Benarkah Buah Mangga Berbahaya Bagi Ibu Hamil ?

Product Details

Jarang sekali wanita tidak menggemari buah mangga lebih-lebih lagi mangga muda. Ini kerana wanita cukup gemar dengan buah-buahan berperisa masam manis. Ini termasuklah ketika sedang mengandung. Ramai ibu hamil yang mengidam buah mangga muda untuk menghilangkan simptom loya dan muntah semasa di awal kehamilan. Namun ada yang berpendapat bahawa buah mangga berbahaya untuk ibu yang sedang hamil dan bayi dalam kandungan. Ia dikatakan akan meningkatkan suhu badan menjadi panas yang akhirnya memberi kesan yang tidak baik kepada janin.

Benarkan buah mangga berbahaya untuk ibu mengandung? Apakah keadaan yang menyebabkan buah mangga menjadi berbahaya untuk ibu hamil? Jika benar buah mangga berbahaya, adakah ia memberi kesan terhadap ibu hamil dan janin dalam kandungan apabila dimakan secara berterusan?

Buah Mangga Menjadi Berbahaya Kepada Ibu Mengandung Apabila…

Setiap makanan dalam dunia ini tentunya mempunyai kebaikan dan keburukannya untuk kesihatan. Buah mangga boleh menjadi berbahaya untuk ibu mengandung apabila ia di ambil secara berlebihan ketika hamil. Sudah tentu segala makanan yang kita ambil secara berlebihan boleh menyebabkan mudarat. Begitu jugalah dengan buah mangga.

Buah Mangga Mengandungi Kandungan Gula Yang Tinggi

Setiap 100 gram buah mangga yang diambil mengandungi  14 gram kandungan gula terutama bagi buah mangga kuning yang telah masak dan manis. Apabila terlalu banyak mengambil buah mangga ketika hamil, berat badan akan meningkat dan berlaku pertambahan kepada nilai BMI badan ibu hamil.

Mangga manis yang diambil secara berlebihan tanpa kawalan ini boleh meningkatkan risiko kepada penyakit diabetes gestasi. Ia adalah kencing manis yang dihadapi kali pertama semasa kehamilan. Gula bagi penghidap kencing manis gestasi boleh dikesan melalui ujian air kencing. Jika terdapat gula dalam air kencing anda, ini mungkin tanda diabetes gestasi. Apabila BMI melebihi daripada tahap normal pula, risiko ibu hamil mengidap kencing manis gestasi juga akan meningkat.

Ibu yang hamil pada peringkat trimester akhir perlu mengurangkan pengambilan buah mangga masak secara berlebihan. Gangguan diabetes gestasi pada peringkat akhir kehamilan akan menyukarkan proses kelahiran.

Bagi mereka yang mempunyai sejarah keluarga yang mengidap kencing manis, risiko anda lebih tinggi untuk menghidapi diabetes gestasi.

Jadi, walaupun anda mengidam dan amat menggemari buah mangga ketika hamil, anda perlu makan mengikut kadar yang berpada-pada. Seelok-eloknya dapatkan nasihat pakar pemakanan dan doktor kehamilan anda yang boleh menyarankan kuantiti dan jenis buah mangga yang selamat boleh diambil ketika hamil.

Alergi Getah Buah Mangga

Ibu hamil juga perlu berwaspada dengan getah yang terdapat pada buah mangga. Getah pada buah mangga boleh menyebabkan kesan alergi pada kulit yang membahayakan. Getah yang terdapat pada kulit buah mangga perlu dicuci sebersihnya sebelum dimakan.

Gatal dan ruam pada kulit adalah antara kesan bahaya apabila terkena getah mangga pada kulit. Getah ini juga boleh menjadi punca cirit birit kepada ibu hamil apabila dimakan. Oleh itu, anda perlu memastikan buah mangga yang dimakan dibersihkan daripada getah yang masih melekat. Selain itu, elakkan daripada makan buah mangga bersama kulit bagi mengelakkan getah tersebut masuk ke dalam perut yang menyebabkan sakit perut dan cirit birit.

Pengambilan Buah Mangga Pada Trimester Pertama & Kedua Kehamilan

Walaupun kandungan gula dalam buah mangga tinggi, namun ia jauh lebih selamat daripada memakan gula yang diproses dalam makanan. Makan buah mangga masak semasa trimester pertama dan kedua pada kadar yang sederhana dapat mengelakkan risiko diabetes berlaku semasa trimester ketiga.

Buah Mangga Masak vs Buah Mangga Muda

Mungkin anda tertanya-tanya apakah risiko kedua-dua jenis buah mangga ini terhadap ibu hamil. Pada peringkat awal kehamilan, tidak salah sekiranya ibu hamil makan buah mangga muda terutama untuk menghilangkan keinginan makan buah-buahan masam seperti mangga muda.

Yang terbaik adalah mengelakkan atau mengurangkan kuantiti kedua-dua jenis buah mangga ketika di peringkat akhir kehamilan. Begitu juga jika buah mangga diambil dalam bentuk jus.

Kebaikan Nutrisi Dalam Buah Mangga

Tidak ada bukti perubatan membuktikan bahawa buah mangga berbahaya untuk ibu mengandung berpunca daripada kandungan nutrisi dalam buah mangga. Apa yang perlu diingatkan ialah supaya ibu hamil makan dalam kuantiti yang sederhana. Ini kerana, kandungan nutrisi dalam buah mangga itu sendiri mengandungi pelbagai khasiat lain yang bermanfaat untuk tubuh badan manusia. Ia juga mengandungi sumber tenaga antioksida yang baik bagi ibu hamil.

  • Setiap 100 gram buah mangga membekalkan 70 Kcal tenaga.
  • Buah mangga mengandungi kebanyakan vitamin yang bermanfaat antaranya vitamin C, E dan K. Paling tinggi adalah sumber vitamin A.
  • Buah mangga kaya dengan sumber fiber yang berguna untuk sistem penghadaman.

Sumber Tenaga

Disebabkan kandungan tenaganya dan karbohidrat yang tinggi juga, pengambilan semasa peringkat trimester adalah digalakkan terutama bagi ibu hamil yang mengalami masalah kekurangan tenaga. Ini dapat membantu mereka mendapatkan tenaga semasa proses kelahiran bayi.

Membantu Masalah Sembelit

Bagi ibu hamil yang mengalami masalah sembelit, kandungan fiber dalam buah mangga boleh membantu melancarkan sistem penghadaman dan perkumuhan anda.

Mengurangkan Gejala Morning Sickness

Mual atau morning sickness perkara yang sering berlaku kepada ibu hamil. Ini menyebabkan makanan yang dimakan dimuntahkan semula. Keadaan ini mengurangkan tenaga bagi ibu hamil. Rasa masam manis buah mangga membantu mengurangkan gejala mual dan membekalkan semula tenaga selepas muntah.

Tips Memilih Buah Mangga Yang Baik Ketika Hamil

Ibu hamil perlu lebih berhati-hati memilih makanan sebelum dimakan. Pilihlah buah mangga yang segar khususnya buah mangga yang baru dipetik daripada pokoknya. Elakkan makan buah mangga yang ditanam menggunakan baja hasil dari campuran bahan kimia. Bahan kimia ini boleh menyebabkan kesan mudarat kepada ibu hamil seperti kekejangan, sakit kepala, muntah dan cirit birit akibat keracunan.

Pastikan getah buah mangga dibersihkan sepenuhnya supaya tidak terkena pada kulit yang boleh menyebabkan ruam dan gatal. Kupas kulit buah mangga sebelum makan untuk mencegah daripada sisa getah yang masih melekat masuk ke dalam badan.

Semasa makan mangga muda, ramai ibu hamil gemar mencecah isi buah mangga dengan kicap atau cuka yang dicampur dengan gula. Gula dalam buah mangga itu sendiri mempunyai kuantiti yang tinggi. Anda tidak perlu lagi mencampur gula dalam kicap atau gula tersebut supaya pengambilan gula dapat di kawal.

Kesimpulan

Buah mangga yang dimakan secara terkawal tidak membahayakan ibu hamil. Anda boleh memakannya tanpa rasa takut dan risau. Seeloknya dapatkan nasihat daripada doktor tentang amalan makan mangga untuk menghilangkan gejala morning sickness. Doktor mungkin akan memberi anda ubat yang membantu mengurangkan rasa mual dan pening. Dengan ini anda boleh mengurangkan keinginan terhadap buah berperisa masam manis seperti buah mangga.

 

Get Reviews Widget

Leave a review

You may also like...