Isu kesihatan mental kini semakin hari semakin mendapat tempat di hati masyarakat. Pada masa dahulu ketika kita masih berada di tahun 70, an, 80-an dan 90-an, tidak ramai yang memperkatakan topik kesihatan mental secara terbuka. Kita cuma tahu kewujudan hospital Tanjung Rambutan tanpa mengetahui fungsi sebenar hospital ini. Pada masa itu kita hampir tidak pernah mendengar istilah kesihatan mental seperti yang selalu kita dengar pada hari ini.

Kebanyakan daripada kita mempunyai memori atau pengalaman bertemu dengan pesakit mental semasa zaman kanak-kanak. Disebabkan ceteknya pengetahuan kita mengenai kesihatan mental, kita sering memanggil golongan tidak bernasib baik ini dengan gelaran yang tidak sepatutnya iaitu ‘Orang Gila’. Adakalanya kita sendiri takut untuk mendekati ‘orang gila’ ini kerana bimbang di apa-apakan apabila mereka ‘naik minyak’.

Kes Sakit Mental Di Malaysia Semakin Meningkat

Tetapi hari ini, kita bukan lagi kanak-kanak yang tidak mengetahui apa-apa tentang kesihatan mental. Lebih-lebih lagi di tahun 2019 ini, kita sudah semakin dewasa dan mula mengetahui apa itu kesihatan mental. Kebanyakan kita telah bergelar ibu dan bapa kepada anak-anak. Kitalah yang seharusnya mendidik setiap daripada anak kita tentang kesihatan mental. Ini penting supaya mereka tidak jahil seperti kita semasa kecil dahulu sehingga sanggup memanggil golongan pesakit mental sebagai ‘orang gila’. Mendidik anak-anak tentang kesihatan mental bukan sekadar untuk menghindari mereka sewenang-wenangnya menggelar golongan tidak bernasib baik ini sebagai ‘orang gila’ .

Apa yang lebih penting, anak-anak sendiri perlu tahu bagaimana memastikan diri mereka sendiri terhindar daripada mengalami masalah mental. Nisbah mereka yang menghadapi masalah mental semakin meningkat setiap tahun malah semakin membimbangkan dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini.

Gangguan Mental Boleh Terjadi Kepada Sesiapa Sahaja

Tidak mengira sama ada orang dewasa, wanita atau lelaki, kita semua berisiko mengalami gangguan mental. Kanak-kanak juga tidak terlepas daripada risiko menjadi pesakit mental. Gangguan mental dikatakan lebih banyak berlaku di kalangan wanita berbanding lelaki. Pesakit akan menghadapi gangguan jiwa yang menyebabkan mereka cenderung menghadapi kemurungan yang melampau sehingga akhirnya membawa kepada kes bunuh diri.

Di Malaysia kes bunuh diri berpunca daripada masalah mental dilaporkan berlaku tujuh kes secara purata setiap hari. Pesakit mental hari ini lebih cenderung membahayakan diri berbanding untuk membebaskan diri mereka daripada tekanan hidup.

Cara Mendidik Si Kecil Tentang Kesihatan Mental

Dengan semakin meningkatnya kes pesakit mental di Malaysia dan seluruh dunia, penting bagi ibu bapa mendidik si kecil mereka mengenai kepentingan menjaga kesihatan rohani dan emosi. Stigma mereka terhadap pesakit mental juga perlu diluruskan supaya golongan ini tidak rasa terpinggir dari masyarakat. Topik ini perlu dibincangkan secara perbualan santai kepada anak-anak untuk peringatan kepada mereka setiap hari.

Ajari Anak Memahami Emosi

Anak-anak dari peringkat usia bayi, kanak-kanak sehinggalah peringkat remaja perlu diajar untuk memahami jenis-jenis emosi yang mereka hadapi. Perasaan sedih, tekanan, marah, takut, bimbang, hilang keyakinan diri, sakit, kecewa dan sebagainya adalah faktor yang membawa seseorang mengalami masalah mental. Setiap emosi yang dialami akan mempengaruhi tindakan dan pilihan yang mereka lakukan.

Bagaimanakah anda boleh mengajar mereka mengenai emosi? Caranya adalah dengan mendidik mereka untuk memerhati emosi yang dialami oleh dirinya sendiri dan orang di sekelilingnya. Wujudkan rasa empati dalam diri mereka dengan cuba memahami emosi diri dan mendekati orang lain yang mengalami masalah emosi melalui perbualan berkaitan emosi seperti:

“Saya lihat awak seperti dalam keadaan takut. Apa yang membuatkan awak rasa takut?”

“Saya lihat awak seperti tidak berminat berkawan dengan rakan sekelas lain. Adakah mereka ada melakukan sesuatu yang buruk kepada awak?”

“Saya tahu awak masih sedih di atas kematian kucing awak..”

“ Saya tahu saya tidak melalui apa yang awak lalui. Namun sebagai kawan baik saya berkongsi kesedihan sama yang awak rasai”

“Saya lihat awak tidak ceria seperti hari-hari sebelumnya. Apa yang menyebabkan awak tiba-tiba bersedih hati?”

Ajari anak anda supaya menjauhi penilaian secara salah atau bersifat menghakimi tanpa cuba memahami emosi orang lain. Sebaliknya wujudkan rasa peduli, empati dan rasa ingin mengambil tahu emosi yang dilalui oleh orang lain. Terangkan kepada mereka untuk sentiasa beranggapan positif dan mengambil langkah mendekati mereka yang mengalami kecelaruan emosi. Anak-anak yang mampu memahami emosi orang lain akan lebih mudah menangani emosi diri sendiri secara lebih matang.

Perluaskan Pemahaman Mereka Mengenai Kesihatan Mental

Pendedahan mengenai info berkaitan masalah mental perlu disesuaikan mengikut usia dan kematangan anak-anak dan kesediaan mereka menerima info berkaitan dengannya. Kebiasaannya, kanak-kanak yang mula memasuki alam persekolahan akan lebih mudah memahami manusia dan persekitaran mereka. Mereka lebih cepat memahami situasi berkaitan perubahan emosi.

Usia ini adalah peringkat paling sesuai untuk pendedahan info mengenai kesihatan mental. Anda boleh mendapatkan pelbagai sumber mengenai kesihatan mental. Antaranya menggalakkan penglibatan anak-anak dalam aktiviti kesedaran kesihatan mental, mengunjungi pameran dan pendidikan kaunseling, mencari sumber di internet, meluaskan pembacaan buku mengenai kesihatan mental dan pelbagai lagi sumber yang boleh didedahkan kepada anak anda secara percuma.

Istilah-istilah berkaitan kesihatan mental juga perlu diperluaskan kepada mereka secara berperingkat. Kamus kesihatan mental seperti skizofrenia, depresi, psikosis, neurosis, kecelaruan bipolar, kecelaruan personaliti dan sebagainya adalah istilah yang sering kita dengar pada hari ini. Setiap istilah menerangkan tentang ciri-ciri pengidapnya. Dengan memahami ciri asas setiap kategori, anak anda lebih mudah mengenalpasti perbezaan antara individu normal dengan individu yang memerlukan pendekatan jiwa secara khusus.

Kedah Menangani Masalah Emosi Di Peringkat Awal

Penyakit mental serius yang membawa kemurungan sehingga membunuh diri tidak akan berlaku sekiranya pesakit tahu kaedah mengawal dan menangani emosi yang sedang bermasalah. Mempelajari kaedah-kaedah awal ini dapat membantu diri sendiri apabila menghadapi kecelaruan emosi dan mungkin kenalan di kalangan rakan-rakan mereka yang sedang menghadapi tekanan emosi.

Menafikan emosi yang sedang bermasalah adalah salah satu perkara yang memburukkan keadaan mental seseorang. Menyembunyikan emosi dalaman yang sedang bercelaru dengan menampilkan diri yang normal adalah salah satu penafian emosi yang tidak baik. Anak-anak perlu belajar untuk mengetahui kaedah-kaedah melepaskan rasa marah, kecewa, takut, sakit, putus asa dan sebagainya dengan cara yang sihat. Ia sebagai isyarat kepada orang di sekeliling bahawa mereka memerlukan sokongan emosi untuk menaikkan semula motivasi dalam diri mereka.

Sakit mental tidak boleh dikawal dengan mudah. Namun simptomnya boleh dikenalpasti diperingkat awal. Teknik mengatasi kecelaruan emosi dapat membantu seseorang berfikir secara lebih rasional disertai dengan bimbingan rohani dan fizikal.

Pendekatan Secara Holistik

Anak-anak juga perlu diajar kaedah holistik untuk mengawal fikiran ketika menghadapi masalah emosi yang tidak stabil. Kaedah holistik meliputi beberapa cara. Antaranya :

  • Menjaga diet pemakanan. Makanan yang mempengaruhi kesihatan mental yang baik terdiri daripada sayur-sayuran, buah-buahan, makanan yang kaya dengan sumber gandum dan bijirin. Bagi orang Islam, memastikan makanan yang bersih dan halal adlaah salah satu sumber kebersihan minda dan rohani.
  • Mengamalkan gaya hidup sihat. Biasakan diri dengan bersenam untuk meningkatkan kecerdasan fizikal dan mental.
  • Membekankan badan dengan sumber vitamin tambahan dan terapi melalui penggunaan unsur alam semulajadi seperti herba.
  • Terapi minda melalui ibadah, meditasi, yoga, tai chi dan sebagainya adalah kaedah yang dapat mengurangkan ketegangan emosi.