Setiap bayi pasti akan mengalami jeluak atau muntah. Kebiasaannya mereka akan memuntahkan susu kerana itulah makanan yang utama bagi seorang bayi. Setiap bayi memiliki paten muntah yang berbeza di antara satu sama lain. Walaupun muntah dianggap perkara biasa di kalangan bayi, namun sebahagian bayi yang mengalami gejala muntah ini sebenarnya menjurus ke arah penyakit yang sukar dijangka. Hanya doktor yang dapat memberikan diagnosis yang tepat mengapa seseorang bayi itu muntah berdasarkan simptom yang ditunjukkan.

Bayi yang mengalami muntah yang terlalu kerap sehingga menjejaskan perkembangan berat badan, ibu bapa perlu segera memandangan serius keadaan anak mereka dengan tidak membiarkan masalah muntah ini berlarutan. Muntah yang terlalu kerap akan menyebabkan sel badan mereka sukar menyerap nutrien-nutrien yang diperlukan untuk perkembangan mereka.

Mengapa Bayi Saya Muntah ?

Muntah menunjukkan badan mereka bertindak balas terhadap terhadap sesuatu makanan yang masuk menerusi sistem pencernaan. Ia sama ada makanan itu tidak sesuai atau disebabkan faktor pencernaan yang mengalami masalah tertentu.

Refluks

Muntah disebabkan refluks berbeza daripada muntah biasa. Refluks sering dialami oleh bayi dalam lingkungan usia 12 bulan. Dalam istilah perubatan ia dipanggil sebagai GER atau refluks gastroesofagus. GER berlaku apabila asid perut menolak makanan dan minuman dalam perut naik ke atas iaitu saluran esofagus iaitu tiub yang menghubungkan mulut dan perut.

Keadaan ini disebabkan sistem esofagus mereka yang belum berkembang sepenuhnya yang menyebabkan berlaku pencerutan esofagus di bahagian bawah. Masalah ini sering dialami oleh bayi yang diberikan susu formula. Bayi yang diberikan susu ibu jarang mengalami masalah ini.

Refluks ini boleh menjadi lebih serius apabila perut bayi dipenuhi dengan asid sehingga menyebabkan bayi mengeluarkan muntah yang bercampur dengan darah. Asid yang memenuhi perut ini telah menyebabkan kecederaan kepada lapisan esofagus sehingga terhasilnya darah. Pada keadaan ini, bayi akan menunjukkan ketidakselesaan seperti menangis dengan kuat dan posisi badan mereka kelihatan sedikit melengkung kerana menahan sakit. Mereka juga menunjukkan gejala batuk.

Alahan & Penolakan Susu

Kajian mendapati sesetengah bayi yang diberikan susu formula kerap mengalami alahan susu. Ia sebenarnya merupakan alahan protein iaitu salah satu bahan yang terkandung dalam susu lembu atau susu kambing. Alahan susu lebih serius berbanding dengan penolakan susu kerana ia melibatkan sistem imunisasi badan.

Alahan Susu

Ia berlaku ketika bayi memasuki usia beberapa minggu sehingga beberapa bulan. Risiko alahan susu bagi bayi yang diberikan susu formula dikatakan lebih tinggi. Namun risiko ini juga boleh terjadi kepada bayi yang diberikan susu ibu. Ia berlaku apabila protein daripada diet atau pemakanan ibu mempengaruhi  protein yang disalurkan menerusi susu ibu kepada bayi. Jika keadaan ini terjadi, doktor biasanya akan menasihatkan ibu supaya tidak mengambil sumber protein terutama daripada pengambilan susu. Alahan susu juga menjurus ke arah terjadinya refluks.

Penolakan Susu

Penolakan susu juga boleh menyebabkan bayi mengalami muntah. Berbeza dengan alahan susu, penolakan susu tidak melibatkan sistem imunisasi badan. Ia biasa dikaitkan dengan kandungan laktosa di dalam susu. Jika doktor mendiagnosis bayi dengan masalah ini, cara terbaik adalah mengelakkan pemberikan susu formula yang menganngungi laktosa. Ibu yang menyusu pula dinasihatkan untuk mengurangkan atau mengegelakkan makanan yang sarat dengan kandungan laktosa.

Minum Susu Berlebihan

Sesetengah ibu terlalu risau jika bayi mereka tidak mendapat susu yang secukupnya. Tindakan ini adakalanya menyebabkan mereka tidak sedar sehingga memberikan bayi minum terlalu banyak susu. Bayi yang diberikan susu menggunakan botol susu berkemungkinan untuk minum susu terlalu banyak kerana mereka tidak boleh mengawal aliran susu menerusi lubang puting. Apabila susu yang minum terlalu banyak, akhirnya mereka muntah untuk mengeluarkan lebihan susu tersebut.

Bayi tidak seharusnya dipaksa untuk menghabiskan lebihan susu dalam botol. Ibu-ibu seharusnya berhenti menyusu apabila bayi menunjukkan tanda-tanda kenyang seperti mengalihkan mulut dari puting susu.

Pengaliran Susu Terlalu Laju

Adakalanya anda tidak sedar apabila bayi terpaksa meminum dan menelan susu terlalu laju disebabkan aliran susu dari puting susu ibu atau botol susu. Aliran susu yang terlalu laju menerusi botol susu boleh dikawal dengan cara menukar puting dengan saiz lubang yang lebih kecil. Aliran susu ibu pula agak sukar dikawal.

Cara efektif untuk mengawal aliran susu adalah dengan menukar posisi semasa menyusukan bayi. Elakkan daripada memberi susu semasa ibu dan bayi dalam keadaan baring. Sebaliknya, duduk dalam posisi 90 darjah adalah kaedah yang terbaik untuk mengawal aliran susu. Sebaiknya kedudukan kepala bayi melebihi puting susu. Terdapat beberapa posisi lain yang lebih sesuai iaitu dengan cara ibu berbaring pada sudut 270 darjah dengan menyandar pada bantal. Dengan kedudukan bayi diletakkan di bahagian atas

Tidak Sendawakan Bayi Selepas Menyusu Botol

Bayi yang diberikan susu menerusi susu botol perlu disendawakan setiap kali menyusu. Risiko bayi menelan angin ketika menggunakan susu botol adalah lebih tinggi berbanding dengan bayi yang disusukan dengan susu badan. Angin dalam perut bayi ini akan menimbulkan rasa tidak selesa jika dibiarkan. Bayi akan muntah dalam kuantiti lebih banyak dimana ia bukanlah muntah yang normal.

Bayi yang mengalami refluks perlu lebih kerap disendawakan setiap kali selepas menyusu. Jika bayi anda mengalami muntah selepas menyusu, teknik sendawa yang baik dapat mengurangkan gejala muntah ini.

Jangkitan Penyakit

Muntah yang banyak juga boleh menjadi petanda bahawa bayi anda mengalami jangkitan penyakit lebih serius. Terutama jika muntah itu diikuti oleh simptom lain seperti cirit birit dan demam. Jika bayi berusia di bawah usia satu tahun, anda perlu segera membawa mereka berjumpa doktor supaya diagnosis sebenar dapat dilakukan oleh doktor.

Bayi yang muntah secara luar biasa mungkin mengalami jangkitan penyakit seperti jangkitan air kencing, jangkitan telinga atau sejenis lagi penyakit di kalangan bayi yang menyebabkan bayi muntah secara luar biasa iaitu stenosis pilorus.

Stenosis pilorus jarang berlaku di kalangan bayi. Penyakit ini mengakibatkan penyempitan berlaku pada pilorus iaitu saluran yang membawa makanan dan minuman dari bahagian perut ke bahagian duodenum. Penyempitan saluran ini menyebabkan makan dan minuman tidak boleh melalui melalui usus duodenum ini menyebabkan bayi muntah dalam kuantiti yang banyak. Bayi mungkin mengalami muntah disertai dengan darah. Warna muntah juga akan berbeza iaitu seakan warna kekuningan. Bayi yang mengalami penyakit ini sering mengalami rasa lapar yang menyebabkan mereka makan dan minum lebih banyak dari kebanyakan bayi.

Perlukah Bayi Saya Dibawa Berjumpa Doktor

Tidak semua bayi yang muntah perlu dibawa berjumpa doktor. Adakalanya ia bukanlah muntah sebaliknya hanyalah jeluak biasa dalam kategori normal. Jika bayi anda muntah dan masih menunjukkan kelakuan yang normal, anda tidak perlu risau. Ia hanyalah muntah biasa yang dialami oleh bayi yang berusia dalam lingkungan 12 bulan di mana sistem pencernaan dan penghadamannya masih dalam peringkat perkembangan.

Namun jika muntah bayi mengandungi darah, warna muntah yang tidak normal selain susu, menangis tanpa henti, badan mengerekot dalam keadaan yang tidak selesa, demam dan cirit-birit, bayi anda perlu dibawa segera ke klinik untuk pemeriksaan doktor.