Kuku tangan dan kaki adalah antara bahagian badan yang paling terdedah terhadap kekotoran dan fungus. Kebersihan kuku perlu diberi perhatian sewajarnya termasuk kanak-kanak yang masih kecil. Kekotoran yang terkumpul pada kuku tangan mampu menyebarkan penyakit dalam penyediaan makanan. Begitu juga dengan kuku kaki yang begitu mudah terdedah terhadap jangkitan fungus. Penyakit fungus pada kuku boleh menyebabkan perubahan pada warna kuku. Kebiasaanya, kuku yang dijangkiti fungus akan bertukar menjadi warna hitam atau kuning berkarat. Lebih teruk lagi jika jangkitan ini menimbulkan bau yang tidak menyenangkan akibat daripada luka dan nanah yang terjadi di bahagian isi dalaman kuku.

Sebelum terjadinya masalah ini kepada anda, ada baiknya jika langkah-langkah pencegahan dan kebersihan kuku kaki dan tangan dititikberatkan dari akar umbinya. Ini kerana kuku yang mengalami masalah kebersihan sehingga membentuk fungus akan mengambil masa untuk sembuh sepenuhnya. Keadaan ini boleh mencacatkan penampilan anda.

Sebagai langkah pencegahan, anda boleh membuat rawatan kuku tangan dan kaki di rumah dengan beberapa langkah menggunakan bahan-bahan yang boleh didapati dengan mudah. Bahan-bahan ini juga sesuai digunakan untuk pembersihan dan penjagaan kuku kaki dan tangan.

Rendam Kaki Dalam Air Suam & Gunakan Batu Apung

Penggunaa batu apung dan skrub boleh membersihkan kuku kaki dengan berkesan. Ia membantu anda menyental celahan dan membersihkan kuku dari kekotoran.

Batu apung adalah salah satu alat semulajadi yang sering digunakan di pusat rawatan kuku. permukaannya yang kasar sangat berkesan untuk tujuan pengelupasan kulit mati yang sering terjadi di bahagian kulit kaki.

Caranya :

  1. Lembutkan bahagian kaki atau tangan dengan memanfaatkan kehangatan air suam. Anda boleh tambahkan garam Epsom atau syampo untuk tujuan wangian. Selain itu, anda boleh juga menambahkan perahan lemon. Lakukan rendaman tangan atau kaki selama kira-kira 20 minit. Tujuannya untuk melembutkan sel-sel kulit mati dan melembapkan kuku.
  2. Apabila rendaman telah selesai, potong kuku kaki menggunakan alat pemotong kuku.
  3. Seterusnya, gunakan batu apung untuk menyental celahan kuku dan kulit di sekelilingnya. Anda akan dapati sel-sel kulit mati dapat ditanggalkan dengan mudah. Kekotoran berwarna hitam yang melekat juga dapat dibersihkan dalam keadaan kulit dan kuku yang lembut selepas terkena air suam.
  4. Setelah selesai, keringkan kaki dengan sehelai tuala bersih.

Manfaatkan Krim Kutikel

Selepas kaki dikeringkan, ambil krim kutikel dan sapukan pada bahagian kuku kaki atau tangan. Krim ini akan melembapkan kuku dan kulit di sekelilingnya. Seterusnya, gunakan semula batu apung atau foot scrubber untuk menyingkirkan sekali lagi kulit mati yang kasar dan kekotoran yang melekat.

Kulit kaki yang kasar di sekeliling kuku ini perlu sentiasa dirawat. Jika dibiarkan, ia akan menyebabkan pembentukan kulit kasar yang menggerutu di sekeliling kuku terutamanya di bahagian kaki. Anda boleh mendapatkan krim kutikel di farmasi.

Seterusnya, gunakan alat cuticle pusher untuk menanggal kutikel atau kulit kasar yang berada di celahan kuku kaki atau tangan. Jangan sesekali anda memotong kutikel di celahan kuku dengan menggunakan alat pemotong kuku. Cuticle pusher adalah peralatan sebenar yang harus anda gunakan kerana ia boleh menanggalkan kutikel ini dengan mudah. Penyingkiran kutikel ini akan membantu pertumbuhan kulit kaki secara sihat. Gunakan berus kuku kaki untuk membuang kutikel yang berjaya ditanggalkan dari celahan kuku.

Skrub Kaki & Kuku

Seterusnya ialah penggunaan skrub kaki dan kuku. Anda boleh menggunakan pelbagai jenis skrub kaki dan tangan yang terdapat di pasaran. Skrub juga boleh dibuat sendiri secara DIY dengan menggunakan beberapa bahan. Antaranya dengan campuran garam Epsom, minyak zaitun, jus lemon dan madu.

Butiran-butiran halus garam akan memberikan keselesaan pada saat anda menggosoknya di bahagian kaki atau tangan termasuk di celahan kuku. Skrub selama kira-kira 10 minit. Kemudia bilas dengan menggunakan air bersih atau air suam.

Melembapkan Kaki & Tangan

Setelah proses pembersihan kuku kaki dan kuku tangan selesai, langkah seterusnya adalah melembapkan dengan menggunakan beberapa jenis minyak. Anda boleh menggunakan ramuan campuran minyak almond dan minyak zaitun.

Proses pelembapan dilakukan seolah-olah anda sedang melakukan urutan di bahagian kaki dan tangan. Anda cuma perlu meratakan minyak ke seluruh bahagian kaki, tangan dan kuku. Urutan selama beberapa minit ini akan membantu melancarkan semula peredaran darah di bahagian tangan dan kaki. Ianya juga melembapkan, menyinarkan dan menyihatkan kaki, tangan dan kuku.

Mencegah Pertumbuhan Fungus Kuku

Fungus kuku yang serius perlu mendapatkan rawatan daripada doktor. Bagi kes yang serius juga, pembuangan fungus menerusi pembedahan kecil mungkin diperlukan. Anda tentunya tidak mahu melalui pembedahan yang menyakitkan walaupun ia sekadar pemberdahan kecil.

Cara terbaik adalah mencegah pertumbuhan fungus. Kaki dan tangan yang dibersihkan secara berjadual sekurang-kurangnya sekali seminggu mengikut langkah di atas adalah salah satu langkah awal pembersihan yang dapat menghalang pertumbuhan fungus.

Selain daripada mengalamalkan langkah pembersihan, anda juga boleh menggunakan krim pencegah fungus. Ada juga yang didatangkan dalam bentuk semburan. Krim hanya sesuai bagi kulit kaki dan tangan yang kering. Anda boleh memakainya sama ada ketika di rumah atau ketika mengenakan selipar atau kasut. Pencegah antifungus ini mengandungi bahan berubat yang mampu mencegah pertumbuhan kulat pada kaki dan kuku.

Anda juga perlu menghindarkan daripada memakai sarung kaki dalam keadaan kaki yang masih basah dengan peluh atau air. Cuci kaki dan celahan kuku menggunakan berus khas dan sabun sekerap yang boleh. Seelok-eloknya setiap kali ketika sedang mandi.

Gunakan Krim Pelindung Matahari

Setiap kali anda keluar rumah di siang hari, kaki dan tangan anda memerlukan krim pelindung matahari dari jenis SPF dengan nilai 30. Terutama kepada mereka yang memakai selipar. Kaki dan tangan anda perlu dilindungi daripada sinaran cahaya matahari yang merbahaya. Krim pelindung matahari atau sunscreen ini amat diperlukan oleh anda.

Bahan-Bahan Lain Yang Berkesan Untuk Rawatan Kuku Kaki & Tangan

Anda tidak semestinya perlu menggunakan krim khusus untuk rawatan fungus kuku kaki dan tangan. Berdasarkan pengalaman pengguna dan keberkesanannya, ada beberapa bahan lain yang anda boleh gunakan untuk kuku yang bermasalah.

Bawang Putih

Ciri anti bakteria semulajadi yang terdapat dalam bawang putih amat berkesan untuk menghapuskan bakteria yang menjadi punca pertumbuhan fungus pada kuku. Anda boleh mengambil beberapa ulas bawang putih, menumbuknya sehingga halus dan kemudian tekap pada bahagian yang bermasalah. Jika perlu, gunakan kain pembalut dan biarkan selama kira-kira 30 minit bagi memberi ruang masa untuk penyembuhan berlaku. Ulangi langkah yang sama sehingga fungus berkurangan.

Listerine

Listerine juga dikatakan berkesan untuk rawatan fungus. Ianya mengandungi menthol, thymol, dan eucalyptus yang mana merupakan antara bahan anti-bakteria yang kuat. Ia boleh menghapuskan pertumbuhan fungus pada kuku. Anda boleh menggunakan kapas muka yang dibasahkan dengan Listerine untuk menggosok pada bahagian kuku yang bermasalah.

Cuka 

Cuka juga berkesan untuk rawatan fungus. Anda boleh merendam tangan atau kaki di dalam air suam yang dicampurkan dengan cuka. Rendam selama kira-kira 20 mnit dan kemudian diikuti dengan langkah pembersihan menggunakan batu apung dan alat penyingkir kutikel.


The Body Shop Big Nail Shiner

Sephora Collection Instant Nail & Cuticle Care

Listerine Mouthwash Coolmint

The Body Shop Wooden Nail Brush