Mendidik anak-anak mencintai dunia buku pada hari ini bukanlah suatu perkara mudah. Dunia gajet yang serba canggih dilengkapi dengan pelbagai aplikasi permainan, video dan rancangan-rancangan menarik di televisyen telah mengalih perhatian kanak-kanak ke dunia bukan realiti. Mereka tidak lagi menjadikan buku sebagai minat utama sebaliknya banyak masa dihabiskan dengan memegang gajet berbanding dengan memegang buku.

Melentur buluh biarlah dari rebung. Kanak-kanak jika dibiasakan dengan dunia buku sejak dari kecil akan sentiasa memilik buku sebagai teman baik ke mana pun dia pergi. Buku bukan sekadar bahan bacaan untuk menghadapi peperiksaan. Sebaliknya mereka akan menganggap buku sebagai sumber inspirasi. Contoh terbaik adalah ibu bapa mereka sendiri. Jika anak kecil sentiasa melihat ibu bapanya memegang buku, maka minat yang sama juga akan dapat dipupuk dalam diri anak mereka.

Dekatkan Anak Dengan Perpustakaan

Perpustakaan adalah sumber terbesar untuk mendapatkan ilmu melalui pembacaan. Suasana perpustakaan yang senyap menjadikan ia pilihan terbaik sebagai tempat mengulangkaji pelajaran dan membaca buku.

Jika anda dari kalangan ibu bapa yang kerap membawa anak mengunjungi perpustakaan untuk membaca buku, anda sebenarnya telah membuat pilihan yang bijak. Tidak semua ibu bapa berjaya mengajar si cilik mencintai perpustakaan. Seperti yang dinyatakan, melentur buluh biarlah dari rebung.

Jadi, bagaimana kaedah terbaik untuk mengajar si cilik mencintai perpustakaan dari kecil? Ini beberapa tips berguna boleh dicontohi.

1.Kunjungi perpustakaan setiap minggu

Kebanyakan perpustakaan utama seperti Perpustakaan Negara di Kuala Lumpur boleh dikunjungi pada hari minggu dan hujung minggu. Tetapkan sehari dalam seminggu sebagai hari khas untuk keluarga anda di perpustakaan.

2. Pilih perpustakaan yang selesa

Suasana perpustakaan turut mempengaruhi minat anak-anak untuk memastikan mereka tidak bosan mengunjunginya. Anak-anak akan lebih selesa membaca buku dalam keadaan suasana berhawa dingin. Perpustakaan yang luas dan beberapa tingkat adalah satu kelebihan. Lebih banyak ruangan bacaan dan seksyen buku perbagai topik disediakan.

Sesetengah perpustakaan utama menyediakan kemudahan lebih daripada sekadar buku. Antaranya kemudahan komputer yang dihubungkan ke internet. Perpustakaan Negara contohnya menyediakan ruangan menonton video pelbagai genre di tingkat khas yang disediakan. Internet akan meluaskan lagi sumber pembacaan dan rujukan anak anda. Kanak-kanak dapat merehatkan seketika otak mereka dengan melayari internet dan menonton video setelah penat membaca buku.

Perpustakaan yang berhampiran kafe atau menyediakan kantin untuk makan juga suatu kelebihan. Ianya amat memudahan di mana anda dan si kecil tidak perlu keluar dari kawasan perpustakaan untuk membeli makanan semasa makan sarapan pagi dan makan tengah hari.

3. Biarkan anak-anak memilih sendiri bacaan yang disukai

Satu perkara yang ibu bapa tidak perlu risau tentang bahan bacaan di perpustakaan adalah bahan-bahan berunsur lucah. Anda tidak perlu lagi risau membiarkan mereka memilih sendiri bahan atau genre bahan bacaan yang digemari. Dalam memilih buku kesukaaan, secara tidak langsung akan menerokai perpustakaan dengan sendirinya. Ibu bapa hanya perlu mengawasi mereka terutama anak-anak yang masih kecil. Penerokaan secara bebas di perpustakaan adalah sesuatu yang menyeronokkan bagi kanak-kanak. Lebih-lebih lagi dalam sebuah perpustakaan yang besar. Mereka akan fokus dan khusyuk membelek rak demi rak untuk memilih bahan bacaan yang menarik perhatian mereka.

4. Galakkan si kecil mencari jawapan sesuatu persoalan di perpustakaan

Kanak-kanak yang bijak dan sering berfikir akan sentiasa mempunyai soalan-soalan tentang pelbagai perkara. Contohnya, mampukah manusia menjejakkan kaki ke bulan dan matahari? Jarak antara matahari dan bumi, kehidupan di zaman dinosaur, persoalan tentang hidupan di dasar laut dan sebagainya. Anda galakkan mereka mencari jawapan bagi persoalan-persoalan yang terlintas menerusi pencarian jawapan di perpustakaan.

Anda tidak perlu menjawab kesemua persoalan yang diutarakan. Sebaliknya galakkan mereka dengan sama-sama mencari jawapan menerusi buku di perpustakaan. Ini menjadi salah satu cara bagaimana anda boleh menarik minat mereka ke perpustakaan.

5. Jadikan diri anda sebagai model

Anak-anak akan mencontohi perilaku ibu bapa. Anda sendiri perlu menunjukkan kesungguhan dan minat membaca buku semasa di perpustakaan. Semasa di perpustakaan, cuba pilih bahan bacaan penting melibatkan buku-buku ilmiah. Elakkan daripada menghabiskan masa terlalu lama dengan bahan bacaan santai seperti surat khabat dan majalah. Kedua-dua jenis bahan bacaan ini sebenarnya tidak menggambarkan minat seseorang terhadap buku. Apatah lagi buku hiburan lain seperti komik.

Tunjukkan diri anda sebagai model dengan menunjukkan minat yang mendalam terhadap buku-buku ilmiah yang lebih bermanfaat. Lama kelamaan si kecil sendiri akan mencontohi anda dalam pemilihan buku-buku.

6. Beramah mesra dengan petugas perpustakaan & rakan-rakan lain

Memang benar kebanyakan pengunjung akan khusyuk dengan bahan bacaan masing-masing sehingga susah untuk kita mendengar perbualan. Namun ia bukan satu halangan untuk si kecil beramah mesra dengan petugas perpustakaan dan rakan-rakan kecil lain yang mengunjungi perpustakaan.

Ajar si kecil untuk membiasakan diri mendekati petugas perpustakaan jika terdapat kesulitan mencari buku. Selain itu, mereka juga boleh berkumpul bersama kanak-kanak sebaya mereka membaca di meja bersama-sama.Cara ini dapat menghilangkan sedikit kebosanan mereka semasa berada untuk tempoh masa yang lama dalam perpustakaan.

7. Dapatkan jadual aktiviti penuh rasmi perpustakaan

Kebiasaanya perpustakaan utama akan menyediakan jadual aktiviti penuh rasmi untuk tempoh beberapa bulan ke hadapan. Kebanyakan aktiviti yang disediakan bertujuan untuk menarik minat orang awam terutamanya kanak-kanak mengunjungi perpustakaan.

Terangkan kepada anak anda berkenaan setiap aktiviti yang bakal berlangsung. Ini dapat memberi mereka pilihan dalam menentukan aktiviti mana yang menarik minat mereka untuk disertai. Menyertai aktiviti anjuran perpustakaan akan menarik minat kanak-kanak lebih kerap ke perpustakaan.

8. Ajari anak mengenalpasti seksyen rak perpustakaan

Anak-anak akan rasa lebih seronok apabila dapat memilih sendiri buku bacaan di rak yang disediakan. Akan tetapi sebelum membiarkan mereka mencari sendiri buku di rak buku, anda perlu mengajar mereka secara terperinci cara mencari buku mengikut seksyen yang disediakan. Sebagai contoh mengajar mereka membaca papan tanda genre buku, mengenalpasti kegunaan setiap tingkat perpustakaan, cara meminjam buku dan sebagainya. Ajarinya juga mereka menyimpan semula buku di tempat asal supaya mudah bagi pembaca lain mencari buku yang sama.

9. Membaca bersama si kecil

Walaupun anda mungkin sibuk dengan bahan bacaan sendiri, namun jangan lupa meluangkan masa membaca buku bersama mereka. Terlalu fokus dengan bahan bacaan tanpa mewujudkan perbincangan dengan si kecil tentang buku yang dibaca akan membuatkan mereka cepat bosan. Mereka mungkin akan tidur atau merengek untuk pulang ke rumah. Oleh itu, luangkan masa membaca dengan menerangkan topik utama mengenai buku yang mereka sukai.

10. Menyediakan perpustakaan kecil di rumah

Selain mengunjungi perpustakaan awam, anda boleh merancang bersama si kecil mewujudkan perpustakaan kecil di rumah. Pasti mereka akan teruja apabila anda dapat menyediakan kemudahan secukupnya untuk perpustakaan kecil itu seperti rak yang dipenuhi pelbagai jenis buku, meja membaca yang selesa, komputer untuk rujukan ke internet, keselesaan tempat duduk seperti bean bag, penghawa dingin yang sejuk dan sebagainya. Jadikan hati si kecil lebih dekat dengan perpustakaan dengan mewujudkan perpustakaan mini di rumah. Secara tidak langsung, mereka akan dididik mencintai buku sepanjang hayat mereka.