Berpuasa telah lama menjadi salah satu amalan yang penting bagi beberapa agama di dunia. Antara agama yang menggalakkan dan mewajibkan berpuasa ialah agama Islam, Kristian, Yahudi dan Hindu. Bagi penganut agama Islam, mereka diwajibkan untuk berpuasa dari makan dan minum selama 30 hari dalam bulan Ramadan bermula dari terbitnya matahari sehingga terbenamnya matahari. Bagi penganut Kristian dan Hindu pula, amalan puasa mereka agak berbeza di mana mereka mengamalkan puasa setengah hari atau berpuasa dari makanan tertentu seperti daging pada hari tertentu sahaja. Puasa dalam agama Yahudi pula dilakukan pada hari tertentu dalam setahun dan mereka tidak hanya berpuasa dari makan dan minum. Malah melibatkan puasa dalam perkara lain seperti tidak boleh memakai kasut dan minyak wangi.

Pelbagai kajian membuktikan bahawa amalan berpuasa amat bermanfaat untuk tujuan kesihatan. Berpuasa dapat mendidik kita supaya lebih berdisiplin dalam pemakanan sehari-hari. Ia mampu menguatkan tubuh badan, mencerdaskan pemikiran, memberi ketenangan rohani dan mengelakkan dari masalah kegemukan.

Puasa Sebagai Salah Satu Cara Pantas Untuk Kurus

Bagi mereka yang mengalami masalah obesiti dan kegemukan, berpuasa adalah salah satu penyelesaian terbaik untuk kembali kurus dalam masa yang singkat. Terdapat satu istilah yang dipanggil puasa intermittent yang dicadangkan oleh ramai pakar kesihatan.

Kita sering dengar kaedah diet seperti diet rendah lemak, rendah kalori, diet karbo dan ssebagainya yang sering dilakukan dalam usaha menurunkan berat badan. Kesemua jenis diet ini melarang atau mengehadkan kuantiti pengambilan nutrisi tertentu seperti karbohidrat, gula dan lemak. Tidak dinafikan bahawa dengan mengurangkan pengambilan nutrisi tertentu seperti ini mampu mengawal selera makan sesesorang sekaligus mengurangkan kuantiti pengambilan makanan serta mengawal pengambilan gula, karbohidrat dan kalori yang menjadi punca peningkatan berat badan seseorang.

Namun kebanyakan kaedah diet seperti ini hanya berkesan mengurangkan selera terhadap makanan tertentu sehingga adalakanya menyebabkan anda terpaksa menahan diri dari makanan tertentu yang digemari.

Maka muncul pula idea mengaplikasikan amalan puasa sebagai salah satu amalan diet yang diamlakan sejak beribu tahun oleh pengamal agama.

Apa Itu Diet Puasa Intermittent

Kaedah diet puasa intermittent berbeza daripada kebanyakan amalan diet untuk tujuan menurunkan berat badan. Ia adalah kaedah diet yang mengatur pola pemakanan kita supaya berpuasa daripada makan untuk tempoh tertentu dalam masa 24 jam tersebut. Walaupun tidak makan, anda masih boleh minum air yang tidak ditambah dengan kandungan gula. Ini adalah kerana gula berpengaruh besar dalam peningkatan berat badan seseorang.

Berapa Jam Puasa Intermittent Diamalkan ?

Ada yang yang mencadangkan berpuasa setiap hari selama 16 atau 14 jam atau mengambil beberapa hari dalam seminggu. Tempoh permulaan dan pengakhiran 16/14 jam tersebut boleh ditentukan oleh anda sendiri.

Puasa Intermittent Pada Waktu Malam

Ada yang mencadangkan bermula dari jam 7.00 petang sehingga 7.00 / 9.00 pagi keesokan harinya bagi melengkapkan tempoh 12/14 jam tersebut. Waktu ini amat sesuai bagi mereka yang tidak mampu berpuasa pada siang hari. Sesetengah daripada kita mungkin memerlukan lebih banyak tenaga pada siang hari terutama mereka yang terlibat dengan kerja-kerja fizikal yang berat.

Puasa intermittent pada waktu malam juga adalah masa terbaik kerana hampir semua daripada kita akan tidur pada waktu malam. Kalau lapar sekalipun, minda anda tidak akan sedar kerana sedang lena tidur kecuali jika terjaga pada waktu tengah malam. Bagi mereka yang mempunyai kadar metabolisma yang tinggi, kalori dalam badan mampu dibakar walaupun ketika anda sedang tidur pada waktu malam. Makan lebih cepatlah anda dapat menurunkan berat badan.

Puasa Intermittent Pada Waktu Siang Hari

Bagi mereka yang mampu berpuasa pada siang hari serta berupaya kawal diri daripada makan di siang hari, anda boleh memulakan puasa intermittent bermula dari jam 8.00 / 9.00 pagi selepas sarapan pagi dan makan semula pada waktu petang sekitar 6.00 / 7.00 petang.

Tetapi anda perlu berwaspada dengan jenis dan kuantiti makanan yang diambil sebelum tidur. Makan sebelum waktu tidur pada sebelah malam tidak digalakkan kerana ia boleh menyebabkan kita menjadi semakin gemuk. Tambahan lagi bukan semua daripada kita memiliki metabolisma tinggi yang boleh membakar kalori ketika sedang tidur.

Usus Dapat Berehat Selama Beberapa Jam

Dalam tempoh tersebut itulah kita dapat merehatkan usus daripada mengambil makanan secara terus menerus tanpa henti. Mereka yang tidak biasa dengan amalan puasa juga mampu memulakan diet puasa intermittent secara berperingkat. Untuk permulaan anda boleh memulakan tempoh 8 jam berpuasa secara minimum dua hari dalam seminggu. Kemudian tempoh ini ditingkatkan sehinggalah anda yakin sepenuhnya untuk berpuasa antara tempoh 12 ke 14 jam sehari.

Dalam tempoh puasa intermittent tersebut anda boleh selangi dengan beberapa jenis minuman tanpa gula seperti :

  • Air masak
  • Teh hijau tanpa gula
  • Lemon suam
  • Kopi tanpa gula
  • Teh hitam

Bagaimana Diet Puasa Intermittent Berkesan Menurunkan Berat Badan

Merehatkan usus daripada memproses makanan selama tempoh antara 12/14 jam sehari yang diamalkan secara berterusan akan memberikan impak perubahan kepada badan anda dalam tempoh yang singkat.

Salah satu perubahan biologi yang berlaku ialah proses pengeluaran insulin dalam badan. Disaat berpuasa organ hati akan menggunakan baki glukosa yang tersimpan dalam badan.

Pada ketika ini, fasa tubuh memasuki keadaan yang dipanggil glukoneogenesis, menandakan peralihan badan ke dalam mod puasa.

Kajian telah menunjukkan bahawa gluconeogenesis meningkatkan jumlah pembakaran kalori dalam badan. Apabila badan tidak lagi menerima karbohidrat sepanjang tempoh berpuasa, badan mencipta glukosa sendiri dengan menggunakan lemak.

Akhirnya, tenaga daripada lemak ini akan habis digunakan. Ini akan menyebabkan anda merasa sedikit lapar.

Pada ketika ini tahap metabolisma badan akan menurun perlahan-lahan dan tubuh mereka mula membakar tisu otot untuk menghasilkan tenaga.

Bagi mereka yang berpuasa selepas 24 jam, secara amnya ia masih selamat kecuali dalam keadaan tertentu berkaitan masalah kesihatan.

Manfaat Puasa Intermittent Selain Daripada Menurunkan Berat Badan

Selepas diamalkan untuk beberapa tempoh secara berterusan, mereka yang mengalami masalah obesiti dan berlebihan berat badan mampu menurunkan berat badan dan kembali kurus seperti yang diimpi-impikan. Apa yang penting anda perlu mengetahui kaedah yang betul dan disiplin yang tinggi sepanjang tempoh tersebut supaya memastikan mampu mencapai berat badan yang diingini.

Selain menurunkan berat badan, badan anda akan mendapat manfaat lain hasil daripada diet puasa intermittent. Antaranya :

  • Meningkatkan kecerdasan tubuh badan. Berpuasa dapat membantu menyihatkan peredaran kardiovaskular dalam badan. Dengan ini tahap kesihatan badan akan meningkat. Anda dapat menghindari penyakit berkaitan kardiovaskular seperti tekanan darah tinggi, penyakit jantung, strok, angina, penyumbatan salur darah dan sebagainya.
  • Berpuasa juga dikatakan mampu memperbaiki tahap ingatan atau memori seseorang.
  • Berpuasa dikatakan sebagai salah satu cara mencegah penyakit kanser.

Diet Intermittent Tidak Sesuai Diamalkan Jika..

Anda yang mengalami masalah penyakit tertentu tidak sesuai mengamalkan diet intermittent untuk tempoh masa yang terlalu lama. Mereka yang mengalami masalah di bawah tidak digalakkan berpuasa untuk tempoh masa yang lama. Antaranya :

  1. Pesakit diabetes
  2. Pesakit yang perlu makan makanan sebelum mengambil ubat-ubatan secara berkala.
  3. Kanak-kanak
  4. Wanita hamil dan wanita yang menyusukan bayi mereka dengan susu badan.
  5. Pesakit yang mengalami masalah gangguan pemakanan seperti pesakit anoreksia nervosa dan bulimia nervosa.