Selamat Tahun Baru 2019!
Setiap tahun tidak sah rasanya jika kita tidak menetapkan azam tahun baru. Ia umpama membuka sebuah lembaran buku baru yang di dalamnya perlu diisi dengan strategi hidup dalam mencapai target yang disenaraikan. Azam baru bagi orang dewasa boleh jadi terdiri daripada sekecil-kecil perkara sehinggalah matlamat paling besar dalam hidup. Ia boleh jadi melibatkan soal kerjaya, kewangan masa depan dan keluarga. Anda tentunya mempunyai strategi tersendiri dalam merangka jalan untuk mencapai segala matlamat yang ditetapkan.
Menetapkan dan mencapai azam tahun baru sememangnya mudah untuk diri sendiri. Sebagai ibu bapa pula, pernahkan anda menggalakkan anak-anak anda yang masih kecil melakukan perkara yang sama setiap kali tibanya tahun baru? Pernahkah anda bertanya secara langsung kepada anak anda yang masih di alam persekolahan tentang azam tahun baru? Adakah anda pernah menerangkan kepada mereka tentang kepentingan menetapkan dan mencapai azam tahun baru?
Penting bagi ibu bapa untuk membentuk corak masa depan anak-anak menerusi pelaksanaan azam tahun baru. Ia adalah salah satu langkah awal untuk mendidik anak anda supaya mengetahui tujuan dan menentukan jalan hidup mereka untuk mencapai sesuatu yang diinginkan. Ramai kanak-kanak yang masih gagal menentukan keinginan sebenar yang ingin dicapai dalam hidup menyebabkan mereka gagal membentuk masa depan yang cemerlang. Tentu anda tidak mahu perkara itu berlaku kepada masa depan anak-anak anda bukan?
Jika begitu, anda perlu mengetahui cara mendidik anak mencapai azam tahun baru setiap tahun. Ketahui bagaimana anda boleh mengajar anak-anak cara menetapkan dan mencapai azam tahun baru.
1. Kenalpasti Idea Pilihan Mereka
Tidak kira berapa usia anak anda, mereka semestinya mempunyai idea-idea tersendiri mengikut minat masing-masing. Kanak-kanak yang masih kecil dan belum mencapai usia akil baligh selalunya cenderung mempunyai minat terhadap perkara berkaitan dengan permainan. Sebagai contoh mereka mungkin mempunyai keinginan mendapatkan set permainan PS4 atau telefon pintar baru untuk bermain game. Harga set permainan PS4 ini boleh menjangkau antara RM1000 sehingga RM2000 ke atas. Harga permainan yang sangat mahal bukan? Anak anda hanya mengetahui tentang permaian PS4 namun mereka tidak tahu betapa mahal dan bernilainya wang yang perlu dikeluarkan oleh ibu bapa bagi mendapatkan permainan semahal itu.
Anak anda perlu mengetahui betapa bernilainya wang yang perlu dilaburkan untuk mendapatkan permainan semahal itu. Bukan semua ibu bapa yang mampu membelanjakan duit sehingga beberapa ribu dalam masa sehari untuk set permainan semahal itu. Ajari anak anda untuk menabung bagi mendapatkan permainan PS4 yang diinginkan supaya mereka tahu bagaimana menetapkan jalan mengumpul wang yang diinginkan. Tentulah mereka tidak mampu bekerja sendiri untuk mengumpul wang. Namun anda boleh mengupah mereka terhadap suatu kebaikan atau pertolongan yang dilakukan oleh mereka. Dengan ini anak anda bukan sahaja dilatih menjadi seorang yang rajin. Mereka akan menghargai nilai wang dalam hidup serta kepentingan menetapkan matlamat untuk mencapai sesuatu yang diingini.
2. Pecahkan Matlamat Besar Kepada Matlamat Kecil
Kenaplasti matlamat besar yang boleh dipecahkan kepada cabang-cabang kecil. Cabang-cabang kecil yang dilengkapkan inilah yang dapat membantu mereka mencapai matlamat besar sebenar yang diinginkan. Sebagai contoh anak anda mungkin berazam menamatkan bacaan 30 buku ensiklopedia pelbagai cabang ilmu dalam masa satu tahun.
Ia adalah satu matlamat besar bagi seorang kanak-kanak yang dunia sebenar mereka adalah bermain. Pecahkan matlamat ini kepada cabang-cabang kecil. Sebagai contoh membahagikan buku ensiklopedia mengikut topik dan menghabiskan bacaan topik tertentu dalam tempoh tertentu. Mereka juga perlu tahu berapa jam masa yang mampu diperuntukkan dalam sehari untuk menghabiskan sebuah buku dalam masa yang ditetapkan.
Dengan itu, pelaksanaan matlamat kecil perlu dilaksanakan sebelum matlamat besar menghabiskan 30 buah buku ensiklopedia dapat dilaksanakan dalam masa setahun.
3. Tetapkan Matlamat Jangka Masa Pendek
Bagi kanak-kanak yang masih kecil terutama yang masih belum bersekolah, mereka perlu diajar memenuhi matlamat jangka pendek. Matlamat mereka mestilah realistik serta tidak membebankan sesuai dengan usia mereka yang masih kecil.
Sebagai contoh anak anda berminat untuk belajar bermain piano. Untuk permulaan mereka perlu memahami langkah-langkah sebelum dapat bermain piano. Langkah pertama tentunya memerlukan kemahiran membaca not-not muzik. Tetapkan dalam tempoh berapa minggu mereka mampu menghafal kesemua not-not muzik tersebut. Begitulah langkah seterusnya seperti mengenal kod-kod ritma pada kekunci piano. Dan begitulah seterusnya sehingga mereka mahir sepenuhnya dengan muzik piano.
Setiap matlamat perlu dipecakah kepada matlamat kecil supaya jangka masa setiap matlamat kecil tersebut dapat ditentukan.
Elakkan daripada menentukan jangka masa yang tetap misalnya mengenal not-not muzik dalam masa 2 minggu dan belajar mengenal kod piano dalam masa 3 hari. Menetapkan jangka masa tertentu akan membuatkan anak anda tertekan dan hilang fokus dalam mencapai matlamat.
4. Tuliskan Matlamat
Anak anda perlu sentiasa diingatkan tentang keazaman mencapai sesuatu matlamat. Ini boleh dilakukan melalui kata-lata perangsang yang diulang baca setiap hari. Matlamat ini boleh dingatkan menerusi kata-kata yang sentiasa diucapkan oleh ahli keluarga terdekat, menulisnya di dinding bilik tidur atau menulisnya dalam buku diari. Yang penting, mereka perlu sentiasa diingatkan tentang kepentingan usaha dalam mencapai sesuatu matlamat yang diinginkan.
5. Perbincangan Keluarga
Ibu bapa perlu serius dengan setiap azam yang ingin dicapai oleh anak mereka. Sama ada ia matlamat kecil mahupun matlamat besar. Kesemuanya perlu diambil kira oleh ibu bapa. Untuk menunjukkan bahawa anda cukup prihatin dengan azam mereka, tunjukkan kesungguhan anda melalui perbincangan secar spesifik mengenai target yang ingin mereka capai. Sebagai orang dewasa yang lebih matang, berikan idea-idea bernas atau petunjuk jalan supaya anak kecil anda nampak kaedah-kaedah untuk capai matlamat tersebut.
Berbincang dengan anak anda dalam keadaan santai yang membuatkan mereka lebih releks. Tidak perlu terlalu serius seolah-olah sedang melakukan mesyuarat di pejabat. Sebagai contoh perbincangan di meja makan ketika menikmati makan malam bersama keluarga. Mungkin juga ketika dalam perjalanan menghantar anak anda ke sekolah.
6. Pantau Perkembangan
Melalui perbincangan keluarga, anda boleh memantau perkembangan berkaitan usaha-usaha mereka dalam mencapai matlamat. Pemantauan ini umpama rekod laporan kecemerlangan yang dihantar oleh pihak sekolah setiap bulan kepada ibu bapa. Ia untuk memastikan sejauh mana perkembangan yang telah dicapai mengikut jangka masa setiap target yang ditentukan.
“Dalam tempoh tiga bulan ini sudah berapa ratus duit yang adik berjaya kumpul untuk beli permainan PS4?”
“Hari ini ayah teringin nak tengok perkembangan robot super genius ciptaan adik”
Pantauan perkembangan ini penting supaya anda boleh memberikan sebarang komen atau pendapat berkaitan suatu projek matlamat yang sedang dicapai oleh anak anda.
7. Terangkan Pro dan Kontra
Azam tahun baru selalunya melibatkan matlamat yang baik. Jarang sekali manusia menetapkan azam yang buruk setiap kali tahun baru. Begitu juga dengan azam baru si kecil. Setiap matlamat tidak boleh lari dari pro dan kontra. Anak anda perlu faham kesan-kesan jangka masa panjang dan jangka masa pendek berkaitan sesuatu matlamat. Sebagai contoh kebaikan mempelajari piano untuk jangka masa pendek dan kesan buruk terhadap pelajaran jika terlalu fokus dengan permainan piano. Mungkin anak lelaki anda begitu berminat menghasilkan sebuah robot. Kenalpasti jika robot tersebut membawa manfaat atau sekadar digunakan untuk mengambil kesempatan terhadap terhadap kelemahan orang lain.
8. Ganjaran
Kanak-kanak menyukai ganjaran dalam bentuk hadiah. Bukan mudah bagi seorang kanak-kanak untuk kekal fokus dalam pelaksanaan sesuatu matlamat. Dunia kanak-kanak mementingkan keriangan dengan lebih banyak bermain di masa lapang dan membuang masa dengan sesuatu yang tidak berfaedah.
Untuk itu, anda perlu memberi ganjaran terhadap usaha mereka. Sama ada mereka berjaya atau gagal mencapai matlamat tersebut, hargai usaha dan semangat mereka itu dengan ganjaran yang membuatkan mereka gembira untuk sentiasa berazam dan berusaha dalam hidup mereka.