Mengawal stres ketika mengandung memerlukan tanggungjawab bersama di antara suami, isteri serta di kalangan ahli keluarga terdekat. Stres sememangnya normal dialami sesiapa sahaja lebih-lebih lagi seorang ibu mengandung yang terpaksa memikul beban selama 9 bulan di dalam rahim sebelum kelahiran bayi.

Selain menekankan penyelesaian masalah kepada punca terjadinya stres, perkara kedua yang perlu diambil berat ialah mengawal keadaan emosi supaya tidak menjurus kepada gejala depresi. Stres yang tidak terkawal akan membawa kepada kemurungan. Ibu yang mengalami stres berisiko mempengaruhi perkembangan janin. Biasanya kesan stres ke atas janin boleh dilihat selepas kelahiran bayi. Bayi mungkin tidak mengalami kecacatan dari segi fizikal. Namun, kesan paling besar boleh dilihat ketika usia bayi semakin meningkat. Anda akan mendapati perkembangan emosi dan mental mereka banyak dipengaruhi oleh keadaan ibu yang mengalami stress ketika mengandung. Contohnya takut pada keadaan sekeliling, cepat marah dan tidak seaktif kanak-kanak lain.

Adakah Stres Mempengaruhi Perkembangan Janin ?

Untuk itu, pakar kesihatan wanita menyarankan ibu mengandung mengambil langkah-langkah tertentu untuk mengurangkan stres. Saat mengalami stres, ibu mengandung perlu duduk seketika dan mengambil nafas sedalam-dalamnya dan bertindak pantas dengan mengambil langkah-langkah berikut untuk melepaskan atau paling tidak mengurangkan stres yang di alami.

1.Dapatkan Tidur Secukupnya

Tidur adalah satu nikmat kenyamanan yang dikurniakan saat jiwa terbeban dengan perasaan tekanan yang tidak mampu dibendung. Dengan tidur sekurang-kurangnya enam jam sehari dapat mengembalikan fungsi neurotransmiter otak supaya kembali ditetapkan semula ke tahap neutral apabila bangun daripada tidur.

Ia mungkin bukan langkah terbaik penyelesaian sesuatu masalah. Namun tidur seseorang yang mengalami stres atau tekanan perasaan seperti suatu kerehatan fizikal, rohani dan mindanya dari bebanan fikiran yang tidak berpenghujung. Ibu mengandung yang mengalami stres akibat rasa penat disarankan untuk tidur seketika.

Badan yang terlalu penat boleh mempengaruhi keadaan emosi dan perasaan. Jangan paksa diri untuk terus melakukan kerja. Sebaliknya, ambil masa untuk rehat dengan tidur seketika.

2. Mandi & Berendam Dalam Air

Mandi adalah salah satu cara untuk mengembalikan perasaan selesa dan ketenangan. Semasa mengandung, rahim  yang semakin membesar akan memberikan tekanan kepada dua kumpulan otot perut yang bertemu di tengah-tengah perut anda.

Keadaan ini menyebabkan ibu mengalami kesakitan tulang belakang juga. Mandian dan berendam dalam air garam adalah salah satu kaedah untuk melegakan ketegangan otot dan kesakitan tulang belakang ibu mengandung.

3. Senaman & Latihan

Ibu mengandung perlu mengekalkan diri dalam keadaan aktif. Aktif di sini bukan bermakna melibatkan diri dengan kerja-kerja rumah atau pejabat tanpa henti. Aktif bermaksud memberi ruang pada diri melakukan senaman khusus untuk ibu mengandung. Senaman dapat membantu meningkatkan perembesan hormon endorphin. Hormon ini merupakan sejenis kimia neurotransmiter yang menghantar isyarat neuron otak.

Setiap ibu mengandung perlu mengetahui pergerakan-pergerakan senaman yang selamat boleh dilakukan untuk mengelakkan sebarang komplikasi tidak diingini. Senaman ringan yang dilakukan di dalam rumah atau pusat gimnasium khas ibu mengandung adalah paling selamat untuk ibu.

4. Rawatan Bekam

Bekam sering digunakan sebagai rawatan alternatif terhadap pelbagai jenis penyakit seperti migrain, angin dalam badan, rawatan darah kotor, sakit otot dan sebagainya. Rawatan bekam hanya disarankan bagi ibu mengandung di bawah 6 bulan sahaja. Pastikan juga rawatan bekam tidak melibatkan sekitar bahagian abdomen.

Kesakitan otot badan ketika mengandung boleh dikurangkan menerusi rawatan bekam. Paling kurang seminggu sekali sudah cukup. Rawatan bekam tidak digalakkan dilakukan setiap hari. Hanya jika anda mengalami kesakitan dan stres seperti sakit otot dan kepala sahaja dibenarkan untuk melalui rawatan bekam.

Anda perlu mendapatkan nasihat daripada pakar kesihatan terlebih dahulu sebelum melalui rawatan bekam. PaAstikan dahulu pusat rawatan bekam yang anda kunjungi memiliki sijil kelayakan mengendalikan pusat bekam.

5. Akupuntur

Akupuntur juga merupakan salah satu rawatan alternatif bagi kebanyakan jenis penyakit. Rawatan ini juga selamat dijalani bagi ibu mengandung. Rawatan akupuntur berkesan untuk merawat kesakitan pada bahagian pelvis, sakit belakang dan muntah-muntah.

Sebelum mendapatkan rawatan akupuntur, adalah lebih baik anda mendapatkan nasihat daripada doktor kesihatan anda. Selain itu, pastikan juga pusat akupuntur yang dikunjungi itu memiliki sijil tauliah.

6. Berenanglah!

Berenang juga merupakan salah satu terapi yang menenangkan fikiran. Ketika berenang, ibu mengandung akan menjadi lebih fokus. Pergerakan-pergerakan yang dilakukan semasa berenang akan memberikan efek kepada tekanan jantung, tekanan darah dan memperbaiki tahap oksigen yang diperlukan oleh badan.

Pergerakan-pergerakan renang ini sedikit sebanyak dapat membuatkan ibu mengandung melupakan seketika stres yang dialami. Selepas berenang pula, tahap kecergasan badan akan meningkat dan badan akan terasa lebih sihat.

Namun awas! Pastikan anda mengambil langkahkeselamatan semasa mengunjungi pusat renang. Elakkan daripada berlaku kegelinciran semasa berjalan di tempat-tempat yang licin.

7. Berbincang Tentang Masalah

Stres ketika mengandung boleh berpunca daripada pelbagai sebab. Antaranya masalah di tempat kerja, masalah keluarga, masalah dengan suami dan sebagainya. Berbincang tentang masalah adalah salah satu cara untuk mencari penyelesaian terbaik. Melalui perbincangan juga, banyak masalah boleh diselesaikan sekaligus mengurangkan stres ketika mengandung.

Masalah di tempat kerja sebagai contoh mampu diatasi dengan melakukan penyelesaian bersama pihak atasan. Mungkin bebanan kerja yang anda terima ketika mengandung melebihi tahap kemampuan anda. Jalan terbaik ialah dengan berbincang dengan bos anda untuk mendapatkan sedikit kelonggaran.

Begitu juga jika berlaku masalah dengan ahli keluarga. Jalan terbaik ialah melalui perbincangan di meja bulat untuk mencari penyelesaian.

8. Membaca Buku Tentang Kehamilan

Memenuhi pengetahuan tentang ilmu-ilmu kehamilan adalah suatu perkara yang sentiasa mengujakan kaum wanita terutama ketika mengandung. Lakukan terapi dengan mengunjungi kedai-kedai buku dan beli beberapa buah buku berkaitan kehamilan supaya anda boleh memiliki masa untuk duduk seketika dengan membaca.

Namun jangan terlalu melibatkan diri dengan bacaan berat yang boleh menyebabkan anda kadi semakin stres.

9. Perancangan Sentiasa Rapi

Banyak perkara yang kadang-kadang tidak dirancang dengan rapi menjadi punca stres kepada ibu mengandung. Ibu mengandung perlu menetapkan jadual tentang aktiviti seharian mereka bermula dari bangun tidur sehinggalah tidur semula pada waktu malam

Hal-hal menguruskan rumahtangga adalah antara perkara yang paling menyebabkan ibu mengandung menjadi stres. Apabila banyak kerja-kerja rumah tidak mampu diselesaikan, mereka mula menjadi bingung. Badan mula menjadi penat dan perasaan mula dibebani dengan tekanan. Begitu juga dengan perkara di tempat kerja. Segalanya memerlukan perancangan sekurang-kurangnya sehari lebih awal sebelum memulakan hari.

10. Terima Pertolongan

Meminta pertolongan ketika dalam keadaan hamil bukanlah sesuatu yang memalukan bagi seorang wanita. Malah ia adalah satu tanggungjawab membantu yang harus dipikul bagi setiap komunitit masyarakat terutama dari ahli keluarga terdekat.

Tidak salah sekiranya ibu mengandung meminta pertolongan suami dalam menyelesaikan setengah daripada tugasan rumah tangga. Tidak salah juga jika meminta suami menyediakan hidangan makan malam. Tidak juga salah jika anda menyatakan yang anda sedang penat dan tidak mampu menyediakan makan malam lalu mengajak suami makan di luar.

Pilihan Editor :

Lunavie Maternity Support Belt

Belly Bandit® Bump Support™ Leggings Black