Baru-baru ini viral berita mengenai seorang bayi baru lahir disahkan mengidap kanser neuroblastoma tahap tiga. Menurut ibu bapa mereka, Muhammad Azzam Fahmy disahkan oleh doktor mengidap penyakit ini sehari sebelum dilahirkan selepas melakukan imbasan dan mengesan ketumbuhan pada bayi ini semasa masih dalam kandungan. Amat meruntunkan hati apabila mengetahu nasib bayi ini yang terpaksa menanggung kesakitan kerana si kecil ini bakal melalui rawatan kemoterapi pada usia yang masih kecil.
Sebelum ini kita mungkin belum pernah mendengar bayi disahkan mengidap penyakit kanser sebelum dilahirkan. Mungkin ramai juga yang belum mengetahui tentang apa itu kanser neuroblastoma di kalangan bayi? Mari kita baca sedikit pencerahan mengenai kanser neuroblastoma.
Apa Itu Kanser Neuroblastoma ?
Neuroblastoma adalah ketumbuhan kanser yang terjadi di kalangan bayi dan kanak-kanak. Kanser ini mula-mula tumbuh di dalam tisu saraf bayi dipanggil neuroblas. Biasanya, sel-sel yang tidak matang ini berkembang menjadi sel saraf yang berfungsi. Akan tetapi dalam neuroblastoma, ia berubah menjadi sel kanser berpunca daripada mutasi genetik yang berlaku.
Ketumbuhan ini biasanya bermula di dalam tisu kelenjar adrenal yang terdapat di perut. Ia juga boleh bermula pada tisu saraf di leher, dada atau saraf tunjang.
Ketumbuhan ini mampu dikesan melalui imbasan yang dilakukan di hospital ketika bayi masih dalam kandungan. Tetapi terdapat juga kes di mana ketumbuhan hanya berjaya dikesan selepas bayi dilahirkan. Neuroblastoma boleh berlaku di kalangan orang dewasa dan juga bayi. Tetapi ia sangat jarang berlaku kepada kanak-kanak yang berusia di bawah lima tahun.
Kanser neuroblastoma turut dikelaskan mengikut peringkat 1 sehingga peringkat 4, iaitu sama seperti kanser lain. Dalam kebanyakan kes, bayi lelaki didapati lebih berisiko mengidapi penyakit ini berbanding bayi perempuan.
Kanser neuroblastoma boleh merebak dengan cepat ke organ dalaman badan lain seperti nodus limfa, hati, paru-paru, tulang, sistem saraf pusat, dan sumsum tulang.
Bagaimana Bayi Boleh Mengidap Kanser Neuroblastoma ?
Punca sebenar terjadinya kanser ini di kalangan bayi tidak dapat dikenalpasti secara tepat. Setakat ini, faktor genetik dikenalpasti sebagai punca utama berlakunya kanser neuroblastoma di kalangan bayi. Akan tetapi faktor genetik ini didapati sangat kecil berbanding dengan faktor yang bukan disebabkan keturunan. Neuroblastoma yang tidak diwarisi ini dipanggil sebagai jenis spradis atau sporadic.
Tanda-Tanda & Simptom Kanser Neuroblastoma
Setiap bayi yang mengidap kanser neuroblastoma akan menunjukkan tanda dan simptom yang berbeza. Ia juga bergantung kepada saiz ketumbuhan, tempat di mana ia tumbuh dan di kawasan mana penyebaran ketumbuhan itu berlaku dalam badan seseorang bayi.
Biasanya ibu bapa sendiri atau doktor dapat mengenalpasti ketulan kanser ini melalui sentuhan di beberapa bahagian badan bayi terutamanya abdomen. Selain itu ketumbuhan ini boleh dikesan secara kasar di beberapa bahagian lain seperti leher dan dada.
Antara simptom-simptom utama yang berlaku bagi pesakit kanser neuroblastoma di kalangan bayi dan kanak-kanak ialah :
- Terdapat ketulan di bahagian badan tertentu. Ketulan ini tidak menyebabkan rasa sakit kepada bayi
- Ketulan yang tumbuh di bahagian berhampiran dada akan menyebabkan bayi agak sukar untuk bernafas.
- Tumor di bahagian sekitar wajah akan menunjukkan tanda yang lebih jelas iaitu pembengkakan di sekitar mata seakan lebam berwarna hitam. Pergerakan biji mata dilihat seperti tidak terkawal dan sedikit menonjol keluar.
- Ketumbuhan di kawasan buah pinggang dan pundi kencing akan memberi kesan kepada proses pembuangan air besar dan air kecil.
- Penyebaran kanser ke bahagian sumsum tulang akan menyebabkan kesakitan, keletihan, rasa tidak bermaya malah mungkin akan melumpuhkan pergerakan seseorang kanak-kanak
- Cirit-birit atau diarea
- Demam
- Tekanan darah tinggi meningkat dan kadar degupan jantung akan menjadi semakin laju.
Kesemua tanda-tanda akan berlaku selepas merebaknya sel-sel kanser ke organ dalaman badan atau ke bahagian sel badan yang lain. Ia langsung tidak menunjukkan tanda-tanda awal kesakitan kepada bayi dan kanak-kanak. Ini menjadi salah satu penyebab mengapa kebanyakan kes yang dirujuk ke hospital mendapati bayi telah pun berada di peringkat ketiga atau keempat kanser.
Bagaimana Diagnosis Kanser Neuroblastoma Dilakukan ?
Tanda dan simptom penyakit ini seringkali menyebabkan ia lambat dikesan. Kebanyakan ibu bapa yang hadir ke hospital untuk pemeriksaan anak mereka mendapati penyakit ini telah merebak dan berada di peringkat ke tiga atau ke empat. Tanda-tanda awal yang ditunjukkan seperti demam, sakit tulang belakang dan cirit birit itu hanya dikesan sebagai kanser selepas pemeriksaan lanjut dilakukan di hospital.
Bayi yang dikesan mengidap kanser blastoma semasa di dalam kandungan mempunyai peluang kesembuhan yang lebih cerah apabila rawatan awal dilakukan sebaik sahaja mereka dilahirkan. Prosedur diagnosis penyakit kanser neuroblastoma dilakukan oleh doktor melalui beberapa cara. Ia bergantung kepada kesesuaian umur bayi dan kanak-kanak tersebut. Antaranya diagnosis yang dijalankan ialah :
- Ujian darah dan ujian air kencing. Ujian ini akan mengesan sejenis hormon yang dihasilkan oleh sel neuroblastoma iaitu katekolamin. Ia boleh dikesan dalam kedua-dua darah dan urin. Ujian ini juga akan mengesan jumlah sel darah, keadaan fungsi hati dan buah pinggang dan keseimbangan elektrolit dalam badan.
- Ujian pengimejan. Ia sama ada melibatkan ujian X-ray, ultrasound, imbasan CT, MRI, imbasan MIBG dan imbasan tulang. Ujian ini akan mengesan lokasi tapak pertumbuhan tumor, mengesan kawasan penyebaran kanser dan untuk menentukan jenis rawatan yang efektif untuk pesakit.
- Ujian Biopsi. Ujian ini akan mengambil sampel tumor untuk dilihat di bawah mikroskop dan ujian makmal oleh pakar patologi. Ujian patologi adalah langkah seterusnya untuk mengesahkan bahawa kanser tersebut merupakan kanser neuroblastoma dan bukan disebabkan kanser lain yang sering terjadi di kalangan kanak-kanak.
Kesemua ujian-ujian ini akan turut mengenalpasti peringkat kanser yang dihidapi sama ada tahap I, II, III, IV atau tahap IVS (ketumbuhan tidak mendatangkan simptom atau tanda bahaya kepada pesakit)
Rawatan Kanser Neuroblastoma Bagi Kanak-Kanak
Doktor akan menentukan jenis-jenis rawatan paling sesuai berdasarkan beberapa keadaan. Rawatan setiap pesakit bergantung kepada tahap umur pesakit, latar belakang keseluruhan kesihatan pesakit serta penerimaan kanak-kanak terhadap jenis rawatan, ubat-ubatan dan terapi yang dijalankan.
Terdapat pelbagai jenis rawatan untuk kanser neuroblastoma. Jenis rawatan yang sesuai untuk pesakit kanak-kanak akan ditentukan oleh doktor. Antara rawatan yang dikenalpasti untuk penyakit kanser neuroblastoma adalah :
- Pembedahan untuk pembuangan ketumbuhan terutama bagi pesakit dalam kumpulan berisiko tinggi. Pembuangan tumor bergantung kepada tempat pertumbuhan tumor. Jika ketumbuhan berlaku di bahagian organ yang berisiko seperti saluran darah, ia sama ada memungkinkan penyingkiran keseluruhan tumor atau mungkin hanya separuh atau suku yang berjaya dibuang.
- Kemoterapi. Rawatan ini bertujuan untuk memusnahkan atau mengecutkan sel-sel kanser yang masih tinggal di dalam badan atau yang tidak berjaya dibuang dalam pembedahan. Rawatan kemoterapi diketahui kesannya terhadap tubuh badan seseorang.
- Radioterapi. Rawatan ini diberikan sekiranya pembedahan dan rawatan kemoterapi tidak memberikan hasil kesembuhan yang baik kepada kanak-kanak.
Sesetengah pesakit yang berisiko tinggi mungkin akan melalui ketiga-tiga kombinasi rawatan. Bagi pesakit yang berisiko rendah atau sederhana, mereka mungkin akan melalui salah satu atau kombinasi dua rawatan yang disyorkan oleh doktor.