Ini Kesan Apabila Anda Amalkan Makan Oat Setiap Hari

Product Details

Tidak ramai yang mengamalkan makan bijirin oat setiap hari secara konsisten terutama sewaktu menikmati sarapan pagi. Walaupun kebaikan oat untuk kesihatan jauh lebih bermanfaat dari sebungkus nasi lemak dan sekeping roti canai telur, namun tidak semua daripada kita mampu menikmati bijirin ini setiap hari. Mungkin kerana rasanya yang tidak seenak sambal nasi lemak menjadikan ia kurang nikmat untuk dimakan setiap hari.

Nutrisi bagi separuh cawan hidangan oat mampu menyamai 13 gram berat protein! Protein menjadi sumber bagi pembinaan tisu kulit, penghasilan enzim dan hormon sihat, menguatkan tulang dan otot serta baik untuk sel darah.

Bagi yang mementingkan kesihatan luaran dan dalaman, anda akan terkejut selepas mengetahui kesan daripada mengamalkan makan oat setiap hari. Ayuh selepas ini sama-sama kita tukar menu sarapan pagi daripada sebungkus nasi lemak kepada semangkuk hidangan oat demi untuk kesihatan.

1. Lebih Bertenaga Setiap Hari

Oat membekalkan dos karbohidrat yang tepat untuk anda setiap hari. Karbohidrat bukanlah punca kenaikan berat badan. Ia bukan musuh anda. Karbohidrat diperlukan untuk membekalkan tenaga ke setiap sel badan. Sel jantung, sel otak, sel otot dan sel lainnya semua memerlukan bekalan karbohidrat untuk tenaga.

28 gram atau kira-kira ⅓ cawan mengandungi kira-kira 75 nilai kalori. Sumber kalori terbaik anda boleh dapatkan ialah daripada karbohidrat yang terkandung dalam oat.

2. Terhindar Masalah Obesiti

Secawan oat mampu membuatkan anda kenyang sepanjang hari dengan syarat anda memulakan sarapan dengan oat setiap pagi. Apabila kenyang, anda tidak perlu lagi mengambil makanan lain secara berlebihan. Secara semulajadinya, anda mampu menghindarkan diri dari gejala obesiti yang berpunca dari makan secara berlebihan. Walaupun tanpa mengambil makanan lain selama berjam-jam, badan masih mampu mengekalkan kandungan gula dalam darah tanpa pengurangan dan penambahan. Apabila gula dalam darah dikekalkan, keinginan untuk makan dapat dikurangkan.

3. Bacaan Kolestrol Dalam Darah Menurun

Oat mengandungi sejenis fiber dipanggil beta-glucan. Dengan mengamalkan pengambilan 3 gram oat setiap hari, anda mampu membantu mengurangkan tahap bacaan kolestrol dalam darah. Kolestrol dalam darah adalah punca bagi pelbagai penyakit kardiovaskular seperti sakit jantung, tekanan darah tinggi dan strok.

4. Tiada Lagi Masalah Sembelit

Kandungan fiber beta-glucan bukan sahaja baik untuk sistem kardivaskular, malah ia menjadikan sistem penghadaman anda lebih sihat. Fiber beta-glucan merupakan sejenis fiber prebiotik yang diperlukan bagi membentuk sistem penghadaman yang sihat.

Fiber prebiotik ini sangat bermanfaat menyuburkan bakteria baik yang wujud dalam usus kita. Dengan mengambil makanan dari sumber fiber, usus besar akan semakin sihat dan anda akan mendapati proses pembuangan menjadi lebih lancar. Anda tidak perlu lagi mengalami sembelit yang begitu menyeksakan.

5. Menentang Radikal Bebas Dalam Badan

Oat mengandungi pelbagai sumber sebatian yang menjalankan fungsi antioksida. Antioksida diperlukan oleh badan untuk menentang radikal-radikal bebas tidak bermanfaat yang masuk ke dalam badan. Walaubagaimanapun, bukan semua radikal bebas akan ditentang oleh sebatian antioksida. Ada juga radikal bebas yang digunakan oleh sel badan untuk melawan bakteria yang menyerang badan kita. Vitamin E (tocols), asid phytic, sebatian fenolik, dan avenanthramida adalah bahan antioksida paling banyak yang terdapat dalam oat.[1]

6. Jantung Semakin Sihat

Kandungan fiber beta-glucan yang terkandung dalam oat berperanan penting memastikan sistem kardiovaskular dalam badan berfungsi dengan baik. Ia bertindak menyingkirkan kolestrol yang termendap dalam saluran darah. Saluran darah yang sempit berpunca dari mendapan kolestrol pada dinding pembuluh darah adalah penyebab kepada serangan sakit jantung. Dengan mengamalkan makan oat setiap hari, kolestrol dalam darah dapat dikurangkan dan jantung anda akan semakin sihat.

7. Badan Semakin Sihat Dengan Pelbagai Nutrien

Oat mengandungi pelbagai jenis vitamin, mineral serta bahan antioksida. Antara kandungan mineral terkandung dalam 100 gram oat ialah kalsium, zat besi, magnesium, mangan, fosforus, potasium, sodium dan zink. Bagi vitamin pula, 100 gram oat mengandungi vitamin B6, folat, niasin, roboflavin dan tiamina.

Ibu-ibu mengandung digalakkan memakan oat kerana ia mengandungi folat, iaitu bahan utama yang membentuk asid folik. Asid folik sangat diperlukan untuk perkembangan bayi dalam kandungan.

Riboflavin mengandungi pelbagai manfaat untuk rawatan kesihatan bagi pelbagai jenis penyakit termasuklah penyakit kronik seperti kanser hati dan kanser paru-paru. Riboflavin juga diketahui kebaikannya untuk kesihatan mata dimana ia melindungi mata dari pembentukan katarak.

Niasin dipanggil juga sebagai vitamin B3 bermanfaat dalam membantu kesihatan sistem kardiovaskular. Dalam perubatan, niasin turut digunakan untuk rawatan kolestrol dalam darah.

Tiamina pula banyak digunakan untuk rawatan sistem pencernaa antaranya cirit birit.

8. Kulit Cantik & Awet Muda

Kandungan mineral yang pelbagai dalam oat sebenarnya sangat bermanfaat untuk kecantikan kulit. Ia boleh dianggap mengandungi super mineral yang setiap satunya bermanfaat untuk pelbagai jenis rawatan kulit.

Zink mampu merawat mereka yang mengalami masalah kulit berjerawat. Ia membantu mengawal perembesan minyak pada kulit serta mengawal kandungan hormon yang menjadi penyebab kemunculan jerawat. Zink turut berfungsi memberi kesan anti penuaan pada kulit. Kulit yang mengalami luka akan mudah sembuh dengan bantuan mineral zink dalam badan.

Magnesium juga bermanfaat untuk mengekalkan elastik kulit supaya kelihatan lebih muda dan anjal.

Potasium yang kandungannya agak tinggi dalam 100 gram oat mengandungi manfaat yang sangat baik untuk kulit. Ia berfungsi mengawal kandungan air dalam sel-sel badan. Kekurangan potasium dalam badan mengakibatkan masalah kulit kering dan lain-lain masalah kulit.

Bagaimana Menikmati Oat Dalam Diet Seharian

Oat kini boleh dinikmati dengan pelbagai cara yang membuatkan anda lebih berselera untuk menikmatinya. Sarapan pagi adalah makanan paling sesuai yang membekalkan tenaga untuk sepanjang hari.

Cara mudah menyediakan sarapan oat :

  1. Sediakan ½ cawan rolled oat.
  2. 250 ml susu segar
  3. Secubit garam

Anda cuma perlu masak campuran oat ini di atas dapur selama beberapa minit sehingga ia lembut.

Untuk lebih berselera, anda boleh campurkan dengan hiasan seperti hirisan buah strawberi, pisang, buah beri, kekacang, kismis dan juga yogurt. Untuk sedikit rasa kemanisan, anda boleh campurkan sedikit madu. Cara hidangan sebegini membuatkan anda lebih bersemangat untuk bersarapan tidak kira sama ada di rumah mahupun di tempat kerja.

Jenis-Jenis Oat Yang Anda Perlu Tahu

Oat yang dijual di pasaran terdiri daripada pelbagai jenis iaitu :

  • Whole Oat Groats. Ia juga dikenali sebagai kernel bijirin. Oat jenis ini paling memerlukan masa yang lama untuk dimasak. Ia boleh didapati di pasaraya.
  • Steel Cut Oats. Oat jenis ini lebih mudah dimasak kerana bentuknya yang bentuknya yang kecil memudahkan penyerapan air.
  • Scottish Oatmeal. Struktur oat lebih halus dan dikatakan lebih sedap untuk penyediaan bubur.
  • Rolled Oats biasa. Jenis oat yang paling mudah di dapati dalam pasaran. Oat ini senang dimasak kerna lebih mudah menyerap air. Ia biasa digunakan untuk resepi biskut, mufin dan lain-lain resepi bakeri.
  • Rolled Oats Segera/Instan. Oat jenis ini mempunyai tekstur pelbagai. Ia mengambil masa lebih cepat untuk dimasak.
  • Oat gandum. Oat gandum berguna untuk penyediaan resepi bakeri, masakan sup dan stew.
Get Reviews Widget

Leave a review

You may also like...