Pernahkan anda terfikir untuk memakan beras lain selain daripada beras putih? Jika diberi pilihan di antara beras putih vs beras perang, mana satukah yang anda akan pilih untuk dijadikan sebagai hidangan seharian? Sudah tentu ramai yang akan menjawab beras putih. Ini kerana, selama ini sememangnya beras putih menjadi pilihan ramai sejak sekian lama sebagai makanan ruji kita. Ia bukan sahaja menjadi beras pilihan bagi orang Malaysia. Malah ia dinikmati hampir seluruh negara di Asia Tenggara serta beberapa buah negara lain seperti India dan negara-negara Arab.
Namun, tahukah anda bahawa warna beras putih sebenarnya berasal dari warna perang? Secara asasnya warna beras selepas penuaian berasal dari warna perang. Warna beras putih hanyalah dihasilkan selepas proses pengisaran berlaku. Proses pengisaran ini akan membuang segala lapisan luar yang dipanggil bran. Lapisan bran ini sebenarnya menyimpan pelbagai sumber vitamin dan mineral yang jarang kita ketahui.
Jadi, diantara beras putih vs beras perang, manakah sebenarnya yang terbaik untuk kesihatan kita? Mari kita baca info mengenainya.
Proses Penghasilan Beras Putih vs Beras Perang
Beras perang secara asasnya memiliki warna asal iaitu perang kerana ia tidak melalui proses pemutihan seperti beras putih. Ia hanya melalui proses pembuangan lapisan luar iaitu kulit padi. Dari segi kandungan vitamin dan mineral, beras perang menyimpan semua kandungan semulajadi pelbagai jenis nutrien yang diperlukan oleh badan kita. Antaranya vitamin B1, B3 dan zat besi.
Proses pemutihan beras putih pula melibatkan pembuangan lapisan bran atau dedak yang bertujuan untuk menghasilkan beras yang lebih lembut serta mudah dimasak seperti yang disediakan oleh ibu kita di rumah. Lapisan putih inilah yang mengandungi kanji iaitu dipanggil endorsperma mengikut anatomi beras.
Proses penghasilan beras putih tidak terhenti setakat itu sahaja. Untuk menggantikan semula unsur-unsur vitamin dan mineral yang hilang semasa proses pemutihan, beras putih akan melalui satu lagi peringkat iaitu penambahan semula unsur-unsur yang diperkaya dengan nutrien. Ia dilakukan menerusi teknologi pertanian yang dimajukan.
Beras Putih vs Beras Perang. Manakah Terbaik Untuk Kesihatan ?
Kandungan vitamin & mineral
Setelah mengetahui info tentang penghasilan beras putih vs beras perang, tentunya anda mampu memutuskan beras manakah yang lebih bersifat semulajadi dari segi kandungan nutrien.
Dari segi kandungan kuantiti vitamin dan mineral, kesemua peratusan kandungan nutrien dalam beras perang seperti tiamina, niasin, vitamin B6, mangan, magnesium, fosforus, besi dan zink mengatasi peratusan kandungan yang terdapat dalam beras putih.
Fiber
Bagi setiap 100 gram hidangan beras putih dan beras perang, kandungan fiber dalam beras putih jauh lebih rendah iaitu cuma 0.4 gram berbanding beras perang yang mengandungi 1.8 gram fiber.
Fiber memberikan manfaat yang besar untuk kesihatan badan. Antaranya mengurangkan risiko penyakit jantung, mengawal kandungan gula dan kolestrol dalam darah serta memperbaiki sistem penghadaman supaya lebih sihat.
Gula
Jumlah perbezaan kandungan gula hanya berbeza 0.3 gram bagi setiap 100 gram hidangan beras. Jumlah gula dalam beras putih lebih rendah iaitu 0.1 gram berbanding 0.3 gram dalam beras perang.
Walaupun kandungan gula lebih tinggi dalam beras perang, namun peratusan perbezaan ini terlalu rendah. Sama ada anda memilih beras putih atau beras perang, anda masih perlu mengawal pengambilan gula supaya disesuaikan mengikut kadar yang disarankan setiap hari iaitu 37.5 gram bagi lelaki dan 25 gram bagi wanita.
Kalori
Jumlah kandungan kalori bagi 100 gram beras yang dimasak pula mendapati lebih tinggi terkandung dalam beras putih iaitu 130 berbanding dengan hanya 111 bagi beras perang.
Jadi bagi anda yang ingin mengurangkan pengambilan kalori, beras perang adalah pilihan terbaik untuk anda.
Karbohidrat
Karbohidrat merupakan sumber tenaga untuk menjalankan pelbagai aktiviti. Kekurangan karbohidrat akan menyebabkan badan rasa lemah dan tidak bermaya.
Bagi mereka yang memerlukan lebih sumber tenaga untuk melakukan kerja, anda disarankan untuk makan nasi putih. Ini kerana, jumlah karbohidrat yang terkandung dlaam 100 gram beras putih yang dimasak lebih tinggi iaitu 28 gram berbanding beras perang yang mengandungi 23 gram karbohidrat.
Beras Putih vs Beras Perang : Manakah Selamat Untuk Pesakit Kencing Manis
Bagi mereka yang mengalami penyakit diabetes atau kencing manis, jumlah pengambilan selamat bagi apa jua jenis makanan termasuk beras bergantung kepada nilai Indeks Glikemik (GI) [1] makanan. Nilai GI akan mengukur nilai kandungan karbohidrat yang akan meningkatkan kandungan glukosa dalam darah.
Makanan yang menyebabakan peningkatan gula yang tinggi dalam darah mempunyai nilai GI yang tinggi. Begitu juga sebaliknya makanan yang kurang menyebabkan peningkatan gula dalam darah mempunyai nilai GI yang rendah.
Nilai GI yang rendah bagi sebarang jenis makanan bernilai 55 ke bawah. Nilai GI sederhana pula antara 56 sehingga 69. Manakala nilai GI tinggi ialah 70 ke atas.
Secara faktanya, beras perang mempunyai nilai GI lebih rendah daripada beras putih iaitu 55. Akan tetapi tidak semua jenis beras putih mempunyai nilai GI yang sama. Beras putih jenis ‘long grain’ bernilai GI paling rendah iaitu 56 berbanding lain-lain jenis beras putih.
Tambahan lagi, beras perang mengandungi nilai fiber dan magnisium yang tinggi di mana kedua-duanya bermanfaat untuk mengawal gula dalam darah.
Pesakit kencing manis dinasihatkan untuk mendapatkan panduan daripada doktor pakar tentang jenis beras yang sesuai untuk dimakan. Setiap pesakit kencing manis sudah tentu berbeza tahap kritikal di antara satu sama lain.
Beras Putih vs Beras Perang : Risiko Serangan Jantung
Mengambil makanan yang mengandungi fiber amat baik untuk kesihatan. Fiber dalam beras perang jauh lebih tinggi berbanding kandungan fiber dalam beras putih. Kajian perubatan membuktikan pengambilan fiber dalam makanan mampu mengurangkan risiko menghidap pelbagai jenis penyakit termasuk sekatan pembuluh darah dan sakit jantung. [2]
Arsenik Beras Perang vs Beras Putih
Kebanyakan jenis tumbuhan yang ditanam mempunyai nilai kandungan arsenik jenis bukan organik. Ini termasuklah beras. Kewujudan arsenik dalam tumbuhan tanaman berpunca daripada baja. Sama ada ia beras putih, beras perang, organik atau basmathi, hampir kesemua jenis tumbuhan bijirin meengandungi arsenik bukan organik. Lapisan bran pada beras perang menyimpan kandungan arsenik yang lebih banyak berbanding beras putih. Secara keseluruhan, kandungan beras perang mempunyai nilai arsenik lebih tinggi berbanding beras putih.
Namun kandungan arsenik ini boleh dikurangkan apabila anda membasuh dan membilas beras berulang kali sebelum dimasak. [3]
Ringkasan Beras Putih vs Beras Perang
Dari segi kandungan vitamin dan mineral dalam kedua-dua jenis beras, beras perang terbukti jauh lebih bermanfaat untuk kesihatan berbanding beras putih. Kesemua nutrien ini wujud secara semulajadi tanpa memerlukan unsur-unsur penambahan berbanding dengan beras putih yang yang mana kandungannya nutrien diperkaya menerusi teknologi tanaman.
Pengambilan beras perang juga sangat membantu dalam mengurangkan risiko menghidapi beberapa jenis penyakit seperti jantung dan masalah penghadaman. Menggantikan beras putih dengan beras perang dalam diet seharian boleh mungkin dapat membantu mengawal penyakit jantung yang dialami.
Apapun, sebarang keputusan berkaitan diet seharian perlu merujuk kepada nasihat doktor terutama bagi mereka yang mengalami masalah kesihatan berkaitan jantung dan kencing manis. Doktor anda tentunya lebih mengetahui tahap kesihatan anda dan mengetahui juga beras mana yang terbaik untuk anda.
Pilihan Editor :