Seorang bayi dikategorikan sebagai lahir pra-matang apabila kelahiran berlaku tiga minggu awal sebelum tarikh jangkaan bayi dilahirkan. Bayi yang dilahirkan tidak cukup bulan atau pra-matang ini seringkali keluar daripada rahim ibu dengan mengalami masalah kesihatan. Semakin awal kelahiran bayi, semakin tinggi komplikasi dan semakin banyak masalah kesihatan yang dihadapai. Kelahiran bayi pra-matang boleh berlaku seawal sebelum kehamilan mencapai minggu ke 25. Tetapi bagi kebanyakan kes, kelahiran bayi pra-matang berlaku di antara minggu ke 34 sehingga 36 kehamilan iaitu lebih awal berbanding 37 minggu yang sepatutnya menjadi tarikh jangkaan bersalin kebanyakan ibu hamil.

Ciri-Ciri Fizikal Bayi Pra-Matang

Selain mengalami masalah kesihatan, bayi pramatang mempunyai ciri-ciri yang boleh dilihat dengan jelas menerusi keadaan fizikal. Bayi lahir pra-matang akan mengalami ciri-ciri berikut :

  • Saiz badan dan kepala yang tidak seimbang.
  • Badan kekurangan lemak menyebabkan fizikal tidak berisi, comel dan bulat seperti bayi lain. Fizikal terlalu kurus.
  • Keadaan badan berbulu atau Lanugo iaitu rambut nipis yang tumbuh pada setiap janin. Rambut ini biasanya tumbuh semasa janin berusia 16 minggu dan akan hilang sendiri sebelum dilahirkan atau beberapa minggu selepas dilahirkan.
  • Suhu badan rendah disebabkan kekurangan lemak dalam badan.
  • Masalah pernafasan
  • Kekurangan refleks untuk menghisap dan menelan, yang membawa kepada kesulitan untuk makan.

Kebanyakan bayi lahir pra-matang akan diberikan rawatan intensif neonatal di bilik rawatan ICU oleh doktor pakar. Bayi anda mungkin perlu tinggal lebih lama di hospital selama beberapa minggu bagi memastikan mereka berada dalam pemantauan pasukan perubatan yang akan memeriksa dan merawat keadaan kesihatan bayi pra-matang dari semasa ke semasa. Doktor mungkin akan membekalkan makanan cecair secara Intravenous Feeding atau IV bagi membolehkan bayi menerima nutrien untuk mengembalikan proses tumbesaran kembali normal.

Kepentingan Menyusukan Bayi Lahir Pra-Matang

Walaupun membekalkan makanan secara IV mampu membantu tumbesaran bayi pra-matang kembali normal, namun peranan penyusuan ibu jauh lebih bermanfaat. Selepas beberapa minggu bayi di tahan dalam wad ICU dan keadaan mereka dipastikan selamat untuk di bawa pulang oleh ibu bapa masing-masing, penjagaan seterusnya adalah semasa bayi berada di rumah.

Adalah penting ibu bapa mengetahui kaedah penyusuan bayi lahir pra-matang bagi memastikan bayi mereka mampu mencapai tahap tumbesaran dan perkembangan yang positif. Pada minggu ke tiga kelahiran bayi pra-matang, seharusnya berat badan dan keadaan fizikal mereka seharusnya hampir sama dengan ukuran purata seperti keadaan fizikal bayi yang lahir cukup bulan.

Oleh itu amat penting bagi ibu bapa membekalkan dengan nutrien yang mencukupi melalui susu. Susu ibu adalah susu terbaik yang mengandungi nutrien lengkap untuk tumbesaran bayi sama ada fizikal dan otak. Bayi lahir pra-matang akan mengalami perkembangan otak yang agak lewat berbanding bayi yang lahir secara normal. Namun ibu bapa tidak perlu risau kerana perkembangan bayi pra-matang akan kembali normal apabila mereka diberi pemantauan, penjagaan dan nutrien yang secukupnya.

Permulaan Menyusu Bayi Pra-Matang

Sesetengah ibu mungkin akan mengalami masalah kekurangan susu badan. Jika anda mengalami masalah ini, elakkan terlalu stres. Masalah kekurangan susu badan boleh diatasi dengan pelbagai kaedah. Antaranya mengurangkan tekanan ibu, mengambil makanan utama yang boleh menggalakkan pengeluaran susu ibu dan minum lebih banyak air.

Bayi yang lahir pra-matang juga mungkin akan mengalami masalah menyesuaikan diri menelan susu dan penyerapan nutrien. Anda perlu melakukan proses penyusuan bayi secara perlahan-lahan sehingga mereka mampu menelan secara normal.

Melatih Bayi Menghisap Susu Ibu

Rata-rata seorang bayi mampu menghisap dan menyedut puting susu beberapa jam selepas di lahirkan.Puting susu ini meliputi semua jenis puting seperti puting susu ibu, puting dummy malah hujung jari anda. Gunakan salah satu daripada semua jenis puting ini sebagai salah satu cara melatih bayi pra-matang menyesuaikan deria mulut mereka dengan menghisap puting.

Koordinasi bayi pra-matang dalam menghisap, menyedut dan menelan susu agak sukar berbanding bayi yang lahir secara normal. Jadi mereka perlu dilatih secara perlahan-lahan sebelum menyusu dengan normal. Biarkan mereka belajar perlahan-lahan secara semulajadi cara menyedut, menelan dan bernafas ketika disusukan.

Pada peringkat ini mungkin ibu bapa dan bayi itu sendiri akan merasai sedikit kesukaran menyesuaikan diri. Jika dipaksa menyedut dan menelan terlalu laju, bayi mungkin akan tercekik yang akan mengakibatkan mereka sukar untuk bernafas.

Tiada tempoh khusus yang benar-benar tepat bagi waktu seseorang bayi pra-matang belajar menyusu menerusi botol susu. Sesetengahnya mampu lebih cepat dan mengambil masa yang singkat untuk belajar minum menggunakan botol susu.

Di antara minggu ke 35 sehingga 38 iaitu kira-kira seminggu dari tarikh asal jangkaan kelahiran, seorang bayi pra-matang seharusnya sudah mampu menyusu dengan baik. Sesetengah bayi akan mengambil masa yang lebih panjang. Jika bayi dilahirkan sebelum minggu ke 27 dan diberikan rawatan ventilator untuk tempoh masa yang lama, masa yang diperlukan untuk belajar menyusu mungkin lebih lama. Ini kerana doktor akan membekalkan makanan dalam badan mereka melalui tiub IV untuk beberapa ketika di hospital.

Berapa Banyak Bayi Pra-Matang Perlu Disusukan ?

Untuk menentukan kuantiti penyusuan yang diperlukan, penting untuk anda mendapatkan nasihat dari petugas hospital yang terlatih dalam penjagaan bayi pra-matang. Penentuan kuantiti penyusuan ini dikira berdasarkan keadaan kesihatan bayi serta saiz fizikal dan berat badan bayi. Pakar kanak-kanak boleh menentukan secara tepat jumlah nutrien, protein dan kalori yang diperlukan bagi membolehkan seorang bayi pra-matang mencapai berat badan ideal sekurang-kurangnya dalam tempoh tiga minggu selepas dilahirkan.

Namun bagi kebanyakan bayi yang baru lahir, mereka perlu disusukan sekurang-kurangnya 10 sehingga 12 kali dalam sehari iaitu setiap dua ke tiga jam.

Bolehkah Menggunakan Cawan Untuk Menyusu Bayi Pra-Matang ?

Penggunaan cawan kecil untuk penyusuan bayi jarang dilakukan oleh para ibu berbanding penggunaan botol susu. Untuk menyusukan bayi menggunakan cawan kecil, posisi bayi perlu dipastikan dalam keadaan menegak dengan cara menahannya dengan lengan anda di bahagian belakang badan. Anda boleh menyusukan bayi secara perlahan-lahan menggunakan cawan. Bayi secara beransur-ansur akan belajar meminum susu secara perlahan-lahan.

Kaedah Menggalakkan Bayi Pra-Matang Menyusu

Sekiranya anda mendapati bayi pra-matang anda kurang menerima bekalan susu yang bukan disebabkan kekurangan bekalan susu, anda perlu segera berbincang dengan pakar pediatrik tentang bagaimana menggalakkan kuantiti pengambilan susu oleh bayi.

Bayi akan menunjukkan tanda-tanda lapar dengan cara merengek dan menangis. Segera menyusukan mereka ketika bayi mula menunjukkan tanda lapar. Bayi akan minum susu dalam kuantiti yang lebih banyak dalam keadaan lapar.

Pastikan bayi anda tidak tertidur semasa menyusu. Kaedah menyusukan bayi dalam keadaan jaga boleh dilakukan dengan cara menegakkan kedudukan bayi. Elakkan daripada mendodoi atau menyanyi supaya bayi tidak tidur dan terus menyusu.

Sendawakan bayi setiap kali selepas menyusu untuk mewujudkan ruang yang lebih banyak dalam perut mereka.