristian.

Di bawah merupakan link untuk senarai perkhidmatan kaunseling dan psikiatri awam dan swasta di seluruh Malaysia:

1. Senarai Perkhidmatan Kaunseling Awam dan Swasta
2. Senarai Perkhidmatan Psikiatri Awam dan Swasta

Semoga perkongsian ini memberi manfaat buat kita semua!